Tuesday, July 30, 2013

Cerita Bersiri: Pusaka .... Bhgn 7

.


Bahagian 7: 400 Tahun lampau.

                        Seorang lelaki separuh umur berlari-lari dengan tergesa-gesa dari tambatan. Tali perahunya pun tidak diikat dengan kemas. Ada sesuatu yang menakutkannya. Ada sesuatu yang seolah-olah menghambatnya dari arah belakang sehinggakan mukanya tampak pucat lesi, ditoreh tidak berdarah. Cuaca tidak begitu baik sejak kebelakangan ini. Kerap terjadi hujan panas. Hujan begini memang tidak mengizinkan para nelayan sungai untuk turun menangkap ikan. Mereka tahu pantang larang orang tua-tua. Mereka tidak berani untuk melanggarnya. Tetapi tidak bagi lelaki yang lari tadi. Dia merasa geram apabila terlihat banyak ikan bermain-main di permukaan air di lubuk.

                        Malam itu, kampung kecil itu dihebohkan dengan berita Demang sakit kuat. Dia meracau-racau tidak tentu pasal. Habis meracau, dia terus berguling-guling seperti hendak lari sambil mulutnya berbuih-buih. Jika tidak berbuih, mulutnya bising bercerita tentang betapa besarnya ikan yang termakan taut anak ikan Keli miliknya. Namun begitu, dia tidak mampu untuk menarik ikan itu naik ke dalam perahunya kerana apabila semakin ditarik, ikan tersebut semakin kuat meronta-ronta. Tiba-tiba dia terlihat kedua-dua mata ikan tersebut berkelip. Oleh kerana terkejut, dia terus melepaskan tautnya dan berdayung pulang, keluar dari kawasan lubuk itu.

                        Pawang Andika telah dipanggil untuk tolong mengubati Demang. Jiran-jiran Demang juga telah datang seawal selepas Maghrib untuk membacakan surah Yassin di rumahnya. Isteri Demang semakin risau apabila sakit suaminya tidak kebah-kebah. Lewat malam itu, Demang kelihatan hanya mendongakkan kepalanya sambil matanya bulat memandang kepada atap rumah. Dadanya berombak kuat seolah-olah takut yang teramat. Peluh jantan tidak henti-henti mengalir turun dari dahinya. Pawang Andika mula membuat andaian bahawa Demang telah terserempak dengan penunggu lubuk. Demang telah ditegur kerana melanggar pantang larang hujan panas. Keesokan paginya, Demang secara tiba-tiba telah bangun dan menerpa ke muka pintu. Isterinya yang sedang menjerang air di dapur terkejut dan telah cuba untuk menghalang suaminya dari terjun ke atas tanah tetapi gagal. Suaminya ternyata lebih gagah daripadanya. Demang terus berlari ke arah sungai meninggalkan isterinya yang sedang menangis di kaki tangga rumahnya. Demang telah lupa segala-galanya. Dia terus terjun ke dalam sungai dan berenang ke hilir. Dia seperti terdengar suara memanggilnya dari arah lubuk  tempat dia menahan tautnya semalam. Dia seperti telah kerasukan kerana tidak mengendahkan raungan isterinya di kaki tangga. Itulah kali terakhir Demang dilihat oleh isterinya.

                        Semenjak peristiwa Demang disampuk penunggu lubuk itu, tiada siapa yang berani menangkap ikan di situ lagi. Biar pun ikan di situ banyak sehinggakan kelibatnya tampak dari atas permukaan sungai, tiada sesiapa pun yang ambil peduli. Pokok besar yang tegak gagah di tebing sungai itu menjadi penanda kawasan yang berpuaka itu.





[bersambung lagiii....]

.

Tuesday, July 23, 2013

Cerita Bersiri: Pusaka.... Bhgn 6

.


Bahagian 6 : 5 tahun lepas.

                        Pokok besar yang telah tua itu masih tersergam gagah di situ. Jauh di belakangnya kelihatan sebuah gunung yang dikelilingi dengan kondominium-kondominium mewah yang berceracak di kakinya. Hutan-hutan kayu kini telah lama reput dan digantikan dengan busut-busut batu yang tinggi-tinggi. Sesetengahnya ada lampu-lampu merah berkelip-kelip di puncaknya. Berbeza dengan di sini, di sekitar Kampung Kelubi ini yang daranya masih belum terjamah oleh gigi-gigi jentolak. Usaha para penduduk kampung pada masa sudah telah berjaya membuka mata pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan kajian terperinci terhadap cadangan projek pembangunan di kawasan ini. Pihak yang bertanggung jawab telah menugaskan sebuah syarikat perunding bebas yang diketuai oleh sebuah jawatankuasa untuk menjalankan kajian keatas kesan pembangunan tersebut kepada alam sekitar. Hasilnya, seperti yang telah dijangkakan, projek tersebut memang boleh mengancam ekologi tanah di kawasan tersebut. Lebih daripada itu, pihak kerajaan negeri telah mengumumkan kawasan sekitar sungai itu, termasuk Kampung Kelubi, adalah kawasan hutan sensitif, hutan yang tidak boleh dibangunkan agar ekologi sekitarnya kekal terjamin. Keputusan ini disambut dengan gembira oleh para penduduk terbabit. Tidak terkecuali, para perwakilan dan menteri yang hampir pasti dapat meneruskan kekuasaan pada musim akan datang.

                        Walau pun usaha para penduduk setempat untuk menghalang perlaksanaan projek tersebut telah membuahkan hasil seperti yang dicita-citakan, tidak seorang pun yang berani menjangkakan sampai bila hutan simpan tersebut terus disimpan. Termasuk juga ahli-ahli politik yang turut sama menumpang nama dengan kejayaan itu. Mahat, atau lebih dikenali dengan nama Pak Mahat, hanya bersyukur panjang apabila diberitahu berita baik itu. Telah berkurun lamanya keluarga Mahat tinggal di Kampung Kelubi. Malah, tanah miliknya adalah diantara yang terluas di situ, termasuk tanah di tebing sungai. Pokok besar yang telah berusia itu juga berada di dalam bidang tanahnya. Sedikit pun tidak akan dia gadaikan tanah pusakanya hanya untuk mengaut untung yang besar. Dia tahu, duit sebanyak mana pun akan habis akhirnya tetapi tidak tanah. Dia amat sayangkan tanahnya.




.

Wednesday, July 17, 2013

Cerita Bersiri: Pusaka.... Bhgn 5

[Cerita bersiri ini ditulis dalam tahun 1998]


Bahagian 5 : 108 Tahun akan datang.

                        Kampung Kelubi menjadi gempar hari ini. Sebuah papan penyataan projek pembangunan telah terpacak di pinggir jalan masuk ke kampung itu. Di sebelahnya, terpampang pelan pembangunan beserta dengan lukisan bandar konsep, lengkap dengan pusat beli-belah dan prasarana tebing sungai. Namun begitu, terdapat lukisan sebatang pokok yang besar di tepi sungai. Bezanya dengan sekarang ini ialah sungai dalam lukisan itu lebih mirip kepada longkang yang besar apabila tebing sungai yang asal dikonkritkan, seperti mana yang di lukiskan dalam gambar  tersebut.

                        Para penduduk kampung, diketuai oleh Kasim, telah membentuk sebuah jawatan kuasa bertindak bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian kepada kemelut itu. Mereka sebulat suara membuat keputusan untuk membantah perlaksanaan projek pembangunan tersebut. Petisyen yang ditandatangi oleh hampir seluruh penduduk Kampung Kelubi telah dibuat dan telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menimbang semula keputusan perlaksanaan projek tersebut.

                        Di suatu tempat yang lain, di tempat yang berhawa dingin dan dikelilingi oleh pemuzik sambil orang ramai sedang makan, kelihatan dua lelaki Melayu dan seorang lelaki Cina sedang menjamu selera. Terdapat juga tiga gadis manis yang tidak dikenali bangsanya menemani mereka makan sambil menuangkan air minuman yang pahit rasanya. Salah seorang lelaki Melayu itu berpakaian kemas dengan tali leher dan kot. Dia kelihatan bercerita sambil disambut dengan ketawa mengampu oleh lelaki Cina dan ketawa hambar oleh lelaki Melayu itu. Sebelum mereka mengakhiri makan tengah hari, lelaki Cina itu bersalaman dengan kedua-dua lelaki lelaki Melayu sambil menghulurkan sekeping sampul surat kuning yang kelihatan sendat kepada kedua-duanya. Senyuman kedua-duanya semakin melebar. Tidak lama kemudian, dua buah kereta mewah yang besar keluar dari lobi hotel tersebut.




[bersambung...]


.

Friday, July 5, 2013

Cerita bersiri: Pusaka..... bghn 4.

[cerita ini ditulis pada tahun 1998]




Bahagian 4: 310 Tahun dulu.

                        Kantan tidak pernah merasa begitu tertekan sebagaimana sekarang ini. Isterinya, Seroja, telah seminggu tidak pulang-pulang ke rumah. Anak-anak Kantan yang seramai tiga orang itu kelihatan tidak ceria sebagaimana sebelum ini. Makan dan pakai mereka diuruskan oleh jiran sebelah yang juga bidan yang menyambut ketiga-tiga mereka. Anak Kantan yang kecil asyik menangis kerana merindui ibunya. Orang-orang kampung turut sama merasai kesedihan Kantan. Mereka telah cuba berbagai cara untuk menjejaki Seroja; daripada mencari beramai-ramai sehinggalah menggunakan khidmat Bomoh Hitam tetapi hasilnya tetap sama. Seroja masih belum muncul.

                        Telah ada khabar-khabar angin yang mengatakan Seroja dilarikan oleh salah seorang penduduk kampung di hilir yang juga musuh kepada Kantan. Walaupun buktinya tiada, tetapi jika didasarkan kepada peristiwa lima bulan lepas, ada munasabahnya. Lima bulan yang lepas, Kantan telah bergaduh dengan Talang akibat dari salah faham. Puncanya apabila Kantan pergi menjala ikan di Lubuk Kelubi, lubuk yang terletak agak ke hilir sungai. Lubuk tersebut memang terkenal dengan ikan yang dikatakan ada sehingga sebesar perahu kecil. Talang pula tinggal tidak jauh dari lubuk itu yang merupakan jajahan kampungnya. Rebutan kawasan menangkap ikan memang biasa terjadi, dan ia menjadi bertambah tegang jika melibatkan kawasan sempadan. Pada tanggapan Talang, Kantan sengaja menghina keluarganya apabila datang menjala ikan di Lubuk Kelubi. Mungkin bagi Kantan kedatangannya bukan satu kesalahan. Namun bagi Talang yang terkenal dengan panas barannya, periuk nasinya mula dicerobohi oleh Kantan.

                        Ada juga khabar-khabar dari orang-orang tua mengatakan Seroja telah disorok oleh penunggu yang bermastautin di pokok besar yang tumbuh berhampiran jeti di sungai. Pokok besar itu dikatakan sering menghasilkan bunyi-bunyian yang menyeramkan pada waktu malam. Ada yang mendakwa telah mendengar suara perempuan mengilai. Ada yang mendakwa lebih jauh daripada itu sehingga mengatakan telah terserempak dengan penunggu yang sedang bertenggek di dahan yang menjulur ke sungai sambil lidahnya menjilat air sungai. Tidak ada siapa yang berani pergi ke situ pada waktu malam. Pokok itu telah tua. Tetapi tiada siapa yang tahu berapa tua pokok itu.

                        Kehilangan Seroja telah membuka mata para penduduk kampung. Seroja memang terkenal dengan keayuannya. Dia adalah berketurunan raja. Moyangnya dahulu telah disingkirkan dari takhta akibat perebutan kuasa. Moyangnya telah lari membawa diri dengan berakit di laut berhari-hari lamanya sehinggalah berjaya ke hulu sungai ini dan berlindung diri.

                        Kantan membuat satu keputusan yang nekad. Dia mahu bersemuka dengan Talang. Biar apa pun yang akan berlaku, Kantan tidak mahu dikatakan pengecut. Telah seminggu isterinya hilang, dan mungkin ada di rumah Talang, dan dia tidak mahu bertangguh lagi. Dalam diam-diam, Kantan pergi ke jeti dan terus melucutkan tali salah satu perahu kecil. Dengan cepat dia berdayung mengarah ke hilir sungai. Perahu kecil yang dinaikinya teroleng-oleng apabila Kantan mendayung dengan cepat. Dia mahu segera sampai ke rumah Talang. Dalam fikirannya hanya ada satu; Talang harus mati atau pun dia yang akan tersungkur. Hanya ada seorang sahaja yang patut tinggal.

                        Setelah sampai, perlahan-lahan Kantan merangkak menuju ke bawah rumah Talang. Tidak kedengaran sebarang suara dari dalam rumah. Kantan hairan. Di manakah agaknya Talang ? Dia memberanikan diri keluar dari bawah rumah dan berdiri di muka tangga. Tangannya menggenggam kemas hulu parang panjang yang masih tersisip pada pinggangnya. Dia perlu berhati-hati dengan sebarang kemungkinan. Suasana masih sunyi. Hanya kedengaran bunyi air di sungai. Matahari kian redup. Sebahagian cahayanya terlindung oleh pucuk  Ijuk. Kantan hairan kerana tiada siapa yang ada di rumah itu hatta anak-anak Talang yang dua orang itu; anak-anak yatim Talang yang kehilangan isterinya empat tahun lepas.

                        Berbagai-bagai andaian yang bermain-main dalam kepala Kantan. Ada yang menakutkan dan ada yang membuatkan darah Kantan semakin membuak. Akhirnya, dia pasti Talang telah membawa isterinya lari kerana perahu milik Talang tiada di tambatan. Tambahan pula sekitar rumahnya yang agak berselerak dengan daun-daun kering dan debu. Kantan berasa terkilan dan sedih yang teramat sangat dan terus berjalan menuju ke perahunya. Dia berdayung pulang. Sebaik sahaja sampai di Lubuk Kelubi, dia berhenti berdayung dan menundukkan kepalanya. Angin bertiup kencang secara tiba-tiba. Dahan-dahan pokok besar di tebing sungai itu bergoncang agak kuat sehinggakan daun-daun kering berguguran umpama hujan. Kantan melihat semua itu. Dan dia hanya melihat sahaja.

                        Itulah kali terakhir Kantan di lihat oleh orang kampungnya. Tiada berita yang diterima tentangnya, sama seperti berita tentang isterinya. Kehilangan Kantan dan isterinya masih menjadi misteri dan persoalan itu tetap tidak berjawapan sehinggalah anak-anaknya kini telah bercucu-cicit. Anaknya yang sulung telah dilantik menjadi ketua Kampung Kelubi, sempena nama lubuk yang menjadi misteri diantara dua buah kampung yang berkongsi  sungai itu.




[bersambung...]

Thursday, July 4, 2013

Cerita bersiri: Pusaka .... bhgn. 3

[cerita yang aku tulis pada tahun 1998]



Bahagian 3: 10 Tahun lepas.

                        Rancangan kerajaan untuk memajukan sekitar kawasan Kampung Kelubi mendapat bantahan daripada para penduduk setempat. Ini kerana mereka percaya masalah pencemaran akan berlaku dan seterusnya akan menyebabkan hutan primer yang menggelangi Kampung Kelubi akan musnah secara perlahan-lahan. Bagi mereka, nilai kemajuan yang dijanjikan oleh kerajaan tidak mungkin akan setimpal dengan pengorbanan hutan itu.

                        Ini telah menjadi begitu jelas sejak akhir-akhir ini apabila banyak tanah yang ‘menggeliat’ kegelian diterjahi air hujan kerana tanah tersebut telah ditelanjangi untuk dipasak dengan pokok-pokok konkrit dan kaca. Akibatnya, satu persatu pokok-pokok itu tumpas menyembah dataran yang tanahnya masih lagi merah, belum bertar. Itulah janji alam. Dan janji itulah juga yang penduduk Kampung Kelubi pegang dan percaya. Keseimbangan ekologi terganggu. Biodiversiti telah terancam dengan perkenalan parasit-parasit yang dibawakan oleh pembangun-pembangun yang hanya memandang kepada wang dan para ahli politik yang dahagakan ganjaran dari arah belakang. Namun, itulah kehendak pembangunan. Musnahkan dahulu dan barulah dibangunkan. Barulah pembangunan itu boleh dikatakan berjaya apabila dirujuk semula kepada kemusnahan yang sebelumnya, bukan kepada kemakmuran yang telah tersaji sejak sekian lama, sebelum kehadiran para pembangun yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘pembawa tamadun’.

                        Para penduduk telah menghantar berpuluh-puluh petisyen bantahan terhadap pelan pembangunan tersebut. Sejak itu, projek tersebut senyap sebentar sebelum pelan pembangunan yang baru dicadangkan. Walau pun begitu, perbezaan antara pelan yang lama dan yang baru tidak banyak jauh bezanya. Kedua-duanya memerlukan kawasan asal diratakan sebelum dibangunkan. Kesan baik daripada pelan pembangunan itu akan dirasai oleh mereka yang berharta. Kesan yang sebaliknya pula akan dirasai oleh para penduduk Kampung Kelubi, terutamanya keluarga Mahat yang berketurunan asal penduduk kampung itu.




[ bersambung...]



.

Wednesday, July 3, 2013

Cerita bersiri: Pusaka ........ Bhg. 1 dan 2

[Cerita bersiri ini aku tulis pada tahun 1998. Membacanya perlu melihat tarikh dimana cerita itu berlaku]




Bahagian 1: 500 Tahun lampau.

                        Gunung itu kelihatan terpacak gagah dari sini. Hijau hutan yang menyelimuti seluruhnya umpama gebar tebal yang menampannya daripada sejuk yang bangat. Kabus nipis melingkari  pohonan yang tumbuh tinggi di lerengnya. Di sekelilingnya pula, tanah hutan primer kelihatan beralun bagaikan ombak-ombak di laut. Di celah-celah alunan itu, mengalir beberapa sungai menghilir yang salah satunya membelah tanah pamah kampung ini.

                        Di sini, sungai ini adalah nadi penduduk kampung ini. Perahu-perahu kecil tertambat di tebing sungai adalah bukti tentang betapa pentingnya sungai ini perlu terus  mengalir. Lubuknya yang pasti penuh dengan hidupan air tawar segar seolah-olah perangkap maut kepada orang luar yang kurang biasa dengan sungai ini. Di tebing sungai ini juga adalah salah satu daripada puluhan tempat untuk kanak-kanak bermain, terutamanya di bawah sepohon pokok yang sebesar tiga pelukan lelaki dewasa itu.

                        Penduduk  kampung ini tidaklah ramai. Rumah-rumahnya boleh dibilang dengan jari tangan. Mungkin kerana petempatan di sini masih baru, tidak seperti di kampung yang  lagi satu,  yang lebih ke hilir sungai yang sama. Kampung itu lebih padat penduduknya. Walaupun begitu, kampung ini tidak kurang meriahnya dengan jeritan anak-anak kecil berkejar-kejaran di sekeliling pokok besar itu.
 

Bahagian 2 : 110 Tahun akan datang.

                        Kasim sudah tidak peduli. Marahnya telah naik ke tahap yang sukar untuk dibendung lagi. Dia tidak rela melihat segala-gala miliknya diambil dengan mudah sebegitu. Sekurang-kurangnya dia perlu bertindak untuk melindungi satu-satunya hartanya yang tinggal.

                        Kasim berdiri di antara kesesakkan debu-debu yang berterbangan menutupi sinaran terik matahari, walaupun ketika itu tingginya tidak sampai segalah (kalaulah boleh diukur dari ufuk Timur). Teriknya membakar hatinya yang lama memendam dendam kepada besi-besi beroda yang berpusing-pusing menyodok tanah miliknya. Adiknya, Karim, mungkin tersenyum sumbing pada masa ini. Dia mungkin seronok dan puas dengan habuan yang diterima daripada Towkey Lim itu. Dato’ Zainal juga apa kurangnya, kalau Karim mendapat peha, dia tentu mendapat dadanya. Bukan satu atau dua projek yang Towkey Lim dapat tetapi lima projek mega yang dia kuasai. Semuanya berhampiran lembah ini. Towkey Lim pasti amat berterima kasih dengan Dato’ Zainal kerana tanpanya, pasti banyak projek yang terlepas ke tangan syarikat-syarikat yang kurang ‘berdaya maju’, seperti mana yang didefinisikan oleh Dato’ Zainal untuk syarikat-syarikat bumiputera yang ‘hidup segan tapi mati tak mahu’ kerana tiada sokongan daripada pihak berwajib. Syarikat-syarikat yang terlalu kedekut untuk serahkan sedikit ‘sumbangan untuk orang ramai’ memang bukan termasuk di dalam senarai pendek di dalam poket kecil  Dato’ Zainal. Buat masa ini, hanya syarikat Towkey Lim yang amat ‘bermurah hati untuk berderma’ kepada orang ramai dan juga kepada Dato’ Zainal sendiri.

                        Perlahan-lahan, tetapi penuh dengan kesungguhan, pemandu-pemandu jentolak dan jengkaut menolak dan menarik tanah-tanah tinggi di hadapan mereka. Muka masing-masing tunduk kerana tidak sanggup memandang raut wajah Kasim yang merah. Kasim masih lagi tegak berdiri di tengah-tengah lapang yang dulunya adalah dusun. Di balik lereng di sebelah Barat sana, sebuah sungai yang dulu nyaman airnya, kini keruh dan tohor. Tebingnya pula telah menjadi konkrit. Mata Kasim memandang tepat ke arah sepohon pokok yang besar di tebing sungai. Seakan-akan ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Seakan-akan ada sesuatu yang memanggil-manggil dia supaya hampir dan berteduh di bawah rimbunan daunan.

                        Kasim berjalan menuju ke bawah pokok itu. Persekitarannya di rasakan amat sunyi walau pun deruan jentera-jentera menguasai udara lembah ini. Setelah sampai, Kasim termanggu sebentar sebelum ada sesuatu yang mencuit kakinya. Seketika kemudian, tanah tempat Kasim berpijak terasakan lembut sehinggakan kakinya mulai terbenam separas buku lali. Dan ia bukan berhenti setakat itu sahaja.





[ Bersambung...  ]