Tuesday, December 20, 2011

Kecubung : Bab 4 Episod 16 ... yang terakhir disiarkan di sini...

.

Kisah selanjutnya, tunggulah 'Kecubung' dibukukan nanti....




Bab 4 : Episod 16



Tak lama kemudian, kain langsir disibakkan dan orang tua itu tadi keluar dari bilik belakang sambil menatang sedulang air minum. Dulang itu diletakkan di depan mereka bertiga.
          ”Silakan...”, pelawa orang tua itu sambil menuangkan air kopi O panas. Serbannya telah ditanggalkan dan diletakkan entah di mana. Rambut orang tua itu masih hitam dan agak lebat.
          ”Sebenarnya, kami nak minta tolong sikit... kami...”, bicara Tazs dipotong.
          Tak mengapa. Nanti kita bercerita. Sekarang, kamu semua minum dulu kemudian pergilah bersihkan diri. Nanti makcik kamu sediakan kain untuk kamu. Pakaian kamu itu kurang sesuai untuk tinggal di sini”, arah lelaki tua itu persis seorang ayah kepada anak-anaknya.
          Masing-masing terkulat-kulat apabila ditegur oleh lelaki tua itu. Tij menarik-narik hujung bajunya konon-kononya untuk tutup pinggulnya yang sedikit berisi. Manakala Tazs pula melorotkan lengan bajunya yang tadi dilipatkan, agar menutupi lengannya. Ko-G hanya tersenyum kerana dia berbaju kurung hari itu.
          ”Bukan itu maksud pakcik...”, kata orang tua itu sambil tersenyum.
          Di sini sejuk bila malam. Lagi pun, tak selesa kalau tidur dengan berpakaian macam itu”, terang orang tua itu lagi.
          ”Ada seorang lagi kawan, dia ada di van... “, tiba-tiba Tij teringatkan Hasri.
          “Tak mengapa, dia lelaki. Biarkanlah dia di situ”, cepat sungguh orang tua itu menjawab.
          Dengan hati yang agak canggung dan cuak, mereka hirup kopi O pekat dan manis. Terasa haba panas kopi itu turun ke perut. Serta-merta dada mereka menjadi panas dan mata mereka pun terasa segar. Seolah-olah hilang segala lesu yang menggigit sepanjang perjalanan yang penuh liku dan lopak tadi.
          Kemudian Tazs digamit oleh isteri orang tua itu. Makcik itu memanggil Tazs ke belakang sambil dia unjuk-unjukkan beberapa helai kain batik. Tazs mengagak makcik itu menyuruhnya mandi.
          ”Pergilah. Nanti bergilir-gilir. Bilik air pakcik tu kecil molek. Tak muat kalau mandi ramai-ramai”, arah orang tua yang menggelarkan dirinya pakcik itu kepada Tazs.
          Tazs bangun dengan sopan santun lalu berjalan menghampiri makcik itu, kemudian hilang di belakang rumah. Bilik air itu terpisah dari rumah, seperti rumah kampung dulu-dulu.
          Kami sebenarnya dah tersesat, pakcik. Kami tak tahu di mana kami sekarang”, jelas Tij.
Pakcik itu capai sebuah tepak kayu yang kecil lalu diletakkan di depannya. Dia keluarkan segulung daun nipah lalau dia pilih satu. Kemudian dia keluarkan pula sejemput tembakau racik dari tepak itu. Dia susun-susun tembakau itu seperti sarang burung kemudian dia ambil beberapa kuntum bunga cengkih. Dia gunting-gunting bunga cengkih itu agar hancur lalu ditaburkan di atas tembakau tadi. Tij dan Ko-G ralit melihat pakcik itu membuat rokok daun nipah.
          ”Itu sebabnya kami nak tumpang tidur di sini sebab kami takut nak bermalam di dalam van. Di dalam hutan-hutan begini pulak tu”, tambah Tij lagi.
          ”Tak mengapa. Pakcik tahu. Di luar sana memang tak selamat, lebih-lebih lagi perempuan macam awak semua”, katanya sambil menyusun tembakau berperisa bunga cengkih tadi di atas daun nipah yang selebar dua jarinya.
          ”Lagi pun memang ramai orang dah tersesat ke sini, macam kamu. Pakcik dah biasa. Bila pakcik nampak kamu tadi, pakcik dah tahu”, tambahnya.
          Daun nipah tadi pun digulung dengan cermat dengan sedikit tirus disalah satu hujungnya. Pakcik itu carikkan selembar serat di tepi daun nipah itu lalu digunakannya sebagai benang kecil untuk mengikat rokok daun itu supaya gulungan itu tak terbuka semula. Setelah dipintal-pintalnya ‘benang’ itu, pakcik itu bangun mengambil sebuah pelita di atas meja dan dibawanya semula di tempat duduknya tadi. Tij dan Ko-G masih ralit melihat semua itu. Menarik sungguh bagi mereka.
          Tempat ini jauh dari kampung orang. Tidurlah di sini dulu malam ini. Esok pakcik tunjukkan jalan, InsyaAllah”.
          Habis berkata, pakcik itu dekatkan api pelita itu kepada muncung rokok daunnya. Dia sedut rokoknya dalam-dalam sehingga kempis dan berlekuk kedua-dua belah pipinya. Ko-G menahan ketawa apabila melihat pipi pakcik itu yang ompong. Pakcik itu perasan akan gelagat Ko-G itu lalu dia ketawa.
          Tij cubit peha adiknya. Ko-G tersentak lalu mengaduh manja sambil menepis-nepis tangan kakaknya apabila Tij cuba mencubit lagi.
          “Biarkanlah, budak-budak. Jangan dicubit lagi”, kata pakcik itu sambil terus menyedut asap rokoknya.
          Kemudian kelihatan Tazs menjengah dari pintu belakang dengan berkain batik dan berbaju Kurung Kedah. Sehelai kain batik lagi digunakan untuk menutup kepalanya, persis anak dara zaman dulu-dulu. Dia gamit Tij beberapa kali, menandakan kini gilirannya pula mandi.
          ”Ssseejuk.. weehh..”, kata Tazs apabila berselisih dengan Tij. Tij hanya mengetap bibirnya melihat Tazs menggeletar. Kemudian Tij mendongak-dongakkan dagunya seperti bertanyakan sesuatu kepada Tazs.
          Aku pakai balik...”, jawab Tazs. Dia maksudkan pakaian dalamnya. Lalu kedua-duanya hilang – Tazs masuk ke dalam bilik dan Tij pula masuk ke bilik air untuk mandi.
          Kini tinggallah Ko-G dan pakcik itu berdua di ruang tamu rumah papan beratapkan daun nipah. Api dari pelita minyak itu melentuk-liuk ditiup angin bukit yang sejuk. Asap rokok pakcik itu berkepul-kepul naik ke udara dan hilang dibawa angin ikut celah-celah dinding. Rokok itu berbunyi seperti bertih digoreng setiap kali pakcik itu sedut dalam-dalam.
          ”Maksud pakcik tadi, dah ramai yang sesat ke sini?”, tanya Ko-G meminta kepastian. Pakcik itu mengangguk beberapa kali. Berkerut dahi Ko-G.
          ”Banyak jugalah...”, pakcik itu ketuk-ketukkan rokoknya di bekas abu rokok yang diperbuat daripada tempurung kelapa jantan.
          ”...tapi setiap kali ada orang tersesat, lelaki yang di van itu pasti ada sekali dengan mereka. Oleh sebab itu, berhati-hatilah”, tambah pakcik itu sambil matanya merenung tajam mata Ko-G.
          Ko-G tersentak. Mulutnya melopong. Fikirannya mula mengingat kembali detik-detik mereka terserempak dengan Hasri sehinggalah bagaimana mereka semua boleh sampai ke kampung itu. Prasangka Ko-G memang benar. Ada sesuatu yang tidak kena dengan semua yang mereka lalui sepanjang hari itu.
          ”Tempat ini jauh sangatkah, pakcik?”, soal Ko-G meminta kepastian lagi. Pakcik itu ketuk-ketukkan lagi rokoknya pada bibir bekas abu.
          Kampung ini tak seperti kampung kamu. Dekat atau jauh, itu bergantung kepada tafsiran kamu tentang jarak”, jawab pakcik itu. Masing-masing diam seketika.
          Tafsiran itu pula bergantung kepada rasa dalam hati kamu, nak. Jika kamu rasa perjalanan kamu lama, tentulah kampung ini sangat jauh”, sambung pakcik itu.
          Sangat-sangat jauh ...! ”, pakcik itu tekankan suaranya. Muka Ko-G berubah menjadi pucat.
          ”Dan...”, pakcik itu nyalakan semula rokok daun nipahnya yang terpadam.
          ”Kenapa pakcik tak beritahu kakak saya tadi?”, Ko-G memotong kata-kata pakcik tua.
          ”Tak perlulah. Cukuplah pakcik beritahu kamu sahaja. Jangan dihiraukan sangat kakak kamu dan yang seorang lagi tu. Pakcik cuma risaukan kamu. Ada orang yang mahukan kamu”.
          Tazs keluar dari bilik lalu masuk ke ruang dapur. Dia tolong makcik  menyiapkan dulang makanan. Makanan ala-ala kampung yang ringkas tetapi amat menyelerakan Tazs kerana rasa lapar dan sejuk pula selepas mandi.
Tij pula keluar dari bilik air dan berjalan menuju ke bilik. Bilik itu ringkas sahaja – sekajang tikar mengkuang, tilam kekabu dan beberapa biji bantal; sebuah almari kayu dengan sikat dan minyak rambut; dan sebuah cermin muka yang disangkutkan pada paku di dinding. Bilik itu tiada daun pintu pun. Hanya sehelai langsir yang berbuai dek angin menjadi penghadang.
Tij longgarkan semula kain batiknya untuk disimpulkan semula. Dia amat jarang memakai kain batik di rumah. Dia lebih selesa berseluar sukan atau berbaju tidur yang ringkas.
Dah, kamu pula pergi mandi. Cepat sikit, pakcik dah lapar. Kita makan sama-sama”, suruh pakcik itu.
Ko-G akur. Dia bangun dan berjalan mencapai tuala yang baru disidaikan oleh Tij di belakang rumah. Langit mulai gelap. Bintang-bintang mulai keluar dari sembunyi. Kaki langit hilang dibatasi pucuk-pucuk hutan yang menjulang tinggi. Cengkerik-cengkerik mula menyanyikan lagu riang-ria, bersahut-sahutan deringan mereka membingitkan telinga. Ko-G capai segayung air lalu disimbahnya ke arah bunyi cengkerik itu. Terdiam seketika. Bilik air yang berdindingkan daun nipah menjadi sunyi.
  Ko-G teringatkan kata-kata pakcik itu tadi. Dia mahu bertanya tetapi hasrat itu tetap tinggal hasrat. Sambil dia jiruskan segayung air ke badannya, ia terfikirkan kata-kata pakcik itu tadi tentang Tazs dan Tij. Sampai habis mandi, Ko-G masih tak dapat memahami apa sebenarnya yang pakcik itu cuba katakan. Kenapa pakcik itu terlalu berlapik dalam bicaranya, Ko-G tidak pasti dan hatinya tak tergerak pula untuk bertanya lebih daripada itu.
Sembahyang dulu, nak”, tegur pakcik itu kepada Ko-G yang baru siap mandi dan hendak melangkah masuk ke bilik. ’Kenapa pakcik tak suruh pun Tazs dan Tij sembahyang?’ Fikir Ko-G.
Ko-G sarungkan telekung putih yang digantungkan pada dinding. Sejadah pula telah siap terbentang mengarah ke kiblat. Usai sembahyang, Ko-G keluar dan mendapati Tazs dan Tij telah pun duduk bersila. Di depan mereka ada terhidang makanan di atas dulang. Pakcik dan makcik pun ada duduk sekali. Ko-G bersimpuh di sebelah makcik. Sebaik dia bersimpuh, pakcik tua pun membacakan doa makan.
Ini sahaja yang kami ada, silalah makan”, jemput pakcik itu merendah diri.
Lidah kita ada batas-batas rasa. Setiap orang lain-lain. Sedap atau tak itu semua ada dalam fikiran kita. Hanya yang merasa yang tahu apa rasa sebenarnya”, tiba-tiba pakcik seolah-olah berceramah.
Tij menoleh ke arah Ko-G, mana tahu kalau-kalau adiknya yang membuatkan pakcik terasa hati tetapi dilihat adiknya itu makan dengan berselera sekali. Tazs juga sama. Ikan sepat masin dan ubi rebus seolah-olah ayam goreng berempah dan nasi beriyani yang enak dalam edisi kelaparan seperti mereka.
“Cuba rasa ikan ini...”, pakcik tua itu unjukkan sepiring ikan sepat masin kepada Tazs. Tazs cubit sedikit isi ikan itu. Pakcik letakkan piring semula.
“Kalau kamu tanya pakcik apa itu masin, sampai kiamat pun pakcik tak dapat jawab dengan sempurna. Lebih baik kamu rasa sendiri”, sambung pakcik itu sambil memandang Tazs.
Kenapa dia pandang aku?’ bisik Tazs dalam hatinya. Tazs tak faham, adakah kata-kata tadi ditujukan khusus kepadanya?
Sama jugalah dengan hidup ini. Janganlah kita hakimi hidup orang lain selagi kita tak hidup macam mereka”, kali ini pakcik tua itu memandang Tij pula.
Pada pandangan kita, mereka nampak sempurna. Pada pandangan mereka pula, kita ini nampak sempurna”, sambung pakcik tua sambil menghulurkan mangkuk berisi ubi rebus dan keledek bakar yang masih panas ’mongah-mongah’ kepada Tij.
Kalaulah kesempurnaan hidup itu disandarkan pada harta dunia, sampai bila-bila pun dunia akan mengikat kita. Setiap perkara di dunia ini perlukan selenggaraan, macam van awak tu”, kali ini pakcik tua itu memandang Tazs semula.
Hatta memiliki seutas jam tangan sekalipun, baterinya perlu ditukarkan apabila habis. Piala dan perhiasan rumah pun, kita perlu bersihkan daripada debu”.
Lagi banyak barang yang kita miliki, lagi sibuklah kita menguruskannya. Persoalannya, tak mahukah kita berehat dan bersenang-lenang apabila di rumah?”.
Biarlah kita sibuk menguruskan diri kita sendiri daripada sibuk menguruskan perkara-perkara yang bukan milik kita. Diri sendiri pun tak terurus, inikan pula perkara-perkara yang lain”, kata pakcik tua itu panjang lebar.
”Ini... dalam dada ini”, pakcik itu tepuk-tepuk dadanya.
Ada satu jiwa yang perlu diuruskan dan dijaga. Uruslah jiwa itu baik-baik kerana nanti kita kena serahkan semula kepada pemiliknya dalam keadaan yang sempurna”, tambah pakcik itu lagi.
Tak faham langsung. Tij dan Tazs menganggap kata-kata pakcik itu tadi hanyalah ngomelan orang tua, tak lebih dari itu. Yang penting, perut mereka kenyang pada malam itu. Tidur pula dapat berbumbung dan berbantal.
Faham tak ni?”, seakan-akan mengetahui, tiba-tiba pakcik tua itu bertanya kepada Tazs dan Tij yang masih mengunyah ubi rebus dan keledek bakar.
Kedua-duanya mengangguk-anggukkan kepala. Malas nak berhujah balas tengah sedap-sedap makan begitu. Elok anggukkan sahaja pada malam itu kerana esok mereka akan keluar dari kampung itu. Itulah harapan mereka.







.

13 comments:

kucingorengemok said...

kopi je, pakcik? takde kuih²? heh heh

AZANI said...

aku mushkil juga , apa yang "orang" mau dari kog?

kucingorengemok said...

aku lagi...- aku rasa kan, tang ni la jadi makin best, sebab ada adegan makan-makan

sepa said...

tak sopan betul si Tazz ngan Tij, kan Dino.? Pakcik tuh criter berbuih2 mulut, diaorg melahap la pulak. :p...

oya, ko go on jeh ngan "Babak Ngeri...", tuh... aku ok jeh...

Aku said...

KOG,
Dah korang pun datang main terjah jer, mana dia org nak siap2 kan ayam beriyani lak...? hahaha



Azani,
hah.. itulah misteri dalam banyak2 misteri dalam ini filim.. hahaha



KOG,
bila bab makan je ko suka ek? nak aku ubah jalan cerita yg ko tu kaki pelahap? kakaka




Sepa,
Dia org bukan ke ganazzzz... hahaaha

Ok... aku ON jer...
Tapi aku rasa aku nak buat 2 versi la.... versi Umum dan versi 18SG.
yang versi umum tu takde la terlalu visual sangat sampai belah2- lapah2... amacam? itu pun kalau aku rajin la..


weh Sepa... kalau siap nanti aku nak pas kat ko untuk edit.. ko ada masa tak?

sepa said...

brader,

nak edit.?! tgk la kalau aku ada masa... (kalau aku lambat, ko go on je la...)

sbb skrg aku ada projek gak... fizikal&teknikal skit...

nanti aku buh dlm blog...

lg satu, berikut adalah beberapa novel yg aku dah beli tp tak abis baca lg...
1. the Baghdad Siren
2. the Wondrous Life of Wao
3. the God of Small Things
4. 1Q84
5. the Windup Girl
6. My Name is Red
7. Spud - the madness continues...
8. Whimpy Kid - Cabin Fever...

hehehe...

konon2 nak baca 29 buku thn nih. baru abis 9 jeh...

:)
.

Aku said...

Sepa,
ko subcon kat anak ko je la...
suh dia buat summary... hahaha

Tijah said...

agak2 bila nak siap compile bro? ewahh. tetiba berbro dgn ko.

sepa said...

dah. aku dah subcon byk. spt : 1) Harry Potter, 2) Inheart - Trilogy. Pas tuh, time makan diaorg criter.
The Help, Kafka on the Shore, The Tea House on Mulberry Street, dan The Glassblower of Murano aku subcon kat mem... hehehe...

Aku said...

Tijah,
aku tengah fikirkan macam mana nak bunuh si Hasri ni... ada idea?




Sepa,
cerdik pun... maka, subcon yang lainnya kepada pekerja indon tu...

alien pakai lipstick said...

Suka pakcik tu.tapi rasanya kalau saya baca
bab ini5thn lalu jadi mcm taz juvak anvguk kosong aje

alien pakai lipstick said...

Suka pakcik tu.tapi rasanya kalau saya baca
bab ini5thn lalu jadi mcm taz juvak anvguk kosong aje

Aku said...

Alien,
aku pun suka pakcik tu.. hehehe..

tapi watak pakcik tu belum ada yang empunya... mungkin aku atau mungkin mana-mana 'pakcik' yang ada singgah dalam dunia maya aku ni...