Sunday, October 16, 2011

Ayu Jannah bertemu semula dirinya...

.




Berbulan, malah mungkin juga bertahun Ayu Jannah mundar-mandir di pulau itu. Rodokan hablur-hablur pilu yang tajam meracik-racik hatinya yang lutsinar. Amat pedih. Lebih pedih apabila dia berseorangan tanpa Matahari yang telah lama pergi meninggalkannya. Kini, hanya Bulan yang berinya sesuluh untuk dia berjalan menyusun tapak-tapak tanpa bekas dan bentuk di atas pasir-pasir putih.


Tiada Camar Hitam , tiada Merak, tiada ombak, tiada teritip-teritip yang melekat pada karang tajam, yang menemaninya sekarang. Angin laut juga tidak meniup seruling untuknya. Segala-galanya sunyi sepi. Sunyi sehening-heningnya.


Ayu Jannah duduk di atas pasir pantai. Rambutnya yang lutsinar jatuh ke dahinya, yang juga lutsinar, apabila dia tunduk untuk melihat degup hatinya yang juga lutsinar. Cahaya Bulan menembusinya, tiada bayang-bayang. Dia umpama hablur jernih yang tiada cela. Dia umpama kaca yang rapuh. Hatinya sungguh rapuh. Bila-bila masa sahaja, jika terusik dengan kasar, hatinya bisa hancur dan berderai.


Jika hatinya hancur berderai, luluhlah segala perasaanya. Tiada gunanya lagi dia hidup jika hatinya hancur. Tanpa hati tiadalah rindu, tiadalah cinta. Tiadalah tempat untuk meletakkan cinta di dalam tubuhnya. Tanpa cinta pula, apa gunanya dia terus berharap dan terus hidup?


" Aduhai kasih, hatiku ini sungguh rapuh... sesungguhnya aku takut jika hembusan dari bisikan-bisikan jiwaku yang kotor menghancurkannya... "


Bahu Ayu Jannah bergegar. Ketakutan dan kerisauannya menyelimuti perasaan. Gegarnya semakin kuat sehingga terbit sedu sedan. Tanpa perlu ditahan-tahan lagi, Ayu Jannah membiarkan matanya berair. Biarkanlah, fikirnya.


Perlahan-lahan air matanya bergenang pada kelopak matanya yang ayu. Semakin lama semakin banyak. Akhirnya, air mata itu turun membasahi pipinya yang mulus dan halus. Ayu Jannah seorang gadis yang cantik, memang. Sayangnya dia telah hamburkan dirinya ke laut hitam dan hanyut bersama-sama puing-puing dan keruping-keruping kayu reput.


Ayu Jannah menyapu air matanya yang mengalir di pipi. Dia kaget. Dia terkejut kerana air matanya adalah darah yang ada warna, warna merah. Dia sapu-sapu lagi dan memang benar, air matanya berwarna merah dan itu adalah darah. Seakan-akan tidak percaya, Ayu Jannah sapukan lagi air matanya lalu menyapukannya pula pada lengan-lengannya.


Ayu Jannah tersenyum. Ayu Jannah bersyukur. Amat-amat bersyukur. Dia terharu, dia terlalu gembira dan perasaan gembiranya tidak lagi dapat ditahan-tahan lalu air mata sedihnya kini bertukar menjadi air mata gembira.


Air mata darah yang dia sapukan pada lengan-lengannya tiba-tiba meresap masuk ke dalam kulitnya, ke dalam dagingnya. Ayu Jannah sapukan lagi air matanya pada lehernya, pada dadanya yang montok, pada perutnya, pada peha-pehanya, pada kaki-kakinya.. pada seluruh tubuh badannya yang lutsinar itu.


Seperti yang berlaku pada lengannya tadi, air mata darahnya mulai meresapi kulit dan dagingnya. Perlahan-lahan tubuh Ayu Jannah mendapat warna. Tubuhnya kembali mendapat bentuk dan warna asalnya. Rambutnya kembali menjadi hitam. Kulitnya kembali menjadi kuning langsat. Bibirnya kembali menjadi merah. Tubuhnya tidak lagi lutsinar.


Ayu Jannah memandang pasir pantai yang putih. Dilihatnya ada bayang-bayang dirinya di atas pasir itu. Bayang-bayang yag terhasil dari cahaya Bulan. Dia sungguh gembira. Dia sungguh bersyukur. Kini Ayu Jannah kembali mendapatkan tangan-tangannya, kaki-kakinya, mendapatkan kembali dirinya.


Kini tubuhnya tidak lagi lutsinar seperti hablur, seperti kaca yang rapuh. Hatinya tidak lagi rapuh dan jantungnya kini berdegup untuk mengepam darah merah yang kini sedang mengalir dengan warna-warna kehidupan ke segenap urat darah.


" Terima kasih, kekasihku...."


Ayu Jannah sedar bahawa tempoh pengasingan mungkin telah tamat namun sayap-sayapnya masih belum tumbuh. Tanpa sayap-sayapnya, mustahil dia boleh terbang meninggalkan pulau ini. Pulau yang hanya wujud dalam diri sejatinya. Pulau yang timbul dari sifat rasa dan jiwa terhadap kesedihan dan penyesalan.


Sayap-sayap Ayu Jannah perlu tumbuh dan untuk itu, Ayu Jannah perlu terus bersendiri... dalam diri.






.

4 comments:

sepa said...

brader,
Ayu Jannah nih jenis yg baik2 ka.?!
atau jenis boleh cekik2 org dan gigit tengkok... :)

Nizam.Ariff said...

Sepa,
asalnya dia baik2... tapi dia jadi jahat sekejap. ni dia dalam tempoh pengasingan la ni....

dia tak terbang nak cekik orang.... hahaha

tasekM said...

kenapalah bila aku baca cerita ayu jannah ni dari dulu, yg aku nampak ialah...


ayu tu kamu?




.

Nizam.Ariff said...

TM,
Ayu tu bukan kamu ke? errr... alaa... sapa-sapa pun bulih jadi Ayu sebab pengalamannya adalah generic...