Sunday, November 28, 2010

Ayu sudah nekad ... finale

Kedua-duanya berpaling kepada dinding. Serentak.

Potret Ayu masih tergantung pada dinding itu. Wajahnya seayu namanya.

"Nasib baik kita tak bermadu..."
"Ah kau! Itu nenek kita... hahaha"

Dan mereka ketawa sambil menjeling kepada potret Ayu.

..........


Inilah soundtrack yang difikirkan sesuai untuk cerita ini....





.

Friday, November 26, 2010

Ayu sudah nekad ...part 2

.
Dalam esakan nafasnya yang masih tersangkut-sangkut di tenggoroknya, Ayu rentap jantung yang masih berdenyut-denyut itu dengan kuat. Darah berhambur keluar, sama seperti air matanya yang deras menuruni pipi putih dan gebu itu. Bibirnya terketar-ketar menahan sakit hatinya. Wajah lelaki tanpa berbaju yang sedang lena berbaring di sofa kulit buatan Italy itu direnungnya dalam-dalam. Itulah wajah lelaki yang menghancurkan hidupnya. Juga beberapa lelaki lagi yang sedang nyenyak tidur di tingkat atas rumah batu mewah setinggi dua tingkat itu.

Lelaki-lelaki yang menghumbankan Ayu ke dalam jurang yang penuh kehinaan, tanpa relanya. Pedih hatinya masih belum reda meskipun jantung yang berdenyut-denyut itu telah terpisah dari dada montok yang terbelah sejengkal hasil rodokan pisau.

Ayu hulurkan jantung yang masih berdenyut-denyut dan penuh berdarah itu ke hadapan lelaki tanpa berbaju itu sambil menahan nafas selama yang mungkin. Merangkul nyawanya selama yang mungkin. Ayu letakkan jantung itu di atas dada lelaki tanpa berbaju itu.

Kemudian, Ayu berjalan perlahan-lahan naik ke tingkat atas. Ayu buka salah satu pintu bilik. Di atas katil, seorang lelaki sedang nyenyak tidur meniarap bertongkatkan bantal kepam dan hanyir. Ayu hampiri sehingga ke birai cadar biru. Ayu seluk lagi ke rongga dada montok sehingga ke paras pergelangan tangan. Ayu usap-usap hati yang masih panas, lalu merobek sedikit hujung hati itu. Ayu menahan sakit yang teramat apabila tangannya dikeluarkan dari dalam belahan dada yang montok itu.

Ayu letakkan cebisan hati itu di belakang lelaki yang sedang tidur meniarap. Ayu biarkan hati itu berdenyut lemah. Kemudian, Ayu keluar dri bilik itu dan masuk kebilik yang lain. Di situ, seorang lagi lelaki sedang tidur mengiring ke arah kiblat di atas lambung kanannya. Di tepi katil itu masih terdapat sehelai sejadah yang belum berlipat. Ayu undurkan langkahnya dan keluar dari bilik itu.

Ayu turun semula ke ruang tamu di bawah. Ayu tersengguk-sengguk menahan nafas yang ditarik-tarik, juga kerana sedu tangisnya yang gagal dibendung lagi. Ayu terus berjalan ke arah dinding rumah batu dua tingkat itu dan menembusinya lalu hilang disebalik sana.


PADA pagi itu, lelaki tanpa berbaju itu dikejutkan oleh kawannya. Mereka duduk bersandar di sofa sambil termenung lama.

"Aku rasa macam ada sesuatu yang pelik malam tadi"
"Eh, aku pun"

"Aku berjumpa Ayu malam tadi tetapi aku tak boleh berbuat apa-apa, aku terkaku"
"Maksud kau, Ayu yang kita pernah kenal itu....?"
"Ya! Ayu yang pernah kita...."
"Tak mungkin!"



.

Thursday, November 25, 2010

Ayu sudah nekad...

.
Ayu tak mahu lagi terseksa. Dia rasakan dia sudah cukup terseksa dengan segala jenis perbuatan orang keatasnya. Kalau boleh, dia mahu tamatkan penderitaan ini secepat mungkin. Dengan cara sepantas mungkin. Dengan cara yang mudah dan bebas. Dan kalau boleh tanpa ada orang sedar akannya.

Kalaulah bukan angkara si dia itu, pasti Ayu tidak senekad ini. Kalaulah Ayu tidak diperlakukan sebegitu, pasti Ayu tidak menjadi begini.

Ayu malas nak fikir panjang-panjang lagi, buat fikiran lebih berserabut, katanya dalam hati. Lalu, Ayu pergi ke dapur seorang diri sambil berjengket-jengket agar tiada penghuni rumah itu sedar dari tidur mereka. Ayu buka laci di kabinet dapur berhampiran peti sejuknya. Ayu ambil sebilah pisau lalu dia bawa pisau itu ke meja makan rumah itu.

Ayu duduk sebentar, bersandar. Ayu ambil nafas dalam-dalam, puas-puas seolah-olah itulah nafasnya yang terakhir. Ayu renung pada pisau yang panjangnya sejengkal dan kelihatan tajam itu. Ayu pandang pisau itu dengan pandangan kosong, dengan pandangan nekad. Ayu ambil sehelai tuala dapur lalu menutup mulut agar tidak terdengar erangan maut.

Ayu pejamkan matanya pejap-pejap. Lalu, dengan satu tusukan yang laju, pisau itu meluncur menikam daging dada yang gebu. Kemudian, Ayu kilas pisau itu dan hiris ke bawah. Muka Ayu berkerut. Kemudian, Ayu cabut pisau itu dan letakkannya di atas meja. Ayu seluk tangannya ke dalam robekkan pada daging dada gebu itu sehingga ke paras pergelangan tangannya.

Ayu dapat rasakan degupan jantung, dapat rasakan paru-paru yang masih mengepam angin.

Kemudian, Ayu pergi ke ruang tamu sambil sebelah tangannya masih di dalam robekan pada daging dada yang gebu itu. Di atas sofa mewah itu, seorang pemuda sedang lena tanpa berbaju. Kipas syiling berputar ligat. Malam itu panas, sepanas hati Ayu.

Setelah Ayu berdiri di sebelah pemuda yang sedang nyenyak lena itu, Ayu genggam jantung yang berdegup itu dan merentapnya dengan kuat sehingga tercabut dari daging dada yang gebu itu. Dengan nafas yang masih teresak-esak, Ayu hulurkan tanggannya ke arah pemuda yang sedang lena itu ....



.

Monday, November 22, 2010

Makanan Jalanan Taiwan

.
Hujung minggu yang pada asalnya tak tahu nak buat apa-apa tetapi bila petang-petang itu, barulah idea keluar mencurah-curah. Pada asalnya, kami menghala ke Tesco atau Giant untuk membeli belah. Entah macam mana, baru jalan beberapa langkah, kami belok ke arah Pelabuhan Barat melalui KESAS. Ada sesuatu yang tertonggok di tepi lebuhraya itu.


Kami ke Jusco Bukit Tinggi. Aku rindukan kepala Salmon yang mana dagingnya telah dibuat sushi. Kepala dan tulang temulangnya cuma berharga RM8.90 sebungkus. Teman sekatil tanya aku, nak buat apa dengan tulang ikan, buat masak kari? Aku tak tau nak masak apa lagi tapi aku tau aku mesti beli. Nanti-nanti boleh sup ikan, kata aku.


Kalau sebelum ini, aku terasyik dengan aiskrim di dalam kuali kecil, kali ini aku terpesona dengan gerai makanan ringan dari Taiwan ini. Aku tengok, ramai yang beli Crispy Chicken. Tapi aku tak beli yang itu, aku beli nugget dan telur dadar dia je. Aku suka dengan serbuk rempah ratus dia tu. Terasa macam rempah Cina.


Makanan Jalanan di Taiwan...




.

Sunday, November 21, 2010

Kejayaan, itu lebih penting. Bukannya kedudukan, itu tak penting.

.

Anakanda lanangku ini hanya berjaya mendapat no. 2 di dalam kelas dan juga keseluruhan. Bukan no. 1. Tak mengapalah, anakandaku. Bukan kedudukan yang kamu kejar. Kejarlah kejayaan, itu yang lebih penting. Sama ada dalam pelajaran atau pun dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.


Dan anakanda lanangku ini pun beratur untuk mengambil hadiah di sekolah kebangsaan. Hadiah di sekolah KAFA tak dapat diambil secara 'live' kerana paginya dia ada raptai. Jadi, minggu depanya, barulah hadiah itu dapat diambil.


"Abah, kawan yang no. 1 tu cuma dapat 3 hadiah tapi kita yang no. 2 ni dapat 5 hadiah..." Katanya ada sedikit bangga.




Itu yang aku maksudkan, yang penting adalah kejayaan, bukan nombor. Asalkan semua mata pelajaran mendapat 'A' cukuplah. Aku tak minta untuk mendapat 100%. Tekanan yang tak perlu. Baik beri tekanan pada tempat-tempat lain yang dia lemah, itu lebih baik. Dan memang dia mendapat 5A.


Dan sebagai hadiah dari ibu dan bapanya, kami belikan Nokia pada hujung minggu.




.

Saturday, November 20, 2010

Selamat Pagi labah-Labah...

.

Hari itu suram, cahaya hanya cukup-cukup untuk membolehkan aku lihat labah-labah membuat sarang di pucuk-pucuk padi. Gerimis masih belum sidang sejak malam tadi. Hingga pagi ini, awan dan kabus masih membungkus matahari. Musim hujan kini.


Sintar sawah memanggung kepalanya apabila melihat aku berjalan di atas batas sawah. Tak lama. Ia berlari dan bila dirasakan lariannya tak cukup kencang, ia depakan sayapnya dan mengepak, terbang pergi. Aku biarkan. Biasanya, kalau dulu-dulu semasa aku masih kecil, pasti aku akan lastik burung itu. Dan biasanya, lastikkan aku jarang mengena. Aku selalu salahkan batu kelikir yang tidak sekata bentuknya, tidak cukup aerodinamik jika aku boleh katakan sekarang ini.


Kalau dulu, pada pagi-pagi gerimis lembut begini, jalan di depan itu akan bingit dengan bunyi enjin motorsikal pakcik-pakcik yang masih berkain pelikat pergi ke kedai kopi di pekan kecil di luar sana. Pakcik-pakcik tua jarang turun awal ke sawah jika gerimis begini, sejuk katanya. Sejuk yang boleh membuatkan tulang-tulang tua mereka terasa sengal hingga ke malam. Aku tak tahu sama ada itu satu alasan atau benar. Biasanya, selepas menghirup kopi panas barulah pakcik-pakcik itu akan pulang dan bersiap-siap untuk ke sawah dengan parang panjang. Itu dulu.


Sekarang ini, jalan di depan sana sunyi. Kalau pun ada motorsikal yang lalu, ianya dipandu oleh anak-anak kecil yang mahu pergi ke rumah kawan-kawanya untuk bermain gasing. Tiada lagi pakcik-pakcik yang berkain pelikat pergi ke kedai menghirup kopi 'O' panas. Bukan mereka masih tidur tetapi kerana pakcik-pakcik tua kini banyak yang telah tiada. telah meninggal dunia.


Melihat keadaan begini, aku dapat rasakan kampung ini akan menjadi 'kampung hantu' dalam masa terdekat ini. Anak-anak muda, termasuk aku, hanya pulang ke kampung untuk menjenguk orang tua, jika masih ada.


Gerimis masih turun seperti tadi, seperti dulu dan seperti zaman pakcik-pakcik masih berkain pelikat pergi ke kedai kopi untuk menghirup kopi 'O'. Bezanya kini, hanya bayang-bayang pakcik-pakcik berkain pelikat itu sahajalah yang masih wujud. Bayang-bayang mereka bermotorsikal untuk ke pekan, sebelum bayang-bayang itu hilang di dalam kabus pagi itu.



Seekor labah-labah masih tekun memintal sutera untuk menjadi sarangnya. Selamat Pagi labah-labah...!




.

Thursday, November 4, 2010

Seman lagi

.

Sesampai di rumah Midan, mereka (Midon, Ali dan Ah Kow) sedang bersiap-siap untuk memancing. Ali mencangkul tanah di perdu pisang manakala Ah Kow sibuk mengutip cacing tanah dan memasukkannya ke dalam tempurung jantan. Midon pula sedang mengikat tali pancing pada hujung dahan bertam kecil yang telah dibuang daun dan dijemur kering.


Seman hanya menumpang salah satu joran yang disediakan oleh Midon. Setelah cacing agak cukup untuk mereka berempat, mereka pun berbasikal menuju ke hutan belukar melalui satu lorong kecil di belakang rumah Midon. Matahari agak condong dan angin agak ganas merempuh daun-daun pokok hutan dan durian. Lebih kurang pukul 2.30pm, agak Seman. Masa masih panjang.


Lebih kurang 30 minit berbasikal ke dalam hutan, mereka akhirnya sampai di sungai yang airnya gelap dan hitam. Mereka masih perlu berjalan kaki beberapa minit untuk sampai ke lokasi memancing. Berjalan diantara senduduk liar dan celah-celah buloh betong. Juga mengelak diri dari tersangkut duri rotan yang menjalar naik ke atas pokok hutan.


Memang benar. Air sungai yang mengalir tenang itu galak dengan manggakkan ikan-ikan dipermukaan air. Masing-masing tidak sabar untuk melabuhkan umpan ke dalam sungai. Ali yang mula-mula mencangkuk cacing pada mata kail dan melemparkan tali pancing ke dalam sungai. Yang lain-lain pula masih tercari-cari lokasi yang sesuai untuk melabuhkan tali pancing. Seman memilih untuk memancing dibawah sepohon pokok yang condong ke sungai. Ada keladi bunting di tepinya.


Memag benar. dalam beberapa minit sahaja, tali pancing Seman di tark-tarik. Seman cepat-cepat sentap jorannya dan seekor puyu sebesar tapak tangannya menggelepar dan bergayut pada tali pancingnya. Seman mengukir senyum. Ibu pasti gembira dengan hasil pancingannya. Kemudian Seman labuhkan umpan untuk kali kedua. Begitu juga, tak sampai 5 minit umpannya mengena lagi. Juga seekor puyu yang besar.


Kawan-kawannya yang lain pun begitu. Ada yang dapat puyu, ada yang dapat haruan dan bujuk. Cuma Midon yang masih belum dapat apa-apa. Midon pelik kenapa umpannya tidak langsung dijamah oleh mana-mana ikan sedangkan kawan-kawannya yang lain kerap menaikkan ikan dari dalam sungai.


Bila matahari hampir jatuh, Midon mengajak kawan-kawannya pulang. Puas dipujuk, barulah masing-masing mengangkat joran dari dalam sungai. Midon tak puas hati kerana tidak mendapat apa-apa habuan dari sungai itu. Namun atas semangat kesetiaan, masing-masing memberikan sebahagian tangkapan masing-masing kepada Midon. Midon bukakan karungnya untuk diisikan dengan ikan-ikan yang ditangkap oleh Seman, Ali dan Ah Kow. Masing-masing menggenggam beberapa ekor ikan dan dengan bangga memasukkan ke dalam karung kepunyaan Midon. Tapi muka Midon berkerut. Midon hanya nampak daun-daun pokok yang terendam di dalam air sungai. Midon tak nampak sebarang ikan pun. Midon diam.


Mereka berbasikal menuju ke rumah masing-masing. Azan maghrib baru sahaja berkumandang apabila mereka sampai ke simpang di belakang rumah Midon. Mereka terkejut apabila ramai orang kampung sedang berkumpul di simpang itu.



Apabila nampak saja Midon berbasikal ke arahnya, Minah Lodeh cepat-cepat berlari dan menerpa ke arah Midon. Dipeluk ciumnya Midon. Seman, Ali dan Ah Kow terpinga-pinga, tak tahu apa yang sedang berlaku. Ada orang kampung meninggal? Tidak.


Minah Lodeh bertanya berkali-kali kemana Midon dan kawan-kawannya menghilang selama 3 hari? Orang kampung telah memanggil polis untuk tolong mencari mereka berempat, kata Minah Lodeh.


Seman tercengang. 3 hari? Mana mungkin mereka berempat pergi memancing selama itu. Bahkan, baru sepetang sahaja mereka pergi. Mana mungkin 3 hari? Seman bingung.





Tamat.
.

Tuesday, November 2, 2010

Seman

.

Seman duduk berlunjur kaki di bawah pokok manggis besar itu, menumpang redup rimbun daunnya dari terik dan bahang matahari. Dia tak kisah jika seluar sekolahnya kotor terkena tahi cacing tanah yang umpama kuih siput. Dia juga tak kisah kalau baju sekolahnya kotor terkena getah manggis. Dia hanya perlu bersendirian. Dia perlu buat keputusan.

Seman pandang rumahnya yang sepelaung jaraknya dari pokok manggis itu. Pandangan yang serba salah. Dia tak tahu kemana dia patut pergi: sama ada pulang ke rumahnya atau melencong ke rumah kawannya yang sedang menunggunya untuk pergi memancing, seperti yang disepakati kelmarin.

Rumahnya pasti sunyi tengah hari sebegitu. Ayah tentu sedang berehat. Ibu tentu sedang melipat baju yang masih panas dari jemuran. Segala-galanya seperti selalu-selalu. Seman bosan jika asyik seperti selalu-selalu. Seman mahu kelainan. Seman mahu setiap hari ada sesuatu yang berbeda. Memancing di tempat yang baru, misalnya.

Tempat memancing yang agak jauh, namun cerita dari kawan-kawan yang pernah ke situ menjadi tarikan untuk Seman mencuba pula. Tempat itu agak jauh di dalam hutan dan sungainya hitam dan dalam. Dia perlu melintasi beberapa belukar dan duri rotan. Walau pun begitu, ikan-ikan yang menunggu untuk dikail itu dikatakan besar-besar. Ikan-ikannya galak memakan umpan.


Hati Seman berbelah bahagi: sama ada mahu minta izin dari ibunya atau pun terus pergi memancing. Melihat kepada lokasi dan situasi tempat memancing itu, keizinan ibunya pasti sukar diperolehi.


Seman bangun lalu mencapai basikalnya. Dia kibas punggungnya untuk membuang daun-daun dan tahi cacing yang melekat pada seluarnya. Dia tarik nafas dalam-dalam kemudian terus bercelapak di atas basikalnya. Beg sekolahnya disangkutkan pada bahu, mellintangi belakangnya.


Biarlah kali ini sahaja, pada pandangan Seman, dia mencuba. Mana tahu jika rezekinya lumayan dan boleh bawa pulang ikan-ikan besar untuk ayah dan ibunya....


Seman mengayuh basikalnya menuju ke rumah Midon.




.