Monday, September 30, 2013

Cerita Bersiri: Pusaka....... Bhgn 8 dan finale.

.


Bahagian 8 : 111 Tahun akan datang.

          Sebahagian besar tanah Kampung Kelubi dan kawasan sekitarnya telah diratakan oleh jentera-jentera bergigi besi itu. Kawasan yang satu ketika dahulu padat dengan pokok-pokok hutan dan dusun-dusun buah kini menjadi padang lapang. Hanya tinggal sedikit kawasan yang masih belum diratakan oleh jentera-jentera itu. Kawasan tersebut adalah sekitar pokok besar dan tebing sungai di tanah milik Pak Mahat. Pihak pemaju memang tidak mahu memusnahkan pokok tersebut, malah mereka ingin menjadikan pokok besar tua itu seperti tugu hidup sebagai lambang pemaju itu. Mereka ingin membina satu prasarana tebing sungai yang indah di sekitar kawasan pokok besar itu.

         Kelihatan Sudin terkial-kial mengawal jentolak besar yang sedang menyodok busut kecil di tebing sungai. Sudah berberapa kali dia cuba menolaknya menggunakan penyodok keluli jentera itu namun gagal. Dia tinggalkan busut kecil itu. Dia terus meratakan tanah di kawasan lain pula. Sudah banyak masanya terbuang kerana busut kecil itu.

         Ah Seng sedang duduk merehatkan dirinya di bawah pokok besar, menempatkan dirinya di dalam teduhan daunan rimbun pokok itu. Matahari telah banyak memerah peluhnya dan dia perlu banyak minum air. Lesu badannya membuatkan dia merebahkan dirinya di atas salah satu banir yang besar. Matanya hampir-hampir terlelap kerana asyik dengan hembusan angin dari bukit yang telah hampir gondol di sebelah timur. Namun, di bawah sedarnya, ada sesuatu yang sedang bergerak perlahan-lahan di salah satu dahan pokok besar itu, di atas kepalanya. Sesuatu yang bergerak perlahan-lahan dari dahan ke dahan yang berhampiran. Rimbun daunan mungkin alasan yang baik mengapa Ah Seng tidak menyedari semua aktiviti ganjil itu. Kemudian, perlahan-lahan ia bergerak menuju ke hujung dahan yang terjulai ke permukaan sungai. Sebentar kemudian, terdengar sesuatu yang besar terjun ke dalam sungai. Ah Seng tersentak. Dia terpinga-pinga. Permukaan tempat benda tersebut terjun kelihatan berbuih dan membuak. Air sungai yang mengalir perlahan-lahan telah berkocak agak kuat. Sedikit beting pasir runtuh  ke dalam sungai. Ah Seng berdiri dan pergi ke tebing sungai untuk melihat. Dia tinjau dengan teliti di tempat benda tersebut terjun. Air sungai masih lagi berkocak kecil. Tanpa disedarinya, ada sesuatu seperti akar sebesar lengan sedang menjalar cukup perlahan dari bawah permukaan air sungai menuju ke arah kaki kanannya.

       Sudin sudah terasa penat. Matahari sudah tegak di atas kepala. Sudah tiba masanya Ah Seng mengambil alih kerjanya. Dia mahu berehat. Walau bagaimana pun, Sudin tidak nampak kelibat Ah Seng yang tadinya sedang baring di atas banir pokok besar itu.

 
Bahagian 9 Finale: Sekarang ini.

           Sekumpulan kanak-kanak kecil sedang belari-lari sambil menjerit-jerit riang di dusun Pak Mahat. Musim buah pada kali ini memang menjadi. Buah-buahan bergayutan di hujung dahan-dahan pokok milik orang tua yang sedang duduk di atas pangkin itu. Segala keseronokan tertera di dada tanah bertuah ini. Keputusan kerajaan negeri menghentikan projek pembangunan adalah satu kejayaan buat Pak Mahat kerana janjinya kepada arwah ayahnya supaya tanah ini kekal sepertinya.

           Namun begitu, dia masih tidak mampu menarik nafas lega yang panjang memandangkan usianya yang semakin dirampas oleh masa. Dia tidak mampu menjamin sebarang kemakmuran di tanah ini pada masa hadapan. Dia kemudian memandang cucu-cucunya yang berlari-lari bermain di sekeliling pokok besar tua itu. Mereka adalah harapan masa depan tanah ini. Dia berharap agar mereka akan berupaya mempertahankan tanah ini daripada dicerobohi. Buat masa ini, dia boleh tersenyum, sebagaimana cucu-cucunya itu.

           Perlahan-lahan, Pak Mahat mendongakkan kepalanya ke pucuk pokok besar itu. Ada kenangan di situ. Ada sejarah yang tidak tercatat di buku-buku tetapi ada di situ. Terpendam dan menunggu untuk dibongkarkan. Dia tersenyum lagi dan angin timur menyapa lembut rambut-rambutnya yang memutih, seperti mana ia membelai daun-daun pokok besar itu.
 
 
 

Xxx000xxx


.