Monday, October 31, 2011

Watak ketiga.... projek buluh kasap.. nampak asaaaappp ja.

.


Seorang gadis kecil molek, berbaju kurung lengannya sampai ke separuh tapak tangan, bertudung ringkas berjalan menghampiri sebuah meja di laluan utama pasaraya itu. Meja itu penuh dengan helaian kertas dan jadual-jadual yang menunjukkan keuntungan dan pelaburannya.

 Langkahnya kecil-kecil, sungguh comel. Wajahnya manis mata memandang walau pun tanpa mekap yang tebal-tebal, tanpa gincu yang merah-merah. Sangat 'simple'.



Seorang wanita berpakaian sendat dan anggun bangun lalu bersalaman dengan gadis itu. Gadis itu teragak-agak untuk hulurkan salamnya. Sebelum itu, dia tarik lengan baju kurung yang menutupi tapak tangan yang mulus.


" nama adik siapa? " tanya kakak yang jaga meja itu.

" mmm... nama penuh Kojiratus Saudah. ringkasnya, KoG "

" adik ada masa? takpe, adik duduk dulu. kakak nak berikan penerangan.." belum pun sempat gadis itu cakap, kata-katanya telah di potong.

" baiklah... kakak tak jual insurans. maksud kakak, bukan jual insurans yang biasa-biasa. ini insurans plus pelaburan sekali... bla ... bla.. bla..  untung... bla.. bla.. untung lagi ... bla... bla... bla... untung besar-besar... bla.. bla... "


Bagaikan keretapi hilang pemandu kakak itu bercakap tentang perniagaannya. Gadis itu semakin resah. Gelisahnya terpancar pada wajahnya yang berkulit kuning langsat.

" macam mana ? " kakak tu bertanya

" kakak bercerita kompleks sangat la..." gadis itu berkata dengan nada segan silu.

" eh, ingat tadi adik berminat nak tahu..." muka kakak itu sedikit berubah.


" saya cuma nak tanya, tandas kat mana... itu saja..." lalu gadis itu bangun meninggalkan meja.






.

Ajarkan aku tentang Cinta

.


imej: google


Gersang menadah resah hujan dalam tengkujuh perasaan,
pelik kerana dalam ramai aku keseorangan.


Tolong ajari aku tentang cinta,
nanti aku upah kamu dengan kasih sayang.






.

Jiwa masih parah sehinggalah....

.


imej: daksnmilds.blogspot



... sehinggalah aku bisa meneguk yang pahit
dengan muka yang kekal manis

... sehinggalah aku bisa melihat emas dan debu
tiada beza antara keduanya

jiwa aku tetap parah
masih berdarah







.

Sunday, October 30, 2011

Watak kedua ... nak projek tapi tak larat

.

... sebuah Kelisa putih memberi lampu isyarat membelok ke kanan. Yang ditujunya? Sederet gerai-gerai makanan. Walau pun jam telah menunjukkan pukul 3pm, mereka berdua masih belum sempat untuk makan tengahari. Terlalu sibuk, konon-kononnya tetapi memang sibuk pun sampaikan si pemandu terkocoh-kocoh memasuki lot letak kereta secara senget.

... mereka berdua keluar dari perut Kelisa putih. Si pemandu berdiri sebentar di hadapan keretanya dan memandang kereta di sebelah. 'Bilalah agaknya aku nak dapat Alphard putih macam ni..?' bisik hati kecilnya.


" cepatlah Tazs. aku dah lapar nih..."

Oleh kerana asid perut sudah mula naik ke dada, mereka terus berjalan laju menuju gerai nasi campur.

" panas..!!! Bulih cair bedak 'fondesen' aku gini " katanya sambil membetul-betulkan kain sendat dan kebaja singkatnya.

Bergoyang-goyang spring cucuk sanggulnya apabila dia berjalan pantas melangkah longkang kecil dengan sekali langkah sahaja. Lega... akhirnya mereka berada di bawah bumbung gerai yang teduh.


Tiba-tiba wanita berkebaya singkat itu undur ke belakang beberapa langkah, kembali berada di bawah terik matahari petang.


" kamu ni kenapa? tadi kata panas... " Tazs mula melabuhkan punggungnya ke kerusi.

" aku nak mintak tolong kamu tolong tengok kejap " balasnya. Matanya terpicing dek terik matahari.

"nak tengok apa, Kathy ? " Tazs bertanya lagi, suaranya sudah tinggi sikit.


" antara aku dengan bayang-bayang aku ni, mana yang lebih kurus, Tazs ? "


Tazs membulatkan matanya yang sepet sambil tangannya mula mencapai botol sos cili di atas meja.






.

Aku rasa macam nak buat projek baru la....watak pertama

.

(sedikit sedutan sesi pengenalan watak dari cerita yang aku belum mula tulis dan masih tanpa nama)




... wanita itu mengusung lengannya yang berasa sengal ke hulu ke hilir di klinik milik penuh kerajaan 1Malaysia itu. Mukanya berkerut-kerut menahan sengal yang menjalar dari bahu membawa ke hujung jari hantu. Dia tak sedap duduk kerana menunggu agak lama, oleh sebab itulah dia berjalan ulak-alik di depan meja yang sepatutnya ada seorang pegawai perubatan di situ.


... seorang pegawai perubatan yang berpakaian putih bersih keluar dari bilik lalu duduk di meja itu. Melihatkan wanita yang dari tadi asyik berjalan tak keruan, dia gamit wanita itu.


" sila isi borang ini dulu " kata pegawai perubatan itu sambil mengunjukkan sekeping borang kecil dan sebatang pen.



Wanita yang sengal tangannya itu menuliskan namanya. Sekejap matanya pandang kakak pegawai perubatan itu, sekejap dia benamkan mata pada borang itu.

" Tazs ? " tanya kakak pegawai perubatan sambil kerutkan dahinya.

" boleh tulis nama penuh ? Di sini tak ada nama glamer-glamer  ya..." kakak pegawai perubatan itu unjukkan borang yang baru.


Wanita yang sengal tangannya itu memandang tepat muka kakak pegawai perubatan itu dengan mulut yang diketap-ketap. Nampak ganas sungguh wanita itu, tak padan dengan lengan sengalnya langsung. Setelah nama penuhnya ditulis, dia berikan borang itu kembali kepada kakak pegawai perubatan itu.


" Mumtaz Begum ? Ooo... Tazs tu dari Mumtaz lah ek? " kakak pegawai perubatan itu sedikit tersenyum.


" Mumtaz begum... " kakak itu panggil wanita yang bernama Tazs itu.

"... boleh berikan passport ? Err... maksud saya Kad Pengenalan Malaysia "  sambungnya.


Tazs, wanita yang masih sengal bahunya itu, mengeluarkan sekeping kad lalu memberikannya dengan tangan kiri... manakala tangan kanannya dikepalkan membentuk penumbuk....lalu disuakan ke muka kakak pegawai perubatan itu. Sungguh ganas.








(Ini baru teaser.. keh keh keh...)

.

Thursday, October 27, 2011

Jiwa-jiwa yang parah...

.

imej:deviantart






















Pilu itu ada di puncak jiwa, dan sedu itu
rentak yang meruntun rasa,
Aku melihat segala,
melalui kaca-kaca air mata.


Aku lihat dia,
menari sunyi keseorangan dalam hujan,
ingin sungguh aku temaninya,
tapi aku sendiri tak bermaya.


Kataku
wahai jiwa yang parah,
kamu nanti kesejukkan di situ,
dan aku menangis di sini melihatmu.






.

Tuesday, October 25, 2011

Mimpi Sedih...( dgn lirik dan kod gitar)

.

Musim tengkujuh begini, aku suka dengar lagu ni...







Aku carikan kod gitar untuk sesiapa yang berminat menghayatinya.

Aku guna key ' C ' in major.

Sesiapa yang guna tune lain, turunkan sahaja key tersebut ke atas atau ke bawah.


Mimpi Sedih


C                            G
Di malam sepi aku bermimpi
F                   G              C  - G - C
Mimpi yang sedih sekali
C                                      G
Kau akan pergi tinggalkan diriku
F                  G           C - G - C        
Aku menangis tersedu


c/o

C    F                     Dm      G                C
Diriku tak pernah lepas dari penderitaan
F                 G           C - G - C
Mimpi yang kini terjadi
C           F                Dm     G               C
Kau pergi setelah aku serahkan kasih suci
F         G          C
Itulah nasib diriku



C                                         G
Angin meniup membisikan kata
F                    G                 C - G -C
Yang sangat menyusuk hati
C                                            G
Angin meniup membelai rambutku
F                   G          C
Yang tiada berseri lagi



kembali ke  c/o




Silakan....




.

Mencari wadah yang sebenar...

.



Dalam mengejar sebuah kehidupan yang ditakrifkan oleh yang empunya kehidupan sebagai yang sempurna, kerap berlaku pertindihan antara kemahuan dan kehendak. Calar balar terguris oleh situasi begini menjadi kudis-kudis yang bernanah jika tak dirawat dari awal.


Mencari wadah yang terbaik untuk sebuah kehidupan bukanlah semudah yang disangka kerana definisi 'terbaik' itu adalah relatif, berbeda-beda dari setiap pemunya tubuh badan.


Kesempurnaan hanya wujud dalam jiwa kerana kesempurnaan itu bukanlah sesuatu yang boleh diukur dengan mata kepala. Kesempurnaan itu adalah nilai yang terkandung dalam tubuh badan anak-anak Adam, terpahat jauh  dalam hati-hati insan.


Kesempurnaan adalah sesuatu yang hanya boleh dirasa dan dilihat dengan mata hati. Lidah hati itu ujarnya tanpa suara. Ujarnya dengan rasa.


Itu yang aku pelajari hari ini.







.

Sunday, October 23, 2011

Pagi Ahad Indah...

.

Pagi ini indah tetapi ada suram bergerak dari kaki langit selatan,
Perlahan-lahan membawa gelap hitam fikiran,
Menolak cahaya ke satu sudut yang sempit,



Dalam jiwa ini, satu perasaan pun berputik meminta-minta,
Indah itu bukan miliknya.
Ia milik semua.






.

Sunday, October 16, 2011

Ayu Jannah bertemu semula dirinya...

.




Berbulan, malah mungkin juga bertahun Ayu Jannah mundar-mandir di pulau itu. Rodokan hablur-hablur pilu yang tajam meracik-racik hatinya yang lutsinar. Amat pedih. Lebih pedih apabila dia berseorangan tanpa Matahari yang telah lama pergi meninggalkannya. Kini, hanya Bulan yang berinya sesuluh untuk dia berjalan menyusun tapak-tapak tanpa bekas dan bentuk di atas pasir-pasir putih.


Tiada Camar Hitam , tiada Merak, tiada ombak, tiada teritip-teritip yang melekat pada karang tajam, yang menemaninya sekarang. Angin laut juga tidak meniup seruling untuknya. Segala-galanya sunyi sepi. Sunyi sehening-heningnya.


Ayu Jannah duduk di atas pasir pantai. Rambutnya yang lutsinar jatuh ke dahinya, yang juga lutsinar, apabila dia tunduk untuk melihat degup hatinya yang juga lutsinar. Cahaya Bulan menembusinya, tiada bayang-bayang. Dia umpama hablur jernih yang tiada cela. Dia umpama kaca yang rapuh. Hatinya sungguh rapuh. Bila-bila masa sahaja, jika terusik dengan kasar, hatinya bisa hancur dan berderai.


Jika hatinya hancur berderai, luluhlah segala perasaanya. Tiada gunanya lagi dia hidup jika hatinya hancur. Tanpa hati tiadalah rindu, tiadalah cinta. Tiadalah tempat untuk meletakkan cinta di dalam tubuhnya. Tanpa cinta pula, apa gunanya dia terus berharap dan terus hidup?


" Aduhai kasih, hatiku ini sungguh rapuh... sesungguhnya aku takut jika hembusan dari bisikan-bisikan jiwaku yang kotor menghancurkannya... "


Bahu Ayu Jannah bergegar. Ketakutan dan kerisauannya menyelimuti perasaan. Gegarnya semakin kuat sehingga terbit sedu sedan. Tanpa perlu ditahan-tahan lagi, Ayu Jannah membiarkan matanya berair. Biarkanlah, fikirnya.


Perlahan-lahan air matanya bergenang pada kelopak matanya yang ayu. Semakin lama semakin banyak. Akhirnya, air mata itu turun membasahi pipinya yang mulus dan halus. Ayu Jannah seorang gadis yang cantik, memang. Sayangnya dia telah hamburkan dirinya ke laut hitam dan hanyut bersama-sama puing-puing dan keruping-keruping kayu reput.


Ayu Jannah menyapu air matanya yang mengalir di pipi. Dia kaget. Dia terkejut kerana air matanya adalah darah yang ada warna, warna merah. Dia sapu-sapu lagi dan memang benar, air matanya berwarna merah dan itu adalah darah. Seakan-akan tidak percaya, Ayu Jannah sapukan lagi air matanya lalu menyapukannya pula pada lengan-lengannya.


Ayu Jannah tersenyum. Ayu Jannah bersyukur. Amat-amat bersyukur. Dia terharu, dia terlalu gembira dan perasaan gembiranya tidak lagi dapat ditahan-tahan lalu air mata sedihnya kini bertukar menjadi air mata gembira.


Air mata darah yang dia sapukan pada lengan-lengannya tiba-tiba meresap masuk ke dalam kulitnya, ke dalam dagingnya. Ayu Jannah sapukan lagi air matanya pada lehernya, pada dadanya yang montok, pada perutnya, pada peha-pehanya, pada kaki-kakinya.. pada seluruh tubuh badannya yang lutsinar itu.


Seperti yang berlaku pada lengannya tadi, air mata darahnya mulai meresapi kulit dan dagingnya. Perlahan-lahan tubuh Ayu Jannah mendapat warna. Tubuhnya kembali mendapat bentuk dan warna asalnya. Rambutnya kembali menjadi hitam. Kulitnya kembali menjadi kuning langsat. Bibirnya kembali menjadi merah. Tubuhnya tidak lagi lutsinar.


Ayu Jannah memandang pasir pantai yang putih. Dilihatnya ada bayang-bayang dirinya di atas pasir itu. Bayang-bayang yag terhasil dari cahaya Bulan. Dia sungguh gembira. Dia sungguh bersyukur. Kini Ayu Jannah kembali mendapatkan tangan-tangannya, kaki-kakinya, mendapatkan kembali dirinya.


Kini tubuhnya tidak lagi lutsinar seperti hablur, seperti kaca yang rapuh. Hatinya tidak lagi rapuh dan jantungnya kini berdegup untuk mengepam darah merah yang kini sedang mengalir dengan warna-warna kehidupan ke segenap urat darah.


" Terima kasih, kekasihku...."


Ayu Jannah sedar bahawa tempoh pengasingan mungkin telah tamat namun sayap-sayapnya masih belum tumbuh. Tanpa sayap-sayapnya, mustahil dia boleh terbang meninggalkan pulau ini. Pulau yang hanya wujud dalam diri sejatinya. Pulau yang timbul dari sifat rasa dan jiwa terhadap kesedihan dan penyesalan.


Sayap-sayap Ayu Jannah perlu tumbuh dan untuk itu, Ayu Jannah perlu terus bersendiri... dalam diri.






.

Tuesday, October 11, 2011

Sebuku hati kulepaskan ia pergi

.






Sebuku hati ini kulepaskan ia pergi
rontanya tak sanggup kukekang lagi
hancur tangan luluh impian
terseksa jiwa tersimpan
biarkanlah ia pergi kepada dunia

biarkanlah tubuh ini kosong
akan senang jiwa diusung
ke liang kubur.







.