Monday, December 27, 2010

Sekeping hati yang berdarah...

Dimana patutku sangkutkan sekeping
hati yang lara lagi berdarah ini?


Di atas pasir gurun tandus ini?
Kutakut kan dibawa rubah yang lapar
Di puncak pelepah tamar yang tinggi?
Kutakut kan dilarikan helang yang melayang.


Jerih mengeringkan luka yang semakin bernanah
Sayu dalam redup hati yang bernaungkan hikmah
Sengsara segalanya menjemput fikiran yang goyah
Ya Rabbi,
Sesungguhnya aku dalam payah
Jenguklah aku, kasihanilah aku
Amin.



.

Thursday, December 23, 2010

.

Ya Allah, Ya Rabbi,
Bukan sekadar dugaan fizikal
Kegusaran juga satu seksa
Seksa yang amat payah, amat berat
Aku pohon kasih sayangMu di dunia dan akhirat
lepaskankan seksaan ini
jadikanlah kebaikan mengatasi segala-galanya
jadikanlah kegembiraan menjadi akhirannya
Kau yang Maha Pemurah dengan Kasih-Sayang
Amin, Ya Rabbi
Amin.

Monday, December 20, 2010

Tolong lepaskan aku

Tolong lepaskan belenggu rantai-rantai ini.
Aku mahu bebas ke dunia sana.

Aku tagih tanah subur hitam pekat laknat,
Tanah yang di atasnya manusia lintang pukang,
Di atasnya pula para pemuka keadilan gampang.

Mahu kubina peterakna bertiang-serikan kejahilan.
Mahu kukunyah semua kebaikkan.
Mahu kuminum merah darah para ilmuwan.

Lalu kuhamparkan kebodohan, kebingungan di horizon,
Juga kebisuan, kedegilan, kekejaman... kekejaman... kekejaman.
Kejam!

Sungguh!
Masanya telah tiba,
Lepaskanlah aku ke dunia.

(Lepaskanlah saja kedua-dua Al-Maseh ke dunia....)





Adakalanya, kalaulah aku bukan lagi manusia, mahu saja aku tutup mata dan telinga aku. Mahu saja aku tutup mulut aku. Pedulikan, mereka dengan dunia. Biarkanlah aku kutip sampah-sampah kebaikkan yang dibuang bertaburan di sini, sendirian. Mereka yang terkejar-kejar trem untuk ke perhentian seterusnya, pergilah. Aku tak mahu ikut. Pergilah.

Aku dah penat. Lepaskan aku dari kerenah dunia...
Hindarkan aku daripadanya.

Tutup cerita.



.

Saturday, December 18, 2010

Disambar sang Rajawali sakti

Muka aku disambar sang Rajawali
terbang tinggi 
Mata-mata aku dibawanya pergi
Aduh! Perit hidup gelita begini
Menjadi sesat di Bumi sendiri



Mata-mata aku
dibawanya ke atas sana
melihat awan dan gunung
hijau hutan dan biru lautan
Indah rupa-rupanya
Aku yang jahil tak mengerti


Oh Rajawali,
aku mahu mata-mataku kembali
Tolonglah!







Kerap kali kita gagal menyedari keupayaan dan anugerah yang kita miliki, sehingga ianya disambar pergi. Waktu itu (bila ianya telah pergi), kita terkulat-kulat dan menyesali segala-galanya yang telah tiada. Norma hidup memang begitu agaknya...

.

Sunday, December 5, 2010

Aku lelaki mandul

Aku lelaki yang mandul
Fikiran yang mandul
Isi yang mandul



Mencari inti diri yang dinyah pergi
Kini menjilat kembali karat-karat
Sampaikan biar berkilat
Agar kembali menjadi cermin diri
Dan bisa aku ketemui 
Nilai diri aku yang abadi


 



.