Saturday, December 14, 2013

Kebebasan yang aku mahu...

.

Jangan kunci aku
aku mahu lepas bebas
dan tidak dipanggil masuk lagi.
Sangkar itu
membenar bayu berpuput
membelai, menyibak rerambut kusut
tapi udara tertampan, nafasku ditahan.
Lemas aku di dalam ini
siang malam bermimpi
sedangkan kau di luar
memetik bunga-bunga mekar.

Jangan kunci aku
Atau baik kau tusuk saja jantungku
Terkurung aku tak mahu.




.

Thursday, November 28, 2013

Rengkas...

.


Cintailah aku,
Kerana aku ingin dicintaiMu.




.

Wednesday, November 13, 2013

Aku sungguh bosan dengan mereka

.


Aku bosan
Dengan cerita dunia yang sama
    pekiknya sama
    warnanya sama
    tangisnya sama
    hamisnya sama
Tapi pelik, tempatnya bukan sama.

Aku bosan
Dengan suara-suara politik terlontar dari halkum mereka
     belitnya sama
     kancahnya sama
     busuknya sama
     tipunya sama
Tapi pelik, ia dari mereka yang sama....


Aku bosan, benar-benar bosan!








.

Thursday, October 31, 2013

Dia pergi..

.


Redup hati ini melihat dia pergi
Seakan-akan waktu berhenti mendetik
Seakan-akan hilang satu tanda...






.













Monday, September 30, 2013

Cerita Bersiri: Pusaka....... Bhgn 8 dan finale.

.


Bahagian 8 : 111 Tahun akan datang.

          Sebahagian besar tanah Kampung Kelubi dan kawasan sekitarnya telah diratakan oleh jentera-jentera bergigi besi itu. Kawasan yang satu ketika dahulu padat dengan pokok-pokok hutan dan dusun-dusun buah kini menjadi padang lapang. Hanya tinggal sedikit kawasan yang masih belum diratakan oleh jentera-jentera itu. Kawasan tersebut adalah sekitar pokok besar dan tebing sungai di tanah milik Pak Mahat. Pihak pemaju memang tidak mahu memusnahkan pokok tersebut, malah mereka ingin menjadikan pokok besar tua itu seperti tugu hidup sebagai lambang pemaju itu. Mereka ingin membina satu prasarana tebing sungai yang indah di sekitar kawasan pokok besar itu.

         Kelihatan Sudin terkial-kial mengawal jentolak besar yang sedang menyodok busut kecil di tebing sungai. Sudah berberapa kali dia cuba menolaknya menggunakan penyodok keluli jentera itu namun gagal. Dia tinggalkan busut kecil itu. Dia terus meratakan tanah di kawasan lain pula. Sudah banyak masanya terbuang kerana busut kecil itu.

         Ah Seng sedang duduk merehatkan dirinya di bawah pokok besar, menempatkan dirinya di dalam teduhan daunan rimbun pokok itu. Matahari telah banyak memerah peluhnya dan dia perlu banyak minum air. Lesu badannya membuatkan dia merebahkan dirinya di atas salah satu banir yang besar. Matanya hampir-hampir terlelap kerana asyik dengan hembusan angin dari bukit yang telah hampir gondol di sebelah timur. Namun, di bawah sedarnya, ada sesuatu yang sedang bergerak perlahan-lahan di salah satu dahan pokok besar itu, di atas kepalanya. Sesuatu yang bergerak perlahan-lahan dari dahan ke dahan yang berhampiran. Rimbun daunan mungkin alasan yang baik mengapa Ah Seng tidak menyedari semua aktiviti ganjil itu. Kemudian, perlahan-lahan ia bergerak menuju ke hujung dahan yang terjulai ke permukaan sungai. Sebentar kemudian, terdengar sesuatu yang besar terjun ke dalam sungai. Ah Seng tersentak. Dia terpinga-pinga. Permukaan tempat benda tersebut terjun kelihatan berbuih dan membuak. Air sungai yang mengalir perlahan-lahan telah berkocak agak kuat. Sedikit beting pasir runtuh  ke dalam sungai. Ah Seng berdiri dan pergi ke tebing sungai untuk melihat. Dia tinjau dengan teliti di tempat benda tersebut terjun. Air sungai masih lagi berkocak kecil. Tanpa disedarinya, ada sesuatu seperti akar sebesar lengan sedang menjalar cukup perlahan dari bawah permukaan air sungai menuju ke arah kaki kanannya.

       Sudin sudah terasa penat. Matahari sudah tegak di atas kepala. Sudah tiba masanya Ah Seng mengambil alih kerjanya. Dia mahu berehat. Walau bagaimana pun, Sudin tidak nampak kelibat Ah Seng yang tadinya sedang baring di atas banir pokok besar itu.

 
Bahagian 9 Finale: Sekarang ini.

           Sekumpulan kanak-kanak kecil sedang belari-lari sambil menjerit-jerit riang di dusun Pak Mahat. Musim buah pada kali ini memang menjadi. Buah-buahan bergayutan di hujung dahan-dahan pokok milik orang tua yang sedang duduk di atas pangkin itu. Segala keseronokan tertera di dada tanah bertuah ini. Keputusan kerajaan negeri menghentikan projek pembangunan adalah satu kejayaan buat Pak Mahat kerana janjinya kepada arwah ayahnya supaya tanah ini kekal sepertinya.

           Namun begitu, dia masih tidak mampu menarik nafas lega yang panjang memandangkan usianya yang semakin dirampas oleh masa. Dia tidak mampu menjamin sebarang kemakmuran di tanah ini pada masa hadapan. Dia kemudian memandang cucu-cucunya yang berlari-lari bermain di sekeliling pokok besar tua itu. Mereka adalah harapan masa depan tanah ini. Dia berharap agar mereka akan berupaya mempertahankan tanah ini daripada dicerobohi. Buat masa ini, dia boleh tersenyum, sebagaimana cucu-cucunya itu.

           Perlahan-lahan, Pak Mahat mendongakkan kepalanya ke pucuk pokok besar itu. Ada kenangan di situ. Ada sejarah yang tidak tercatat di buku-buku tetapi ada di situ. Terpendam dan menunggu untuk dibongkarkan. Dia tersenyum lagi dan angin timur menyapa lembut rambut-rambutnya yang memutih, seperti mana ia membelai daun-daun pokok besar itu.
 
 
 

Xxx000xxx


.

Tuesday, July 30, 2013

Cerita Bersiri: Pusaka .... Bhgn 7

.


Bahagian 7: 400 Tahun lampau.

                        Seorang lelaki separuh umur berlari-lari dengan tergesa-gesa dari tambatan. Tali perahunya pun tidak diikat dengan kemas. Ada sesuatu yang menakutkannya. Ada sesuatu yang seolah-olah menghambatnya dari arah belakang sehinggakan mukanya tampak pucat lesi, ditoreh tidak berdarah. Cuaca tidak begitu baik sejak kebelakangan ini. Kerap terjadi hujan panas. Hujan begini memang tidak mengizinkan para nelayan sungai untuk turun menangkap ikan. Mereka tahu pantang larang orang tua-tua. Mereka tidak berani untuk melanggarnya. Tetapi tidak bagi lelaki yang lari tadi. Dia merasa geram apabila terlihat banyak ikan bermain-main di permukaan air di lubuk.

                        Malam itu, kampung kecil itu dihebohkan dengan berita Demang sakit kuat. Dia meracau-racau tidak tentu pasal. Habis meracau, dia terus berguling-guling seperti hendak lari sambil mulutnya berbuih-buih. Jika tidak berbuih, mulutnya bising bercerita tentang betapa besarnya ikan yang termakan taut anak ikan Keli miliknya. Namun begitu, dia tidak mampu untuk menarik ikan itu naik ke dalam perahunya kerana apabila semakin ditarik, ikan tersebut semakin kuat meronta-ronta. Tiba-tiba dia terlihat kedua-dua mata ikan tersebut berkelip. Oleh kerana terkejut, dia terus melepaskan tautnya dan berdayung pulang, keluar dari kawasan lubuk itu.

                        Pawang Andika telah dipanggil untuk tolong mengubati Demang. Jiran-jiran Demang juga telah datang seawal selepas Maghrib untuk membacakan surah Yassin di rumahnya. Isteri Demang semakin risau apabila sakit suaminya tidak kebah-kebah. Lewat malam itu, Demang kelihatan hanya mendongakkan kepalanya sambil matanya bulat memandang kepada atap rumah. Dadanya berombak kuat seolah-olah takut yang teramat. Peluh jantan tidak henti-henti mengalir turun dari dahinya. Pawang Andika mula membuat andaian bahawa Demang telah terserempak dengan penunggu lubuk. Demang telah ditegur kerana melanggar pantang larang hujan panas. Keesokan paginya, Demang secara tiba-tiba telah bangun dan menerpa ke muka pintu. Isterinya yang sedang menjerang air di dapur terkejut dan telah cuba untuk menghalang suaminya dari terjun ke atas tanah tetapi gagal. Suaminya ternyata lebih gagah daripadanya. Demang terus berlari ke arah sungai meninggalkan isterinya yang sedang menangis di kaki tangga rumahnya. Demang telah lupa segala-galanya. Dia terus terjun ke dalam sungai dan berenang ke hilir. Dia seperti terdengar suara memanggilnya dari arah lubuk  tempat dia menahan tautnya semalam. Dia seperti telah kerasukan kerana tidak mengendahkan raungan isterinya di kaki tangga. Itulah kali terakhir Demang dilihat oleh isterinya.

                        Semenjak peristiwa Demang disampuk penunggu lubuk itu, tiada siapa yang berani menangkap ikan di situ lagi. Biar pun ikan di situ banyak sehinggakan kelibatnya tampak dari atas permukaan sungai, tiada sesiapa pun yang ambil peduli. Pokok besar yang tegak gagah di tebing sungai itu menjadi penanda kawasan yang berpuaka itu.





[bersambung lagiii....]

.

Tuesday, July 23, 2013

Cerita Bersiri: Pusaka.... Bhgn 6

.


Bahagian 6 : 5 tahun lepas.

                        Pokok besar yang telah tua itu masih tersergam gagah di situ. Jauh di belakangnya kelihatan sebuah gunung yang dikelilingi dengan kondominium-kondominium mewah yang berceracak di kakinya. Hutan-hutan kayu kini telah lama reput dan digantikan dengan busut-busut batu yang tinggi-tinggi. Sesetengahnya ada lampu-lampu merah berkelip-kelip di puncaknya. Berbeza dengan di sini, di sekitar Kampung Kelubi ini yang daranya masih belum terjamah oleh gigi-gigi jentolak. Usaha para penduduk kampung pada masa sudah telah berjaya membuka mata pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan kajian terperinci terhadap cadangan projek pembangunan di kawasan ini. Pihak yang bertanggung jawab telah menugaskan sebuah syarikat perunding bebas yang diketuai oleh sebuah jawatankuasa untuk menjalankan kajian keatas kesan pembangunan tersebut kepada alam sekitar. Hasilnya, seperti yang telah dijangkakan, projek tersebut memang boleh mengancam ekologi tanah di kawasan tersebut. Lebih daripada itu, pihak kerajaan negeri telah mengumumkan kawasan sekitar sungai itu, termasuk Kampung Kelubi, adalah kawasan hutan sensitif, hutan yang tidak boleh dibangunkan agar ekologi sekitarnya kekal terjamin. Keputusan ini disambut dengan gembira oleh para penduduk terbabit. Tidak terkecuali, para perwakilan dan menteri yang hampir pasti dapat meneruskan kekuasaan pada musim akan datang.

                        Walau pun usaha para penduduk setempat untuk menghalang perlaksanaan projek tersebut telah membuahkan hasil seperti yang dicita-citakan, tidak seorang pun yang berani menjangkakan sampai bila hutan simpan tersebut terus disimpan. Termasuk juga ahli-ahli politik yang turut sama menumpang nama dengan kejayaan itu. Mahat, atau lebih dikenali dengan nama Pak Mahat, hanya bersyukur panjang apabila diberitahu berita baik itu. Telah berkurun lamanya keluarga Mahat tinggal di Kampung Kelubi. Malah, tanah miliknya adalah diantara yang terluas di situ, termasuk tanah di tebing sungai. Pokok besar yang telah berusia itu juga berada di dalam bidang tanahnya. Sedikit pun tidak akan dia gadaikan tanah pusakanya hanya untuk mengaut untung yang besar. Dia tahu, duit sebanyak mana pun akan habis akhirnya tetapi tidak tanah. Dia amat sayangkan tanahnya.




.

Wednesday, July 17, 2013

Cerita Bersiri: Pusaka.... Bhgn 5

[Cerita bersiri ini ditulis dalam tahun 1998]


Bahagian 5 : 108 Tahun akan datang.

                        Kampung Kelubi menjadi gempar hari ini. Sebuah papan penyataan projek pembangunan telah terpacak di pinggir jalan masuk ke kampung itu. Di sebelahnya, terpampang pelan pembangunan beserta dengan lukisan bandar konsep, lengkap dengan pusat beli-belah dan prasarana tebing sungai. Namun begitu, terdapat lukisan sebatang pokok yang besar di tepi sungai. Bezanya dengan sekarang ini ialah sungai dalam lukisan itu lebih mirip kepada longkang yang besar apabila tebing sungai yang asal dikonkritkan, seperti mana yang di lukiskan dalam gambar  tersebut.

                        Para penduduk kampung, diketuai oleh Kasim, telah membentuk sebuah jawatan kuasa bertindak bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian kepada kemelut itu. Mereka sebulat suara membuat keputusan untuk membantah perlaksanaan projek pembangunan tersebut. Petisyen yang ditandatangi oleh hampir seluruh penduduk Kampung Kelubi telah dibuat dan telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menimbang semula keputusan perlaksanaan projek tersebut.

                        Di suatu tempat yang lain, di tempat yang berhawa dingin dan dikelilingi oleh pemuzik sambil orang ramai sedang makan, kelihatan dua lelaki Melayu dan seorang lelaki Cina sedang menjamu selera. Terdapat juga tiga gadis manis yang tidak dikenali bangsanya menemani mereka makan sambil menuangkan air minuman yang pahit rasanya. Salah seorang lelaki Melayu itu berpakaian kemas dengan tali leher dan kot. Dia kelihatan bercerita sambil disambut dengan ketawa mengampu oleh lelaki Cina dan ketawa hambar oleh lelaki Melayu itu. Sebelum mereka mengakhiri makan tengah hari, lelaki Cina itu bersalaman dengan kedua-dua lelaki lelaki Melayu sambil menghulurkan sekeping sampul surat kuning yang kelihatan sendat kepada kedua-duanya. Senyuman kedua-duanya semakin melebar. Tidak lama kemudian, dua buah kereta mewah yang besar keluar dari lobi hotel tersebut.




[bersambung...]


.

Friday, July 5, 2013

Cerita bersiri: Pusaka..... bghn 4.

[cerita ini ditulis pada tahun 1998]




Bahagian 4: 310 Tahun dulu.

                        Kantan tidak pernah merasa begitu tertekan sebagaimana sekarang ini. Isterinya, Seroja, telah seminggu tidak pulang-pulang ke rumah. Anak-anak Kantan yang seramai tiga orang itu kelihatan tidak ceria sebagaimana sebelum ini. Makan dan pakai mereka diuruskan oleh jiran sebelah yang juga bidan yang menyambut ketiga-tiga mereka. Anak Kantan yang kecil asyik menangis kerana merindui ibunya. Orang-orang kampung turut sama merasai kesedihan Kantan. Mereka telah cuba berbagai cara untuk menjejaki Seroja; daripada mencari beramai-ramai sehinggalah menggunakan khidmat Bomoh Hitam tetapi hasilnya tetap sama. Seroja masih belum muncul.

                        Telah ada khabar-khabar angin yang mengatakan Seroja dilarikan oleh salah seorang penduduk kampung di hilir yang juga musuh kepada Kantan. Walaupun buktinya tiada, tetapi jika didasarkan kepada peristiwa lima bulan lepas, ada munasabahnya. Lima bulan yang lepas, Kantan telah bergaduh dengan Talang akibat dari salah faham. Puncanya apabila Kantan pergi menjala ikan di Lubuk Kelubi, lubuk yang terletak agak ke hilir sungai. Lubuk tersebut memang terkenal dengan ikan yang dikatakan ada sehingga sebesar perahu kecil. Talang pula tinggal tidak jauh dari lubuk itu yang merupakan jajahan kampungnya. Rebutan kawasan menangkap ikan memang biasa terjadi, dan ia menjadi bertambah tegang jika melibatkan kawasan sempadan. Pada tanggapan Talang, Kantan sengaja menghina keluarganya apabila datang menjala ikan di Lubuk Kelubi. Mungkin bagi Kantan kedatangannya bukan satu kesalahan. Namun bagi Talang yang terkenal dengan panas barannya, periuk nasinya mula dicerobohi oleh Kantan.

                        Ada juga khabar-khabar dari orang-orang tua mengatakan Seroja telah disorok oleh penunggu yang bermastautin di pokok besar yang tumbuh berhampiran jeti di sungai. Pokok besar itu dikatakan sering menghasilkan bunyi-bunyian yang menyeramkan pada waktu malam. Ada yang mendakwa telah mendengar suara perempuan mengilai. Ada yang mendakwa lebih jauh daripada itu sehingga mengatakan telah terserempak dengan penunggu yang sedang bertenggek di dahan yang menjulur ke sungai sambil lidahnya menjilat air sungai. Tidak ada siapa yang berani pergi ke situ pada waktu malam. Pokok itu telah tua. Tetapi tiada siapa yang tahu berapa tua pokok itu.

                        Kehilangan Seroja telah membuka mata para penduduk kampung. Seroja memang terkenal dengan keayuannya. Dia adalah berketurunan raja. Moyangnya dahulu telah disingkirkan dari takhta akibat perebutan kuasa. Moyangnya telah lari membawa diri dengan berakit di laut berhari-hari lamanya sehinggalah berjaya ke hulu sungai ini dan berlindung diri.

                        Kantan membuat satu keputusan yang nekad. Dia mahu bersemuka dengan Talang. Biar apa pun yang akan berlaku, Kantan tidak mahu dikatakan pengecut. Telah seminggu isterinya hilang, dan mungkin ada di rumah Talang, dan dia tidak mahu bertangguh lagi. Dalam diam-diam, Kantan pergi ke jeti dan terus melucutkan tali salah satu perahu kecil. Dengan cepat dia berdayung mengarah ke hilir sungai. Perahu kecil yang dinaikinya teroleng-oleng apabila Kantan mendayung dengan cepat. Dia mahu segera sampai ke rumah Talang. Dalam fikirannya hanya ada satu; Talang harus mati atau pun dia yang akan tersungkur. Hanya ada seorang sahaja yang patut tinggal.

                        Setelah sampai, perlahan-lahan Kantan merangkak menuju ke bawah rumah Talang. Tidak kedengaran sebarang suara dari dalam rumah. Kantan hairan. Di manakah agaknya Talang ? Dia memberanikan diri keluar dari bawah rumah dan berdiri di muka tangga. Tangannya menggenggam kemas hulu parang panjang yang masih tersisip pada pinggangnya. Dia perlu berhati-hati dengan sebarang kemungkinan. Suasana masih sunyi. Hanya kedengaran bunyi air di sungai. Matahari kian redup. Sebahagian cahayanya terlindung oleh pucuk  Ijuk. Kantan hairan kerana tiada siapa yang ada di rumah itu hatta anak-anak Talang yang dua orang itu; anak-anak yatim Talang yang kehilangan isterinya empat tahun lepas.

                        Berbagai-bagai andaian yang bermain-main dalam kepala Kantan. Ada yang menakutkan dan ada yang membuatkan darah Kantan semakin membuak. Akhirnya, dia pasti Talang telah membawa isterinya lari kerana perahu milik Talang tiada di tambatan. Tambahan pula sekitar rumahnya yang agak berselerak dengan daun-daun kering dan debu. Kantan berasa terkilan dan sedih yang teramat sangat dan terus berjalan menuju ke perahunya. Dia berdayung pulang. Sebaik sahaja sampai di Lubuk Kelubi, dia berhenti berdayung dan menundukkan kepalanya. Angin bertiup kencang secara tiba-tiba. Dahan-dahan pokok besar di tebing sungai itu bergoncang agak kuat sehinggakan daun-daun kering berguguran umpama hujan. Kantan melihat semua itu. Dan dia hanya melihat sahaja.

                        Itulah kali terakhir Kantan di lihat oleh orang kampungnya. Tiada berita yang diterima tentangnya, sama seperti berita tentang isterinya. Kehilangan Kantan dan isterinya masih menjadi misteri dan persoalan itu tetap tidak berjawapan sehinggalah anak-anaknya kini telah bercucu-cicit. Anaknya yang sulung telah dilantik menjadi ketua Kampung Kelubi, sempena nama lubuk yang menjadi misteri diantara dua buah kampung yang berkongsi  sungai itu.




[bersambung...]

Thursday, July 4, 2013

Cerita bersiri: Pusaka .... bhgn. 3

[cerita yang aku tulis pada tahun 1998]



Bahagian 3: 10 Tahun lepas.

                        Rancangan kerajaan untuk memajukan sekitar kawasan Kampung Kelubi mendapat bantahan daripada para penduduk setempat. Ini kerana mereka percaya masalah pencemaran akan berlaku dan seterusnya akan menyebabkan hutan primer yang menggelangi Kampung Kelubi akan musnah secara perlahan-lahan. Bagi mereka, nilai kemajuan yang dijanjikan oleh kerajaan tidak mungkin akan setimpal dengan pengorbanan hutan itu.

                        Ini telah menjadi begitu jelas sejak akhir-akhir ini apabila banyak tanah yang ‘menggeliat’ kegelian diterjahi air hujan kerana tanah tersebut telah ditelanjangi untuk dipasak dengan pokok-pokok konkrit dan kaca. Akibatnya, satu persatu pokok-pokok itu tumpas menyembah dataran yang tanahnya masih lagi merah, belum bertar. Itulah janji alam. Dan janji itulah juga yang penduduk Kampung Kelubi pegang dan percaya. Keseimbangan ekologi terganggu. Biodiversiti telah terancam dengan perkenalan parasit-parasit yang dibawakan oleh pembangun-pembangun yang hanya memandang kepada wang dan para ahli politik yang dahagakan ganjaran dari arah belakang. Namun, itulah kehendak pembangunan. Musnahkan dahulu dan barulah dibangunkan. Barulah pembangunan itu boleh dikatakan berjaya apabila dirujuk semula kepada kemusnahan yang sebelumnya, bukan kepada kemakmuran yang telah tersaji sejak sekian lama, sebelum kehadiran para pembangun yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘pembawa tamadun’.

                        Para penduduk telah menghantar berpuluh-puluh petisyen bantahan terhadap pelan pembangunan tersebut. Sejak itu, projek tersebut senyap sebentar sebelum pelan pembangunan yang baru dicadangkan. Walau pun begitu, perbezaan antara pelan yang lama dan yang baru tidak banyak jauh bezanya. Kedua-duanya memerlukan kawasan asal diratakan sebelum dibangunkan. Kesan baik daripada pelan pembangunan itu akan dirasai oleh mereka yang berharta. Kesan yang sebaliknya pula akan dirasai oleh para penduduk Kampung Kelubi, terutamanya keluarga Mahat yang berketurunan asal penduduk kampung itu.




[ bersambung...]



.

Wednesday, July 3, 2013

Cerita bersiri: Pusaka ........ Bhg. 1 dan 2

[Cerita bersiri ini aku tulis pada tahun 1998. Membacanya perlu melihat tarikh dimana cerita itu berlaku]




Bahagian 1: 500 Tahun lampau.

                        Gunung itu kelihatan terpacak gagah dari sini. Hijau hutan yang menyelimuti seluruhnya umpama gebar tebal yang menampannya daripada sejuk yang bangat. Kabus nipis melingkari  pohonan yang tumbuh tinggi di lerengnya. Di sekelilingnya pula, tanah hutan primer kelihatan beralun bagaikan ombak-ombak di laut. Di celah-celah alunan itu, mengalir beberapa sungai menghilir yang salah satunya membelah tanah pamah kampung ini.

                        Di sini, sungai ini adalah nadi penduduk kampung ini. Perahu-perahu kecil tertambat di tebing sungai adalah bukti tentang betapa pentingnya sungai ini perlu terus  mengalir. Lubuknya yang pasti penuh dengan hidupan air tawar segar seolah-olah perangkap maut kepada orang luar yang kurang biasa dengan sungai ini. Di tebing sungai ini juga adalah salah satu daripada puluhan tempat untuk kanak-kanak bermain, terutamanya di bawah sepohon pokok yang sebesar tiga pelukan lelaki dewasa itu.

                        Penduduk  kampung ini tidaklah ramai. Rumah-rumahnya boleh dibilang dengan jari tangan. Mungkin kerana petempatan di sini masih baru, tidak seperti di kampung yang  lagi satu,  yang lebih ke hilir sungai yang sama. Kampung itu lebih padat penduduknya. Walaupun begitu, kampung ini tidak kurang meriahnya dengan jeritan anak-anak kecil berkejar-kejaran di sekeliling pokok besar itu.
 

Bahagian 2 : 110 Tahun akan datang.

                        Kasim sudah tidak peduli. Marahnya telah naik ke tahap yang sukar untuk dibendung lagi. Dia tidak rela melihat segala-gala miliknya diambil dengan mudah sebegitu. Sekurang-kurangnya dia perlu bertindak untuk melindungi satu-satunya hartanya yang tinggal.

                        Kasim berdiri di antara kesesakkan debu-debu yang berterbangan menutupi sinaran terik matahari, walaupun ketika itu tingginya tidak sampai segalah (kalaulah boleh diukur dari ufuk Timur). Teriknya membakar hatinya yang lama memendam dendam kepada besi-besi beroda yang berpusing-pusing menyodok tanah miliknya. Adiknya, Karim, mungkin tersenyum sumbing pada masa ini. Dia mungkin seronok dan puas dengan habuan yang diterima daripada Towkey Lim itu. Dato’ Zainal juga apa kurangnya, kalau Karim mendapat peha, dia tentu mendapat dadanya. Bukan satu atau dua projek yang Towkey Lim dapat tetapi lima projek mega yang dia kuasai. Semuanya berhampiran lembah ini. Towkey Lim pasti amat berterima kasih dengan Dato’ Zainal kerana tanpanya, pasti banyak projek yang terlepas ke tangan syarikat-syarikat yang kurang ‘berdaya maju’, seperti mana yang didefinisikan oleh Dato’ Zainal untuk syarikat-syarikat bumiputera yang ‘hidup segan tapi mati tak mahu’ kerana tiada sokongan daripada pihak berwajib. Syarikat-syarikat yang terlalu kedekut untuk serahkan sedikit ‘sumbangan untuk orang ramai’ memang bukan termasuk di dalam senarai pendek di dalam poket kecil  Dato’ Zainal. Buat masa ini, hanya syarikat Towkey Lim yang amat ‘bermurah hati untuk berderma’ kepada orang ramai dan juga kepada Dato’ Zainal sendiri.

                        Perlahan-lahan, tetapi penuh dengan kesungguhan, pemandu-pemandu jentolak dan jengkaut menolak dan menarik tanah-tanah tinggi di hadapan mereka. Muka masing-masing tunduk kerana tidak sanggup memandang raut wajah Kasim yang merah. Kasim masih lagi tegak berdiri di tengah-tengah lapang yang dulunya adalah dusun. Di balik lereng di sebelah Barat sana, sebuah sungai yang dulu nyaman airnya, kini keruh dan tohor. Tebingnya pula telah menjadi konkrit. Mata Kasim memandang tepat ke arah sepohon pokok yang besar di tebing sungai. Seakan-akan ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Seakan-akan ada sesuatu yang memanggil-manggil dia supaya hampir dan berteduh di bawah rimbunan daunan.

                        Kasim berjalan menuju ke bawah pokok itu. Persekitarannya di rasakan amat sunyi walau pun deruan jentera-jentera menguasai udara lembah ini. Setelah sampai, Kasim termanggu sebentar sebelum ada sesuatu yang mencuit kakinya. Seketika kemudian, tanah tempat Kasim berpijak terasakan lembut sehinggakan kakinya mulai terbenam separas buku lali. Dan ia bukan berhenti setakat itu sahaja.





[ Bersambung...  ]

Tuesday, May 14, 2013

Selamat Hari Ibu..

.


Masih ada sayang di sudut hatimu
kekasihku, engkaulah ratu
si comel yang sentiasa membahagiakan hatiku
cukup dengan menatap wajahmu
bisa buatkan hatiku libang libu
merinduimu sepanjang waktu...








.

Thursday, May 2, 2013

Cinta berdosa

.


Alangkah berdosa rasanya dia
kerana belajar tentang cinta
dalam bidang hidup yang tanpa makna
dia mencari dan mendapat cahaya

Jauh di lorong kehidupannya, di hujung sana
ada sepasang tangan memanggil, 
wangi angin bertiup membasah jiwanya
itulah cinta baginya

Berdosa rasanya dia
mencari cinta di lorong
dalam kelam dan kusam, dan hanyir
busuk kota kehidupan
namun cinta itu tetap cinta
membawa segar, membawa bahagia
walau dari mana dia menemuinya.







.

Tuesday, April 9, 2013

Sedikit dari perbendaharaanMu, Ya Tuhan

.


Oh Tuhan,
Berdosakah aku?
Salahkah aku?
Kerana berani mengintai sedikit dunia
dari lirik hujung mata?

Hanya sedikit ya Tuhan
Aku meminta dari perbendaharaanMu 
yang tidak pernah akan kurang
sekeping papan untuk aku jadikan sampan
untuk menemani aku dikala berenang
di lautan yang mahukan habuan 
setiap kali aku mahu mara ke hadapan.

Salahkah aku?
Berdosakan aku?




.

Sunday, April 7, 2013

Dikerkah ombak duka...

.


Lihatlah laut yang luas dan bergelora itu

Ada permata indah di balik gelora
Manusia optimis berkata
Ombak dugaan itu melapis habuan ceria
Dibawahnya.

Ada karang tajam di bawah gelora
Aku yang berkata
Ombak ganas mungkin datang bawa awal berita
Akan sebuah bahtera yang hancur dibenam duka
Lalu dihiris, dikunyah karang tajam yang sedia menganga.






.

Menanti buah yang tak gugur...

.


Segugus angin membawa kenangan
datang tika aku sudah tenang
terimbau olehnya segala yang telah kupendam
ribut melanda,
terselongkar hati busuk yang pernah aku tanam

Berbaur rasa digerit kenangan
sekejap manis, sekejap pahit
hanya mata yang mampu menyapa
dengan air jernih ia berkata-kata

Berbahagialah mereka yang menghidu wangi melur
tidak aku yang menanti buah yang tidak gugur



.

Monday, March 25, 2013

Kelabu

.


Kelabu
Depan aku kelabu
Jalan menjadi tak tentu
Tak tahu hala tuju

Biduk tanpa hala
semua arah dirasakan sama

Bila begini
Aku lihat tanah di kaki
Tempat aku berpijak itu yang pasti
Hari ini, inilah destinasi
Esok lusa kita tengok kaki lagi.






.

Monday, March 18, 2013

Tubuh Aku Bocor

.



Aku tarik nafas dalam-dalam, lalu aku tahan
Tetapi angin dapat membolos perlahan
Oh! Tubuh aku sudah banyak lubangnya
Bocornya ada sini sana. 

Aku cuba menahan perit siksa 
Dikala rempuh asmara memuncak tiba
Aku tanamkan semua noda
Ah! Masih bernadi dosa rupa-rupanya

Aku biarkan tubuh aku mengempis
Sehingga nafas aku hilang habis
Semoga nadi dosa terhenti
Bersama-sama titik noda di hati






.

Friday, March 15, 2013

Aku mencarimu

.


Kau hilang terbenam di dasar lautan
Aku mencari kau yang tak kelihatan
Sudut hati cuba menyelam ke dasar
Yang kulihat hanya kelam tanpa sebutir sinar

Kau ibarat mutiara yang bertutup lumpur
Kecantikan yang tak masyhur
Mencarimu bukan untuk hati-hati yang rapuh
Bukan untuk mulut-mulut yang cepat mengeluh

Aku pendamkan seribu harapan
Di pesisir pantai ini, aku diamkan diri 
Berdoa agar kau muncul kembali
Lalu bersemayam di hati





.

Wednesday, February 13, 2013

Puaka Rumah Papan... epsiod akhir -2

.

Hasri memerhatikan mega jingga ditelan perlahan-lahan oleh senja. Di kaki langit sana burung-burung bangau putih terbang menongkah angin, melewati padang sawah menghijau. Gugus-gugus angin datang mengusung hawa panas, membawanya pergi ke laut yang beberapa puluh kilometer dari situ - bayu darat mula berdendang.


Hasri menjatuhkan kedua-dua tangannya dari jenang tingkap. Dia sudah puas memerhatikan kerja-kerja senja. Dia tidak mahu ditegur Si Kelembai pula. Malam ini tentu menjadi malam yang panas dan panjang. Hasri dapat merasainya. Dan Pawang Hitam akan datang untuk turut serta menghirup bahang panas malam nanti.

Hasri tutup daun tingkap. Di luar, angin masih mengusung hawa panas yang memelowap dari padang sawah. Berkocak daun-daun mempelam telur di depan rumah papan dua tingkat itu. Melambai-lambai daun-daun pisang yang sudah pecah-pecah dirempuh ribut minggu lepas. Hasri bergerak ke tingkap kedua lalu menutupnya. Hasri bergerak ke tingkap ketiga lalu menutupnya juga... begitulah seterusnya sehingga tertutup kesemua sebelas tingkap papan, di tingkat atas dan bawah.


Ketika Hasri mahu menutup pintu utama, terlihat kalibat Pawang Hitam sedang mengayuh basikal di permatang - menuju ke rumah papan itu. 'Awalnya dia datang...' getus hati Hasri.

'Tak berMaghrib dulukah?'. Hasri tak jadi tutup pintu. Dia biarkan daun pintu tebuka luas dan menunggu Pawang Hitam datang.

Namun sebaik sahaja Pawang Hitam melintasi barisan pokok pisang, kalibatnya tidak muncul-muncul lagi. Hasri cuba meneropong Pawang Hitam menggunakan mata telanjangnya tetapi gagal.

'Ahhh.... sudah! Terkena aku!'. Tiba-tiba kecut perut Hasri. Itu bukan Pawang Hitam yang datang, fikirnya. Cepat-cepat dia tutup pintu.

Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu dapur. Hasri biarkan pintu itu diketuk bertalu-talu. Senja-senja begitu, menjadi satu kemestian bagi Hasri untuk berasa curiga. Lebih-lebih lagi kerana ketika ini dia duduk seorang diri di rumah papan itu.

"Assalamualaikum...". Ketukan berganti salam.

"Waalakumussalam...". Barulah Hasri berjalan ke dapur. Barulah lega hatinya.

"Bikin saspen saja..."

"Apa pulak yang saspennya?"

"Tadi kamu naik basikal dari depan. Alih-alih kamu dah ada di belakang."

"Masa bila pula aku naik basikal ke sini?"

Dan Pawang Hitam menggeleng-gelengkan kepalanya sambil melangkah masuk. Hasri masih tercengang-cengang. "Tadi... tadi tu....?" . Cepat-cepat Hasri tutup pintu dapur lantas mengekori rapat-rapat langkah kaki Pawang Hitam  menuju ke ruang tamu. Hasri petik suis-suis lampu dan kipas angin. Walau pun angin menderu di luar, di dalam rumah tetap berbahang.





.

Saturday, February 9, 2013

Puaka RUmah Papan.... episod akhir - 1

.


Tanah 5 ekar di belakang rumah itu belum menjadi miliknya tetapi tanah itu juga bukan milik Sepiah, juga bukan milik Borhan. Semalam, Borhan datang berjumpanya. Memujuknya namun dia bukan jenis orang yang makan pujuk.
 
Angin tiba-tiba menderu masuk, menyibak langsir pada tingkap berdaun papan yang tiba-tiba terbuka. Hasri memandang Pawang Hitam. Seperti berkata tanpa bicara, Pawang Hitam dapat menelah hatinya.

"Mereka dah datang nak makan."

"Huh!" getus Hasri. 

Dia segera mendapatkan tingkap yang terbuka lantas menutupnya cepat-cepat, menyelaknya dengan segera. Tetapi tingkap lain pula terbuka dengan keras dan secara tiba-tiba. Seperti disentap dari luar. Meletup dinding papan akibat ditampar daun tingkap, mujurlah tidaklah sampai pecah dinding reput itu.

Hasri biarkan tingkap yang itu terbuka. Tak guna kalau ditutup, pasti yang lain akan dibukanya, fikirnya. Pawang Hitam segera menghidupkan bara di dalam dupa tanah liat. Dua tiga batang anak mancis terbakar sia-sia, mereka gagal menyalakan getah sekerap bercelupkan minyak tanah. Hasri segera mengeluarkan pemetik api gasnya lalu membalingkannya kepada Pawang Hitam. Meleret pemetik api itu ke betisnya lalu segera ditangkapnya.

Dengan sekali petik, api pun mula membakar getah sekerap itu. Pawang Hitam meletakkan ke dalam dupa lantas menyusun perca-perca arang dan daun pisang kering di atas getah sekerap yang terbakar. Ompong pipinya apabila dia tiup api itu agar cepat-cepat marah dan membakar daun pisang kering. 

"Nah!"

Pawang Hitam mencampakkan keris kepunyaan datuk yang berbalut kain kuning kepada Hasri. Sudah dua-tiga kali keris itu berada di tangan Hasri, sejak seminggu lalu. Dan dua-tiga kali jualah keris itu kembali ke tangan Pawang Hitam.  

"Tak ada cara lainkah?"

Hasri benar-benar geram. Genggaman kanan menjadi penumbuk, dikepalnya kejap-kejap kelima-lima jarinya. Dinding papan yang sudah lebih 30 tahun menampan hujan dan panas, melindungi penghuni selama ini, menjadi mangsa tumbukan berkali-kali. Bergegar dinding rumah papan dua tingkat itu.

"Itulah perjanjiannya."

Pawang Hitam masih bersila di atas sehelai kain hitam tak berganjak walau kalibat-kalibat puaka belaan datuk Hasri berlegar-legar di sekeliling rumah, malah di ruang rumah itu juga.




.

Wednesday, January 30, 2013

Besok, jikalau ada...

.



Debuan pasir pantai itu terbang dihembus angin petang
Hinggap sebutir ia pada mata, berairlah
Sayup jingga awan menggamit, menjauh
Kelam pun mulai berjejak ke kaki pantai
Deruan ombak serasa berhenti, bertafakur
Menghormati perginya matahari, meninggalkan hari
Meninggalkan laut bergelapan semalaman
Camar pun duduk di ranting kayu
Meratap sedihnya perpisahan itu


Esok.
Itu besok, jikalau ada...





.

Sunday, January 20, 2013

Berselindung dari Tuhan...

.


Aku dengan tangan kotor bercemar
Aku dengan jiwa hitam dan cermin hati bercalar
Aku dengan kisah diri hancur
Cuba tanam dosa
Cuba pendam noda


Aku nafi atas semua kesalahan
Rupa-rupanya ia jadi api dalam sekam padi
Panggang berbara itu pasti
Walau perlahan-lahan


Sudah sekian aku biarkan
Akhirnya yang reput itu membusuk
Memugar segala bunga wangi yang aku tanam
Meracun segala yang aku mahu tuai

Aku tak akan mampu
Berselindung dari Tuhan atas kesalahanku
.... begitu juga kamu





.