Wednesday, December 28, 2011

Monday, December 26, 2011

Kecubung dah siap!!!

.


Aku nak edit pula.

Lepas tu, aku nak buat grafik untuk covernya...

Hmmm.... macam mana rupa cover tu agaknya?









.

Thursday, December 22, 2011

Kecubung : Sedutan babak yang menyayat hati... Awas 18SG !!!

[ Aku masih berfikir macam mana nak bunuh si Hasri ni. Ada idea tak? ]







‘Zuppp...!’.
Pipi Ros terbelah, darah panas mula mengalir keluar dari luka itu. Ros menjerit kesakitan. Dia terus merayu supaya dilepaskan tapi tak diendahkan oleh Hasri yang sudah menguasai dirinya.
Hasri alihkan matanya kepada dada Ros pula. Ditenungnya dada Ros yang berombak-ombak menahan kesakitan. Dia putuskan butang baju Ros satu persatu menggunakan pisau. Dia kuis baju Ros menggunakan hujung pisau yang tajam. Dada Ros terdedah sehingga ke pangkal perut. Ros tak henti-henti meminta dilepaskan tetapi rayuannya itu langsung tak diendahkan oleh Hasri.
Mana kejujuran kamu? Mana?!!!”, jerit Hasri. Ros hanya menangis menahan kesakitan. Darah dari luka di pipi terus mengalir ke rambut dan telinganya.
Ada dalam dada kamu agaknya...”, kata Hasri sambil pisaunya memotong tali coli.
Hasri terbayangkan lelaki-lelaki yang pernah bertenggek di atas dada Ros itu. Hasri benar-benar gila. Hasri lorekkan hujung pisau itu di dada Ros, dari pangkal leher hingga ke perut seolah-olah ingin membuat satu garisan.
Kengerian amat terasa namun tiada apa lagi yang boleh Ros lakukan. Hasri sudah lupa di mana dia berada, dia sudah tak sedar apa yang dia sedang lakukan. Perasaan geram, benci dan dendam menguasai diri sepenuhnya.
’Chuppp’.
Sepantas kilat mata pisau tu terbenam sedalam beberapa inci di pangkal perut Ros. Dia menjerit sekuat-kuat hatinya. Terasa sejuk mata pisau itu mengalir ke segenap urat saraf. Kemudian, rasa pedih mulai menjalar ke seluruh tubuhnya.
Hasri tak berhenti di situ sahaja. Dia menghiris dan merobek dada Ros seperti melapah daging, sehinggalah mata pisau itu tersekat pada tulang sternum. Ros menggelupur akibat kesakitan sambil meraung-raung. Kelam kabut Hasri betul-betulkan kedudukan badannya supaya tak terjatuh, lututnya terus menghimpit tangan-tangan Ros yang asyik terangkat-angkat, reaksi dari rasa sakit yang teramat.
Hasri pegang hulu pisau itu dengan tangan kirinya pula manakala tangan kanannya menghentak-hentak hulu pisau itu. Setiap hentakan, mata pisau itu menghiris inci demi inci sehingga ke pangkal leher. Setiap kali hentakkan itu jugalah badan Ros terhenjut-henjut dan darah pula bersemburan keluar.
Kini, dada Ros sudah luka dengan teruk sekali, dadanya ternganga menampakkan organ-organ yang ada di dalam. Badan Ros masih lagi terhenjut-henjut mengikut rentak jantungnya yang cuba mengepam saki baki darah yang masih ada dalam tubuhnya.. Akhirnya, henjutan itu pun lemah dan terhenti. Rumah batu dua tingkat itu menjadi sunyi. Tiada suara yang keluar dari mulut Ros lagi. Mulutnya ternganga luas manakala matanya terbeliak memandang ke atas.
Hasri balingkan pisau itu ke lantai. Dia selukkan tangannya ke dalam rongga dada Ros yang terbuka dan dikuakkan sambil mengintai-ngintai, seperti mencari-cari sesuatu di dalamnya.
”Eh, betullah! Kejujuran tak ada dalam dada kau... hahaha!”, Hasri ketawa seperti orang gila.








.

Tuesday, December 20, 2011

Kecubung : Bab 4 Episod 16 ... yang terakhir disiarkan di sini...

.

Kisah selanjutnya, tunggulah 'Kecubung' dibukukan nanti....




Bab 4 : Episod 16



Tak lama kemudian, kain langsir disibakkan dan orang tua itu tadi keluar dari bilik belakang sambil menatang sedulang air minum. Dulang itu diletakkan di depan mereka bertiga.
          ”Silakan...”, pelawa orang tua itu sambil menuangkan air kopi O panas. Serbannya telah ditanggalkan dan diletakkan entah di mana. Rambut orang tua itu masih hitam dan agak lebat.
          ”Sebenarnya, kami nak minta tolong sikit... kami...”, bicara Tazs dipotong.
          Tak mengapa. Nanti kita bercerita. Sekarang, kamu semua minum dulu kemudian pergilah bersihkan diri. Nanti makcik kamu sediakan kain untuk kamu. Pakaian kamu itu kurang sesuai untuk tinggal di sini”, arah lelaki tua itu persis seorang ayah kepada anak-anaknya.
          Masing-masing terkulat-kulat apabila ditegur oleh lelaki tua itu. Tij menarik-narik hujung bajunya konon-kononya untuk tutup pinggulnya yang sedikit berisi. Manakala Tazs pula melorotkan lengan bajunya yang tadi dilipatkan, agar menutupi lengannya. Ko-G hanya tersenyum kerana dia berbaju kurung hari itu.
          ”Bukan itu maksud pakcik...”, kata orang tua itu sambil tersenyum.
          Di sini sejuk bila malam. Lagi pun, tak selesa kalau tidur dengan berpakaian macam itu”, terang orang tua itu lagi.
          ”Ada seorang lagi kawan, dia ada di van... “, tiba-tiba Tij teringatkan Hasri.
          “Tak mengapa, dia lelaki. Biarkanlah dia di situ”, cepat sungguh orang tua itu menjawab.
          Dengan hati yang agak canggung dan cuak, mereka hirup kopi O pekat dan manis. Terasa haba panas kopi itu turun ke perut. Serta-merta dada mereka menjadi panas dan mata mereka pun terasa segar. Seolah-olah hilang segala lesu yang menggigit sepanjang perjalanan yang penuh liku dan lopak tadi.
          Kemudian Tazs digamit oleh isteri orang tua itu. Makcik itu memanggil Tazs ke belakang sambil dia unjuk-unjukkan beberapa helai kain batik. Tazs mengagak makcik itu menyuruhnya mandi.
          ”Pergilah. Nanti bergilir-gilir. Bilik air pakcik tu kecil molek. Tak muat kalau mandi ramai-ramai”, arah orang tua yang menggelarkan dirinya pakcik itu kepada Tazs.
          Tazs bangun dengan sopan santun lalu berjalan menghampiri makcik itu, kemudian hilang di belakang rumah. Bilik air itu terpisah dari rumah, seperti rumah kampung dulu-dulu.
          Kami sebenarnya dah tersesat, pakcik. Kami tak tahu di mana kami sekarang”, jelas Tij.
Pakcik itu capai sebuah tepak kayu yang kecil lalu diletakkan di depannya. Dia keluarkan segulung daun nipah lalau dia pilih satu. Kemudian dia keluarkan pula sejemput tembakau racik dari tepak itu. Dia susun-susun tembakau itu seperti sarang burung kemudian dia ambil beberapa kuntum bunga cengkih. Dia gunting-gunting bunga cengkih itu agar hancur lalu ditaburkan di atas tembakau tadi. Tij dan Ko-G ralit melihat pakcik itu membuat rokok daun nipah.
          ”Itu sebabnya kami nak tumpang tidur di sini sebab kami takut nak bermalam di dalam van. Di dalam hutan-hutan begini pulak tu”, tambah Tij lagi.
          ”Tak mengapa. Pakcik tahu. Di luar sana memang tak selamat, lebih-lebih lagi perempuan macam awak semua”, katanya sambil menyusun tembakau berperisa bunga cengkih tadi di atas daun nipah yang selebar dua jarinya.
          ”Lagi pun memang ramai orang dah tersesat ke sini, macam kamu. Pakcik dah biasa. Bila pakcik nampak kamu tadi, pakcik dah tahu”, tambahnya.
          Daun nipah tadi pun digulung dengan cermat dengan sedikit tirus disalah satu hujungnya. Pakcik itu carikkan selembar serat di tepi daun nipah itu lalu digunakannya sebagai benang kecil untuk mengikat rokok daun itu supaya gulungan itu tak terbuka semula. Setelah dipintal-pintalnya ‘benang’ itu, pakcik itu bangun mengambil sebuah pelita di atas meja dan dibawanya semula di tempat duduknya tadi. Tij dan Ko-G masih ralit melihat semua itu. Menarik sungguh bagi mereka.
          Tempat ini jauh dari kampung orang. Tidurlah di sini dulu malam ini. Esok pakcik tunjukkan jalan, InsyaAllah”.
          Habis berkata, pakcik itu dekatkan api pelita itu kepada muncung rokok daunnya. Dia sedut rokoknya dalam-dalam sehingga kempis dan berlekuk kedua-dua belah pipinya. Ko-G menahan ketawa apabila melihat pipi pakcik itu yang ompong. Pakcik itu perasan akan gelagat Ko-G itu lalu dia ketawa.
          Tij cubit peha adiknya. Ko-G tersentak lalu mengaduh manja sambil menepis-nepis tangan kakaknya apabila Tij cuba mencubit lagi.
          “Biarkanlah, budak-budak. Jangan dicubit lagi”, kata pakcik itu sambil terus menyedut asap rokoknya.
          Kemudian kelihatan Tazs menjengah dari pintu belakang dengan berkain batik dan berbaju Kurung Kedah. Sehelai kain batik lagi digunakan untuk menutup kepalanya, persis anak dara zaman dulu-dulu. Dia gamit Tij beberapa kali, menandakan kini gilirannya pula mandi.
          ”Ssseejuk.. weehh..”, kata Tazs apabila berselisih dengan Tij. Tij hanya mengetap bibirnya melihat Tazs menggeletar. Kemudian Tij mendongak-dongakkan dagunya seperti bertanyakan sesuatu kepada Tazs.
          Aku pakai balik...”, jawab Tazs. Dia maksudkan pakaian dalamnya. Lalu kedua-duanya hilang – Tazs masuk ke dalam bilik dan Tij pula masuk ke bilik air untuk mandi.
          Kini tinggallah Ko-G dan pakcik itu berdua di ruang tamu rumah papan beratapkan daun nipah. Api dari pelita minyak itu melentuk-liuk ditiup angin bukit yang sejuk. Asap rokok pakcik itu berkepul-kepul naik ke udara dan hilang dibawa angin ikut celah-celah dinding. Rokok itu berbunyi seperti bertih digoreng setiap kali pakcik itu sedut dalam-dalam.
          ”Maksud pakcik tadi, dah ramai yang sesat ke sini?”, tanya Ko-G meminta kepastian. Pakcik itu mengangguk beberapa kali. Berkerut dahi Ko-G.
          ”Banyak jugalah...”, pakcik itu ketuk-ketukkan rokoknya di bekas abu rokok yang diperbuat daripada tempurung kelapa jantan.
          ”...tapi setiap kali ada orang tersesat, lelaki yang di van itu pasti ada sekali dengan mereka. Oleh sebab itu, berhati-hatilah”, tambah pakcik itu sambil matanya merenung tajam mata Ko-G.
          Ko-G tersentak. Mulutnya melopong. Fikirannya mula mengingat kembali detik-detik mereka terserempak dengan Hasri sehinggalah bagaimana mereka semua boleh sampai ke kampung itu. Prasangka Ko-G memang benar. Ada sesuatu yang tidak kena dengan semua yang mereka lalui sepanjang hari itu.
          ”Tempat ini jauh sangatkah, pakcik?”, soal Ko-G meminta kepastian lagi. Pakcik itu ketuk-ketukkan lagi rokoknya pada bibir bekas abu.
          Kampung ini tak seperti kampung kamu. Dekat atau jauh, itu bergantung kepada tafsiran kamu tentang jarak”, jawab pakcik itu. Masing-masing diam seketika.
          Tafsiran itu pula bergantung kepada rasa dalam hati kamu, nak. Jika kamu rasa perjalanan kamu lama, tentulah kampung ini sangat jauh”, sambung pakcik itu.
          Sangat-sangat jauh ...! ”, pakcik itu tekankan suaranya. Muka Ko-G berubah menjadi pucat.
          ”Dan...”, pakcik itu nyalakan semula rokok daun nipahnya yang terpadam.
          ”Kenapa pakcik tak beritahu kakak saya tadi?”, Ko-G memotong kata-kata pakcik tua.
          ”Tak perlulah. Cukuplah pakcik beritahu kamu sahaja. Jangan dihiraukan sangat kakak kamu dan yang seorang lagi tu. Pakcik cuma risaukan kamu. Ada orang yang mahukan kamu”.
          Tazs keluar dari bilik lalu masuk ke ruang dapur. Dia tolong makcik  menyiapkan dulang makanan. Makanan ala-ala kampung yang ringkas tetapi amat menyelerakan Tazs kerana rasa lapar dan sejuk pula selepas mandi.
Tij pula keluar dari bilik air dan berjalan menuju ke bilik. Bilik itu ringkas sahaja – sekajang tikar mengkuang, tilam kekabu dan beberapa biji bantal; sebuah almari kayu dengan sikat dan minyak rambut; dan sebuah cermin muka yang disangkutkan pada paku di dinding. Bilik itu tiada daun pintu pun. Hanya sehelai langsir yang berbuai dek angin menjadi penghadang.
Tij longgarkan semula kain batiknya untuk disimpulkan semula. Dia amat jarang memakai kain batik di rumah. Dia lebih selesa berseluar sukan atau berbaju tidur yang ringkas.
Dah, kamu pula pergi mandi. Cepat sikit, pakcik dah lapar. Kita makan sama-sama”, suruh pakcik itu.
Ko-G akur. Dia bangun dan berjalan mencapai tuala yang baru disidaikan oleh Tij di belakang rumah. Langit mulai gelap. Bintang-bintang mulai keluar dari sembunyi. Kaki langit hilang dibatasi pucuk-pucuk hutan yang menjulang tinggi. Cengkerik-cengkerik mula menyanyikan lagu riang-ria, bersahut-sahutan deringan mereka membingitkan telinga. Ko-G capai segayung air lalu disimbahnya ke arah bunyi cengkerik itu. Terdiam seketika. Bilik air yang berdindingkan daun nipah menjadi sunyi.
  Ko-G teringatkan kata-kata pakcik itu tadi. Dia mahu bertanya tetapi hasrat itu tetap tinggal hasrat. Sambil dia jiruskan segayung air ke badannya, ia terfikirkan kata-kata pakcik itu tadi tentang Tazs dan Tij. Sampai habis mandi, Ko-G masih tak dapat memahami apa sebenarnya yang pakcik itu cuba katakan. Kenapa pakcik itu terlalu berlapik dalam bicaranya, Ko-G tidak pasti dan hatinya tak tergerak pula untuk bertanya lebih daripada itu.
Sembahyang dulu, nak”, tegur pakcik itu kepada Ko-G yang baru siap mandi dan hendak melangkah masuk ke bilik. ’Kenapa pakcik tak suruh pun Tazs dan Tij sembahyang?’ Fikir Ko-G.
Ko-G sarungkan telekung putih yang digantungkan pada dinding. Sejadah pula telah siap terbentang mengarah ke kiblat. Usai sembahyang, Ko-G keluar dan mendapati Tazs dan Tij telah pun duduk bersila. Di depan mereka ada terhidang makanan di atas dulang. Pakcik dan makcik pun ada duduk sekali. Ko-G bersimpuh di sebelah makcik. Sebaik dia bersimpuh, pakcik tua pun membacakan doa makan.
Ini sahaja yang kami ada, silalah makan”, jemput pakcik itu merendah diri.
Lidah kita ada batas-batas rasa. Setiap orang lain-lain. Sedap atau tak itu semua ada dalam fikiran kita. Hanya yang merasa yang tahu apa rasa sebenarnya”, tiba-tiba pakcik seolah-olah berceramah.
Tij menoleh ke arah Ko-G, mana tahu kalau-kalau adiknya yang membuatkan pakcik terasa hati tetapi dilihat adiknya itu makan dengan berselera sekali. Tazs juga sama. Ikan sepat masin dan ubi rebus seolah-olah ayam goreng berempah dan nasi beriyani yang enak dalam edisi kelaparan seperti mereka.
“Cuba rasa ikan ini...”, pakcik tua itu unjukkan sepiring ikan sepat masin kepada Tazs. Tazs cubit sedikit isi ikan itu. Pakcik letakkan piring semula.
“Kalau kamu tanya pakcik apa itu masin, sampai kiamat pun pakcik tak dapat jawab dengan sempurna. Lebih baik kamu rasa sendiri”, sambung pakcik itu sambil memandang Tazs.
Kenapa dia pandang aku?’ bisik Tazs dalam hatinya. Tazs tak faham, adakah kata-kata tadi ditujukan khusus kepadanya?
Sama jugalah dengan hidup ini. Janganlah kita hakimi hidup orang lain selagi kita tak hidup macam mereka”, kali ini pakcik tua itu memandang Tij pula.
Pada pandangan kita, mereka nampak sempurna. Pada pandangan mereka pula, kita ini nampak sempurna”, sambung pakcik tua sambil menghulurkan mangkuk berisi ubi rebus dan keledek bakar yang masih panas ’mongah-mongah’ kepada Tij.
Kalaulah kesempurnaan hidup itu disandarkan pada harta dunia, sampai bila-bila pun dunia akan mengikat kita. Setiap perkara di dunia ini perlukan selenggaraan, macam van awak tu”, kali ini pakcik tua itu memandang Tazs semula.
Hatta memiliki seutas jam tangan sekalipun, baterinya perlu ditukarkan apabila habis. Piala dan perhiasan rumah pun, kita perlu bersihkan daripada debu”.
Lagi banyak barang yang kita miliki, lagi sibuklah kita menguruskannya. Persoalannya, tak mahukah kita berehat dan bersenang-lenang apabila di rumah?”.
Biarlah kita sibuk menguruskan diri kita sendiri daripada sibuk menguruskan perkara-perkara yang bukan milik kita. Diri sendiri pun tak terurus, inikan pula perkara-perkara yang lain”, kata pakcik tua itu panjang lebar.
”Ini... dalam dada ini”, pakcik itu tepuk-tepuk dadanya.
Ada satu jiwa yang perlu diuruskan dan dijaga. Uruslah jiwa itu baik-baik kerana nanti kita kena serahkan semula kepada pemiliknya dalam keadaan yang sempurna”, tambah pakcik itu lagi.
Tak faham langsung. Tij dan Tazs menganggap kata-kata pakcik itu tadi hanyalah ngomelan orang tua, tak lebih dari itu. Yang penting, perut mereka kenyang pada malam itu. Tidur pula dapat berbumbung dan berbantal.
Faham tak ni?”, seakan-akan mengetahui, tiba-tiba pakcik tua itu bertanya kepada Tazs dan Tij yang masih mengunyah ubi rebus dan keledek bakar.
Kedua-duanya mengangguk-anggukkan kepala. Malas nak berhujah balas tengah sedap-sedap makan begitu. Elok anggukkan sahaja pada malam itu kerana esok mereka akan keluar dari kampung itu. Itulah harapan mereka.







.

Saturday, December 17, 2011

Kecubung : Bab 4 Episod 15... tumpang tidur...

.


Bab 4 : Episod 15



Tazs rasa meluat sungguh, bukan kepada Hasri tetapi kepada Tij. Hatinya tiba-tiba terasa panas melihat gelagat Tij. Semasa di dalam van sepanjang jalan tadi lagi Tazs tak berapa suka dengan gelagat gedik Tij apabila bersembang dengan Hasri. Kalaulah di rumah, sudah tentu Tij akan gedik sambil pintal-pintal hujung rambutnya. Entahlah kenapa, hatinya tiba-tiba ada rasa cemburu. Selama ini perasaan itu tidak pernah ada terhadap kawannya itu.
          Ketika mereka bertiga berjalan memasuki lorong itu untuk menuju ke salah sebuah rumah yang paling hampir, Hasri menaikkan kesemua cermin tingkap van itu. Setelah sudah, Hasri pergi ke pangkal sebuah pokok yang agak rendang. Dia kumpulkan beberapa ranting kering untuk dibuat unggun api. Dia juga ambil beberapa helai daun hijau daripada pokok itu untuk diletakkan ke dalam api. Daun hijau itu nanti akan mengeluarkan asap ketika dibakar untuk menghalau nyamuk yang berdengung di telinganya.
          Assalamualaikum...”, Tij ucapkan salam tapi tiada jawapan.
          Assalamualaikum...” ulang Tij lagi. Juga tiada jawapan.
          Tazs mengintai melalui celah-celah bukaan pintu rumah papan yang tidak berselak. Kelihatan seperti kosong tak berpenghuni tetapi lampu-lampu minyak tanah terpasang dan menerangi seisi rumah. Ko-G pula sibuk menepuk-nepuk nyamuk yang menjunam ke dagingnya. Ada yang dapat tapi banyak yang selamat. Lebih banyak yang selamat daripada yang dapat dipenyetkan. Ko-G berasa kurang selesa.
          Kita tunggu sekejap, mereka tengah mandi agaknya”, agak Tazs.
          Mereka bertiga pun duduk di atas sebuah pangkin buluh di luar rumah itu. Ada 2-3 buah rumah di situ yang kedudukannya agak jauh juga diantara satu sama lain. Pokok-pokok besar memayungi halaman rumah-rumah itu, menambahkan kelam senja itu. Lebih-lebih lagi apabila pelita dan jamung yang digunakan untuk menerangi sekitar rumah itu.
          Sedang mereka melangut menunggu tuan rumah itu, mereka terlihat beberapa kelibat manusia sedang berjalan mendekati mereka dengan berkain dan bersongkok bagi yang lelaki manakala bertelekung bagi yang perempuannya. Mereka pun bangun dari pangkin.
          Assalamualaikum... ”, kali ini Tazs yang mengucapkan salam.
          Salam Tazs itu dibalas. Itu satu petanda yang baik, tafsirnya dalam hati, kerana mereka juga orang Islam. Kemudian mereka bertiga pun bersalam-salaman dengan kaum wanita.
          Mari kita masuk ke dalam rumah. Bersihkan badan dan berehat dahulu. Nanti kami sediakan makanan lebih sedikit”, kata seorang lelaki yang agak tua dan berserban hijau.
          Pelik sungguh. Seolah-olah kedatangan mereka itu telah diduga oleh orang tua itu. Walau pun begitu, mereka bertiga tetap turuti orang tua itu masuk ke dalam rumahnya. Seorang wanita turut masuk lalu terus ke bilik belakang tanpa berkata sepatah apa pun. Mereka terasa agak canggung di dalam rumah itu tetapi mereka perlukan bantuan orang tua itu.
          Tiada kerusi dan perabot yang kelihatan. Hanya ada beberapa buah almari dan meja kayu yang dirapatkan ke dinding. Mereka duduk di atas tikar mengkuang yang dihamparkan di atas lantai simen. Mereka agak kekok untuk duduk bersimpuh, jadi mereka bersila sahaja. Tij yang paling tak selesa kerana seluarnya agak ketat di bahagian pinggul dan peha.






.

Monday, December 12, 2011

Kecubung : Bab 4 Episod 14 ...... dah bab 4 nih... jeng jeng jeng....

.



Bab 4 : Episod 14




          Langit warnanya semakin kusam. Matahari sudah hampir terbenam di kaki Barat sedangkan mereka masih tercari-cari jalan keluar dalam kelam senja itu. Ada juga rasa sesal dalam hati Tazs kerana enggan ikut lebuhraya tetapi semuanya telah berlaku.
Tij juga faham keadaan Tazs itu dan tidak mahu mengeruhkan lagi perasaan Tazs yang telah sedia keruh. Tij takut sebenarnya. Manalah tahu jika Tazs naik angin lalu menyuruhnya turun dari van di tengah-tengah hutan hitam yang memenuhi kiri dan kanan sepanjang jalan sejak beberapa jam yang lalu.
          Tij tak mahu nanti dia menjadi habuan binatang buas lebih-lebih lagi dengan tubuhnya yang montok, sudah tentu dia menjadi rezeki yang mewah untuk harimau atau anjing liar.
          Mungkin di depan sana ada kampung. Aku ada tercium bau asap”, Tij berikan harapan.
          Mereka kembali bersemangat tapi bukan untuk ke Bukit Merah. Mereka sedang mencari tempat bermalam yang sesuai, itu lebih penting pada masa itu. Tidak mungkin mereka semua bermalam di dalam van buruk itu. Lebih-lebih lagi dengan adanya Hasri bersama mereka. Mandi tak boleh, bekal makan dan minum pun sudah habis. Tandas? Kalaulah tiada lelaki itu, senang sikit mereka masuk ke dalam semak hutan dan mencangkung sahaja di situ.
Tidak lama kemudian, tidak jauh di depan sana kelihatan asap putih keluar dari bumbung hutan dan memanjang ke langit senja. Angin pada senja itu sungguh tenang. Tazs terus pandu mendekati satu kawasan dusun  sehinggalah dia berhentikan vannya di satu simpang di lorong kecil yang masuk ke dalam dusun itu. Di hujung lorong itu kelihatan beberapa buah rumah yang sudah mula diterangi api dari pelita minyak.
Kita tumpang bermalam, nak?”, cadang Tij.
Tazs dan Ko-G akur walau pun Hasri ada berasa kurang selesa sedikit. Namun begitu, memandangkan tiada pilihan lain dan hari kian merangkak ke malam, mereka terpaksa meminta pertolongan sesiapa sahaja yang menghuni rumah-rumah itu.
Ko-G merasa teruja apabila melihat api-api dari pelita minyak yang diperbuat daripada buluh muda sebesar lengan di kiri dan kanan lorong kecil itu. Terasa seperti Malam Tujuh Likur. Terimbau kembali kenangan dan perasaan bahagianya ketika arwah kedua orang tuanya menemaninya bermain bunga api di halaman rumah, ketika dia kecil dahulu. Api pelita itu seolah-olah memberikan ketenteraman pada jiwanya. Ko-G suka akan suasana yang begitu.
          Sayup-sayup kedengaran suara muazzin mengalunkan azan. Gemersik merdu suaranya meresapi segenap daun-daun hijau dan rumput-rumput segar. Bait-bait yang dilaungkan muazzin itu menggetarkan jiwa mereka. Sudah masuk waktu Maghrib.
          Biar saya yang tunggu van. Saya tidur di sini, awak semua pergilah masuk”, tiba-tiba Hasri menawarkan diri. Wajahnya kelihatan sedikit kelat.
          Awak berani seorang-seorang di sini?”, Tij menduga.
          Bukan jauh pun. Kalau ada apa-apa, saya jerit. Awak datanglah cepat-cepat tolong saya”, Hasri mengusik. Dia tersenyum menampakkan lesung pipitnya.






.

Saturday, December 10, 2011

Kecubung : Bab 3 Episod 13... gedik-gedik...

.

Bab 3 : Episod 13



Van terus bergerak melalui jalan yang semakin kecil dan pecah-pecah permukaannya. Entah mengapa, tidak tergerak pula dalam hati Tazs untuk berpatah balik. Tidak terlintas langsung. Apa yang melintas dalam fikirannya ialah wajah Hasri yang berkumis nipis.
Jangan disangka orang berkebun sayur tu payah. Memang nampak dia orang penat bekerja tetapi sekurang-kurangnya mereka ada masa dengan keluarga. Saya pula, habiskan masa di atas jalan raya ke sana-sini..".

"Bak kata orang tua-tua, umur dihabiskan di atas jalan raya. Silap-silap kalau mati pun mungkin di atas jalan raya... hahaha”, tambahnya sambil ketawa. Tij dan Tazs ikut ketawa.
Habis tu, awak bujang lagilah?”, duga Tazs lagi.
Hmmm... siapalah yang hendakkan saya. Sibuk memanjang. Tak ada masa nak berdating segala. Biarlah membujang dahulu...”.
Tazs dan Tij berpandangan apabila Hasri berkata jujur begitu. Ada sinar harapan di mata mereka berdua. Mata versi gatal seorang wanita bujang itu pun terkerdip-kerdip.
Kerap juga Tazs curi-curi pandang Hasri melalui cermin pandang belakang. Lebih-lebih lagi apabila Hasri membuka dua butang teratas supaya angin dapat menderu masuk ke dadanya. Mungkin disedarinya atau tidak, kadangkala bahagian atas bajunya itu tersibak dek tiupan angin hingga menampakkan dadanya yang berbulu agak lebat. Itulah yang Tazs curi-curi pandang sedari tadi. Seleranya ada pada lelaki yang begitu, mungkin.
Sebenarnya Hasri perasan kelakuan Tazs itu dan dia boleh agak yang Tazs telah mula meminatinya. Dia mahu kenakan Tazs pula. Dia tunggu hingga saat bila mana Tazs mencuri pandang dan ketika itulah dia kenyitkan matanya.
Tiba-tiba Tazs terasa seperti ada sesuatu naik dari dalam kantung perutnya. Dia tersedak dan berdehem beberapa kali. Dia menumbuk-numbuk dadanya dengan harapan apa yang naik tadi turun semula.
Namun yang naik itu tadi adalah gemuruh dan gemuruhnya itu tidak boleh hilang begitu sahaja. Gemuruh hatinya hanya akan hilang jika Tazs dapat tenangkan perasaannya ketika itu. Mana boleh, Tazs terasa malu. Hasri tersenyum sambil memandang ke luar tingkap.
”Kamu ni kenapa pulak?”, tanya Tij apabila Tazs berdehem beberapa kali.
”Tak ada apa-apalah...”, balas Tazs sambil tersenyum tanpa menoleh kepada Tij pun.

Van bergerak perlahan-lahan membelah hutan bukit yang subur di kanan dan kiri jalan raya. Ko-G tetap melayan fikirannya sendiri tanpa sedikit pun menoleh kepada Hasri yang duduk di sebelahnya itu walaupun telah beberapa kali Hasri cuba menegurnya dengan senyuman dan pandangan. Senyuman dan pandangan dari Hasri itu tidak dibalasnya pun. Ko-G tak sudi, mungkin.
Minyak ada lagi? Dah lama kita bergerak ni”, Tij menukar pokok bicara.
Tazs lihat jarum meter penunjuk aras petrol. Masih ada separuh tangki lagi tapi Tazs merasakan sesuatu yang tidak kena pada meter itu. Sejak Simpang Ampat lagi tangki itu separuh penuh. Rosak? Dia ketuk-ketuk meter itu tetapi jarumnya masih tak bergerak. Ia tetap menunjukkan tangki masih separuh penuh.
Masih ada separuh tangki lagi. Van ni tak banyak guna petrol. Jimat. Lagi pun aku pandu bukannya laju sangat”, Tazs buat kesimpulan tapi sebenarnya dia sendiri berasa kurang yakin dengan meter itu.







.

Wednesday, December 7, 2011

Kecubung : bab 3 episod 12... siapakah lelaki hensem itu?

.

Bab 3 : Episod 12




Walau pun Ko-G tak dengar tetapi dia dapat mengagak apa yang dibisikkan oleh Tij dan Tazs itu. Ko-G pandang Tazs dan Tij seperti mahu berkata sesuatu tetapi akhirnya dia palingkan mukanya ke luar tingkap.
Nama saya Hasri. Awak?”, lelaki itu hulurkan tangannya mahu bersalam dengan Ko-G tetapi tidak dihiraukannya.
Ko-G tak berpaling pun kepada Hasri malah masih memandang ke luar tingkap melihat daun-daun Pisang Hutan melambai-lambai dirempuh angin petang.
Err... nama adik saya, Ko-G ”, jawab Tij.
”Dan saya, Tij... ”, Tij berpusing ke belakang terus sambut tangan Hasri. Mereka bersalaman erat.
” Yang ini pula, Tazs. Kami sekampung...”, jelas Tij lagi tanpa melepaskan tangan Hasri.
Ko-G sempat melirik ke tangan Tij yang masih melekat pada tangan Hasri, kemudian dia pandang Tij sambil menjegilkan matanya.
Cepat-cepat Tij lepaskan tangan Hasri sambil tersenyum. Senyumannya dibalas senyuman juga dari Hasri. Nampak jelas lesung pipit pada kedua-dua belah pipi Hasri yang cerah dan kemas tanpa liang-liang jerawat. Kumisnya seperti baru lepas dicukur. Hidungnya sedikit mancung dan yang paling menarik perhatian Tij ialah matanya yang kuyu tetapi menggoda.
Berdetik juga hati Tij apabila mereka bertentang mata tadi. ’Yalah, siapa sangka bakal jodohnya ada di hutan tebal ini?’ bisik hatinya yang mula menggatal.
”Mana kereta awak?”, tanya Tij apabila dia sedar sepanjang jalan tadi tidak nampak pun sebuah kereta yang tersadai di bahu jalan.
”Oh, rosak. Terbabas. Saya tinggalkan di belakang sana”, jelas Hasri.
”Tak nampak apa-apa pun?”, tiba-tiba Ko-G lambungkan pertanyaan tanpa menoleh kepada Hasri pun.
Hasri tersentak dengan pertanyaan itu. Dia menjeling kepada Ko-G namun tiada reaksi balas dari Ko-G. Gadis kecil itu masih memandang hutan yang seolah-olah bergerak menghilir apabila van itu dipandu terus memanjat bukit. Tazs sempat mengintai gelagat mereka itu melalui cermin pandang belakang.
”Adaaa... saya sorokkan jauh dari jalan, takut dicuri. Nak panggil trak tunda pun tak boleh. Signal tak ada”, jelas Hasri mengharapkan Ko-G puas hati dengan penjelasan itu.
Tij buka beg tangannya, dia keluarkan telefon bimbitnya. Memang benar, telefon bimbitnya tidak boleh digunakan. Tij berpaling kepada Tazs. Jalan raya semakin berliku apabila van mereka semakin mendaki kawasan berbukit.
”Macam mana ni, Tazs? Kita tak tahu kita di mana sekarang”, bisiknya ke telinga Tazs.
Wajahnya ada riak-riak panik. Rasa paniknya itu cukup untuk melupakan Hasri sebentar. Dia cuit-cuit lagi lengan Tazs.
”Macam mana?”, pertanyaan Tij itu dibiarkan sahaja oleh Tazs kerana dia juga tak tahu.
Bayang-bayang gunung-ganang dan tasik di Bukit Merah semakin kelam, semakin berbalam-balam dalam fikiran masing-masing. Bukit Merah kini dirasakannya jauh.
Dalam pada itu, Tazs mencuri-curi pandang Hasri melalui cermin pandang belakang. Entah mengapa, Hasri kelihatan begitu menarik baginya.
”Hasri, awak asal orang mana?”, tanya Tazs membuka perbualan.
”Saya tinggal dan kerja di Ipoh tapi ada kerja sikit di selatan. Kerap jugalah berulang-alik utara-selatan”, Hasri memandang Tazs melalui cermin pandang belakang juga. Hanya terlihat mata dan hidung Tazs.
”Seronok agaknya kalau berkerja korporat macam awak”, duga Tazs. Dia agak-agak sahaja dengan melihat pakaian Hasri itu.
”Tengoklah juga. Ada masa-masanya seronok, ada masa-masanya rasa menyampah pula”. Dia tarik dan hembuskan nafas panjang seperti ingin keluarkan sesuatu yang berbuku dalam hatinya.
”Lebih-lebih lagi kalau masing-masing nak naik ke atas tanpa kisah macam mana caranya. Pijak memijak, fitnah memfitnah, kipas mengipas segalanya ada”, Sambungnya lagi. Betulah dia orang korporat, kata hati Tazs.
”Oooo... payah jugalah ya? Ingatkan kalau belajar tinggi-tinggi, kerja pun senang. Main arah orang bawah suruh buat itu ini. Duduk di kerusi empuk, boleh pusing-pusing, komputer di atas meja. Pakaian pun kemas-kemas, bertali leher pulak”, balas Tazs.
”Hahaha... awak banyak tengok drama di TV agaknya tu. Mana ada macam itu sekarang ini. Seribu satu macam kerja kena buat. Tak kira macam mana pun, projek kena jalan. Syarikat kira untung saja”.
Van tua itu dipandu perlahan-lahan di laluan yang berliku. Matahari mulai condong ke Barat.
“Macam saya sekarang ni... tengoklah. Kereta rosak tapi tak ada orang syarikat datang menolong pun. Pandai-pandai sendirilah nak hidup”, keluh Hasri pula.
”Kerja ni di mana-mana pun sama payahnya. Mungkin cabarannya yang berbeza tapi payah tetap payah”, tambahnya lagi.







[sambung lagi]

.

Monday, December 5, 2011

Kecubung : Separuh jalan... tapi pinggang dan 'macet'... haih...

.

Ada siapa-siapa nak tolong teruskan?

Ini dia setakat ini. Aku sengaja print untuk lihat saiz font. Semuanya belum diedit atau di 'proof reading'. Yang penting, jalan ceritanya dah ada...



episod selepas episod 11...



babak yangaku tulis setakat ini...




.

Kecubung : Bab 3 Episod 11

.




Kecubung : Bab 3 Episod 11


Matahari telah condong ke arah Barat. Bunyi riang-riang hutan kadang kala lebih kuat dari bunyi enjin van mereka. Kini mereka telah memasuki satu kawasan hutan yang lebih tebal dan pokok-pokoknya lebih besar dan tinggi. Pokok Pisang Hutan hidup hijau, subur dan lebat. Buluh-Buluh Betong menjulang tingginya.
Sudah jauh van itu dipandu tetapi terasa seperti Negeri Sembilan adalah negeri yang terlalu luas, tak sampai-sampai sempadan Selangor pun. Masing-masing sudah mula lemas di dalam van yang tanpa pendingin hawa itu. Ko-G yang sudah terlelap agak lama tadi pun sudah terjaga. Tij yang melayan sembang Tazs pun sudah kehabisan topik tapi papan tanda jalan langsung tak kelihatan.
Tazs masih cekal memusing stering dan menekan pedal minyak namun begitu hamburan angin yang menderu masuk melalui tingkap van menjadi elusan enak menangkap mukanya. Bunyi tayar mengayuh aspal bukan lagi bunyi bising yang mengganggu benak tetapi iramanya seperti nyanyian seorang ibu yang mendodoi anak kecil. Hentakkan akibat lopak-lopak di atas jalan menjadi seperti endoi yang berhenjut dengan ritma asyik.
Akhirnya, Tazs tewas juga. Kelopak mata Tazs menjadi berat. Fikirannya melayang-layang meninggalkan kisah-kisah kampungnya. Seolah-olah dia menanggalkan semua pakaian dan bertelanjang bulat memasuki satu pintu gerbang yang harum dan wangi di hutan itu. Jalan raya dilihatnya berbalam-balam. Pokok-pokok yang tegak berdiri di kanan dan kiri jalan bergoyang seperti dihembus angin lintang. Ruang pandangannya mengecil dan mengecil...
Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang agak kuat di bahagian bawah van. Tazs tersentak, matanya kembali bulat. Van mereka teroleng kuat dan hilang kawalan tetapi Tazs sempat mengawal semula walau pun terbabas sehingga melanggar rumput-rumput di bahu jalan. Van mereka terhenti di tepi jalan. Nasib mereka baik kerana di bawah sana adalah gaung kecil dan ada anak sungai yang mengalir.
Sorry... he he he“, Tazs meminta maaf sambil ketawa. Tij mengusap-usap punggungnya manakala Ko-G memicit-micit kepalanya. Kedua-duanya akibat terlambung apabila van mereka melanggar lopak yang agak dalam tadi.
Seketika itu juga mereka dapat rasakan segugus angin sejuk segar menyapa wajah. Masing-masing mendiamkan diri. Mereka melihat-lihat di sepanjang jalan itu jika ada tanda-tanda kehadiran orang kampung seperti rumah, motorsikal atau pun dusun buah-buahan.
Muka Tij ceria sambil tangannya menepuk-nepuk lengan Tazs. Tidak jauh di depan sana kelihatan seorang lelaki sedang berjalan membelakangi mereka.
Jom kita tanya orang tu... ”, syor Tij.
Tazs hidupkan semula enjin van lalu bergerak mendekati lelaki yang sedang berjalan itu. Apabila lelaki itu mendengar bunyi van yang datang, dia pun berhenti berjalan lalu menoleh ke belakang. Tersenyum. Seorang lelaki kacak dengan susuk tubuh yang agak lampai sedang berdiri sambil melambai-lambaikan tangan kepada mereka.



Tazs hidupkan semula enjin van lalu bergerak mendekati lelaki yang sedang berjalan itu. Apabila lelaki itu mendengar bunyi van yang datang, dia pun berhenti berjalan lalu menoleh ke belakang. Tersenyum. Seorang lelaki kacak dengan susuk tubuh yang agak lampai sedang berdiri sambil melambai-lambaikan tangan kepada mereka.
Lelaki itu berkemeja putih berlengan panjang dan berseluar warna kelabu. Rambutnya disisir kemas manakala tali lehernya dilipatkan dan dimasukkan di dalam kocek kemejanya. Dia bersepatu kulit tetapi yang hairannya, dia hanya berjalan kaki di tengah-tengah hutan itu.
Tazs memberhentikan vannya di sebelah lelaki itu. Tij julurkan kepalanya ke luar tingkap lalu memberi salam kepada lelaki tadi.
”Saudara, nak tumpang tanya sikit, jalan yang ini... nak ke mana?”, tanya Tij dengan sedikit gugup.
Tazs mengangkat tangannya sedikit, menegur lelaki itu dengan senyuman. Ko-G hanya merenung lelaki itu dalam-dalam, dahinya berkerut seribu.
”Err... awak tanya saya hendak ke mana atau jalan ini menuju ke mana?”, lelaki itu soal balas sambil tersenyum. Tij ketawa apabila menyedari kesilapannya itu.
Nak tanya dua-dua sekali. Nak ke mana dan jalan ini menuju ke mana, boleh tak?”, jelas Tij manja sambil membetulkan duduknya.
Tazs hanya melihat gelagat Tij yang sedikit ’gedik’ itu. Tazs tahu, Tij memang petah bercakap, pandai menyusun kata. Yalah, dia bukankah seorang promoter ? Seorang promoter memang bijak berkata-kata hatta yang dijualnya hanya pakaian dalam wanita.
Oh... Sebenarnya saya pun tak tahu. Saya bukan orang sini. Saya pun tak tahu jalan ni menghala ke mana”, jawab lelaki itu jujur sambil mengecilkan matanya akibat terik matahari.
Tak apalah, kalau sudi marilah ikut kami. Daripada berjalan kaki, lebih baik naik van buruk ni”, Tazs mencelah sambil mempelawa lelaki itu naik.
Lelaki itu teragak-agak pada mulanya namun kesangsiannya pudar apabila Tazs lemparkan senyuman manis dan renungan yang seolah-olah menembusi wajah lelaki itu.
Lelaki itu membalas senyuman Tazs sambil anggukkan kepalanya beberapa kali tanda terima kasih. Melihatkan itu, cepat-cepat Ko-G mengesot menjauhi pintu. Lelaki itu masuk dan duduk di sebelah Ko-G. Tij dan Tazs berpandangan apabila melihat aksi Ko-G.
”Apa hal dengan adik kamu tu?”, bisik Tazs ke telinga Tij.






.

Thursday, December 1, 2011

Kecubung : Bab 3 Episod 10 ... sesat?

.



Kecubung : Bab 3 Episod 10



Sesampainya di Simpang Ampat, Tazs pandu terus memasuki daerah Negeri Sembilan. Dia tak belok ke arah tol. Dia tak mahu gunakan lebuhraya. Dia rasa lebih selesa memandu di jalan rentas negeri kerana van buruknya itu bukan boleh dikerah laju-laju, habis bergegar semuanya nanti. Kalau pandu perlahan di lebuhraya pula, tentu sakit telinganya dengan bunyi hon.
    Van buruk itu terus bergerak perlahan melintasi deretan rumah-rumah orang kampung dan barisan pokok kelapa sawit berselang-seli dengan tanah dusun. Kadang-kadang terlihat orang-orang kampung membersihkan halaman rumah dan membakar sampah. Bau asap putih dari pembakaran itu memberikan nostalgia masa lalu kepada Tazs. Tentang ibunya, juga tentang ayahnya.
Tij toleh kepada Ko-G yang sudah rebahkan badannya di atas kerusi manakala beg galasnya dijadikan bantal. Ko-G tak banyak bercakap sepanjang perjalanan. Mungkin dia lebih memikirkan pelajarannya dan kerjayanya nanti, fikir Tij. Dia kasihankan adiknya itu. Sejak kedua-dua orang tuanya meninggal dunia, Ko-G menjadi pendiam. Dia tak suka bergaul dengan orang tetapi dia menjadikan kucing dan pokok bunga tempat dia ‘mengadu’.
Habis rumah berganti kebun getah, berselang dusun kemudian berganti ladang sawit. Berselang-seli. Selekoh dan bukit semuanya diharungi oleh van tua itu, dengan perlahan tetapi tiada sebarang masalah.
Dari satu topik ke satu topik mereka sembangkan untuk membuang bosan di jalan. Kadangkala sembang mereka disertai hilai tawa yang panjang. Namun apabila sampai kepada topik kahwin, kedua-duanya menjadi serius. Umur seperti mereka itu perkara kahwin adalah sesuatu yang sangat serius. Ditambahi pula dengan mata-mata dari ’bini-bini tua’ yang ada di kampungnya.
Pantang tersilap sikit, nama mereka akan diusung oleh mulut-mulut busuk dari rumah ke rumah. Menjaja cerita dan fitnah secara percuma di dunia tetapi pasti dibayar di akhirat nanti.
Matahari mula meninggi. Hawa panas mula terasa lebih-lebih lagi van itu tidak mempunyai sistem pendingin hawa. Ko-G yang tidur dari tadi telah terjaga kerana panas. Dia sapu peluh yang merenik pada dahinya. Dia singkap sedikit tudungnya ke belakang, membiarkan angin luar menerjah masuk dan mengelus lehernya yang berpeluh.
“Kita di mana ni, kak?“, Ko-G tegakkan badannya, matanya meliar memerhati sekeliling.
Hanya pokok-pokok hutan yang berselisih di kanan dan kiri. Tiada rumah orang pun yang kelihatan. Matahari memancar terik. Panas.
Tij membelek-belek peta yang dibeli tadi. Dia cuba meneka kedudukan mereka. Tazs masih menumpukan perhatiannya pada aspal kelabu yang retak-retak dan kadangkala berlubang. Mata Tazs menyepet menahan kesan terik cahaya matahari yang menyuluh matanya.
Aku rasa peta ni dah luput tarikhlah... tak dikemas kini ”, usul Tij apabila dia gagal mencari kedudukan mereka sekarang ini.
Tazs tersenyum mendengar jawapan Tij. Dalam situasi begitu pun Tij masih boleh bergurau.
”Kita dah sesat?”, tanya Kog-G.
Tij masih membelek-belek peta itu dan sekali-sekala melihat tanda-tanda yang ada di sepanjang jalan. Simpang jalan, batu tanda atau apa-apa sahaja yang boleh membantu tetapi segalanya seolah-olah tak berguna. Sejak dari tadi lagi yang ada cuma pokok-pokok hutan yang liar.
Sunyi saja ... ”, kata Ko-G lagi. Dia toleh ke belakang, melihat jalan raya yang ditinggalkan di belakang. Memang sunyi. Tak nampak siapa-siapa pun.
Tak ada berselisih dengan kereta lain pun... kita saja yang lalu ikut jalan ni... ”, tambah Ko-G menambahkan celaru lagi dalam fikiran Tij dn Tazs.
Tazs pun terfikirkan perkara yang sama tetapi didiamkan sahaja dari tadi. Berkerut dahinya. Tij sudah mula teragak-agak. Seperti ada sesuatu yang misteri sedang berlaku keatas mereka.
Cuba kamu tengok landmark, mana tahu kalau-kalau kita berpusing-pusing di tempat yang sama ”, arah Tij kepada adiknya. Tazs terkejut.
Mulut tu jangan celupar sangat, boleh?! ”, jerkah Tazs.