Thursday, August 18, 2011

Ramadhan 10 : Satu hari di hari raya... diperantauan

.


Aku pandang dia. Dia balas pandangan aku ballik. Aku tak punya apa-apa sedangkan dia punyai kenderaan. Kata putus tentunya ada pada si dia.


" kita beraya di sinilah. exam minggu depan. buang masa kalau balik pun." akhirnya, seperti yang diagak, dia putuskan begitu.


Maka, kami pun mendengar lagu-lagu raya di corong-corong radio di kediaman berlapis-lapis itu. Pada berbuka yang akhir di bulan Ramadhan, nasi kandar menjadi pilihan kami. Itu pun terpaksa keluar ke simpang jalan kerana kaum pekerja kantin sudah pulang, sibuk menganyam ketupat agaknya. Setiap butir nasi yang ditelan umpama butir-butir pasir yang menggores tekak sampai ke hulu hati.


Kerana tak ada persiapan untuk beraya, kami singgah di kedai runcit. Kami beli kacang goreng, maggi kari dan sebotol besar air oren FnN. Sebungkus rokok juga.


Malam raya itu, kami rayau-rayau sekitar pekan mendengar takbir berkumandang. Ya, hanya mendengar. Lewat tengah malam, kami pulang untuk bersedia menyambut paginya.


Dan subuh pun menjelang. Lalu kami perasan, kami tak punya baju yang sesuai untuk beraya. Usai subuh di bilik kami kembali memeluk bantal dan menemankan tilam.


Aku terjaga semula apabila matahari mula membahang. Aku jenguk jam loceng, pukul 10am lebih. Aku bangun lalu aku goyang-goyang bahu dia.

" wey.. selamat hari raya. bangunlah, jom cari ketupat..."


Tak berapa lama selepas itu, pintu bilik kami dibuka. Sekonyong-konyong sebatang tubuh yang kurus berkain pelikat dan berbaju T dan bersongkok menerpa masuk. Batang tubuh itu baru pulang dari bersembahyang raya.


" selamat hari raya.... bangunlah..."


Aku pasti, itu  Sepa...  yang baru hampir-hampir menjahanamkan sebuah motorsikal kawannya di simpang masuk kediaman kami, berhadapan dengan kediaman kaum puteri....







.

Wednesday, August 17, 2011

Ramadhan 9 : Tugas aku dah selesai, itu tugas kamu ....

.



Ada seorang tua yang telah lanjut usianya berjalan bertopangkan tongkat kayu dan amat perlahan jalannya. Satu persatu langkahnya disusun, seperti mahu elakkan dari terpijak semut-semut yang tak henti-henti berlari mencari makanan di atas lantai simen siar kaki. Setelah sampai di kedudukan yang dia mahu, orang tua itu rebahkan punggungnya di atas sekeping kotak yang telah diratakan dan dihamparkan. Tongkat kayunya yang bertindak seperti 'kaki ketiga' itu disandarkan pada dinding batu, tak jauh dari pintu sebuah kedai minuman Cina.


Ada seorang anak muda di dalam perut sebuah kereta sedang menunggu kekasihnya membeli-belah. Lagu-lagu barat yang berat menghentam gegendang telinga tapi matanya tertumpu kepada orang tua yang bertongkat itu tadi. Ada sesuatu yang sedang difikirkannya tentang orang tua itu. Sesuatu yang menarik fikirannya, maka tercetuslah pelbagai soalan dalam fikirannya, mengatasi bunyi dentuman muzik barat yang berat itu.


Lalu anak muda itu pun menutup segala suis yang ada dan keluar dari keretanya. Dia berjalan menuju kepada orang tua yang sedang duduk bersila dan ada sebiji tempurung yang ada beberapa keping duit syiling di dalamnya. Anak muda itu lemparkan beberapa keping syiling ke dalam tempurung itu.


" terima kasih, anak muda " 

Perbualan demi perbualan berlanjutan beberapa lama. Kebanyakan persoalan yang berputar dalam kantung fikiran anak muda itu hampir terjawab, kecuali satu...


" bukan, pakcik tak mengemis seumur hidup pakcik. Pakcik dulu ada pekerjaan, sama seperti mereka, seperti kamu, seperti dia itu dan dia yang itu... bekerja untuk menjadi duit. Tak kisah apa pun kerjanya asalkan ada duit. "


" pakcik pernah memandu lori untuk bawa hasil tuaian kampung ke bandar-bandar. Jadi, orang kampung dapat duit untuk terus hidup manakala orang bandar seperti kamu ini dapat makanan untuk terus hidup. Itu tugas pakcik dulu..."


" bila pakcik kemalangan, pakcik tak boleh pandu lori. pakcik jadi jaga di sekolah rendah. pakcik pastikan anak-anak kamu semua selamat di sekolah dan belajar dengan aman. diharapkan satu hari nanti mereka semua berjaya dan bekerja seperti kamu. itu tugas pakcik seterusnya..."


" kemudian pakcik sudah terlalu tua dan tak mampu berjaga. pakcik sakit-sakit. sekarang ini, inilah yang pakcik mampu buat... "


Anak muda itu yang tadinya bertinggung kini melipatkan kakinya untuk sama-sama bersila dengan orang tua itu.


" anak muda, macam-macam tugas pakcik dah buat. sekarang pakcik dah tua. tugas pakcik untuk kamu semua telah selesai. kini semua itu menjadi tugas kamu, tugas mereka, tugas dia itu dan dia yang itu... "



Anak muda itu anggukkan kepala tanda faham. Dia bersalaman dengan orang tua itu sebelum berdiri dan berjalan pergi ke keretanya. Kekasihnya sedang berdiri menunggunya dekat dengan kereta, pada tangannya ada seplastik penuh dengan barang-barang.







.

Thursday, August 11, 2011

Ramadhan 8: Kisah lailatul Qadr...

... seperti yang diceritakan oleh abang aku ketika aku masih kecil-kecil dulu...





Seorang tua yang rajin beribadah menginap di sebuah kampung yang serba kekurangan namun masih ada sebuah surau lama yang masih dikunjungi oleh penduduk setempat.


Orang tua itu telah bongkok sabut sangkeng tuanya namun dia tetap bersolat di surau tua yang terletak agak sepelaung dari rumah buruknya. Diantara rumah dan surau itu terdapat sebatang kali yang jernih airnya dan sebuah kolam yang dibuatnya untuk menakung air.


Kolam itulah tempat orang tua itu mengambil wudhuknya sebelum melangkah ke surau itu untuk bersolat. Dia sering membawa bakul rotannya apabila ke mana-mana. Apa yang ada di dalam bakul itu, hanya Tuhan dan dia sendiri yang tahu. Apabila sampai waktu solat, dia akan berjalan melalui kali itu. Dia akan menyangkutkan bakul rotannya pada dahan pokok renek yang melata ditepi kolam kecil itu dan memasukan kain pelikat lusuhnya ke dalam bakul itu. Setelah sudah berwudhuk, dia akan teruskan ke surau untuk bersolat.



Sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang seterusnya. Orang tua itu tidak pernah bercuti dari bersolat lima waktu dan berterawikh di surau itu. Setiap petang selepas berbuka, dia akan berjalan ke surau itu untuk bersolat wajib dan sunat terawikh.


Pada satu hari itu, dia mahu berqiamulail di surau itu. Maka pada tengah malam, dia pun berjalan dengan membawa bakul rotannya dan beberapa keperluan lain untuk berihtikaf. Sesampai di kolam kecil itu, seperti biasa, dia akan mengambil wudhuk.

 Namun tanpa dia sedari, semua pohon telah tunduk kepadanya. Seolah-olah bersujud. Andang daun kelapanya tidak cukup cerah untuk menyuluh, lagikan pula padangan mata tuanya yang telah kabur. Pohon buluh yang tumbuh tidak jauh dari kolam itu turut tunduk seolah-olah bersujud kepadanya.


Tanpa disedarinya juga, orang tua itu telah menyangkutkan bakul rotannya pada pucuk pokok buluh yang sedang bersujud itu. Kemudian, pohon buluh itu tiba-tiba tegak semula, membawa bakul orang tua itu naik tinggi ke atas pucuk sana.


Apabila usai mengambil wudhuknya, orang itu itu tercari-cari bakul rotannya. Ketika itulah baru dia sedar apa yang sedang berlaku. Dia lihat bakul rotannya berada di pucuk pohon buluh. Dia pun berteriak:

" kembalikan bakul aku... aku mahu bakul aku.. aku mahu bakul aku .."


Tiada doa lain selain mahukan bakul buruknya kembali. Sekonyong-konyong berpuluh-puluh bakul pun turun dari langit bergeletak di sekitarnya. Cantik-cantik buatannya namun orang tua itu masih berteriak mahukan bakul rotan buruknya. Beratus-ratus bakul turun lagi dari langit. Namun seperti tadi juga, dia tak mahu.


Agak sekian lama juga, akhirnya pohon buluh itu tunduk kepadanya lalu dengan pantas orang tua itu mengambil semula bakulnya. Kemudian, dia berjalan pantas menuju ke surau.



Apa yang ada di dalam bakul buruknya?


Senaskhah Al-Quran lama yang dia sering baca di surau itu....







.

Ramadhan 7: Hinggap di atas bumbung kereta...

[seperti mana yang diceritakan oleh seorang rakan kira-kira 10 tahun lalu]





Seperti biasa, keluarga yang baru beranak kecil itu gembira bila Hari Raya Aidil Fitri semakin hampir. Kali ini mereka 'Oooo Som' untuk tentukan keluarga sebelah mana yang perlu dikunjungi pada hari raya pertama. Bahagia sekali.


Pada malam 'balik kampung' itu, mereka berkemas-kemas untuk ke selatan, ke rumah keluarga sebelah si suami. Ya, si isteri mengalah. Mereka bertolak selepas solat Isyak dari S. Alam menuju ke Johor. Anak kecil sedang asyik 'menenen' di pangkuan ibunya manakala abahnya memberikan tumpuan penuh ke jalan raya. Setiap simpang dan belok diambil secara cermat dan berhati-hati.


Lebuhraya dua lorong itu sesak dengan kenderaan yang masing-masing tunda-menunda menuju ke selatan. Rimas dengan situasi begitu, si suami mengambil keputusan untuk keluar dari lebuhraya dan menggunakan jalan antara negeri.


Ketika memasuki sempadan Johor, jalan semakin lengang. Kalau tadi masih kelihatan orang-orang kampung pulang dari berterawikh di masjid atau surau, kini yang ada hanya deretan pokok pisang, pokok kelapa dan sekali-sekali rumah-rumah orang kampung yang kini hanya diterangi sebiji mentol di anjungnya. Kelihatan rumah-rumah itu gelap. Ada juga deretan pelita panjut di tepi-tepi jalan namun itu hanya di sekitar kawasan kampung.


Suasananya amat berbeza apabila mereka melalui kawasan hutan. Sunyi menggigit tulang hitam. Suara deruman kereta yang dipandu perlahan tidak dapat menandingi bunyi rengekkan cengkerik hutan dan sahutan katak kuang. Sekali-sekala lampu sorot keretanya bertembung dengan kelawar yang terbang menerpa kupu-kupu malam. Kadang-kadang burung jampok akan terbang kerana terkejut dengan kehadiran mereka itu.


Sedang si suami leka dengan aktiviti malam itu sambil memandu, si isteri terasa tidak sedap hati. Dia dapat rasakan seperti sedang diekori. Walaupun hati kecilnya seringkali memberitahu tiada apa yang perlu dirisaukan pada malam-malam Ramadhan, dia masih gagal berasa aman.


Dia pun menoleh ke belakang. Serta-merta bulu romanya tegak berdiri. Mulutnya terkunci mati. Matanya terbeliak memandang langsuir berkain putih sedang terbang mengekori kereta mereka seperti layang-layang yang talinya ditambatkan kepada kereta itu. Bila kereta membelok ke kanan, ke kananlah juga langsuir itu terbang di belakang mereka.


Semakin lama semakin hampir. Mulutnya masih terkunci. Wajahnya pucat. Puas dia cuba beritahu suaminya namun tak berhasil. Sehinggalah suaminya terkejut apabila ada sesuatu yang menghempap bumbung kereta yang sedang dipandunya. Si suami memandang ke arah isterinya yang pucat ketakutan. Suaminya masih tak mengerti situasi sebenar sehinggalah apabila dia terlihat jurai-jurai kain putih di luar cemin tingkap di sebelah isterinya.


Melopong mulut si suami beberapa waktu dan kereta pun hampir terbabas. Perlahan-lahan si suami dapat kembali kewarasannya lalu bertakbir sekuat-kuat hatinya sehinggakan terjaga anak kecil yang tadinya lena dipangkuan ibunya.


Berbalam-balam di hadapan, kelihatan deretan rumah orang dan pelita panjut yang kehabisan minyak tanah. Mereka menarik nafas lega.... lega yang teramat.









.

Tuesday, August 9, 2011

Ramadhan 6: hati-hati yang resah...

.


Seorang lelaki merenung lama ke puncak mimbar. Dikemaskan silanya. Masjid tua itu sunyi. Sepi mengalir seperti asap-asap seksa yang meresapi setiap poros tubuhnya. Poros-poros iman yang pernah ditembusi pelbagai duri noda, selumbar dugaan.


Air mata bergenang. Matanya berkaca-kaca. Renungan panjang ke puncak mimbar itu bukan kerana kagum dengan keindahannya, lebih tepat, untuk menyeka air matanya dari mengalir turun seperti sepi tadi.

Ah! Akhirnya ia turun jua. Ingatannya satu persatu berbaris di depan mimbar itu, bershaf-shaf banyaknya. Lelaki itu tidak mungkin dapat menutupi semuanya dengan sejadah-sejadah yang ada. Bahunya berhenjut-henjut.... akhirnya (juga) dia mengalah. Dia tunduk dan membiarkan air matanya mengalir seperti sepi itu tadi. Ia mengalir lalu meresapi setiap poros-poros iman yang ada. Dia angkat kedua-dua tangannya...




Ya Tuhanku,
Aku hambaMu yang benar-benar berdosa,
Alangkah besar cubaan yang Kau berikan kepadaku,
Dan aku gagal dalam cubaan itu.

Hanya Engkau yang mengerti kenapa,
dan mengapa aku yang Kau pilih untuk Kau berikan,
cubaan itu, sedangkan aku ini lemah.

Takdir Engkau, ya Tuhan,
siapa pun tak mampu membantah,
dan aku tak mampu,
melawan arus yang telah Engkau tetapkan,

Maka, telah jadilah hambaMu ini seorang yang hina,
kotor dan keji menjadi selimut tubuh ini,
hanyir dan busuk menjadi nafas tubuh ini,

Ya Tuhanku,
raut wajah ini masih memandangMu
walau pun kini,
ianya dari pandangan seorang yang berdosa,

Maka, aku pohon dariMu
pandanglah aku dengan pandangan KasihMu
Kasihanilah aku yang basah dan menggigil kesejukkan,
dengan air mata.

Tukarkanlah pakaian aku,
kerana aku mahu bersih semula,
untuk mendampingiMu yang suci dan wangi.




Perlahan-lahan lelaki itu sujud merendahkan dirinya di hadapan yang Maha Esa.







.

Friday, August 5, 2011

Ramadhan 5: Hikayat soldadu dan semut api...

.


Hikayat ini umpama meniti batas-batas rindu yang lopak airnya ibarat kudis-kudis buta.

Para soldadu yang menyusun tapak di batas-batas rindu itu seolah-olah semut-semut api, yang berbaris mengusung jenazah kelkatu dan serangga malam, begitu tekun menghabiskan tugas walau terik matahari membakar semangat mereka, sedikit demi sedikit menjadi abu, luntur.


Kepada mereka yang biasa meniti batas kecil, semut api dan lopak air adalah dua perkara yang perlu dihindari, jika tidak, kaki akan kotor atau melecet diketit sang semut api.

Maka berkatalah syahibbul hikayat:

Batas-batas rindu itu seumpama batas-batas waktu, yang apabila jauh seperti mahu cepat-cepat didekati, yang apabila hampir seperti mahu cepat-cepat dijauhi.

Contoh:

Ketika di pertengahan bulan, wang imbuhan atau upah menjadi seperti bangkai kelkatu yang digerit dan diheret semut-semut api, lalu menanti hujung bulan adalah satu kerinduan yang, kalau boleh, mahu dicepatkan.

Ironinya, dipercepatkan masa juga bermakna dipercepatkan usia menjadi lebih tua, yang mana ianya sesuatu yang mahu dijauhinya.


Maka bertanyalah syahibbul hikayat,  " engkau mahu uwang atau mahu usia ?"



Semut-semut api umpama para soldadu yang sedang meniti di atas batas-batas rindu yang lopak airnya ibarat kudis-kudis buta yang perlu dilangkahi.


Sesukar mana pun, batas itu tetap di situ :- menjadi sempadan waktu antara hidup dan mati....








.

Thursday, August 4, 2011

Ramadhan 4: Kelibat putih di bulan Ramadhan

.

{seperti diceritakan oleh adik ipar aku}




Semangat 'balik kampung' berkobar-kobar dalam dada anak muda itu. Ramadhan hampir ke penghujungnya, warga penghijrah mulai mengosongkan kawasan mastautin masing-masing. Anak muda itu tak terkecuali dalam kes ini.

Dari petang tadi lagi dia betulkan apa yang patut pada motorsikalnya. Dia tukar dan isi minyak pelincir. DIa periksa tekanan angin. Dia sumbat apa-apa yang patut ke dalam beg pakaiannya. Setelah sudah, dia ikat begnya di atas pelana motorsikalnya.


Selepas Isyak, dia pun bertolak dari ibu kota menuju ke selatan melalui 'jalan dalam'. Sengaja dia memilih untuk bertolak pada waktu malam. Selain dari udara yang sejuk, perjalanan juga dijangka tidak memenatkan kerana boleh berhenti dan minum pada bila-bila masa dalam perjalanannya.


Sesampai di negeri sembilan, jam telah menunjukkan tengah malam. Jalan raya juga lengang. Selekoh dan bukit dilalui dengan berhati-hati pada kelajuan yang sederhana. Kini bunyi bingit enjin motorsikal dua lejang saja yang menemaninya.


Di salah satu selekoh yang lengang, dia terlihat satu kelibat berwarna putih tertonggok di bahu jalan raya. Lampu sorot motorsikalnya sempat menyuluh sebelum berlalu. Semasa berselisih, kelibat itu terbang seperti burung.


Oleh kerana malam itu adalah malam Ramadhan, hatinya cuba memujuk rasa seramnya dengan mengatakan hantu dan syaitan semuanya terikat. Namun ia tak mampu membuang rasa gusarnya jauh-jauh kerana kelibat putih itu masih terbang dan membontotinya tidak jauh di belakang. Dia dapat lihat secara balam-balam melalui cermin sisinya.


Selepas kira-kira 5 km, kelibat seperti burung bangau putih tetapi amat besar itu masih mengekori dan lebih menyeramkannya, ia semakin menghampirinya.


Dia memiuh pendikit agar motorsikalnya bergerak lebih laju namun kelibat putih itu tetap semakin dekat. Dadanya berdebar-debar kencang namun apa yang dia boleh lakukan selain daripada berselawat dan bertakbir. Di kanan-kiri tiada tanda-tanda ada rumah yang berpenghuni.


Akhirnya, kelibat itu terbang terlalu dekat di sebelah kirinya. Dia cuba untuk tidak menoleh dan melihat lembaga itu. Takbirnya semakin kuah dan debarannya semakin kencang.


Mujurlah lembaga itu tiba-tiba membelok dan hilang di dalam gelap hutan.

Walaupun lembaga itu tidak lagi mengekorinya, perasaan seramnya dibawa hingga ke kaki tangga rumah emaknya.






.

Wednesday, August 3, 2011

Ramadhan 3: hanya kerana sebiji telur ...

.


Seorang lelaki terkocoh-kocoh masuk ke sebuah restoran mamak. Paginya bermula pada tengahari, sayugia dia terkocoh-kocoh kerana lapar. Dia telah agak lewat untuk ke satu temujanji. Pun begitu, dia masih sempat memesan sepinggan nasi lemak berlaukan telur goreng.


Teh ais yang dipesannya dihirup dengan lahap, sekali sedut, hilang separuh gelas ke dalam perutnya yang boncit.

Tak cukup dengan telur goreng, dia pecahkan sebiji telur rebus yang memang sentiasa terhidang di atas meja. Dia sambung makan sehingga habis nasi lemak.


Dan dengan tergesa-gesa dia pergi ke kaunter bayaran.

" nasik lemak telur goreng satu, teh ais segelas...."

" RM 4.50..."


Dan lelaki itu berjalan pantas menuju ke keretanya dan memecut pergi.


Dari hari ke hari, ada satu perasaan yang kurang enak dalam benaknya. Apa yang dilakukan semua tak kena. Sembahyangnya tak khusyuk. Namun dia tak faham apa yang kurang kena kepadanya. Puas dia duduk memikirkan apa yang silapnya.


Selalunya jika hatinya kurang senang, pasti akan berlaku sesuatu. Itulah yang dia risaukan tetapi dia tak tahu apa puncanya.


Begitulah keadaannya sehinggalah seminggu selepas itu ketika dia makan sekeping roti canai dan segelas teh ais di restoran yang sama, dia terlihat telur rebus yang memang sentiasa terhidang di atas meja. Dia teringat kembali.


" Roti canai sekeping, teh ais... dan telur rebus sebiji "


Barulah dia lega...








.

Monday, August 1, 2011

Ramadhan 2: Kisah sehelai daun kering...

.


Subur tanah bumi Timur itu. Kehidupan dan keriangan silih berganti bermain lungsur pelangi. Segala-galanya indah, persis syurga. Nun jauh di ufuk dunia, awan hitam menjadi berat dan berarak perlahan mendekati lalu menolak lungsur pelangi jauh-jauh. Tak lama kemudian hujan pun turun berjejeran menutupi bumi Timur yang subur itu. Bumi Timur itu segar seperti telah dimandikan oleh hujan.


Lalu muncullah tunas-tunas kecil dari batang-batang muda. Merojol keluar memerhati alam yang cantik. Suasana selepas hujan yang bersih dan segar, dan lungsur pelangi pun datang lagi.


Tunas kecil itu pun menjadi pucuk muda yang hijau. Cantik. Mulus. Suci sekali. Pucuk hijau itu pun menggeliat meluruskan tulang, seperti baru bangun dari tidur yang panjang. Apabila pucuk hijau itu bukakan matanya, seluruh alam bersorak gembira. Burung-burung bernyanyi. Angin pun datang menyapa.


Pucuk muda itu kegirangan namun tidak lama. Nun di bawah sana ada sehelai daun kering yang terlentang di atas tanah. Daun kering itu cuba untuk turut gembira dengan kemunculan pucuk muda itu tetapi apakan dayanya, daun kering itu terlalu lemah dan hampir reput tubuhnya. Dia hanya mampu tersenyum gembira.


Pucuk muda yang asyik dengan keseronokan bermain lungsur pelangi terkejut melihat sesuatu yang berwarna perang kehitaman di bawah sana. Lalu pucuk muda turun dari lungsur pelangi dan mendekati daun kering itu. Dilihatnya daun kering itu sangat lemah. Pucuk muda itu tak mengerti apa yang berlaku.


" Apabila sampai waktunya, tubuhmu yang hijau akan menjadi hijau tua, kuning dan akhirnya perang. Kamu akan rasa ketika itu, angin yang paling lembut pun sudah cukup untuk membuatkan kamu takut."

" Takutkan apa ?"

" Takut untuk jatuh ke tanah, mereput dan dimamah cacing."

" Aku tak mahu takut... boleh beri petuanya ".


" Maaf... tak ada. Semua akan berasa amat takut kerana tiada jaminan kebahagian di bawah sini "



Lalu pucuk hijau itu kembali naik ke atas dengan seribu persoalan bermain-main dalam mindanya. Berfikir tentang lungsur pelangi, tentang tanah dan tentang cacing.


Sehinggalah pada satu hari, pucuk muda itu memanggil beberapa ekor ulat beluncas dan menyerahkan dirinya untuk dimamah.








.