Thursday, May 26, 2011

Bhg kedua: Ruh -Ruh yang tidak diterima langit...

[ Ini bahagian kedua. Bahagian pertama, sila klik sini... ]




Serta-merta aku jadi marah apa bila dukun tua itu beritahu ruh-ruh jahat yang seperti mereka berdua itu yang telah membunuh Bapak aku.


Aku terus mendekati kedua-dua pembantu dukun tua itu. Mereka berdua masih ketawa mengekek-ngekek. Aku benci melihat perangai mereka. Aku cuba cekak salah seorang tapi dia mengelak sambil mengejek-ngejek aku. Aku bengang.


" Kamilah yang potong urat saraf Bapak kamu sampai dia lumpuh... hahaha..."

Marah aku tak terbendung lagi. Aku hayunkan penumbuk ke mukanya. Aneh, dia tak mengelak pun. Dan lebih aneh lagi tumbukkan aku tak mengenai apa-apa, seolah-olah menumbuk hologram. Aku sepak beberapa kali namun seperti tadi juga, seperti menyepak hologram.


Aku tak tahu nak buat macam mana lagi. Aku terduduk. Aku tak mampu berbuat apa-apa sedangkan mereka masih ketawa mengejek sambil mencabar-cabar aku.


Dukun tua itu mendekati aku lalu menepuk-nepuk bahu aku.


" Sudahlah orang muda, mereka itu ruh jahat. Kamu tak boleh pukul mereka..."


Kemudian dukun tua itu menyuruh aku beredar, keluar dari rumah itu dan pulang kerana dia mahu uruskan mayat yang telah dipotong-potong itu. Dukun tua itu meminta salah seorang pembantunya (manusia) menghantarkan aku keluar. Sebelum itu, dukun tua itu memaksa kedua-dua ruh jahat itu masuk ke dalam satu karung guni lalu meminta pembantu (manusia) itu buangkan ke laut.


Kami menaiki kereta jenis wagon berwarna biru, dipandu oleh pembantu (manusia) itu. Di tempat duduk sebelah pemandu itu diletakkan karung guni yang berisikan 2 ruh jahat itu. Aku duduk di belakang.


Sesampai di satu simpang keluar kampung itu, ada seorang lelaki (yang mukanya mirip kepada seorang pelayan restoran dekat rumah aku) melambai-lambai ingin ditumpangkan. Kami berhentikan kereta dan lelaki itu pun masuk dan duduk di sebelah aku.


Tak banyak yang kami sembangkan sebab kami tak kenal antara satu sama lain.


Setiba kami di jalan raya utama yang sibuk dan kenderaan banyak yang dipandu laju-laju,  tiba-tiba aku rasa tak sedap hati. Aku lihat pemuda disebelah aku tersenyum. Aku terasa tak keruan. Aku cuba pegang lengan pemuda itu tetapi tak dapat. Seperti memegang hologram, sama seperti ruh-ruh jahat di dalam karung guni itu.

Aku beri amaran kepada pemuda itu, atau lebih tepat ruh jahat yang duduk disebelah aku.

" kau jangan cuba-cuba nak buat yang bukan-bukan pula..."

Pemuda/ruh jahat itu ketawa berdekah-dekah. Tiba-tiba pemidang cahaya matahari (sun-shade) keluar dari bawah kerusi dan terus melekap pada cermin tingkat kiri dan kanan.  Cepat-cepat aku tanggalkan dan aku lipat semula. Aku simpan semula di bawah kerusi.


" tolonglah, jangan buat macam tu lagi...", kali ini aku beralah kerana aku sedar aku tak mampu berbuat apa-apa kepadanya.

Tetapi pemuda/ruh jahat itu degil. Memang jahat. Dia cuba ambil semula pemidang cahaya matahari. Aku cuba halangnya dengan memeluknya tetapi seperti tadi juga, aku seperti memeluk hologram. Aku tak berdaya. Lalu cepat-cepat aku pegang pemidang cahaya itu.


Pemuda / ruh jahat itu ketawa. Matanya melirik ke depan. Aku tak faham. Dia lirik beberapa kali lagi seolah-olah meminta aku lihat ke depan. Aku pun toleh ke depan. Aku lihat kereta dan lori bersimpang siur di jalan dua hala itu dan tak jauh didepan sana ada simpang.


Aku toleh semula kepada pemuda / ruh jahat itu dengan pandangan meminta diberikan simpati. Aku geleng-gelengkan kepala... ' tolong jangan..' kata aku dalam hati.


Dengan menggunakan kuasa fikirannya, satu pemidang cahaya matahari (sun-shade) yang lebih besar menutup cermin hadapan sepenuhnya. Pemandu kami kelam-kabut cuba tanggalkannya tetapi tak berjaya. Ia seolah-olah melekat. Kedengaran bunyi hon bertalu-talu tetapi tiada apa yang boleh aku dan pemandu itu lakukan lagi.


Aku pasrah. Aku lemah.

Seterusnya, yang aku dengar cuma suara ketawa pemuda / ruh jahat itu.... dan bunyi hon yang bertalu-talu. Manakala pemandu kami sedang cuba bergelut untuk menanggalkan pemidang itu. Dia tak hiraukan lagi steering kereta kami. Dia tak hiraukan lagi simpang di hadapan...


... dan kereta sedan biru itu terus meluncur laju tanpa navigasi... menuju ke arah simpang empat...







.

Tuesday, May 24, 2011

Kanvas hati yang hodoh...

.





Hari demi hari, air itu
mengalir semakin lesu, payah
melepasi jeram besi dan api.


Suram langit tak bawa erti, apa-apa
petir bawa guruh yang kering, jerit 
tanpa ada ganasnya.


Lalu hati menjadi kanvas yang hodoh, simpati
rekah-rekah tanda tandus, lukisan
itu seakan-akan telah mati.











[nizam.ariff - 24.5.2011]


.

Wednesday, May 18, 2011

Berbicara bahasa Tuhan...

.

Tubuh anak muda itu masih lemah. Demamnya masih belum kebah tapi dia perlu pulang ke kota kerana esoknya kerja. Cuti hujung minggu itu, walau pun singkat, dapat menghilangkan rasa rindu pada keluarganya.

Sekitar jam 3pm, dia pun bertolak pulang ke kota walau cuaca mulai gerimis. Demi tugas, dia gagahkan diri menyarung jaket dan menghidupkan enjin motorsikalnya. Lagi pun, dia dah berjanji dengan seorang lagi kawannya untuk pulang sama-sama ke kota. Motorsikal asing-asing.


Anak muda itu runsing sebenarnya. Kecelaruan dalam hatinya membuatkan semangatnya lemah. Dia terfikir tentang kehidupannya. Dia fikir tentang tanggungjawabnya nanti. Kalau sebelum ini apa yang perlu dia fikirkan hanyalah kuliah dan peperiksaan. Kini setelah 6 bulan ianya berakhir, anak muda itu mula berfikir tentang masa depannya. Terlalu banyak yang dia fikir.


Untuk menghilangkan rasa bosan dan bingit bunyi motorsikal berkuasa 135cc itu, anak muda itu mula bernyanyi. Lagu " Rendang Tak Berbuah " nyanyian Hattan memang mengusik hatinya. Ada sesuatu dalam lagu itu yang memberi makna kepada anak muda itu. Bait-bait lagu itu memang dia fahami benar-benar. Malah, bait-bait itu membuatkan fikiran anak muda itu jauh melayang dan berfikir masa depannya.


Salah satunya... kebebasan dalam kehidupannya.

Masa 'gembira'nya telah berakhir, baginya. Kini, rutin hidupnya adalah kerja dan kerja. Pagi pergi kerja, malam baru pulang ke rumah. Penat. Sampai bila? Mungkin selepas 3 tahun, kerjaya menjadi stabil dan ekonomi mulai mantap.

Kemudian perlu berkahwin. Untuk kahwin, perlukan duit. Untuk mendapat duit, perlu bekerja dan menabung. Hilang kebebasan. Hidup untuk bekerja dan bekerja untuk kumpul duit. Bosan dan memenatkan. Dan segala-galanya untuk apa? Untuk sara keluarga, bayar rumah, bayar kereta. Hidupnya seperti banduan yang terpenjara dengan kerja. Hidupnya seperti ANJING yang perlu bekerja untuk tuannya. Mana kebebasan?


Fikiran anak muda itu terus melayang jauh sambil mulutnya menyanyikan lagu itu. Juga bingit enjin motorsikal. Juga hujan renyai yang semakin lebat menampar dadanya. Seluarnya habis basah.


Kehidupan berkeluarganya baru nak stabil kini anak pula yang perlu disuap, perlu dibesarkan. Kemudian, perlu sekolahkan. Perlu bayar itu ini. Nak bayar perlu bekerja. Mana kebebasan? Hidup terus bekerja. Mungkin bila anak itu telah bekerja sendiri barulah boleh bebas dari segala-galanya.


Tetapi waktu itu, umur pun dah menjangkau 50 tahun. Jadi, anak muda itu perlu melakukan rutin bekerjanya selama 25 tahun lagi! Dan selama 25 tahun itulah tiada kebebasan. Yang ada hanya penat untuk membesarkan anak-anaknya dan menyara keluarganya. Mana habuan untuk dirinya? Mana dia? Alangkah bosannya....


Anak muda itu terus menyanyi lagu itu dengan lebih kuat. Hujan makin lebat. Sejuk mencengkam hingga ke tulang hitam. Kepalanya pening. Demamnya semakin kuat. Namun dia gagahkan diri memandu motorsikalnya melalui jalan dua hala yang sibuk.


Apabila umur 50 tahun, datang pula sakit itu dan ini. Apa gunanya kebebasan jika tubuh telah uzur? Selepas itu... mati? Jadi, apa guna hidup kalau begitu? Lebih baik mati.


Apa gunanya? Lebih baik mati awal-awal begini.

Anak muda itu berfikir,  zaman kebebasannya telah berakhir 6 bulan lepas. Kini dia menjadi hamba. Hamba kepada lumrah dunia. Menjadi hamba kepada fitrah dunia.


Hamba kepada dunia!!!! Lebih baik mati sekarang. Sekurang-kurangnya, dia tak perlu penat bekerja dan menjadi hamba. Lebih baik mati sekarang.


Dalam sakit dan pening begitu, juga dalam hujan yang masih lebat begitu, mata anak muda itu semakin kecil memandang lorek-lorek jalan raya itu. Dia lihat kenderaan dari arah yang bertentangan menjadi kecil.


Anak muda itu tersenyum sendiri. Dia lihat sebuah treler dari arah depan menjadi kecil. Dan lagu itu masih mendendangkan derita perit dan hidup tersiksa dalam kepalanya.


Sekarang, anak muda itu perolehi satu peluang. Peluang untuk dia bebas selama-lamanya. Peluang yang dia tak mampu lepaskan. Dan kebebasan itu ada pada treler yang sarat dengan muatan dari arah depan.


Anak muda terus tersenyum. Dia pandu motorsikalnya mendekati garisan tengah jalan raya. Dia mahu hampir kepada treler yang datang dari arah depan itu.

Hujan masih lebat menimpa dadanya.
Dan lagu itu masih dinyanyikannya dengan sepenuh hati.

Treler memberikan lampu. Hon juga berkumandang kuat. Namun anak muda itu masih berada di tengah-tengah jalan raya. Wajahnya tersenyum memandang treler yang mendatang dengan laju. Itulah kebebasan, kata hatinya.


Tiba-tiba tellinganya terdengar jeritan dari kawannya di belakang. Juga seretan hon motorsikal kawannya itu, yang membunuh segala impian untuk bebas.


Treler itu sempat mengelak ke tepi, meninggalkan jarak selisih beberapa inci sahaja.


Beberapa meter selepas itu, kawannya memotong motorsikal anak muda itu dan memaksanya berhenti di sebuah warung di Kuala Selangor.


" Kau dah gila ..?!  " jerkah kawannya sambil membuka topi keledarnya.

Anak muda itu hanya tersenyum sambil membuka topi keledarnya. Air matanya bercampur dengan air hujan yang menitis dari dahinya. Dia sedih kerana peluangnya untuk bebas telah terlepas. Kini, dia akan menjadi hamba dunia sehingga akhir hayatnya..

Mereka berdua singgah minum di warung di tepi jalan itu. Di Kuala Selangor.






.

Monday, May 16, 2011

Biar ku hisap senyuman dari wajah ayumu...

Mari kuhisap senyumanmu, dari
wajahmu yang ayu, biar
terpejam mata kuyu, biar kau
sesak menahan nafasmu.

Ayu dalam lemah, longlai
tenggelam dalam belai nafsu, mari ke mari
aku sudukan dengan racunku, marilah
sayang.....telanlah racun itu.

[Nizam.ariff 16.5.2011]

Wednesday, May 4, 2011

Diselar duri-duri siksaan...



Matahari menjerut awan, hilang
kontang menggigit tanah, gersang
bibirnya merekah-rekah.



Tangan dan kakinya kurus, menggigil
menahan tubuh bergoyang, temulang
yang kering dan tak berdaging, pasrah
hatinya diluah sudah lama, biarkan
ianya kering seperti daunan tanpa hujan.



Angin panas membawanya ke mari, kusut
fikiran kusut dasar hatinya, mati
menawarkan neraka pada harga murah, dan
syurga pula terlalu mewah, bagi
dosa-dosanya.



Tanah rapuh, setiap
langkahnya terbenam dalam kerak-kerak dosa, menggigit
betis dan pehanya penuh calar-balar, pedih
diselar duri-duri siksa.





[nizam.ariff  - 4.5.2011]





.