Sunday, June 14, 2009

Kompang: Episod 5

.

Tengah hari itu, Jali bergegas ke bilik air untuk mandi. Jali bersihkan badannya dari sisa-sisa selut yang melekat semasa berjalan-jalan di atas batas sawahnya. Dia tunduk mencari-cari pacat atau lintah kalau-kalau ada melekap pada kaki-kakinya. Kalaulah ada, Jali akan bubuh air sabun pekat-pekat padanya supaya ia pedih dan tertanggal dari lekapan. Jali juga boleh tampalkan tembakau Cap Semut padanya. Bila pacat atau lintah telah tertanggal, kesan tempat hisapannya akan terbit darah. Kalau darah masih mengalir, Jali boleh tampalkan daun kapal terbang atau daun ulan-ulan. Kalau Jali malas nak keluar mencari daun-daun itu, dia boleh tampalkan dengan kertas tisu atau cebisan kecil kertas suratkhabar.


Nasib baik tiada pacat atau lintah yang melekap menghisap darah. Jali boleh terus mandi dan bersabun. Kemudian, Jali genggam padat-padat pucuk jambu batu yang dia ambil semasa pulang dari sawahnya. Jali bertinggung di atas lantai simen yang agak kasar lalu dia menggesek-gesekkan pucuk jambu batu itu pada lantai yang bersimen kasar itu, seolah-olah memarut gayanya. Kemudian, Jali kaup serbuk pucuk jambu batu yang bercampur air itu lalu disapukan pada mukanya. Jali buat pucuk jambu batu seolah-olah 'facial scrub'. Selebihnya, Jali gosokkan pada ketiaknya.


Sudah hampir masuk waktu Zohor. Jali perlu pergi ke majlis kenduri di rumah jirannya lepas Zohor. Dia dijemput untuk turut serta berkompang. Sebenarnya, Jali bukan beria-ia sangat untuk bermain kompang. Dia mahu pastikan siapa yang bermain nanti. Kumpulan mana yang berkompang itu. Jali perlu tahu semua itu kerana tradisi itu telah diteruskan oleh orang lain semenjak Ayah tiada. Walaupun kesemua kompang buatan Ayah masih ada di bilik Emak tetapi Beduknya telah tiada. Beduk Ayah telah dipinjam orang dan tak dipulangkan sehingga kini. Itu sudah lebih setahun lamanya. Beduk itu Ayah punya. Bukan boleh senang-senang diambil begitu sahaja. Beduk adalah elemen penting dalam Kompang Jawa.


Jali capai tuala. Kedengaran suara orang melaungkan Azan dari surau. Waktu Zohor sudah masuk...




.