Tuesday, December 18, 2012

Bagai bersirih tiada gagang...

.



Membenteng ia pecah tujuh berkawan
Dia datang menarik mari awan
Memugar tanah mahu digunungkan
Memasak kayu mahu dihutankan

Bertampan berpemeluk
Dia berdiri teguh di hujung teluk
Merentang pukat mahu tamban
Menjulur joran mahu sembilang

Dia menanti sepuluh hari terang
Yang hadir sepuluh hari gelap
Kaki basah dipanjat lumut
Tangan lencun dilomot selut

Dia akur nasib tak datang
Asalkan musibah keluar pulang
Tiada tambah tiada kurang
Bersirih tiada gagang







.

Tuesday, November 27, 2012

Aku Fosil Hidup...

.



Aku fosil, tolong jangan umpil aku dari enap masa,
lapisan sedimen enapan yang penuh temulang purbawara.

Aku telah lama terendam menjadi fosil hidup di lapisan enap mati,

aku ini fosil yang telah merakam cerita tentang alam diri,

Mereka berani membuka pintu, membalas ketukan dan salam,

membuka tingkap lalu membiarkan masuk sinar penulis kalam.

Tentang seorang tua yang berjalan mencari arah masjid yang di Utara,

Tentang seorang pemuda yang berjalan mencari arah qiblat yang ke Selatan.

Ini tentang aku yang melihat semua,

Ia tentang sejarah hidup yang aku cerna.
Tinggalkanlah, biarkan aku mendap bersama-sama lapisan masa.






[Puisi ini pernah disiarkan di blog satu lagi pada tahun lepas. Aku keluarkan lagi di sini pula sebab aku suka puisi ini]


Friday, November 16, 2012

Puisi untuk Palestine

.


Bumi itu subur tanahnya tetapi yang hidup amat gersang di atasnya
asap dan pasir dibawa ribut kencang, api taufannya ditiup marak dari Barat
Bumi itu hamis dengan darah tetapi bumi itulah juga yang direbutkan
puing-puing bukti noda dan dosa sudah jelas
namun mata-mata tertutup rapat untuk melihat
demi melindung pasir yang ditiup taufan dari Barat

Dahulu, bumi itu indah dengan para anbiya'
kini, ia riuh dengan jeritan mortar dan raungan anak-anak
Nyawa, kalau dulu panjangnya diukur selunjur pedang
kini, ia terbang dari selaras senapang

Merpati hijau
Kalau suara aku boleh menyebabkan kau bersedih
Kau ambillah nyawa si anak kecil
kau simpanlah pada paruhmu
Kau ambillah nyawa pejuang-pejuang
kau simpanlah dalam perutmu
Kalau getar nadi simpati aku boleh menyebabkan kau menangis
Kau terbanglah ke awan
Kau koyakkan layar hitam hujan
Agar merenjis subur jasad-jasad yang terbujur
Kembali hidup menatang lastik dan batu
Semangatnya akan kekal hidup dan menjerit lagu perang
Hingga ke akhir zaman.





.

Thursday, November 8, 2012

Telanlah hakikat bahawa kau bukan siapa-siapa...

.


Oh! Dia itu kamu
rupa-rupanya kamu yang merupai dia
gelandangan hebat seantero maya, kata mereka
baru aku temui setelah lama nama meniti hari berganti

Nah, sekarang siapakah kamu ini?
bukan siapa-siapa lagi
merangkak, mengheret kaki lumpuh
seluar lusuh
gelandangan kamu luar norma
membuka mata-mata mereka
idealis, artis hebat
seluas maya berkelana 
sekarang kamu bukan siapa-siapa
ayuh telanlah hakikat itu




.

Saturday, October 27, 2012

Aku manusia tak siapa-siapa...

.

image: oaklandliving.wordpress


Lambaiannya lemah, selemah hati yang terpaksa membiarkannya pergi
hatinya gundah, dilapah sepi dinihari, panasnya terasa dingin bak salji

Akukah dia itu?

Selapis sejuk menjerut batang leher, terasa nafas payah melepas
padahal lehernya telanjang,

Itukah lelah dalam dada?

Aku atau dia, sama sahaja sakitnya,
peritnya, hanya aku dan dia merasa
bukan aku mahu
tapi derita itu datang tanpa segan silu

Ah! lantaklah
Kalau ia mahu datang tak berundang, aku biarkan ia berseorangan
aku tak mahu mengadu nasib diri padanya
kerana aku fikir, apalah gunanya
kerana prejudis dilukis belum pun cerita aku sempat habis

Ehsan manusia tak sama ehsan Tuhan
dalam kalbu manusia masih tercacat cemar
hati manusia zaman kini tidak semulia mana
aku tak mahu percaya
malah pada diri aku sendiri
cacat itu tempang aku
kekurangan yang aku bela tanpa disengaja
aku tak siapa-siapa, kini
dan aku selesa begini.






.

Tuesday, October 9, 2012

Kisah seorang lelaki ini...

.



imej: burners.me

 
 
 



Jangan cuba cari erti sebuah kisah yang payah
    nanti keliru bawa musibah
       yang hambar, yang resah
           kaki kau kan rebah

Kisah seorang lelaki, bagi sesetengah mereka
        simpan rasa jauh dalam tubuh, terpendam dalam
           rahsia berlapis rahsia, diamnya satu siksa
               bebanan tika harungi ruang kelam         

Aku lelaki,
       rahsia aku bak mimpi ngeri
             kata bukan penawar
                 suara tak terujar

Memendam sinis pada gerimis
    gerhana menanti rebas habis
       aku pikul, aku tanggung
           walau sakit menggunung





.

Tuesday, September 18, 2012

Si pesona hati

.



Ketika subuh menjelang, si pesona hati datang
membalut suasana kelam jadi girang, riang
tatkala tubuh mengerekot, memeluk lutut ke dada
renjis langit belum sidang, langit tiada terang
cicip burung belum berkumandang

Si pesona hati memeluk erat, tinggalkan bekas cinta
berbekas sepuh merah di atas dada, di balik telinga
terkulai tubuh dalam kesejukkan, hening subuh belum nyata
azan berkumandang hilang disapu nikmat cinta 


sedihnya jiwa.










.

Sunday, September 9, 2012

Bermain-main dengan hujan...

.




Kemilau rintik-rintik hujan petang
Basmi semusim kontang lewat Oktober
Pseudo riang bermain-main di lopak air
Meramaikan bunyi luruh hujan

Jiwaku turut menari di bawah payung angsana
Titis hujannya lebih kasar tertampankan daunan
Menimpa hati terluka, perihnya
Entah patut aku gembira atau menangis

Wahai jiwa yang parah
Aku mahu tinggalkan kamu sekejap
Jaga hatiku baik-baik
Jangan sampai kesejukan dicucuk hujan







.

Thursday, August 23, 2012

Anugerah Aidilfitri 2012

.




Ceria Aidilfitri anugerah Ilahi
Yang kusam seharusnya bersinar kembali
Ehsan Tuhan jangan dikufuri
Bergembiralah
Pemberian Tuhan jangan dikhianati


Kepada jiwa-jiwa yang parah
Senyumlah
Walau hanya seketika
Kerana itu tuntutannya








.

Tuesday, August 7, 2012

Warna-warna cerita kita....

.



Cerita kita tersulam di sawah padi
Warna-warnanya bersilih-ganti setiap kali musim bersemi
Sebulan putih jernih air kali
Sebulan hijau benih pucuk membunting
Sebulan kuning memberas padat
Sebulan perang jerami yang lebat
Sebulan kelabu disapu asap jerebu

Cerita kita mungkin sama
Tapi sawah itu mempalit suasana
yang kusam jadi penuh warna-warna
tentang kita, tentang semua.








.


Saturday, August 4, 2012

Roda kehidupan berputar laju

.




roda kehidupan berputar laju
aku sudah cukup pening hanya dengan melihatnya berputar-putar...
apatah lagi jika turut sama berputar dengannya

berada di atas atau di bawah...aduh.


itu roda kehidupan
jom tinggalkan roda itu agar tidak mual pening
kadang-kadang anggun kirana tak mampu bawa erti lagi
kurniaan samsara kepada dunia yang hidup ini
dan tahulah nanti apa yang ada di dunia yang mati








.

Friday, August 3, 2012

Aku serapuh sayap kupu-kupu

.




Tolong ceritakan kepadaku
Bagaimana bisa kutenun bintang-bintang
Mahu kujadikan ia selimut malamku


Tolong ceritakan kepadaku
Bagaimana bisa kukait bulan
Mahu kujadikan ia lampu tidurku.


Aku serapuh sayap kupu-kupu
Mahukan segala dalam diam bisu
Berharapkan sesuatu yang aku tak mampu







.

Tolong doakan aku, ya...

.




Tolong doakan aku
Doakan dengan doa ampuhmu
lumpuh aku di bendul pintu
seperti seketul batu aku
tertongok membilang waktu


Doakan aku akan cahaya hati
sekering sepi diasah sunyi
juga dapatkan aku sekeping budi
demi mengampu letak hati
agar tak gerak ke situ ke sini
 








.

Wednesday, July 18, 2012

Menjejak Sharqi yang berlalu

.



Aku mencari teduh redup di tengah-tengah padang pasir
Menanti reda ribut pasir
Mengharap sekoleh air
Mata-mataku hilang
Dalam kelopak mana ia sembunyi
Bunga cinta berbau kasturi
Wanginya hilang dibawa Sharqi
Merentasi benua berpasir
Membawa ilhamku pergi
Meninggalkan aku mencari teduh redup di tengah-tengah padang pasir










.

Thursday, July 12, 2012

Cinta Yang Aku Tak Tahu

.




Kerapas-kerapas bertalikan Cinta
Ramas gunung puncak berahi
Menanti rindu kelip-kelip berapi
panjang sedu menanti terang pelangi malam
Pabila sang bulan menerangi kerinduan
Cita pelukan hangat, adat malam ghairah itu
Fantasi cinta indah, detik tak termimpi
Cinta itu masih dimiliki, milik yang hakiki









.






Friday, June 29, 2012

Kesempatan sejenak... bersyukurlah

.


Kesempatan sekelumit tak patut disia-siakan
Yang sekelumit itulah nanti menjadi sebesar gunung
yang membelah awan gemawan, mencurahkan hujan
menghidupkan bumi kontang, jadi subur memasakkan tunjang hijau


Kesempatan seluas lautan jika tak diendahkan
Akan kontang segala batu karang dan tiram mutiara
menarik ombak dari dada muara kembali surut selama-lama
memerahkan mega petang tanpa janji guruh hujan semesta









.

Friday, June 15, 2012

Buku Jiwa-Jiwa Yang Parah

.

Aku dah poskan buku "Jiwa-Jiwa Yang Parah" hari isnin lalu. Diharapkan dapat sampai dengan selamat sejahtera.

Dan sekarang ini, aku tengah kumpulkan idea untuk update blog ini....


Ada cadangan?





.

Tuesday, May 15, 2012

Aku mahu bukukan puisi untuk koleksi peribadi tetapi jika ada sesiapa yang.....

.

Aku sedang membuat kompilasi puisi-puisi. Puisi-puisi itu aku pilih dan aku akan bukukan.

Memang aku mahu membukkukan puisi-puisi aku, untuk rekod peribadi selain untuk aku serahkan kepada anak aku apabila dia telah bersedia untuk mengenali aku sedalam-dalamnya.

Aku pilih puisi-puisi yang menepati tema " Jiwa-Jiwa Yang Parah "

Oleh kerana tema itu yang aku pilih, semestinya puisi-puisi itu nanti memang untuk jiwa-jiwa yang sedang parah.

Aku rasa, jika jiwa dalam keadaan girang gembira, puisi-puisi itu tidak akan memberi banyak kesan dan makna. Jadi, aku rasa ianya sesuai dibaca HANYA apabila jiwa dalam keadaan syugul.


Jadi, aku ingin tahu jika ada sesiapa yang minat puisi-puisi aku, agar bolehlah aku lebihkan sikit pembukuan itu.

Sesiapa yang nak, sila bagi tau aku.


Sekian.






Tuesday, May 8, 2012

Hadiah airmata

.


Terima kasih
kerana benarkan aku bersedih
dan menangis untukmu...


Seikhlasnya dari aku
dari hati yang puas menderita
terimalah kau sedekah itu







.

Thursday, April 26, 2012

Terima kasih Tuhan...

.



Terima kasih Tuhanku
kerana perkenalkan aku kepada dunia
yang mengajarku
tentang sempitnya kesenangan
tentang luasnya kemiskinan
tentang mudahnya dosa
tentang payahnya pahala
tentang pilu dalam ketawa
tentang hiba dan sengsara
tentang gembira sesingkat kerlipan mata
tentang duka selama-lamanya
tentang haiwan bertubuh malaikat
tentang jauh yang sebenarnya dekat
tentang harapan jadi sarapan
tentang kecewa lewat petang


Aku bersyukur padaMu
akan anugerah ketenangan
dalam rencam dunia penuh gawat
akan perlindungan dan keselamatan
daripada tipu daya yang beraja.


Ya Tuhan,
aku bermohon lagi
ampunilah aku
redhailah aku
hambaMu.







.

Monday, April 9, 2012

Semambu yangmenyembah bumi akhirnya

.



Gah Semambu enggan tunduk
Kini perdunya reput waktu
Rayapan memakan empulur secara sir
Tunjang tak tertemu teras buana
Dahan tak tergapai langit tinggi
Daun gugur dicacat dosa
Ranting kering... patah ditiup angin


Taufan
Semambu pun tumbang
Menyembah bumi juga







.

Tuesday, April 3, 2012

Pohonan Jiwa

.





Jasad berjiwa tanpa bau syurga
sekah terpisah dari dahan tubuh
kelopak bunga cinta melayu
dahan kering merapuh


Daun jiwa tanpa warna syurga
jatuh gemersik tanpa bunyi desir
tidak umpama daunan kering
terbakar tatkala mencecah bumi


Jasad tanpa bunga cinta
tanpa warna syurga
tanpa bau syurga
jiwanya akan mati
sebelum sempat ajalnya






.

Monday, March 19, 2012

Lidah musim semi...

.


Aku tinggal di gunung
awan menjadi alas kaki
bawa aku terbang melihat gaung
melihat kuning batang padi
melihat sepi cicip burung
melihat leburnya semangat diri
melihat kosongnya karung
melihat suri yang separuh mati


Bawakan aku sebaldi air
untuk aku tumpahkan pada kontang ini
tolong aku basahkan debu dunia

dengan lidah musim semi
menjilat bulu-bulu rumput kering
dipanggang ganas panas mentari
semoga kan kembali subur






.

Thursday, March 1, 2012

Kaduk dan Sireh

.


Andeh kata, daun kaduk
boleh diulam dengan nasi panas
tapi Pandir tak kenal daun kaduk
lalu diambilnya daun sireh


Andeh kata, itu daun sireh
Bukan daun kaduk? tanya Pandir semula
Bukan, itu daun sireh
Bukan, bukanlah... kata Pandir

Pandir kenal daun keladi
tapi tak kenal daun di tangannya
sama ada daun keladi atau kaduk
hanya kerana dia tak kenal daun ditangannya






.

Sunday, February 26, 2012

pandir, andeh dan ...

.


... maka petang itu, Andeh luahkan hajatnya
setelah sekajang emas dibawa Pandir pulang
Pandir bertanya, hajat yang bagaimana?
jawabnya, sahabat wanita, pencuci mata


... maka berdebarlah dada Pandir
ibarat gunung meletupkan isi
akal, mana akal?
ke kedai akhirnya dia pergi


... maka pulanglah Pandir ditunggu Andeh
yang tersenyum menunggu hajat dipersembah
lalu Pandir hulurkan timun sebesar lengan
disambut Andeh dengan hati tak keruan


... maka merahlah muka Andeh melihat timun
sedangkan hati berhajatkan emas urai berlapis tiga
Pandir cepat memujuk, katanya itulah idamannya
lalu disuruh Andeh masuk ke peraduan


... maka Andeh keliru perihal timun nan sebatang
Pandir kata, itulah sahabat segenap wanita
akrabnya ke bilik tidur dibawa bersama
dipotong nipis lalu dilekapkan pada mata





.

Saturday, February 25, 2012

Kajang Emas versus Perahu Bocor

.


... lalu ketawa Pak Malau pun hilang ditelan angin lalu
serak ketawanya dibawa naik ke puncak syurga dunia
dan dengung ketawanya bergema di seluruh lembah
yang diapit oleh gunung-ganang melintang pukang.


... lalu Pak Pandir mencari-cari akal hilang
di balik daun-daun kering dan lalang yang sepinggang
benci dengan dabik sombong Pak Malau
jelek dengan sumbi berderet bakhilnya


... lalu Pak Malau mengajak Pak Pandir ke sungai
mahu beradu bijak dan kajang emas taruhannya
Pak Pandir mengikut dan perahu bocor galangnya
setujulah keduanya dan sungai jadi saksi


... lalu dilemparkan seketul batu ke dalam sungai
kenapa ia tenggelam, tanya Pak Malau menduga minda
Pak Pandir tergaru-garu kepalanya
akal, mana akal? bisiknya


... lalulah beberapa waktu dan batu tak timbul
kamu yang silap, terjah Pak Pandir akhirnya
bukan batu yang tenggelam tapi sungai yang timbul
kerana air sungai di atas tapi batu di bawahnya


... lalu kajang emas bertukar hak, Pak Pandir ketawa pula
tinggalkan Pak Malau yang tergaru-garu kepala.






.

Thursday, February 16, 2012

................. dan

.


Dan,
...dia pun datang melemparkan dendam kepadaku.
Perlukah aku sambut, ataukah mengelak?


Tak perlu, kata hati aku.
Terimalah ia dengan penuh rasa kasih dan sayang.
kerana itulah ubat yang terindah.


Tapi,
.... aku menafikan hati aku.
Mana mungkin! Sungguh tidak mungkin.

Dan,
... aku berlari kepadanya lalu melepaskan satu tumbukan.
"Jiwaku... aku mahu kamu sentiasa parah dan berdarah", kataku

Itulah erti sebuah kepuasan.






.

Sunday, February 5, 2012

Siri bercakap tentang syaitan ... akhir.

.


Aku lihat abang masih duduk bersila di sebelah Pak Haji yang tunduk sambil berzikir perlahan. Kakak dan suaminya merapati belakang Pak Haji yang masih duduk di atas sehelai sejadah menghadap ke kiblat. Malam semalam pun Pak Haji tidak pernah beralih badannya, tetap di atas sejadah itu sambil duduk seperti duduk diantara dua sujud dan tetap pula menghadap kiblat. Jadi, aku ambil kesimpulan bahawa sepanjang proses pengubatan, itulah kedudukan Pak Haji. Tidak berubah.

Aku ambil tempat aku di muka pintu sahaja kerana bilik itu agak kecil. Kakak dan suaminya juga terpaksa berhimpit sedikit. Romantik juga pasangan itu. Tak lama kemudian, abang minta kakak berikan air tanah. Kakak toleh kepada aku, baru aku teringat air tanah yang abang sediakan pagi tadi masih beradan di dalam beg plastik yang aku bawa tadi. Aku pun keluar ke ruang tamu lalu mengambil beg plastik itu. Aku suakan beg itu kepada kakak dan kakak pun suakan pula kepada abang. Abang keluarkan bekas plastik yang berisi air tanah kepada Pak Haji.


Pak Haji doakan air tanah itu dalam 10 minit lamanya sebelum menyerahkan semula kepada abang tanpa menoleh pun. Abang ke dapur sebelum masuk semula sambil menatang segelas air masak.

"Minum air tanah ni dalam 2-3 teguk, lepas tu bilas tekak tu dengan air masak ni." arah abang.

"Boleh masuk ke?" kakak teragak-agak.

"Tu sebabnya kena tolak dengan air masak ni." desak abang.


Kakak tak ada pilihan lain lagi. Kakak teguk air tanah itu sedangkan aku pula terasa seperti hendak muntah, tekak aku terasa berlendir mahu muntah. Seperti tak percaya, kakak habiskan air tanah itu dengan sekali nafas sahaja. Ada sedikit air tanah meleleh di bucu bibir kakak. Cepat-cepat kakak sulamkan dengan air masak. Aku terasa seperti kakak baru menelan air tanah yang bercampur cacing tanah. Jahat sungguh fikiran aku.


Kemudian, abang menyuruh aku ambil guni-guni yang berisi daun-daun dan keratan batang senduduk putih. Akuk berulang-alik ke ruang tamu dan bilik itu untuk menyerahkan bahan-bahan yang diminta. Sekali lagi Pak Haji berdoa panjang dan abang pula membaca surah Yaa-sinn lagi. Guni-guni tadi diletakkan di depan Pak Haji.


Setelah 15~20 minit, Pak Haji sudahkan doanya. Abang berikan pesan kepada kakak yang semua bahan-bahan tadi perlu dibahagikan kepada 3 bahagian untuk direbus. Setelah direbus, kakak perlu berkelubung di atas periuk seperti andi wap. Kakak perlu lakukan 3 kali; sebelum matahari terbit, sebelum masuk waktu Zuhur dan sebelum matahari terbenam. Setelah mandi wap, kakak perlu bilas dengan air sejuk dan badannya digosol dengan akar sintok; dan pastikan semua air rebusan bahan-bahan tadi dan mandian kakak tadi dialirkan ke longkang atau lebih baik ke tanah. Bahan-bahan tadi tak boleh disentuh dengan tangan, kakak kena guna plastik untuk kumpulkan kesemuanya dan dibuang. Kakak dan suaminya mengangguk tanda faham.


Kini tiba giliran aku pula. Abang keluarkan serat batang pisang abu reput yang telah direbus pagi tadi lalu diserahkan kepada Pak Haji. Pak Haji doakan bekas plastik itu selam lebih kurang 10 minit. Kemudian, bekas itu diserahkan semula kepada abang.

"nganngone koyo popor.. koyo bedak sejuk. Disapu nang telingane." kata Pak Haji. Abang tak perlu terjemahkan sebab aku sendiri faham.


Setelah sudah, kami semua keluar dari bilik itu. Kami berkumpul semula di ruang tamu termasuk abang. Abang biarkan Pak Haji berseorangan di dalam bilik perubatan itu. Aku sempat menjeling dan melihat Pak Haji sedang beratib seorang diri.

Abang sempat menggulung sebatang rokok daun lagi sebelum abang dipanggil ke bilik. Aku lihat abang memegang Pak Haji yang masih duduk di atas sejadah. Abang letakkan tangannya di belakang badan Pak Haji manakala sebelah lagi memegang peha Pak Haji. Kemudian aku terdengar abang memberikan salam dengan agak kuat di telinga Pak Haji dan tiba-tiba tubuh Pak Haji lemah longlai. Abang sambut tubuh Pak Haji lalu dibaringkan perlahan-lahan.

Abang ke dapur membasuh tangan, atau lebih tepat lagi membasahkan tangannya. Abang masuk semula ke bilik tadi lalu mendapatkan tuan rumah yang terbaring seperti orang sedang tidur. Abang renjis-renjis air ke muka tuan rumah itu lalu abang kejut tuan rumah seperti mengejut orang yang sedang tidur. Tuan rumah menggeliat beberapa kali sebelum bangun dan duduk semula. Dia menggeliat beberapa kali.


Kami masih bersembang kosong dengan beberapa orang tetamu yang masih ada di ruang tamu termasuk pasangan yang berubat akibat kena santau.


Kemudian, tuan rumah pun keluar dari bilik pengubatan itu lalu mengambil timba yang berisi muntah santau tadi. Dia bawa ke luar rumahnya.

"Kalau nak tengok, jom kita keluar." ajak abang kepada pasangan tadi. Aku pun nak lihat juga.

Pasangan tadi pun keluar membontoti abang manakala aku pula di belakang sekali.

"Dah tawarkan sihir tu?" abang bertanya kepada tuan rumah yang menarik bajunya menutup hidungnya manakala sebelah tangannya memegang sebatang kayu kecil, digunakan untuk menggodak-godak muntah tadi. Tuan rumah angguk-anggukkan kepalanya.


Sungguh tak sangka, aku terlihat duri nibung, beberapa ketul tulang yang tajam-tajam dan benda-benda kotor yang lainnya.


Foto santau itu ada di sini...







Tamat.





.

Wednesday, February 1, 2012

Siri bercakap tentang syaitan 7... santau

.


Ketika kami sampai, sudah ada pesakit yang menunggu walau pun tuan rumah itu masih lagi bersembang dengan para tetamu yang hadir. Jadi, kami terpaksa 'berbaris' di belakangnya. Ketika itu, ada cerita 'Shaolin Soccer' ditayangkan di TV. Entah berapa kali aku tonton cerita itu tetapi setiap kali aku tonton, aku pasti ketawa. Termasuklah malam itu.


Sebaik sahaja jam melewati pukul 12 tengah malam, tuan rumah pun keluar ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Kemudian dia masuk ke bilik perawatan dan bersembahyang sunat 2 rakaat. Usai sembahyang sunat, dia teruskan dengan wirid dan berzikir yang aku kurang pasti apa yang dibacanya kerana aku agak jauh dari muka pintu bilik rawatan itu. Beberapa minit kemudian, tuan rumah pun memberikan salam dengan agak kuat. Semua yang ada pun menjawab salam itu.


Abang pun masuk ke dalam bilik itu diikkuti oleh seorang perempuan dan pasangannya. Aku tak dengar apa yang diusulkan tetapi beberapa minit kemudian, abang meminta air tanah daripada pasangan itu lalu memberikannya kepada Pak Haji. Pak Haji berdoa panjang diikuti oleh bacaan Yaa-sin oleh abang. Bacaan abang yang secara hafazan itu agak kuat, lebih kuat daripada doa-doa yang dibacakan oleh Pak Haji. Habis bacaan Yaa-sin, abang beralih kepada satu surah yang juga secara hafazan. Setelah sudah, Pak Haji serahkan air tanah tadi kepada abang. Abang pun meminta wanita itu meminumnya.


Pada mulanya wanita itu teragak-agak tetapi dia gagahi juga. Abang keluar dan masuk semula ke bilik itu dengan segelas air masak dan sebuah timba yang telah pun dilapikkan dengan plastik.

"Just in case, mana tahu tiba-tiba termuntah pula." terang abang kepada wanita dan pasangannya. Pasangan itu mungkin terkejut apabila abang berbahasa Inggeris.


Abang sebenarnya seorang jurutera yang pernah bekerja di beberapa buah firma antarabangsa tetapi 6 tahun lalu, dia telah ambil keputusan untuk menetap dan bekerja di kampung kerana falsafah hidupnya yang tidak sukakan sesuatu yang kompleks. Dia pernah bercerita kepada aku tak lama selepas dia menetap di kampung dan menjaga arwah bapak dan ibu, dia rasakan kehidupan di bandar tak membawa erti apa-apa. Walau pun bergaji besar, duit itu habis begitu sahaja kerana kos sara hidup juga meningkat. Dia juga berpendapat, dia dapat menjaga arwah bapak yang lumpuh dan itu adalah budi yang terhutang kerana sejak tingkatan satu lagi abang telah ke asrama penuh sehinggalah dia bekerja di bandar. Kini, abang dan kakak ipar menjaga ibu yang sedang sakit pula.


Memang benar telahan abang. Tak sampai pun seminit, wanita tadi pun muntah-muntah. Beberapa kali badannya terhenjut-henjut reaksi dari muntah itu. Aku tak nampak apa-apa yang keluar kerana aku tak sanggup nak lihat. Tak lama kemudian, ruang rumah itu berbau masam muntah. Setelah muntah-muntah, abang berikan wanita itu minum. Kemudian, abang menyuruh wanita itu mengikat plastik itu secara longgar.

"Rasa-rasanya, awak terkena santau. Kalau benar santau, sihirnya masih 'bernyawa'. Santau itu masih berbisa. Kena tawarkan dulu bisanya." terang abang.

"Santau? Tak nampak apa-apa pun selain lendir dan air ludah dia." kata pasangan wanita itu.

"Santau ni dimasukkan secara sihir. Bila keluar pun secara sihir dia. Nanti bila ditawarkan dengan doa-doa tertentu, barulah kita boleh lihat apa yang diguna untuk sihir tu." terang abang.

"Kalaulah kita tawarkan sihir tu dalam badan dan santau itu bertukar kepada bahan-bahan santau, bayangkanlah seksanya pasangan awak tu nak muntahkan semua. Mau pecah batang lehernya..." tambah abang lagi. Lelaki itu angguk-anggukkan kepalanya.

"Tak apa, tolong letakkan di luar sana dulu. Nanti kita tengok apa yang ada dalam santau tu." kata abang lagi.


Kemudian, abang meminta lelaki itu bawakan bahan-bahan yang akan digunakan untuk mandi wap. Aku lihat lelaki itu membawa masuk 3 guni herba-herba yang sama kakak bawa. Adakah kakak juga disyaki kena santau? Aku gundah.


Selepas 30 minit lagi didoakan oleh Pak Haji, pasangan itu pun keluar dari bilik itu sambil mengusung bahan-bahan untuk mandi wap tadi. Abang pesan kepada pasangan itu, jika mereka ingin tahu apa yang ada dalam santau itu, mereka kena tunggu sehingga Pak Haji habis mengubat. Mereka mahu, jadi mereka pun duduk semula di ruang tamu rumah itu.


Kini, kami pula masuk....




.

Monday, January 30, 2012

Siri bercakap tentang syaitan... 6

.


Malam itu, aku menanti dalam debaran. Pelbagai arca terbentuk dalam fikiran, bermula dari wajah orang yang menyelap sehinggalah kepada arca-arca syaitan yang mungkin menjelma dari kepulan asap nipis. Pelbagai acara juga bersilih ganti menerpa ruang kepala, bermula dari gelagat cemuh-mencemuh sehinggalah kepada gelagat ancam-mengancam. Semua terhasil daripada imaginasi yang aku perolehi daripada bacaan-bacaan mistik sebelum ini.


Bermula dari jam 9:00pm, mata aku akan kerap melihat jam dinding. Lebih hampir kepada jam 11:00pm, lebih keraplah aku menjeling. Aku tunggu kakak telefon aku. Namun dalam hati, aku berharap yang dia tidak jadi pergi ke rumah papan itu. Aku amat berharap dia batalkan hasratnya berjumpa dengan Pak Haji. Kerana apa? Kerana abang telah bercerita tentang dendam si syaitan. Apabila seekor syaitan terbunuh atau diusir, berpuluh lagi akan datang untuk membalas dendam kerana memang sifat binatang-binatang keji itu kuat berdendam. Kalaulah abang, aku rasa dia tak kisah pun kerana Pak Haji akan tolong hapuskan lagi. Bagaimana pula dengan kakak? Bagaimana pula dengan aku? Aku risau jika suku-sakat syaitan itu berdendam dan menyerang aku ketika aku di Shah Alam. Aku amat risau walau pun sakit isteri aku bukanlah berkaitan dengan kerja-kerja syaitan, potensi aku sebagai sedarah-daging dengan kakak dan abang akan menjadikan aku tempat untuk melepaskan dendam dan marah mereka. Itu yang aku takut.


Aku ada Tuhan. Ya, aku ada Tuhan yang juga Tuhan kepada syaitan-syaitan itu. Masakan mereka itu tidak takut kepada Tuhan mereka? Setahu akulah, sesetengah manusia yang tak takut kepada Tuhan manakala syaitan malahan Iblis sekali pun takutkan Tuhan. Manusia-manusia yang tak takut Tuhan itu termasuklah beberapa Firaun yang bukan sahaja tak takutkan Tuhan malah mengaku diri mereka itu Tuhan. Bukan setakat itu sahaja, ada juga yang mencabar Tuhan.


Jam 11.15pm, aku dikejutkan oleh alunan muzik dari telefon bimbit aku. Kakak aku telefon, katanya dia akan sampai ke rumah abang (tempat aku bermalam) sekejap lagi. Aku pun bersiap-siap apa yang sepatutnya. Barang-barang yang perlu aku bawa telah pun dimasukkan ke dalam plastik.

10 minit kemudian, sebuah kereta sampai di depan rumah. Aku pun capai kunci kereta dan bungkusan plastik tadi, dan keluar. Aku terus berjalan menuju ke kereta.

"Tak payah." jerit abang ipar aku dari dalam keretanya.

"Haaa?" aku meminta kepastian sebenarnya.

"Naik kereta kami je lah." pelawa abang ipar.

"Abang ikut sekali?" aku bertanya lalu dijawab dengan anggukkan kepala abang ipar.


Malam semalam, abang ipar tak dapat turut serta kerana penat. Dia telah tahu yang prosedur Pak Haji memang lama dan dia tak sanggup menunggu tanpa tertidur. Malam ini, mungkin dia telah berehat petang tadi, dia ingin mellihat sendiri bagaimana isterinya akan dirawat untuk penyakit mistik itu. Kakak berpindah tempat duduk  untuk duduk di belakang manakala aku pula mengambil tempatnya di tempat duduk di sebelah pemandu. Beberapa saat kemudian, kereta Wira abang ipar pun meluncur perlahan-lahan membelah dada malam menuju ke rumah Pak Haji yang terletak lebih kurang 7km dari rumah abang.


"Fuhhh.. lega!" kata aku.

"Kenapa?" kakak bertanya.

"Tak payah hantar kakak ke rumah tepi hutan tu." jawab aku.

"Kenapa, takut? Hahaha... badan je besar, hati kecik macam semut." perli kakak.

"Alah... kalau semangat kuat dan tak takut, tak ada benda yang nak ikut." tambah abang ipar.

"Masalahnya, tak nampak benda-benda tu. Kalau bergaduh tak adil sebab dia nampak kita tapi kita tak nampak dia."


Sepanjang jalan ke rumah Pak Haji, kami bercerita pasal cerita-cerita seram dan aneh yang berlaku di sekolah kakak di Sungai Buaya, Rawang. Cerita asal-usul bagaimana sekolah itu berhantu tetapi masalahnya, sakit kakak itu tak ada kena mengena dengan gangguan di sekolahnya. Itu yang peliknya. Menurut Pak Haji, makhluk halus yang mendampingi kakak telah lama di dalam tubuhnya. Kakak malas nak tuduh sesiapa. Apa yang penting, benda tersenbut kena dikeluarkan segera kerana ia sudah mengganggu urat saraf kakak sehinggakan kakak mengalami kebas-kebas di sebelah badan.


Kebetulan pula, seorang lagi abang ipar terpaksa dimasukkan ke hospital Manjung petang tadi kerana disyaki mengalami strok. Mukanya terasa kebas dan pertuturannya kurang kemas. Patutlah sehari dua ini dia tak ceria seperti selalu. Petang kelmarin, abang ipar yang itu lebih banyak mendiamkan diri di kenduri kahwin anak saudara di Langkap. Dia banyak menyendiri dan duduk seorang diri. Rupa-rupanya dia tak sihat. Jadi, isterinya telah berpesan kepada kakak untuk tanya Pak Haji tentang kesihatan suaminya itu.


Bermakna, malam ini kami ada 3 kes yang akan diutarakan kepada Pak Haji: sakit telinga isteri aku yang aku anggap lebih kepada meminta petua atau ubat kampung, makhluk halus yang mendampingi kakak dan sakit abang ipar di Manjung yang dipercayai terkena strok.


Dan kereta kami terus membelah embun yang mula menitis....






.

Saturday, January 28, 2012

Siri bercakap tentang syaitan.. 5 : persedian

.


Hati siapa yang tak bergetar jika melalui jalan yang telah diketahui pernah mempunyai peristiwa seram suatu masa dulu? Walau pun kisah 'cerek terbang' seperti cerita lucu kanak-kanak, ianya benar-benar berlaku (dan pernah aku tulis di dalam blog). Lebih-lebih lagi di tengah-tengah malam begini. Angin yang menghembus, walau tak terlalu dingin, mampu menaikkan bulu roma di tangan dan tengkuk aku. Cepat-cepat aku tutup cermin dan aku pasang pendingin hawa. Sekurang-kurangnya aku terasa lebih selamat dan tertutup. Tapi... bagaimana kalau hantu telah pun berada di tempat duduk belakang? Ah...! Aku jeling cermin pandang belakang. Tak ada. Tapi akubelum berpuas hati. Aku palingkan muka dan aku cerap sekali imbas. Nasib baik aku tak terbabas. Tapi aku lega kerana simpang itu kosong. Tak ada imbasan wajah ngeri dengan mata tersembul dan muka penuh dengan darah.


Sebaik sahaja aku melintasi kawasan yang berhantu itu,, aku pura-pura tak menjeling ke kanan walau opun sebenarnya aku jeling juga kerana memang dasar manusia, ada perasaan ingin tahu. Kosong juga. Tiada apa-apa. Tiada cerek terbang, tiada keranda terbang dan tiada bayang-bayang. Tak jauh dari situ, aku belok ke simpang masuk rumah abang aku. Dari jauh aku lihat hanya sebutir lampu yang dihidupkan. Tak mengapa, asalkan aku boleh nampak pintu rumah itu.





"Bangunnnnn...... subuh! Subuh!" jerit kakak ipar aku lalu membuka lampu di ruang tamu. Ya, aku dan isteriku tidur di ruang tamu sahaja. Lebih senang untuk bangun.

Aku teraba-raba isteri aku yang sepatutnya ada di sebelah tapi tak ada. Mungkin dia di dapur. Dalam keadaan mata yang masih sepet kerana silau, aku tercari-cari telefon bimbit aku. Jam di telefon bimbit aku menunjukkan pukul 6.34am.

"Harapkan telefon je yang menjerit... tuannya tak bangun-bangun pun." perli kakak ipar.

Aku memang set telefon bimbit tepat pukul 6am. Jadi, dalam 34 minit itu mungkin 5 kali telefon aku menjerit dan bernyanyi lagu "All Nightmares Long - Metallica" yang telah aku kontotkan lagunya supaya ia hanya jeritkan dibahagian lagu yang paling memekik dan memekakkan telinga.Konon-kononnya aku akan terkujat dan terus terkulat-kulat apabila ia berbunyi.


Dalam masih berkeadaan mamai itu, aku berjalan ke bilik air yang terletak di ruang dapur. Sebelum aku masuk ke bilik air, aku sempat bertanya kepada isteri sama ada malam tadi dia terasa apa-apa. Dia geleng-gelengkan kepala. Tak ada. Sah, jenis tidur mati.



Matahari pagi menjelma dengan agak garang pada hari itu. Aku teringatkan beberapa tugasan peribadi yang belum tertunai. Cepat-cepat aku ambik kamera digital aku dan aku keluar ke jalan di depan rumah abang. Banyak embun turun malam tadi. Lalu aku ambil beberapa foto yang bertemakan air embun, termasuklah sarang labah-labah yang lebih senang dilihat di waktu pagi yang berembun kerana air embun maih melekat pada sarangnya.


Sekembalinya aku ke rumah abang, aku lihat dia sudah pun memegang sebilah parang panjang dan sebuah mangkuk plastik.

"Nak cari pisang abu?" aku bertanya.

"Ha ah, sarapanlah dulu." balasnya. Aku pun cepat-cepat bersarapan tanpa menunggu isteri dan anak aku yang masih di ruang tamu.


Usai bersarapan secara ekspress, aku pergi ke belakang rumahnya mendapatkan abang aku yang telah pun menebang sebatang pokok pisang yang telah pun hampir reput. Aku rasa pelik, kenapa abang tak tebang pokok pisang abu dan ambil buahnya sahaja?

"Bukan guna buah pisangnya. Yang nak diguna benda ni..." katanya sambil menunjukkan empulur batang pisang abu yang sedang mereput dan berwarna perang gelap.


Patutlah malam tadi abang berkeluh-kesah apabila Pak Haji meminta abang carikan pisang abu. Sebenarnya, apa yang diperlukan ialah empulur batang pisang abu yang sedang mereput. Patutlah payah! Aku lihat abang memotong pada pangkal tunggul pisang abu yang telah reput batangnya. Di tengah-tengah pangkal itu atau dengan lebih tepat lagi, empulurnya, abang kaup lendir-lendir bercampur empulur yang reput menggunakan tangannya lalu dimasukkan ke dalam mangkuk plastik. Aku lihat empulur reput itu serupa bubur kacang hitam yang telah hancur!

"Nak buat apa dengan cairan tu?' tanya aku.

"Inilah yang Pak Haji nak. Lendir ni bercampur dengan getah pisang abu. Getahnya yang dia hendak." jawabnya.

"Pisang lain tak boleh?" tanya aku lagi.

"Tak boleh, tak cukup kuat. Pisang abu yang terbaik." jawabnya lagi.


Aku terasa geli. Bayangkanlah kalau ada cacing atau anak kumbang di dalam 'bubur' itu, dan bayangkan pula kalau isteri aku disuruh minum pula. Memang termuntah dibuatnya.

"Bukan untuk diminum. Cecair ni kena proses dulu lepas tu dibuat 'popor' (seperti bedak untuk disapukan pada kulit)." kata abang aku.


Setelah cukup setengah mangkuk plastik, lebih kurang 1 liter banyaknya, kami pun pulang ke rumah. Abang bawa bekas tadi ke paip air di belakang dapurnya. Di situ, abang campurkan air dan abang buang bendasing-bendasing yang tak diperlukan. Cecair tadi menjadi tak ubah seperti air limbah!

"Ini yang kita nak." kata abang sambil menunjukkan segumpal serat di tapak tangannya.


Isteri aku tiba-tiba menjengahkan kepalanya di muka pintu. Apabila dia bertanya, aku katakan itulah yang Pak Haji minta, empulur pisang abu yang sudah busuk! Dan aku katakan juga, dia perlu minum air itu nanti. Serta merta isteri aku ternganga, terkejut. Aku dan abang aku ketawa.

Setelah sudah, abang aku pindahkan campuran cecair tadi ke dalam sebuah periuk besi yang sederhana besarnya.

"Rebus benda ni sampai menggelegak." arah abang kepada aku. Aku pun hidupkan penunu gas. Isteri aku pun turut melihatnya dengan muka yang kelat. Dia masih berteka-teki, bagaimanakah kegunaannya nanti.


Setelah menggelegak, aku berteriak kepada abang yang sedang mencangkul tanah liat tidak jauh dari rumah untuk dibuat air tanah liat pula nanti. Tanah liat yang diambil ialah tanah liat yang berwarna putih, bukannya tanah liat yang biasa.

"Kamu tapis. Aku tak nak airnya. Aku nak hampasnya. Dah sudah tapi, kamu ikatkan ke dalam kain lepas tu kamu gantung biar tos semua airnya. Petang karang baru dimasukkan ke dalam bekas plastik." abang berikan prosedur. Aku akur dan siapkan tanpa banyak soalan lagi kerana arahannya jelas.



Beginilah rupanya 'popor' dari empulur pisang abu yang busuk itu...memang macam muntah jin!!!


Tentang air tanah pula, abang ramas-ramas tanah liat berwarna putih itu di dalam mangkuk plastik yang berisi air sampai menjadi seperti bubur (slurry). Abang kumpulkan air tanah itu dalam 1 liter juga lalu dimasukkan ke dalam periuk besi yang aku gunakan untuk merebus empulur pisang abu yang busuk tadi. Kemudian, abang rebus air tanah liat itu sehingga menggelegak. Apabila sudah sejuk, abang akam ambil sedikit untuk dibawa kepada Pak Haji malam nanti.


Sementara itu, abang telah pun menyuruh adik ipar kakak untuk mencari Sireh Pasir (tanah?) dan Maman Pantai sebanyak seguni baja setiap satu.

Sebelum tengahari, segala bahan-bahan yang perlu dibawa malam nanti sudah pun sedia. Persediaan sudah pun selesai. Kini hanya menunggu sessi perubatan seterusnya malam nanti. Sessi yang pastinya penuh dengan debaran kerana pada waktu itulah aksi sebenar bermula...






.

Friday, January 27, 2012

Siri bercakap tentang syaitan ... 4: satu malam gundah

.

Setelah berjanji dengan Pak Haji yang aku dan kakak akan datang kembali malam esok, setelah segala keperluan disediakan, aku pun meminta diri untuk keluar dari bilik itu. Abang tak ikut keluar kerana dia perlu menjadi penterjemah kepada sepasang tetamu yang sedang menunggu di ruang tamu. Sebaik sahaja aku keluar, aku memandang jam dinding usang yang tergantung pada dinding, berada betul-betul di atas TV. Jam menunjukkan jam 1.35am. Sudah pagi pun.


Aku berselisih dengan pasangan tetamu yang menunggu lebih sejam di ruang tamu. Mereka berdua menjinjing 2 guni yang berisi daun-daun hijau dan seguni kayu sebesar jari kelingking yang sudah dipotong-potong sepanjang lebih kurang seinci.  Si suami kelihatan mengantuk. Sebenarnya, ketika aku masuk ke dalam bilik itu, si suami keluar semula dan tidur di dalam van Pregio yang diletakkan secara melintang di laman rumah itu. Setelah berbalas senyum, mereka berdua pun masuk ke bilik Pak Haji.


"Malam ni lelaki tu dah boleh berjalan, syukur." tiba-tiba ada seorang lelaki tua yang sedang duduk berlunjur dan bersandar di hadapan TV berkata kepada aku.

"Kenapa dengan dia?" aku bertanya secara spontan.

"Malam kelmarin, yang lelaki tu tak boleh berjalan betul," jawabnya, "kaki kanannya lumpuh, tak boleh digerakkan."

"Ooo..." spontan mulut aku melopong.

"Kena sihir oranglah agaknya. Malam ni dah bawak guni, kira pemutuslah tu."

"Kena mandi wap juga?" tanya aku. Lelaki tua itu mengiakan.


Kakak telah sedia menunggu aku di luar pintu. Aku terus bersalam dengan lelaki tua itu lalu melangkah keluar. Aku ajak kakak pergi ke kereta cepat-cepat. Kata-kata abang sebelum datang ke rumah itu tadi terngiang-ngiang di telinga seperti nyamuk yang mabuk darah bunyinya. Gangguan di dalam badan kakak telah dibuang tadi. Sekarang, kakak terdedah dengan ancaman dendam makhluk halus yang lain kerana 'lubang masuk' masih belum 'ditutup' lagi. Kakak perlu mandi wap atau bertangas untuk kunci pintu masuk makhluk halus ke tubuhnya. Untuk itu, kakak perlu mencari bahan-bahan yang telah dinyatakan tadi.


Aku tahu, kakak terasa berat untuk mencari Sireh Pasir dan Maman Pantai kerana kami berdua tidak lagi tinggal di kampung kami. Kami telah bertahun-tahun berhijrah ke kota. Kami kurang arif dengan herba-herba kampung.


"Tak apalah, kak. Nanti suruh adik ipar belah sana yang carikan." kataku. Kakak mendapat jodoh dengan pemuda kampung yang sama. Abang ipar aku tak ikut sekali pada malam ini. Dia minta aku temankan isterinya itu.


Bermakna, aku perlu hantar kakak ke rumah adik iparnya di hujung kampung yang bersebelahan dengan 'tanah rizab', iaitu tanah lot kampung yang bersebelahan dengan rizab parit di tepi hutan, barulah aku boleh balik ke rumah abang untuk tidur. Setiap tanah lot kampung kami berkeluasan 3 ekar. Jadi, kedudukan rumah-rumah di kampung kami agak jauh diantara satu sama lain. Jarak rumah adik ipar kakak dan rumah abang adalah sejauh mata memandang, lebih kurang 500m ~ 700m. Walau pun tidak begitu jauh, memandu berseorangan di waktu malam dikampung kami adalah sesuatu yang sungguh menyeramkan.



inilah jalannya. setiap rumah akan ada jalan kecil yang bersambung dengan jalan utama ini. dulu, di kanan dan kiri jalan ini penuh dengan pokok pisang dan pokok bungor.


Aku terpaksa melintasi 2 kawasan 'keras' yang aku kenali semasa aku kecil dahulu. Pertama, titi kayu di sungai (kini telah ditambak) yang pernah diceritakan seseorang telah bertembung dengan hantu raya tak bertuan (cerita benar). Kedua, simpang jalan salah seorang penduduk kampung yang telah lama meninggal tetapi dikatakan pernah membela sejenis jin atau mungkin pelesit. Ketika matinya, heboh satu kampung apabila tiba-tiba cerek berisi teh O terbang dan mengejar semua orang yang datang berziarah jenazahnya. Dikatakan cerek itu mengejar sehingga ke simpang masuk ke rumahnya itu. Pada masa itu, ada sebatang pokok Bungor yang besar di tepi titi yang masuk ke rumahnya. Kedua-dua peristiwa itu berlaku ketika aku masih berusia belasan tahun, kira-kira pada lewat tahun 1980an.


"kamu kena hantar kakak dulu sebab abang ipar kamu tak datang ambik." kakak mengingatkan aku ketika kereta aku mula meluncur keluar dari laman rumah itu.

"takuttt...." balas aku, ada sedikit kemanjaan dalam suara aku. mestilah, kerana kakaklah yang menjaga aku semasa aku kecil dahulu.

"alahhh... bukan ada apa-apa pun. Badan je yang besar tapi penakut." kakak ketawa.

"kalau tiba-tiba nanti ada benda duduk di kerusi belakang, macam mana?" soal aku, "atau ada benda yang hinggap di atas bumbung kereta?".

"bacalah apa-apa yang patut... selawat banyak-banyak. Paling kuat pun, kamu kena cekik dek hantu, itu je.." kakak terus mengusik.


Hati aku terus jadi libang-libu. Aku teringatkan kata-kata abang aku tadi. Aku juga masih teringatkan peristiwa seram dulu-dulu. Bila aku teringatkan semua benda-benda itu, perut aku terasa kecut. Aku pandu kereta aku amat perlahan seolah-olah tidak mahu pulang ke rumah.

"kakak tidur rumah abang sajalah, ye?" aku berikan saranan.

"mana boleh... hantar sajalah. bukan ada apa-apa pun" kakak berikan kata putus. Aku terpaksa akur dalam kecut.


Setelah lebih kurang 20 minit memandu, aku sudah pun berada di laman rumah adik ipar kakak. Dia bermalam di situ sedangkan aku bermalam di rumah abang. Sebaik aku membelok untuk keluar ke jalan utama, aku lihat kakak melambai-lambai dalam samar-samar lampu kalimantang yang terpasang di verandah rumah itu. Serta-merta lambaian kakak itu berubah menjadi imej sang puntianak atau langsuir yang suka mengganggu pemandu-pemandu di jalan raya, seperti di dalam cerita-cerita seram. Cepat-cepat aku sapukan muka aku untuk membuang imej seram itu. Aku tampar-tampar muka aku beberapa kali. Selain untuk membuang rasa mengantuk, ia juga aku harap mengembalikan semangat aku untuk menempuh dua tempat yang seram tadi.


Setibanya aku berdekatan kawasan tambak (yang dulunya ada titi kayu atau gertak kayu), aku terus membelok tanpa menoleh kepadanya. Malah, aku kawal diri aku dari melihat cermin pandang belakang. Aku tak mahu nanti tiba-tiba ada wajah ngeri dan busuk yang tercegat di tempat duduk belakang kereta aku.

Lampu jalan seolah-olah tak mampu menerangi jalan berpasir itu. Aku tekan pedal minyak agar lebih laju. Aku memandu kereta seorang diri. Walau pun kereta Honda itu dilengkapi dengan teknologi terkini dalam kejuruteraan automotif, i-VTEC contohnya, teknologi itu belum mampu mengatasi imej-imej ngeri yang bersarang dalam kepala aku.

Kawasan tambak sudah lepas dan aku masih selamat. Syukur. Aku berasa sungguh lega. Kali ini, aku perlu lalui kawasan 'cerek terbang' pula. Jam pada papan pemuka menunjukkan jam 2.00am dan embun jantan sudah pun mula menimpa cermin hadapan kereta aku...




.

Wednesday, January 25, 2012

Siri bercakap tentang syaitan yang direjam ... 3

.


Abang meninggalkan rokok daun yang masih berapi di ruang tamu rumah papan setingkat itu. Asap rokok tembakau cap kapal terbang memenuhi ruang tamu. Aku berasa kurang selesa walau pun aku juga seorang perokok, bau tembakau jenis itu amat kuat menyengkak kudup-kudup membau di dalam rongga hidung. Baunya terlalu pekat bagi aku.

Tak lama kemudian, abang keluar semula lalu menggamit kami berdua, memberi isyarat agar kami berdua masuk ke dalam bilik kecil itu. Aku pandang kakak lalu mengajaknya masuk dengan satu gelengan kepala ke arah bilik itu. Kami berdua pun bangun dan berjalan mendapatkan abang aku yang masih berdiri di muka pintu. Apabila mengetahui sessi perubatan telah bermula, kawan-kawan tuan rumah itu pun keluar lalu pulang ke rumah. Kini, yang tinggal ialah sepasang suami isteri yang seperti kami juga, mahu berikhtiar.


Tuan rumah masih duduk diantara dua sujud di atas sehelai sejadah manakala di bawah sejadah itu pula ada tilam kekabu nipis. Tuan rumah itu tunduk sambil berzikir. Abang mengambil tempat di sebelah kiri tuan rumah itu manakala aku dan kakak duduk bersila di belakang tuan rumah. Tiada apa-apa di ruang ibadat itu. Tiada dupa kemenyan, tiada geluk air, tiada limau nipis, tiada mayang pinang, tiada daun bambu, tiada keris purba, tiada pedang berkain kuning. Sungguh tiada apa-apa. Tidak seperti yang aku sering bayangkan apabila mendengar tentang perubatan alternatif. Tuan rumah hanya menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa tertentu, itu kata abang aku.


Kemudian, abang aku meminta kakak ceritakan apa musibah yang sedang dihadapinya. Kakak pun ceritakan tentang kesihatannya yang terganggu. Sejak kebelakangan ini bahagian kanan badannya terasa kebas-kebas, lebih-lebih lagi di waktu malam. Kakak beranggapan ianya ada kena mengena dengan gangguan yang berlaku di sekolahnya, seperti yang telah diceritakan kepada aku sebelum ini.

Tuan rumah tidak menoleh ke belakang pun, malah dia tetap dengan zikirnya. Abang menunggu jawapan dari tuan rumah denagn sabar. Beberapa minit kemudian, tuan rumah itu memberitahu abang yang gangguan itu sudah bertapak lama di dalam tubuh kakak, dalam bahasa Jawa! Aku terkejut kerana sebelum ini tuan rumah itu bertutur dalam bahasa Perak Hilir.

Katanya lagi, gangguan yang berupa jin sudah lama di dalam tubuh kakak sehinggakan tempat duduk jin itu sudah berlekuk. Abang tak perlu terjemahkan kata-kata tuan rumah yang kini dipanggil Pak Haji kerana kami semua memang memahami bahasa Jawa. Aku juga, cuma aku kurang cermat untuk membalasnya dalam bahasa Jawa pula.

Kemudian, Pak Haji menyuruh kakak cuba mendapatkan bantuan sesiapa yang mahir dalam hal-hal gangguan makhluk halus tapi kakak meminta Pak Haji cuba ikhtiarkan sahaja dulu. Lalu, Pak Haji meminta abang sediakan sedikit air tanah liat untuk dibuat minum manakala senduduk putih, sireh pasir dan maman pantai pula untuk dibuat mandi wap. Kemudian, Pak Haji teruskan zikirnya. Abang pun terangkan, kakak perlu minum air tanah liat itu nanti. Katanya lagi, air tanah liat itu sebagai simbolik bahawa manusian dijadikan daripada tanah dan akan menjadi tanah apabila mati. Selain daripada itu, air tanah liat juga baik untuk membuang racun-racun di dalam badan, sama seperti burung kakak tua dan haiwan-haiwan lain yang memakan tanah untuk menawarkan racun di dalam perut. Manakala bahan-bahan untuk mandian wap pula hanyalah untuk mengeluarkan kotoran selain daripada mendapat khasiat daripada tumbuh-tumbuhan itu. Kata abang lagi, senduduk putih itu istimewa kerana ianya mempunyai unsur mistik dan bersifat membuang benda-benda jahat.

Kakak bersetuju tanpa sebarang kerenah. Jadi, malam esok kakak perlu datang semula dengan bahan-bahan yang diperlukan tadi. Cuma kakak kurang mampu untuk mendapatkan senduduk putih. Abang kata, senduduk putih kebanyakkannya di jaga oleh kaum Bunian. Sebab itulah amat payah untuk mencari senduduk putih yang liar dalam kuantiti yang banyak. Sebanyak mana, tanya kakak. Lebih kurang setengah guni baja, siap diracik!


Abang meminta Pak Haji bertanyakan kawan ghaibnya, yang juga bergelar 'haji' untuk berbincang dengan kaum Bunian. Aku mendengar dengan jelas Pak Haji itu bercakap Jawa dengan kawan ghaibnya tetapi aku hanya mendengar suara Pak Haji, bukan kawannya. Bahan-bahan yang lainnya, abang akan tolong sediakan.

Tidak lama kemudian, aku dengar Pak Haji memanggil beberapa orang kawan ghaibnya lagi untuk menolongnya 'menangkap' makhluk halus yang telah bertapak di dalam tubuh kakak aku. Butir bicara mereka kurang jelas kerana aku bersila di muka pintu manakala TV masih bersiaran tidak jauh dari aku.

Yang aku dengar ialah "... nde e emmoh syahadat yo uwes, dipateni waelah (kalau dia enggan bersyahadat ya sudah, bunuh sahajalah)." aku terkejut. Semudah itu?

Kemudian abang berbisik kepada kami, apabila telah dibunuh, biasanya suku-sakat makhluk halus itu akan berdendam dan mungkin akan cuba memasuki tubuh kakak aku lagi. Sebab itulah kakak perlu mandi tangas untuk membuang 'bau' supaya mereka tak dapat mencari kakak disamping 'menutup' pintu supaya mereka tidak dapat masuk lagi. Buat sementara waktu, kakak diberikan sebotol air yang diambil dari kolah wudhuk di surau berdekatan dan telah didoakan oleh Pak Haji.


Setelah temu janji malam esok ditetapkan, kakak pun keluar dari bilik itu. Kini tinggallah aku dan abang menemani Pak Haji. Kenapa aku tak keluar? Kerana aku teringatkan hajat isteri untuk bertanyakan tentang telinganya yang bengkak dan sakit. Kami sudah berjumpa doktor pakar tentang masalah telinganya dan doktor mengatakan masalah itu berpunca dari rongga hidung. Dengan lebih jelas, isteri aku ada resdung. Doktor mengatakan dinding rongga hidung isteri aku bermukus dan itu menyebabkan jangkitan teruk pada telinganya

Lalu aku suarakan hajat aku itu kepada abang, kemudian abang ceritakan pula kepada Pak Haji dalam bahasa Jawa. Isteri aku tak ikut sama. Dia sedang tidur di rumah abang. Oleh sebab tu, Pak Haji meminta seorang kawan ghaib yang lain pergi ke rumah abang. Anehnya, mereka terus berbual secara jarak jauh. Pak Haji meminta izin abang untuk benarkan kawannya masuk ke rumah dan mendapatkan isteri aku yang sedang tidur di ruang tamu. Abang izinkan.


Kemudian, aku mendengar perbualan Pak Haji dan kawannya dengan tekun. Pak Haji memberitahu yang ada nanah di dalam telinga sebelah kanan. Aku terkejut kerana kawannya boleh tahu telinga di sebelah kanan dan dia juga tahu telinga isteri aku telah pun bernanah, seperti kata doktor pakar itu!

"Jajal diseroti nanah ee kuwi (cuba disedut nanah tu)." tiba-tiba Pak Haji menyuruh kawannya secara ghaib.

"Golek batang opo-opo la (cari batang apa-apalah)." Pak Haji terus berikan arahan secara jarak jauh. Perbualan seterusnya aku kurang faham kerana agak perlahan dan kurang jelas.

"Kok resdung iso nanah? (takkan resdung sampai bernanah?)..." Pak Haji pelik dan bercakap seorang diri. Kemudian Pak Haji seperti mengiakan beberapa kali. Rupa-rupanya, Pak Haji sedang bertanya kepada kawan ghaibnya yang sedang berada dengan isteri aku.

"Ooo... eneng seronggo cilik koyok tungo wes melebu nang kopeng, gatel. Eneng besol nang njero kuping ne, sakit kui lho... (Oh, ada serangga kecil macam tungau dah masuk ke dalam telinga, jadi gatal. Juga ada bisul kecil yang keluarkan nanah, itu yang sakit tu)." Pak Haji ceritakan apa yang berlaku. Sekali lagi aku terkejut kerana memang ada bisul atau jerawat kecil di dalam telinga isteri, aku lihatnya apabila doktor pakar itu memasukkan kamera ke dalam lubang telinga isteri.

Tak lama kemudian, Pak Haji berpaling ke arah abang lalu memberikan arahan, perlu sediakan pisang abu. Pisang abu itu nanti akan dibuat seperti pes atau bedak sejuk, dilumurkan disekeliling telinga agar sejuk dan bengkak itu surut. Menurutnya lagi, jika dah sejuk dan bengkaknya berkurang, sakitnya pun akan berkurang juga.


Apabila mendengar pisang abu, abang aku tersengih sambil mengatakan dia tak pasti boleh cari atau tidak kepada aku.

"Bukan ke banyak di sempadan tanah di belakang rumah?" kata aku.

"Payah nak cari. Tak tau ada atau tak lagi...".

Apabila mendengar keluhan abang aku, Pak Haji terus mencelah.

"Adhimu lho kuwi, di tolongin wae lah... susah-susah Haji golekke (itu adik kamulah, tolong sajalah... kalau payah sangat, biar Pak Haji yang carikan)." tegur Pak Haji.

Cepat-cepat abang menyatakan kesanggupan untuk mencarinya setelah ditegur oleh Pak Haji.
 Bermakna, malam esok aku perlu datang semula bersama-sama kakak. Aku pelik, apa yang payahnya untuk mencari pisang abu kerana aku tahu di sepadan tanahnya ada banyak pokok abu.

Barulah abang aku ceritakan, yang diperlukan bukanlah pisang abu tetapi empulur pisang abu. Batang pisang abu yang telah ditebang dan mereput perlu dicari. Kemudian, ditebang pangkalnya yang membusuk itu lalu dikorek empulurnya. Barulah aku tahu kenapa abang mengeluh tadi. Dimanakah kami nak cari tunggul pokok pisang abu yang telah reput?




.

Sunday, January 15, 2012

Mimpi yang hilang bersama-sama sinar neon yang terpadam...

.


Mimpi Tuan Sinister terganggu lagi buat kali yang entah ke berapa. Dia sendiri tidak tahu entah kali yang keberapa ia. Setahunya, kalinya terlalu banyak, sebanyak malam-malam yang telah dia lalui. Malam-malam yang sejuk dan pekat. Pekat sungguh tanpa bintang-bintang yang sepatutnya disingkap oleh Bimasakti. 


Mimpi itu indah. Mimpi itu satu realiti kepada yang sedang bermimpi. Mimpi itulah yang menjadi dambaan Tuan Sinister. Tanpa mimpi, seolah-olah tidurnya terlalu singkat, tidak puas. Tanpa mimpi manakan boleh Juliet datang masuk ke biliknya. Manakan boleh Juliet menjelmakan dirinya dari kabus malam, muncul dari embun malam. Muncul tanpa sehelai pakaian.


Juliet itu makhluk yang indah. Dia sarapan yang enak diawal pagi. Tanpa Juliet, sarapan Tuan Sinister terasa seperti emping kering kosong tanpa susu. Terlalu perit untuk dikunyah, apatah lagi untuk ditelan.


Di satu sudut mimpi yang lain, Malim sedang enak menikmati kehangatan, dia diselimuti gebar mimpi yang indah. Indah bersama-sama Juliet yang menjelma dari sinaran lampu neon yang kuning. Sinar lampu neon yang menerobos masuk melalui celah-celah jeriji dan tingkap kaca yang terbuka. Sinar neon yang membawa Juliet masuk ke dalam mimpi Malim.


Juliet yang menyelinap masuk ke dalam gebar Malim, yang memeluk Malim, yang mengucup Malim, yang ...


Dan malam itu, sehinggalah ke subuhnya, Malim memeluk Juliet sehinggalah sinar neon terpadam menandakan hari telah siang, menandakan Juliet juga telah hilang...





.

Friday, January 13, 2012

Puisi dulu-dulu...

Ini titipan lama semasa bujang-bujang dulu. Belum matang lagi. Tak bijak lagi. Tapi, ia adalah aku juga. Cuma, ianya menggambarkan aku dikala itu dan bukan dikala ini...






ADUH !

[ 3 / 10 / 96 ]

                                    Aduhai hati, mengapa jadi begitu
                                    kerana aku tahu kau bukan satu
                                    juga tidak pernah tewas
                                    mestipun terbiar sendiri

                                    Aduhai jiwa, apa lagi yang kau mahu
                                    tidak puas menitip pesan nafsu
                                    pada setiap bayu yang bertiup
                                    dalam rongga dada yang kosong ini

                                    Alahai aku, apa nasibmu
                                    memiliki dua kuasa dalam satu
                                    yang asyik berpaling melihat arah lain
                                    berjalan aku diheret
                                    berlari aku sakit

                                    Alahai aduhai, alahai
                                    Dimanakah ‘akal pergi ?





.

Thursday, January 12, 2012

Puisi yang aku buat semasa zaman cintan-cintun...

.





  KAU
  
[ 1/8/95 ]



Seakan  aku  tenggelam
dalam  lautan  nafasmu
dan  kau  melangkah  rapat
Seakan  aku  lemas
dalam  kesucian  cahayamu
dan  kau tersenyum  manis
Seakan  aku  hilang
merenungi  bibirmu  yang nyaris  terbuka
lalu  aku  hampir  terleka


Seakan  ingin  kusentuhi  kulitmu
sebagaimana  bayu  membelai  mesra
seakan  ingin  kukucupi  jemarimu
sebagaimana  murni  sinaran  purnama
yang  memancar  dari  celah - celah  rambutmu
dan  gemalainya  alunanmu
adalah  kelembutan  yang  kau  warisi


Sayang...
Setulus  kasihku
maka  di sini aku  pun  berjanji
kehadirat  kau  yang  tiada  dua
bahawa  kau  adalah  selamanya....




.

Saturday, January 7, 2012

Menikmati apa yang bukan milik kita...

Imej: myberita.com
.




Kita hanya dibenar untuk menikmati,
bukan untuk memiliki.


Kena faham yang itu
barulah kita tahu bahawa dunia ini luas
dan setiap satu yang ada di dunia ini
bukan untuk kita bawa ke mana-mana





.

Wednesday, January 4, 2012

Buku Kecubung : Siapa-siapa nak, sila email kepada aku....


Siapa-siapa yang berhajat, sila tinggalkan jejak anda di ruang komen entri ini.
Kemudian, berikan alamat pos-mengepos ke email:  nizam.ariff@yahoo.com

 (pastikan perkataan 'ariff' itu dengan 2 'f')

.