Saturday, November 14, 2009

Kompang: Episod 9 with picture




Biar gambar tolong aku bercerita...
.

Sunday, November 8, 2009

Kompang: Episod 9

.


Jali terpegang sesuatu yang keras dan bulat. Jali tahu apakah itu sebab dulu Jalipernah melihat arwah Ayah memegangnya, memainkannya, melagukannya dengan yang sesuatu itu.


Kompang kesayangan arwah Ayah. Diperbuat dari pangkal batang Leban yang ditebang dari belukar Parit 1. Pokok Leban yang kayunya berwarna kuning dan iranya yang cantik. Pusarnya yang seimbang dan bulat. Diraut dengan teliti dengan bantuan mesin yang arwah Ayah buat sendiri. Aci rotor pembajak sawah yang telah diubah suai dijadikan sebagai alat yang memutarkan bongkah kayu Leban itu. Aci rotor itu pula dikuasakan dengan engine diesel 1200cc jenama Kubota. Itulah mesin larik ciptaan arwah Ayah.

Arwah Ayah menggunakan besi pelarik yang diperbuat daripada parang panjang yang telah di lancipkan hujungnya dan diasah tajam supaya larikan pada bongkah kayu Leban itu nanti halus dan cantik.

Selepas dilarik bahagian luar, arwah Ayah larik pula bahagian dalam, segala isi dalamnya dibuang dengan cara yang serupa, sehinggalah bongkah kayu Leban itu menjadi bulat dan berbentuk kompang.

Arwah Ayah longgarkan beberapa skru. Kompang yang masih tampak kasar itu dikeluarkan dari apitan. Arwah Ayah memisahkan empulur daripada dinding kompang dengan menggunakan pahat dan penukul. Pahatan itu dibuat secara teliti dan amat hati-hati agar kompang yang masih berbentuk kasar itu tidak pecah atau cacat.


Setelah sudah, arwah Ayah akan raut seluruh kompang itu dengan kertas pasir yang kasar untuk membuang pinggir-pinggir yang masih tajam. Akhirnya, kompang itu yang kini telah nampak bentuknya di raut lagi dengan menggunakan daun Mempelas. Arwah Ayah gosok kompang itu sehingga licin.


Setelah beberapa hari, rangka kompang itu kering di bawah rumah. Kemudian, ianya akan disapukan dengan Varnish untuk mengilatkan dan memelihara kayu itu daripada bubuk.


Arwah Ayah akan memilih belulang lembu dari bahagian perut untuk kompang itu kerana ianya lebih nipis. Belulang lembu itu akan di rendam berhari-hari di dalam air sawah supaya ianya lembut. Setelah lembut, belulang itu pun dijemur sehingga agak kering, tetapi tidak terlalu kering.

Seterusnya, belulang itu akan diregangkan pada muka kompang tadi menggunakan mekanisma khas yang arwah Ayah cipta sendiri, dipasak dan dibaji setiap pagi dan petang, sehinggalah belulang itu benar-benar tegang dan memeri. Arwah Ayah tepuk kompang itu berkali-kali setiap hari untuk anggarkan tahap tegang kulit itu, sehinggalah arwah Ayah benar-benar puas hati.


Setelah itu, barulah belulang itu dipakukan pada kayu kompang itu dengan paku payung dan sekeping tin yang dipotong nipis, mengelilingi perimeter kompang itu. Setelah itu, lebihan belulang itu pun di potong.

Arwah Ayah pilih rotan saga sebesar kelingking budak dan dimasukkan ke dalam kompang itu sebagai 'sedak'.


Jali tahu semua itu kerana arwah Ayah selalu mengajak Jali masuk ke belukar mencari pokok leban, mencari rotan saga, mencari belulang lembu dari orang-orang kampung. Jali juga tahu sekara Jali juga menolong arwah Ayah membuat kerja-kerja itu semua.

Dan kompang itulah juga yang membuatkan Jali rapat dengan arwah Ayah. Juga membuatkan Jali teringatkan dengan arwah Ayah dalam waktu-waktu begini. Dan waktu-waktu Emak yang sedang sakit kerana teringatkan arwah Ayah.


Jali keluarkan kompang itu dari almari dan pergi mendapatkan Emak. Emak tersenyum hambar, berseli dengan batuk-betuk kecil.



"Jali, ooo... Jali! Kenapa kamu tak pergi kenduri tadi?"

Seseorang memanggil Jali di laman depan....

Friday, October 16, 2009

Kompang: Episod 8

.

Emak terbatuk-batuk lemah. Jali tahu, tubuh kurus Emak semakin tak mampu menerima derita sebegitu. Derita batin, tentang kerinduan, tentang keseorangan.


Julia terpa Emak yang mengiring sambil terbatuk-batuk itu. Dibiarkannya pintu almari itu terbuka, menampakkan segala isi yang masih tinggal selepas pemergian Ayah.


Jali mengecilkan matanya. Jali renung almari itu. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya, sesuatu yang telah lama dia tidak lihat. Jali ingat telah tiada. Sungguh tidak disangka rupa-rupanya ada tersorok di dalam almari Ayah.



Julia mengambil alih memangku Emak daripada Jali. Dibiarkan Jali pergi kepada almari itu, yang pintunya kini terbuka luas. Angin tengahari itu terasa panas dan kering. Musim hujan belum tiba. Dan angin kering itu juga menyibak langsir-langsir kusam di bilik Emak.



Jali seluk ke dalam almari itu...







.

Saturday, September 19, 2009

Kompang: Episod 7

.

'Kenapa boleh jadi begini?'


Pertanyaan Julia dibiarkan hilang dalam kusam bilik Emak. Jali memangku Emak. Emak masih diam, tidak berkata sepatah apa pun dari tadi kecuali tangan kanannya menunjuk-nunjukkan sesuatu. Julia cuba mengagak arah yang Emak maksudkan itu.


'S..s..si..tuu..'
Suara Emak lemah.


Julia pergi dapatkan almari arwah Ayah. Dia menoleh kepada Emak, meminta kepastian. Pandangannya kemudian beralih kepada Jali yang masih memangku Emak. Terketar-ketar bibir Emak, sama ada ingin mengatakan sesuatu atau pun kerana menahan sakit yang mereka berdua sendiri tidak tahu. Emak suka berahsia.


Jali hadapkan muka Emak kepadanya. Dia cuba memahami butir bicara Emak. Jali lihat garis-garis usia pada wajah Emak. Garis-garis yang pernah menakung peluh dan lumpur apabila Emak ke sawah bersama-sama arwah Ayah. Jali cuba bilang garis-garis itu, lalu membandingkan dengan dirinya. Rambut Emak banyak yang beruban. Rambut yang dulunya ikal mayang dan hitam berkilat kerana Emak suka melumurkan santan pada rambutnya, petua orang tua-tua.

Tiba-tiba Emak awang-awangkan tangannya, seperti menyuruh sesuatu.


'Cuba kamu buka almari arwah Ayah tu'


Julia akur perintah Jali. Nyamuk-nyamuk kekenyangan berterbangan sana-sini apabila Julia buka almari arwah. Julia selak-selak baju-baju arwah yang bergantungan, sehinggalah tangannya terpegang sesuatu di sudut almari itu. Julia pandang kepada Jali, kemudian lepada Emak. Emak angguk-angguk kepalanya yang lemah. Jali kerutkan dahinya.


'Abang......?? '




.

Friday, August 7, 2009

Kompang: Episod 6

.


Jali bergegas masuk ke bilik. Hampir-hampir terlucut tuala lusuh yang dipakainya. Baru dia teringat, dia perlu segera ke majlis kenduri itu kerana dia diperlukan untuk bermain kompang, bersama-sama orang-orang kampung yang lain.

Emak memberikan isyarat tangan dari dalam biliknya kepada Jali semasa anak lelakinya itu menjenguknya dari bidang pintu. Emak tunjukkan sesuatu di bawah katilnya. Jali tertanya-tanya. Dia melangkah masuk perlahan-lahan. Jali lihat Emak semakin lemah. Mata Emak layu, bukan layu seperti mahu tidur atau terlebih tidur. Bukan.

Jali membongkok dan meninjau-ninjau di bawah katil Emak. Jali terlihat satu kompang. Jali amati dan dia kenal kompang yang itu. Itu kompang kesayangan arwah Ayah dan Emak menyimpannya dengan baik. Tidak seperti kompang-kompang lainnya yang Emak akan benarkan kumpulan-kumpulan kompang meminjamnya. Emak tidak akan pinjamkan kompang yang itu.

Emak cuba berkata sesuatu. Jali dekatkan telinganya hampir ke mulut Emak. Setelah berkata sesuatu, Emak kembali senyap. Hanya matanya berkelip-kelip memandang anak lelakinya itu.

'Julia! Julia!'


Tidak beberapa lama kemudian, Julia datang menjengah di pintu. Matanya juga tertumpu kepada Emak.







.

Sunday, June 14, 2009

Kompang: Episod 5

.

Tengah hari itu, Jali bergegas ke bilik air untuk mandi. Jali bersihkan badannya dari sisa-sisa selut yang melekat semasa berjalan-jalan di atas batas sawahnya. Dia tunduk mencari-cari pacat atau lintah kalau-kalau ada melekap pada kaki-kakinya. Kalaulah ada, Jali akan bubuh air sabun pekat-pekat padanya supaya ia pedih dan tertanggal dari lekapan. Jali juga boleh tampalkan tembakau Cap Semut padanya. Bila pacat atau lintah telah tertanggal, kesan tempat hisapannya akan terbit darah. Kalau darah masih mengalir, Jali boleh tampalkan daun kapal terbang atau daun ulan-ulan. Kalau Jali malas nak keluar mencari daun-daun itu, dia boleh tampalkan dengan kertas tisu atau cebisan kecil kertas suratkhabar.


Nasib baik tiada pacat atau lintah yang melekap menghisap darah. Jali boleh terus mandi dan bersabun. Kemudian, Jali genggam padat-padat pucuk jambu batu yang dia ambil semasa pulang dari sawahnya. Jali bertinggung di atas lantai simen yang agak kasar lalu dia menggesek-gesekkan pucuk jambu batu itu pada lantai yang bersimen kasar itu, seolah-olah memarut gayanya. Kemudian, Jali kaup serbuk pucuk jambu batu yang bercampur air itu lalu disapukan pada mukanya. Jali buat pucuk jambu batu seolah-olah 'facial scrub'. Selebihnya, Jali gosokkan pada ketiaknya.


Sudah hampir masuk waktu Zohor. Jali perlu pergi ke majlis kenduri di rumah jirannya lepas Zohor. Dia dijemput untuk turut serta berkompang. Sebenarnya, Jali bukan beria-ia sangat untuk bermain kompang. Dia mahu pastikan siapa yang bermain nanti. Kumpulan mana yang berkompang itu. Jali perlu tahu semua itu kerana tradisi itu telah diteruskan oleh orang lain semenjak Ayah tiada. Walaupun kesemua kompang buatan Ayah masih ada di bilik Emak tetapi Beduknya telah tiada. Beduk Ayah telah dipinjam orang dan tak dipulangkan sehingga kini. Itu sudah lebih setahun lamanya. Beduk itu Ayah punya. Bukan boleh senang-senang diambil begitu sahaja. Beduk adalah elemen penting dalam Kompang Jawa.


Jali capai tuala. Kedengaran suara orang melaungkan Azan dari surau. Waktu Zohor sudah masuk...




.

Friday, May 22, 2009

Kompang: Episod 4

.


Kompang-kompang yang berhabuk tetapi tersusun itu direnung Jali. Dahinya berkerut, dia perasankan sesuatu yang kurang dalam susunan itu. Tiada di bilik Emak. Sesuatu yang penting dalam regu kompang itu tetapi telah tiada.

"Beduk mana Mak?'

"Ada di rumah Kassim. Dia pinjam bulan lepas"

"Huh"

Jali mendengus lemah. Jali ambil salah satu kompang itu. Dia sapu-sapu habuk yang melekat pada badan kompang yang diperbuat daripada kayu Leban. Varnishnya sedikit pudar. Jali tepuk-tepuk beberapa kali. Jali perasan yang bunyinya tidak nyaring, dengungnya kurang tapi kulit lembu yang menjadi muka kompang itu masih elok, masih tebal. Tak merekah pun tapi kulit itu kurang tegang.

Jali jenguk sebelah dalam kompang. Dilihatnya simpai kompang yang dibuat daripada rotan Saga sebesar kelingking budak tidak bersedak betul. Jali capai penyedak kayu dari bawah katil Emak.

"Kamu nak buat apa dengan kayu tu? Kayu tu mak buat ketuk lipan kalau ada yang datang lagi nanti"

"Nanti saya carikan kayu yang lain. Kalau ketuk pakai ni, nanti bucunya pecah"


Kalau bucu penyedak yang berbentuk baji itu sumpil, kulit lembu pada muka kompang itu boleh terkoyak ketika menyedak rotan Saga itu.

Jali letakkan kompang itu secara mengiring. Jali aturkan gelungan rotan Saga pada penjuru di mana kulit kompang bertemu dengan badan kompang. Jali acu hujung penyedak dan tekan rotan Saga itu supaya terselit di celah-celah itu. Jali lakukannya berhati-hati sehingga kesemua gelungan roran Saga itu tersemat kemas.

Kemudian Jali tepuk beberapa kali kompang itu. Barulah bunyinya berdengung, barulah nyaring. Jali tepuk lagi kompang itu beberapa kali. Jali tersenyum. Emak pun turut tersenyum. Sudah lama Emak tak dengar kompang itu berbunyi dan bunyinya mengimbau kembali kenangan-kenangan lama Emak, ketika arwah suaminya masih hidup, masih kuat untuk mengajar anak-anak muda kampung bermain kompang.





.

Thursday, May 14, 2009

Babak bertingkah Hang Tuah dan Hang Jebat

Original fighting scene from 'Naskhah Laxamana Jebat - by Nizam.Ariff'


Maka Jebat pun menyisih sedikit dari pintu lalu Tuah pun melompat masuk ke istana. Maka daun pintu pun segera ditutup Tuah, maka dilihatnya semua pintu yang lain sudah tertutup. Maka dilihatnya ada seorang dua orang dayang-dayang lagi bersimpuh. Maka disuruhnya pergi ke belakang. Setelah sudah, setelah semuanya tiada maka Tuah pun memandang Jebat seraya duduk, dituruti Jebat. Setelah diam barang seketika maka kedua-duanya pun menangisi akan bala yang menimpa.

Maka kata Jebat, 'Kalau aku tahu begini, takkan aku menderhaka. Tapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur'.

Maka kata Tuah, 'Sayang Jebat, sayang. Pahlawan Melayu akan mati seorang'.

Maka kata Jebat, 'Apalah gunanya aku hidup kerana yang disangkakan mati ada di sini. Sia-sialah pekerjaan aku selama ini. Tiadakah ampunmu, Tuah?'.

Maka kata Tuah, 'Datang tiada berampun, murka raja jualah yang aku bawa'.

Setelah mendengar kata-kata itu, maka menangislah Jebat semahu-mahunya, dihampirinya Tuah lalu dipeluknya kedua-dua lutut Tuah seraya berkata, 'Tiadakah belas ehsan abang pada adiknya? Lupakah kita ini bersaudara?'.


Setelah agak lama berkata-kata maka riuhlah orang diluar istana mengetuk pintu dan ada yang membaling batu. Maka segeralah Tuah bangkit lalu diterpanya pintu, pergi mengusir orang ramai seraya mengancam dengan keris Sultan. Maka dilihatnya Tuah lagi marah, maka larilah semuanya, bertolak-tolakkan, bertindih-tindihan, maka ada yang terpijak lalu mati, ada yang tercucuk tombak lalu mati, ada yang tercucuk buluh buta matanya, ada yang tercucuk keris berdarahlah pehanya.

Sesudah itu, Tuah pun menutup kembali pintu itu lalu pergi mendapatkan Jebat. Maka, diceritakanlah oleh Jebat perihal fitnah orang pada Tuah semuanya. Diceritakan juga angkara siapa, maka fahamlah Tuah. Maka diceritakan pula oleh Tuah perihal Sri Nara Diraja menaruh dirinya di dusun, maka Jebat pun fahamlah.

Adapun sambil itu, diketuknya dulang dan talam oleh keduanya seraya jerit bertingkah, ada juga kedua-duanya berlari-lari di atas lantai supaya bising, sangka orang sedang berlawan.

Maka kata Jebat, 'Kalaulah Seri Nara DiRaja berbuat begitu pada engkau, tiadakah boleh berbuat begitu pada aku?'

Maka diamlah sebentar masing-masing berfikir. Maka kata Tuah dalam hati, ada benarnya Jebat itu. Kalau aku ditaruhnya, masakan Jebat tiada boleh? Maka kedua-duanya pun bersetuju bermuafakatlah.

Maka setelah hari malam, tiada juga undur orang ramai, tiada bersurai maka berkata Tuah, ' Kamu sekalian, tiadalah rasanya yang mati malam ini. Pulanglah sekalian dahulu ke rumah. Ditunggu tiada guna, kami lagikan mahu bertangguh rasanya'.

Maka didengar oleh orang ramai Tuah ingin bertangguh, tiada juga mahu bersurai. Masing-masing tidur di luar istana, tiada bersela. Adapun pada malam itu, kedua-duanya pun bermuafakat akan muslihat dan berteguh janji.

Maka diberinya Tuah akan keris Tamingsari, lalu berkatalah Tuah kepada Jebat,

'Sahaja aku katakan selagi ada Tamingsari tiadalah akan mati, padahal si Tamingsari itu akulah yang bunuh. Jikalau mahu, aku tamatkan nyawamu sekarang ini juga dengan keris sultan ini, tapi tiadalah aku mahu'.

Maka berkata pula Jebat, 'Aku tahu'.


Setelah pagi, burung pun belum keluar sarang, maka dilihat oleh Tuah orang ramai masih belum sedar, maka diambilnya keris Tamingsari lalu dilukakan rusuk kiri Jebat. Maka terbitlah darah pada luka, segeralah Jebat pergi mendapatkan kain lalu ditutupi luka itu kemas-kemas lalu diikat pada rusuknya. Maka sedikit darah ada lekat pada keris itu.

Setelah sudah bertempiklah Tuah sekuat-kuat hatinya, habis sedarlah orang ramai. Ada yang tercengang-cengang, ada yang terpisat-pisat, ada yang terkejut lalu lari balik ke rumah, sangkanya Jebat turun mengamuk.

Maka Tuah pun keluarlah seraya menjulang keris Tamingsari itu tinggi-tinggi lalu berkata, 'Sudah matilah penderhaka!'

Dilihat oranglah keris Tamingsari itu berdarah, sudah tentu Jebat itu sudah mati kerana Tamingsari itu keris yang keramat, jangankan tertikam, tercoreng sedikit matilah dia. Setelah mendengar khabar itu maka Sultan pun girang bukan kepalang. Maka disuruh pergi dapatkan Tuah itu. Maka pergilah seorang dua orang pergi menjemput akan Tuah dengan titah Sultan. Maka kata Tuah, ia mahu pulang dahulu basuhkan darah, lalu pulanglah orang itu ke istana. Maka fahamlah Sultan akan Tuah itu sedang sedih.


Setelah melihat Tuah sudah keluar dari istana, maka orang pun pergi menaiki istana itu mahu melihat bangkai Jebat. Disangkanya sudah mati, tetapi masih hidup badan berbalut kain. Maka bila dilihat orang ramai sudah naik istana, maka diamuk Jebat semuanya, lalu banyaklah yang luka lalu mati. Maka ada yang terjun membuang diri ke tanah lalu tertimpa orang lalu mati, ada yang patah tangan, ada yang pecah kepala. Semuanya terkejut melihat Jebat masih hidup lagikan membunuh.

Maka jerit Jebat, 'Marilah hampir lihat Jebat mati, ataukah kamu semua yang mati?'

Padahal tiadalah yang berani hampir, sembunyi menikus dirumahlah jua. Maka kata Jebat lagi, ' hindarlah diri, aku mahu ke rumah Tuah. Barang siapa menghalang, hilanglah nyawa!'

Maka bertambahlah gerun orang ramai, tiada berani buka pintu. Maka dilihat oleh Jebat rumah-rumah bertutup pintu, maka bersegeralah ia pergi ke rumah Tuah. Setelah sampai, maka bersegeralah Jebat bersiap diri, mana-mana yang boleh dijinjing dijinjingnya, mana-mana yang boleh dipikul dipikulnya, sekadar boleh hidup di hutan.

Maka oleh Tuah, disuruhnya hamba sahaya dua orang, seorang disuruh pergi mendapatkan mayat, seorang lagi disuruh pergi ke rumah Jebat disuruh bersiap barang patutnya. Maka disuruh gantikan mayat orang juga, lalu dipakaikan baju masing-masing. Maka, oleh segala anak bini Jebat itu semuanya dipakaikan baju para pengawal istana. Maka Jebat pun bertukar baju dengan mayat pengawal istana, maka dilihat tiada kenal rupa Jebat lagi.


Arakian, Orang-Orang Besar dan hulubalang istana pun sampai ke rumah Tuah, minta ditunjuki akan bangkai Jebat. Maka berkata Tuah, ' Nah, itulah bangkai si penderhaka, sudah hamba bunuh dua kali', maka ditunjuki pada mayat pengawal istana tadi.

Maka setelah dilihat mayat itu berbaju Jebat lagi berdarah, bersoraklah orang ramai bunyinya. Maka dititah oleh Sultan dibuangkan di laut. Segala anak bini Jebat semuanya disuruh bunuh sama, hatta kaki tiang rumahnya juga disuruh cungkil dibuangkan di laut.

Setelah semuanya sudah, maka Tuah pun dihampiri Seri Nara DiRaja, maka katanya, 'Masakan anakanda membunuh akan Jebat, tiada rupa ia pun?'

Maka kata Tuah kembali, ' Begitulah sekira-kiranya'.

Setelah dilihat tiada orang di pantai, tinggal mereka bertiga, Bendahara Paduka Raja seorang, Seri Nara DiRaja seorang dan Tuah seorang, maka berkata benarlah Tuah,

'Sebebal-bebal manusialah hamba jika dibunuh akan Jebat itu, ada gunanya kemudian nanti, itu ilmu Orang Kaya juga'

Maka Seri Nara DiRaja dan Bendahara Paduka Raja pun sama-sama tersenyum, maka setelah itu berkatalah Seri Nara DiRaja,

'Ada juga yang masih bersetia. Lalu, mana perginya si Jebat itu?'

Maka kata Tuah, ' Sudah pergi jauh tinggalkan kita di sini'.


Maka didengar oleh Sultan Mansur Syah perihal Jebat dan segala anak bininya semuanya sudah dibunuh, dibuang di laut, maka gembiralah ia. Telah itu, Tuah dilekatkanlah gelar 'Laksamana' itu, dan diarak keliling negeri, seperti adat anak raja-raja, didudukkan tara Seri Bija DiRaja.

Maka Sultan Mansur Syah pindahlah, tiada mau diam di istana tempat Jebat mati itu. Maka baginda memberi titah pada Bendahara menyuruh membuat istana. Adapun segala tingkap istana itu sekaliannya dicat dan dibubuhi air emas, kemuncaknya kaca merah. Apabila kena sinar matahari bernyala-nyala rupanya seperti manikam, dan dinding istana itu sekaliannya berkambi, maka ditampali dengan cermin China yang besar-besar. Terlalu indah-indah buatannya. Maka istana itu pun sudahlah. Maka Baginda pun pindahlah ke istana baru itu.

Syahdan, maka tiada berapa lamanya, dengan takdir Tuhan mahligai itu pun terbakar, tiba-tiba di atas kemuncak mahligai itu api. Habis semua perbendaharaan tiada dapat diselamatkan. Ramailah anak Orang Kaya-Kaya dan hulubalang telah cuba masuk ke istana mengeluari harta kerajaan namun tidak berjaya.

Maka didengar oleh Tuah perihal istana baginda Sultan itu dimakan api. Maka berkatalah dalam hati Tuah, itulah sebab barang pekerjaan tiada usul periksa, zalim kepada yang tidak berdosa, maka disumpahi.

Adapun tiadalah khabar berita lagi akan Jebat itu. Lenyaplah ia bersama-sama anak bininya semuanya. Ada yang berkata ia pergi ke Pahang. Adapun Tuah itu masih kekal menjadi Laksamana untuk beberapa lamanya. Ada pun keris Tamingsari itu ada disimpan oleh Sultan Perak.



Inilah hikayat yang empunya cerita perihal dua orang pahlawan Melayu yang gagah perkasa, maka dibuat fitnah akan orang pasal perempuan. Jikalau Seri Nara DiRaja berselisih faham dengan Paduka Raja, Melayu pun berbelah, maka samalah jua akan Tuah dan Jebat itu berlawan, Melayu berpecah. Maka berkatalah sahibbul hikayat bahawa tiadalah Tuah itu berbunuhan denagn Jebat dan tiadalah Jebat itu mati, tetapi ghaiblah ia entah ke mana. Maka tiada patut Melayu berpecah lagi. Wassalam.



.

Tuesday, April 28, 2009

Kompang: Episod 3

Akhirnya, ketawa mereka berderai dalam renjis-renjis hujan dan pekatnya malam.


Pagi itu, Jali lontarkan pandangannya jauh ke sawah. Sayup menghijau umpama permaidani. Hujan malam tadi akhirnya berhenti.


{di bawah ini ilham dari Ashley}


Matahari mula menjenguk dari sudut Timur, dari celah-celah hijau gunung yang berkabus nipis. Cahayanya menyinari titis-titis embun yang terlekat pada sutera tenunan labah-labah yang bersarang di pucuk-pucuk padi. Cahayanya terbias bak mutiara, sungguh cantik, sungguh tenang melihatnya. Semilir sejuk membungkam semangat jali untuk turun menjejakkan kakinya ke sawah pagi itu. Semilir itu juga membuai-buai sarang labah-labah, membuai manik-manik mutiara. Ia melekakan Jali buat seketika. Perasaan tenteram dan indah yang Jali pernah rasai semasa kecil dulu, lama dulu.


Pagi itu Jali batalkan niatnya untuk membaja anak-anak padinya. Dia teringat pesan Pak Man, yang tinggal selang dua rumah dari situ, supaya hadir ke kenduri selepas zohor nanti. Pak Man juga bertanya kepadanya kalau-kalau Jali masih masih boleh berkompang pada sebelah malamnya. Perkara yang kedua itu membuatkan Jali termenung panjang.


Dulu, semasa arwah Ayah masih ada, Jali dan anak-anak muda kampung pernah belajar bermain kompang dengan arwah Ayah. Dua kali dalam seminggu, selepas Isyak berjemaah, sebahagian jemaah akan singgah di rumah Ayah untuk bermain kompang. Kebiasaannya, mereka bermain kompang pada malam Isnin dan Malam Rabu. Kompang Jawa yang dimainkan sekurang-kurangnya oleh lima orang, manakala Beduk pula ditabuh bergilir-gilir oleh pemain yang telah penat berkompang, biasanya orang-orang yang lebih tua kerana mereka cepat penat. Kadang-kadang Wak Majedi yang menabuh Beduk, kadang-kadang Wak Suhud yang menabuh Beduk. Mereka berdua itu biasanya bergilir-gilir apabila salah seorang daripadanya menggulung rokok tembakau daun nipah atau untuk berehat sebentar mengembil nafas.

Mereka yang muda-muda akan berkelek dan berkompang sambil menyanyikan lagu puji-pujian yang diambil dari dalam kitab berzanji, sungguh meriah dan seronok malam-malam itu. Emak pula akan menjamu mereka yang hadir dengan pisang goreng atau ubi goreng bersama air kopi pekat. Riuh bunyi kompang dan Beduk akan memagar sepi malam, kadangkala sehingga lewat tengah malam baru mereka bersurai. Memang sungguh meriah.

Itu dulu, ketika arwah Ayah masih hidup. Namun kini segala-galanya sepi sejak Ayah meninggal dunia dua tahun lepas. Tiada lagi gema kompang dan Beduk merentasi langit malam di kampung itu. Tiada lagi harum pisang goreng dan ubi goreng panas sajian Emak kepada mereka yang hadir. Malah, kompang dan Beduk itu kini tersusun dan berhabuk di bilik Emak. Cuma sekali-sekala Emak akan membersihkan habuk-habuk itu.

Jali masuk ke bilik Emak....



.

Tuesday, April 14, 2009

Kompang: Episod 2

Jali redah renyai dan gelap bertemankan lampu suluh berbateri tiga, menyusun tapak di atas batas sawah yang becak dan licin. Sekali-sekala deburan Haruan menyeka bising serangga malam namun hanya seketika. Teriakkan Lang-kuit mematikan langkah Jali. Dia cuba cari arah datangnya suara itu. Arah hutan sana, dari Bungor yang tumbuh tinggi di sempadan tanah sawah itu.

Jali kenal suara itu. Teriakan Lang-kuit pernah menjadi omok-omokkan saudara-saudaranya semasa dia kecil dulu. Dia masih ingat pesan orang tua-tua, kalaulah Lang-kuit berbunyi, ia menandakan dua perkara sahaja. Satu: Ada harimau berdekatan dan dua: ada hantu. Burung itu dikatakan akan mengikuti 'benda-benda' tersebut. Kalau dulu, Jali akan berlari susup-sasap bila terdengar Lang-kuit berteriak nyaring, redah segala semak-samun dan pokok keladi Mahang yang gatal itu. Jali akan lompat parit-parit kecil dan tunggul-tunggul kayu. Jali akan tinggalkan apa-apa sahaja yang ada padanya. Kini tidak lagi. Jali bukan berhenti kerana seram. Dia cuma terkenangkan kisah dulu-dulu, kisah semasa dia masih hingusan.

Jali lemparkan senyum sebelum meneruskan langkahnya ke kunci air kecil. Dia lihat paras air sudah terlalu tinggi. Walaupun pintu kunci air itu telah dibukanya kelmarin namun hujan yang tak henti-henti sejak semalam telah menyebabkan air sawah melimpah ke atas batas. Jali suluh batas itu. Tanahnya ada rebak sedikit. Jali letakkan lampu suluh berbateri tiga itu ke tanah, menyuluh rebak itu. Pacat yang tadi mungkin tidur, telah terjaga dan mula memanjat kaki-kaki Jali. Jali tidak rasa geli-geleman seperti Julia, dia tunggu sehingga pacat itu melentikkan badannya kemudian Jali jentik kuat-kuat. Pacat itu terpelanting jauh ke sawah.

Hujan masih turun dengan rintik-rintik yang masih kasar. Jali tak kisahkan semua itu kerana dia telah bertekad untuk kembali ke sini. Dia perlu teruskan hidup yang dia telah pilih ini. Jali angkat cangkul setinggi yang boleh lalu membenamkan mata cangkul itu pada batas. Jali perlu pecahkan batas itu supaya air sawah dapat mengalir ke dalam parit pembuangan, jadi batas-batas yang lain tidak rosak, itu teori Jali. Setelah beberapa kali mata cangkul itu merobek batas, air sawah meluncur laju turun ke parit pembuangan bersama-sama siput-siput Gondang. Renik-renik peluh berbaur rintik hujan mengalir turun dari badannya. Itu titik peluh Jali, peluh itu ganti arwah Ayah yang lebih dulu berbakti kepada bumi ini, pada tanah yang sama. Hujan tak menunjukkan tanda-tanda akan sidang sejam dua ini. Jali berharap paras air akan turun pada esok pagi.

Jali memang anak sawah. Dia dibesarkan di kampung ini tetapi dia bersekolah tinggi hingga berjaya mendapat segulung ijazah di kota sana. Dia juga pernah bekerja dengan gaji yang lumayan di kota sana. Malah, dia bertemu dengan Julia yang kini adalah isterinya juga di sana. Anak-anaknya juga lahir di sana.

Sehingga satu hari itu, Jali berpendapat kehidupan di kota terlalu mencabar baginya dan juga bagi anak-anaknya. Cabaran hidup di kota sana baginya sudah keterlaluan. Hidup terlalu berpaksikan kebendaan. Siang dan malam mencari kemewahan sehinggakan anak-anak dan isterinya sering ditinggalkan. Pergi awal pagi dan pulang lewat malam. Jali merasakan dia perlu berbuat sesuatu mengenainya. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk tinggal di kampung kerana baginya, masa di kampung dirasakannya berdetik lebih perlahan daripada masa di kota sana.

[insertion of the above scene as commented by Ashley]


--- * --- * --- * ---


Julia masuk ke bilik Emak. Terdengar keluhan kecil dari Emak yang mungkin lenguh kerana berbaring lama. Emak menyentak-nyentak bantal yang ada di belakangnya, cuba membetulkan kedudukan badannya yang sudah senget. Julia menghampiri Emak lantas membantunya. Tangan orang tua itu sudah kurus, telah tua untuk mengangkat badannya sendiri.

"Kompang-kompang ni boleh diletak di luar kalau Emak rasa bilik ni sempit"
Saranan ikhlas dari seorang menantu yang ingin melihat mertuanya lebih selesa. Juga nanti bau hapak boleh hilang ditiup angin.

"Jangan!"
Ringkas jawapan Emak, jawapan yang juga satu arahan sebenarnya.

"Kenapa?"
Emak biarkan pertanyaan itu hilang ditelan gemersik hujan dan gemuruh angin. Kenapa? Julia cuba meneka-neka sebabnya tetapi tiada satu pun yang dirasakannya sesuai. Jawapan itu milik Emak. Jali? Puas ditanyai oleh Julia namun, seperti ibunya, tiada jawapan. Hanya satu lontaran wajah kosong yang diberikan kepada Julia.

Telah hampir setahun Julia tinggal sebumbung, menumpang rumah Emak di kampung ini setelah Jali berhenti kerja di kota sana tetapi Julia masih belum faham tentang yang satu itu. Kompang itu terlalu dekat di hati Emak, sukar dipisahkan.

"Kenapa, Julia, Emak?"
Jali tercongok dari luar tingkap. Muncul dari gelap. Hampir Julia menjerit kerana terkejut. Jali tersenyum menyakat. Dia sengaja bergurau dan dia suka bergurau begitu dengan isterinya itu. Emak, walau rasa sedikit terganggu namun turut tersenyum. Dia faham sangat perangai anaknya yang itu.

"Abang ni!"
Suara Julia sedikit tinggi, geram. Sergahan Jali tadi menjadi.



[hah, sambung...]



.

Selingan...: Ayah Pulang

[Selingan, sementara cari ilham. Ini kisah benar]


Ayah Pulang

[ 1~6 / 12 / 2006 ]

Petang itu hujan lebat mencurah-curah. Awan hitam datang seakan-akan kain layar pelaut malang, rabak dirempuh gugusan angin yang datangnya tunda-menunda dari arah Barat Laut. Beberapa anak muda sedang berkira-kira untuk pulang sambil memandang kaki langit dan jalan yang semakin suram. Aku pandang medan letak kereta yang penuh dengan kolam-kolam kecil yang dilimpahi air hujan. Tangan kiri aku masih menggenggam telefon bimbit. Pesanan ringkas yang aku terima tadi amat merungsingkan. Tidak lama, aku putuskan untuk terus keluar dari teduhan, tak perlu tunggu belas dari awan.

Terkocoh-kocoh isteri aku bersiap-siap untuk pulang ke kampung pada malam itu. Anak aku hairan. Bukan biasa kalau bukan pada hari minggu. Aku biarkannya tidak berjawab. Aku runsing. Kami diam sepanjang perjalanan pulang. Tiada lagu menemani aku. Tidak seperti biasa. Hari itu bukan hari yang biasa. Lewat tengah malam, kami tiba di rumah abang. Emak sedang menunggu kami di situ. Malam itu, abang menemani ayah. Emak suruh aku berehat dahulu, esok pagi baru pergi melawat ayah bersama-samanya. Aku akur namun begitu tidur aku tidak lena. Mustahil untuk tidur lena dalam keadaan begitu.

I

Pagi itu cerah. Ada segaris awan nipis di dada Barat langit biru. Angin pagi menerjah masuk dari tingkap kaca yang jernih, menolak-nolak langsir yang telah aku selak separuh. Sayu hati aku melihat ayah. Terbaring lemah menahan sakit. Kelopak matanya kerap tertaup, kadang kala hanya sempat berkata beberapa patah perkataan sebelum kembali tertidur. Itu pun kurang jelas. Kesan ubat agaknya.

Angin pagi yang dingin menyibak sedikit rambut ayah yang jarang. Sedikit yang masih hitam. Garis-garis usia penuh pada mukanya. Setiap satu punyai cerita suka duka hidupnya. Cerita tentang kebun getah, babi hutan, sawah bendang, lintah dan pacat. Garis-garis cerita tentang Haruan dan joran yang pernah menjadi penyambung rezeki sekeluarga.

Nafas ayah kerap terganggu. Kadang-kadang tersekat-sekat dan ayah sedut dalam-dalam. Aku toleh ke bucu kanan kepala katil ayah. Pada dinding di atasnya ada satu botol kaca. Cecair di dalamnya berbuih-buih dan menggelegak. Ada satu hos plastik kecil yang hujung satu lagi diletakkan di bawah hidung ayah. Sedikit longgar. Aku bongkok lalu membetulkannya. Ayah terjaga. Aku tak bermaksud mengganggunya.

‘Emak kamu mana?’

Belum sempat aku jawab, mata ayah kembali kuyu dan tertutup perlahan-lahan. Ayah tertidur. Emak datang mendekati ayah dari sebelah kiri. Tangan emak kulihat meramas-ramas lengan ayah.

II


‘Beginilah, biar saya terangkan tentang keadaan pakcik ni’

Doktor muda itu pun mula menceritakan segala-galanya dari kisah rekod kesihatan lampau ayah sehinggalah kepada yang diterimanya semalam. Terkial-kial doktor muda itu menyusun ayat agar istilah sains kedoktoran yang digunanya dapat difahami oleh kami. Semuanya menjurus kepada satu kesimpulan yang akhirnya dibuat oleh abang, bukannya doktor itu. Satu kesimpulan yang walau pun telah dijangka, ia tetap membuatkan hati-hati kami bergetar. Wajah kakak muram, matanya sayu memandang ayah. Harapan pudar. Detik-detik ayah sudah mula aku hitung. Aku mula hargai setiap saat kesempatan yang diberiNya.

Kemudian doktor muda itu berpaling kepada ayah. Ayah pandang muka doktor muda itu dalam-dalam. Menanti apa pula yang akan dikhabarkan olehnya. Ada sedikit senyuman pada bibir manisnya.

‘Pakcik jangan risau. Pakcik rehat banyak-banyak ’

Kenapa? Kemudian doktor muda itu keluar dari bilik ayah dan berjumpa dengan seorang jururawat. Aku ekori langkahnya dengan mata dan fikiran yang tertanya-tanya. Jururawat tadi pun masuk ke bilik ayah sambil memandang aku yang sedikit bingung.

‘Pakcik kena pindah ke bilik biasa di luar sana. Pakcik dah sihat. Bilik ini untuk orang yang sakit sahaja. Saya dah siapkan katil untuk pakcik di sana’

Aku rasa aku faham. Namun aku terfikir untuk bertanya kepada mereka yang bertugas di sini, bagaimana mereka ini boleh hidup dengan segala penipuan seperti ini setiap hari dan pulang ke rumah dengan tenang.


III

Malam itu, aku duduk berseorangan di sisi ayah. Di atas meja kecil masih berbaki susu tepung yang aku bancuh untuk ayah senja tadi. Aku hirup sedikit. Tawar, patutlah ayah minum sedikit sahaja. Rakan ayah di katil sebelah berdengkur kasar. Seorang perempuan India tua sedang tidur di atas kerusi rehat di sebelah kanan katilnya. Mungkin isterinya. Aku tak tahu apa sakit suaminya tapi perutnya bertampal-tampal dengan kain berwarna merah jambu, atau mungkin merah kerana darahnya. Aku tak cuba untuk berbual pun. Aku lebih banyak termenung mengenang keadaan ayah.

Ayah bergerak resah. Aku betulkan kedudukkan bantalnya. Biar selesa sikit. Sebiji bantal lagi aku sendalkan di bawah lutut kirinya yang aku bengkokkan sedikit. Aku tarik tirai sedikit supaya cahaya kalimantang di koridor tidak tepat menyuluh mukanya. Ayah terjaga. Ayah pandang kipas yang berpusing ligat di atas.

‘Aku sejuk’

Aku tarik selimut hingga ke pinggangnya. Tidak lama. Kaki ayah menunjal-nunjal selimut. Tangannya di awang-awangkan. Hos plastik pada hidungnya tertanggal.

‘Kenapa?’

‘Panas’

Aku lurutkan selimut tadi ke paras betis ayah. Aku betul-betulkan kain hijau muda yang ayah pakai. Jururawat pelatih yang masih remaja yang pakaikan petang tadi. Aku letakkan semula hos plastik pada hidungnya. Barulah ayah bernafas dengan sedikit lega. Ayah tidur semula.

Di atas katil yang bertentang katil ayah, seorang lelaki tua terbatuk dan berludah kahak. Seorang perempuan Melayu, mungkin isterinya, tergugah dari lelapnya lalu bangun untuk mengesat-ngesat mulut suaminya dengan tisu. Mesin pembaca nadinya berdecit mengganggu jururawat yang sedang tekun menulis di meja di tengah-tengah bilik ini. Jururawat itu tadi bangun lalu meninjau kiraan nadi lelaki tua itu dari jauh. Beberapa saat kemudian mesin itu kembali senyap. Sudah beberapa kali macam itu, sejak lelaki tua itu diletakkan di situ petang tadi.

Aku toleh kepada ayah. Aku cuba membaca mukanya dalam samar bayang-bayang langsir. Rupa-rupanya ayah sedang merenung perempuan tua itu. Ayah terjaga lagi.

‘Tengok apa?’

‘Aku ingatkan tadi itu emak kau’

Ayah cuba mengiring di atas lambung kanannya dengan payah dan hos plastik turut berpintal seolah-olah membeliti lehernya. Aku betulkan. Kemudian aku tanya ayah kalau-kalau dia mahu minum atau makan. Ayah gelengkan kepala. Aku baringkan kerusi rehat dan aku labuhkan diriku.

IV

Aku terjaga dari tidur awal pagi, waktu subuh pun belum masuk lagi. Bau hancing menyucuk-nyucuk hidung. Aku melingas mencari-cari arah bau tersebut. Aku terlihat ayah dan dia tidak tidur.

‘Jag air kencing tertumpah tadi. Nak letak bawah katil tapi terlepas’

Ayah kelihatan diselimuti rasa bersalah. Aku rasa sedikit terganggu dengan bau itu. Kemudian aku teringatkan anak aku. Aku teringatkan bagaimana aku basuh bekas kencingnya di lantai rumah. Aku jemur tilamnya agar kering. Sedikit pun tiada rasa marah kerana aku tahu budak sekecil itu apalah yang dia tahu. Lagi pun, aku sayang dia. Aku terfikir, mungkin begitulah ayah menjaga aku dulu, semasa aku kecil.

‘Tak apa. Tangan tu masih lemah’

Aku teringatkan anak aku. Aku senyum pada ayah dengan harapan ayah lega dan faham yang aku tak marah padanya. Aku pergi ke bilik cucian, bersebelahan dengan stor ubat-ubatan. Ada tiga batang mop yang tergantung pada rak pengering. Aku ambil satu. Aku cuba cari penyembur cecair sabun wangi yang digunakan oleh makcik India yang bekerja di sini semalam tapi tak jumpa. Aku perah mop tadi dengan pengepit di dalam satu timba kemudian aku pergi ke katil ayah semula. Aku lap kesan tumpahan itu dan kembali ke bilik cucian untuk bilas mop tadi dengan air paip. Aku ulanginya beberapa kali sehinga aku yakin tiada lagi saki-baki yang tertinggal atas lantai. Jururawat yang berada di mejanya hanya memanggungkan kepalanya dan melihat aku dari jauh.

Bau hancing masih berlegar-legar. Aku pergi ke bilik air di hujung blok itu. Aku buka pintu kabinet yang terletak di bawah besen cuci tangan. Aku terjumpa sebotol penyegar udara. Aku goncang dan aku dapati botol itu masih berisi. Aku gembira. Aku kembali ke katil ayah dan aku sembur di sekelilingnya. Juga pada lantai. Banyak juga aku sembur. Bau wangi menyelubungi bilik. Barulah aku dapat sambung tidurku tadi.

V

Aku terjaga. Laungan azan subuh sayup-sayup kedengaran dibawa angin sejuk dari sebuah masjid. Aku bangun dan regangkan pinggang beberapa kali. Tidur di atas kerusi rehat bukanlah selesa sangat. Tidurku sekejap-sekejap. Aku goyangkan perlahan-lahan tangan ayah sehingga dia terjaga.

‘Waktu solat subuh dah masuk’

Aku mahu ayah tahu supaya dia dapat menghormatinya. Aku minta diri untuk ke bilik air untuk mandi. Kemudian aku pergi ke surau yang terletak berdekatan dengan lif. Aku solat bersendirian di situ tetapi pada raka’at yang kedua aku rasakan seolah-olah ada beberapa orang mengikuti aku di belakang. Malam tadi, sewaktu solat tahajjud di surau itu, aku rasakan begitu juga. Biarkanlah.

Sekembalinya aku ke katil ayah, dia suruh aku pergi bersarapan. Dia pesan supaya aku belikan dia kuih karipap atau kalau tiada, kuih sagu merah di kantin. Terketar-ketar tangannya cuba membuka laci tapi tak terlarat untuk tariknya keluar. Aku kerutkan dahi. Aku hairan.

‘Ambil duit dari dompet di dalam laci tu buat beli sarapan dan kuih’

Aku tersenyum. Terlupakah ayah yang aku sudah bekerja dan berkeluarga? Aku menolaknya dengan lembut. Ayah menyuruh aku ambil duitnya beberapa kali. Aku tetap menolaknya. Aku katakan sekarang ini giliran aku belikan makanan untuknya pula.

Di kantin, aku makan nasi lemak dengan sambal dan telur goreng. Untuk ayah, aku belikan dua ketul karipap dan dua ketul apam. Kuih sagu merah tiada. Aku bawa ke kaunter bayaran. Pada mejanya tertulis ‘Untuk Kakitangan Sahaja’. Aku pergi ke kaunter sebelahnya.

‘Kuih ni lima se ringgit’

Oh! Kuih-muih di sini masih murah. Aku ambil seketul karipap lagi untuk cukupkan se ringgit. Aku berjalan menuju ke lif untuk ke tingkat satu. Sampai sahaja ke katil ayah, aku lihat abang sudah sampai dan sedang duduk berbuai kaki di birai katil. Ayah sedang berbual dengan abang. Aku unjukkan kuih karipap kepada ayah. Ayah hanya makan satu. Selebihnya ayah suakan kepada aku dan abang. Begitulah, ayah tetap seorang ayah sampai bila-bila, walau pun anak-anaknya sudah besar panjang begini.

VI

‘Gembirakan hatinya. Ikutkan saja segala mahunya.’

Pesan jururawat tua itu amat menusuk ke tulang hitamku, tapi aku hargainya. Ada benarnya. Jururawat tua itu meninggalkan beberapa coretan pantas di atas kertas kecil sambil mulutnya tidak henti-henti memberi arahan dan peringatan tentang penjagaan ayah. Kemudian dia berikan satu senarai ubat yang telah dititipkan oleh doktor muda awal pagi tadi. Panjang juga.

Ayah gembira. Dia dibenarkan pulang pada tengah hari itu. Segala urusan telah selesai. Ayah kenakan semula baju dan seluar yang dipakainya sewaktu dia dimasukkan ke sini. Aku minta izin jururawat untuk pinjam sebuah kerusi roda. Dia benarkan. Aku sorong ayah perlahan-lahan menuju ke lif. Abang dan kakak ipar mengikuti kami di belakang.

Entah mengapa, aku rasakan ayah semakin menjauh walaupun sebenarnya dia masih di depanku. Aku teringat kata-kata doktor muda itu. Aku juga teringat segala pesanan jururawat tadi. Aku intai wajah ayah dari sisi. Ayah kelihatan gembira. Aku keliru dan risau. Aku tarik nafas dalam-dalam. Resahku bertambah. Aku dapat rasakan kepulangan ayah pada kali ini amat jauh. Mungkin juga menjadi amat dekat, hanya ke pintu lif itu. Aku sorong kerusi roda itu perlahan-lahan, amat perlahan hinggakan masa kurasakan terhenti. Sampaikah ayah ke rumah? Tuhan, berkatilah umur ayahku.

Amin.

{Hamdzan bin Othman - 1920an ~ 2007}

Saturday, April 11, 2009

Kompang: Episod 1 (draf)

Hujan lebat sejak petang tadi masih berbaki rintik, berkumpul lalu meluncur turun dari cucur bumbung zink. Rintik hujan yang jatuh ke bumbung zink menghasilkan rentak yang mengasyikkan. Sekali-sekala cahaya kilat merentasi kaki langit, menerangi sawah barang sebentar tetapi cukup untuk Jali melihat air yang sudah menggenangi petak-petak sawah. Anak padi yang masih berumur beberapa hari akan mati jika tenggelam.

Jali gelisah. Dia sedut baki rokok daun nipahnya dalam-dalam. Asap berkepul-kepul ke udara.

"Payung mana?" Jali campakkan putung rokok ke luar tingkap.

"Malam-malam macam ni? Tak boleh tunggu besok pagi?" Julia bertanya.

"Kalau tunggu besok, semuanya dah tenggelam"

Julia pergi ke dapur dan kembali mendapatkan suaminya bersama-sama sekaki payung. Payung dikembangkan. Terasa sejuknya hujan. Jali mengambil sebatang cangkul dari dalam setor di belakang rumah.

"Nak ke mana tu?"

Bunyi bising dari bilik setor menyebabkan emaknya, yang terbaring akibat menghidap sakit belakang sejak setahun lalu, telah terjaga, barangkali.

"Nak cangkul batas, nak lepaskan air sawah. Takut anak padi tenggelam"



Julia melihat suaminya hilang dalam gelap malam, dalam rintik hujan dengan hanya bertemankan lampu suluh, dari tingkap kayu yang mereput. Kalau anak sulungnya ada, sudah tentu suaminya ajak anaknya itu sekali. Paling tidak, memegang lampu suluh untuk ayahnya. Anaknya baru pulang ke asrama petang tadi, begitu juga dua orang anak daranya yang masih menuntut di sekolah menengah.



[bab pengenalan ni la yang aku rasa paling leceh, kalau boleh nak jump terus ke konflik, tapi tak boleh pulak....hish]

.

Thursday, April 9, 2009

Notakaki3: Kompang

Lupakan UTM dan sayembaranya. Hati aku tak sampai. Dan aku tidak minat menulis kalau bukan dari hati. Aku tak ada feel. Kalau tak ada feel, aku akan ada masalah dengan penceritaan dan details. Ya, aku akan kekurangan details. Bila kurang details, orang pun tak dapat feel, scene akan terlompat-lompat macam katak.

Aku nak cerita pasal kompang. Ya, di atas kuda api aku tadi, aku teringatkan abang aku yang mengambil alih kemahiran arwah bapak aku bermain kompang. Tapi sebelum itu, ketika di R&R Jejantas Sg. Buloh sekembalinya dari Tg. Malim, ketika aku minum bersama seorang teman, aku terdengar seseorang menepuk kompang. Ya, kompang. Ketika aku menatap skrin PC ini dan ketika aku di Merung Mahawangsa, aku teringat lagi tentang Kompang.

Baru-baru ini, emak ada beri beberapa komen tentang abang aku ni, tentang kompangnya, tentang beduknya. Kakak aku yang baru bermenantu sulung baru-baru ini juga ada kisah dengan abang aku ni. Ada konflik, ada cabaran, ada segalanya. Boleh buat drama swasta kalau diletak sedikit ropol-ropol dan kontroversi yang tak benar.

Tapi, cerita itu bukan sains fiksyen. Ia hanya cerita kampung.

Tapi, ok juga rasanya. Banyak pekan dah jadi bandar. Even aku kat sini pun selalu lunch makan ayam kampung goreng. Apa salahnya kalau bercerita berlatarbelakangkan kampung?

KOMPANG
Sinopsis:
Seorang anak kampung yang belajar tinggi dan bekerja di bandar besar, akhirnya telah mengambil keputusan untuk menetap di kampung kerana sebab musabab dan falsafah-falsafah hidupnya. Ahli keluarga lain membantah, termasuk ibu-bapanya (konflik1). Dia bertahan dengan alasan sendiri (falsafah,pendirian hidup, pandangan tentang masa depan).

Dia menceburkan diri dalam beberapa projek kampung tapi kesemuanya tak berhasil, dimana akhirnya dirinya di bebani hutang (konflik2, cabaran, perjuangan). Dia akhirnya menjadi anak kampung. Bila bapanya sakit, dia yang menjaganya kerana kebetulan dia duduk serumah dengan ibu-bapanya dan adik beradik yang lain telah bermastautin jauh-jauh (pengajaran, takdir).

Bila bapanya meninggal dunia, dia cuba mengekalkan beberapa tradisi kampung dan tradisi keluarga dengan caranya, salah satunya ialah Kompang. Kini, walaupun hidupnya amat sederhana namun ia telah berjaya membawa tradisi keluarga sedikit demi sedikit (kejayaan).

80% penceritaan tentang Kompang. 30% dramatisasi sebagai halwa cerita dan menambah ambiguiti watak sebenar.

Bila nak mula ni?



.

Bukan Notakaki - Malam Gelisah

Malam ini malam gelisah
Terhantuk bendul bagai memberi petanda
Aku harus pergi mencari
Penawar jampi pelindung sakti

Malam ini malam gelisah
Untuk mereka yang berwajah-wajah
Yang tak punya wajah
Kalaulah aku mampu
Aku dedikasikan malam ini
untuk mereka yang seperti aku



.

Tuesday, April 7, 2009

Notakaki 2: Tiada erti Merong Mahawangsa tanpa Langkasuka

Siapalah Merong Mahawangsa tanpa Langkasuka? Mari kuperikan akan hal si Langkasuka itu:

Sebermula cerita:

Ini kisah riwayat Raja Langkasuka. Raja memerintah hukumah (kerajaan) ini agamanya Hindu dan Berahman. Ibu 'ashimah (ibu negeri) di negeri Kedah waktu sekarang. Kita, Nahnu (kami, tiada tahu bila mulanya, lakin (tetapi) kata setengah-setengah orang tua sebelum kelahiran Nabi Isa anak Maryam orang-orang Cina telah datang bertijarah (berniaga) di negeri ini.

Ada juga disebutnya negeri Langkasuka. Dan katanya: "Riwayat kisah ini ada raja selepas Isa bin Maryam zahirnya dua ratus tahun" (200AD). Tetapi Cina itu sebut, katanya: "Mengikut sanah (tahun) Cina, berbetulan lebih kurang selepas Isa zahir dua ratus tahun".

Dan negeri hukumah ini ikut agama orang-orang Hindi (India) datang berdagang ada tempat pulau, tiga jazirah, dekat Kedah. Namanya ikut negeri ini. Di situlah tempat orang-orang Hindi berdagang daripada Jurapati. Dan kawalan negeri Langkasuka ini [ter]masuk Legor dan Sanjura. Dan pelabuhan besarnya Petani. Tetapi kita tiada tahu di mana tempatnya, kerana negeri Petani waktu itu namanya belum jadi Petani. Lakin, tentu daerah Petani ini besar pelabuhan dan masyhur [me]rata-rata alam....

Syahdan adapun orang-0rang duduk di Petani ada [yang] makan nasi [dan] ada [yang] makan gandum. Dan orang lain-lain ada [yang] makan jagun[g].....

Dan orang Cina dan orang Hindi pandai jampi-jampi dan sihir [se]hingga orang lain takut kepadanya sebab hairan. Tetapi dia sembah belaka. Batu pun ada sembah. Dan kayu pun ada sembah. Orang-orang Melayu takut...

Adapun orang Jawa bijak belayar dengan perahu. Dan orang Jawa ada datang jual perahu kepada [orang] Cina dan [orang] Khemir. Adapun orang Sakai itu tidak dipanggil orang, hanya panggil Sakai. Maknanya setengah binatang setengah manusia. Adapun orang Cina dan Arab dan Farsi panggil orang hutan belaka. Sebab kalau jumpa dengan orang selalu lari masuk hutan.

Kain dan pakaian tiada pakai. Tetapi kalau dia lapar dan dahaga dia masuk ambil barangnya dengan tiada minta, sebab dia tak tahu bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain-lain......


[Perhamba mulalah salin naskhah asalnya daripada yang mulia Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiuddin, dialah yang membuka mata segala-gala hikayat dan tarikh-tarikh lama...]




Cukup dulu notakaki ini.

Monday, April 6, 2009

Notakaki

Dah dua hari aku pikir, nak buat cerita yang macam mana.

Asalnya, aku nak menyahut seruan UTM tentang Sayembara dia orang. Pertandingan menulis novel sains fiksyen. Bab-bab sains ni memang makanan aku la sebab aku terdidik dari kecik sampai kat U dalam aliran sains. Dan aku memang minat bab sains ni.

Cuma, mencari idea untuk cerita tentang sains ni bukan mudah. Kalau setakat nak cerita pasal apa yang ada sekarang ni, baik tulis je balik cerita yang kat dalam movie tu.

Kalau taraf-taraf UTM, paling kurang macam Jules Vern. Mestilah berasaskan sains teoritikal, kerana mana tahu, 100 tahun akan datang semua tu jadi kenyataan. Zaman sekarang lagi mudah, google je dan semua teori muncul, termasuk teori-teori yang masih kontroversi. Biasanya, teori kontroversi inilah yang paling laku.

Tapi, oleh kerana ini sastera Malayu, latarbelakang cerita pun mestilah di Nusantara. Ini yang payah. Kalau buat terlalu futuristik, satu kerja pulak nak bayangkan kehidupan dan budaya Melayu pada masa tu. Jadi, aku rasa lebih mudah kalau gunakan time line masa kini dan asakkan dengan teori-teori kontroversi. Kemudian, bawak pembaca mengembara mengikut teori-teori ini dan apa kesudahannya.

Habis satu hal.

kemudian isu? mesej? plot? watak? kemuncak? Nak mula kat mana? haih... nantilah kalau ada idea. Mula-mula, kena pikir apa isu dan mesej dulu. Lepas tu pikir pasal teori dan plot.



Dulu, tahun 1998, kalau ada sesapa yang masih ingat dengan Formula Malaysia, ada pertandingan seperti ni. Ada banyak kategori. Aku, masa tu sakit tak boleh kerja 3 bulan, ambil kesempatan. Aku join sekali. Almaklum, kategori terbuka dewasa menawarkan hadiah RM150k, RM100K dan 50K untuk tempat 1, 2 & 3.

Aku tak 'aim' yang tu. Aku tahu sape aku. Aku bukan budak sastera. Aku budak sains. Aku cuma 'aim' hadiah sagu hati. Itu pun lumayan juga, RM1,000 untuk 100 hadiah saguhati. Aku pikir, kalau aku salah seorang dari 100 orang tu pun dah ok.

Maka, aku tulis cerita masyarakat tapi berdasarkan sains. Tajuk asal dia ialah 'UFO', tapi masa aku hantar manuskrip, aku tukar kepada ' Hajatnya kesampaian'. Ceritanya berkisar tentang Azam, seorang budak 9 tahun yang sedikit bermasalah tapi mempunyai fikiran yang diluar tabii kanak-kanak yang sebayanya. Mesej yang aku sampaikan ialah perihal budaya Melayu kampung dan keazaman kita dalam mencapai sesuatu.

Akhirmya, nama aku tersenarai dalam 100 orang untuk hadiah saguhati. Itu pun kakak ipar sulong yang telefon sebab dia nampak nama aku kat dalam Berita Harian (26 Feb 2000). Aku ingat tarikh tu sebab anak aku lahir sehari sebelum tu. Aku dapat tahu pun semasa di SJMC.

Itu rezeki anak namanya.



.

Sunday, April 5, 2009

Tarikh Ini: 4.4.2009

Kesepian
Dan kesejukkan.

Sendirian
Dimamah detik yang pergi
Tinggalkan tali dan kayu reput
Tempat aku bergayut
Menumpang kasih.

Ditinggalkan pergi