Tuesday, April 14, 2009

Kompang: Episod 2

Jali redah renyai dan gelap bertemankan lampu suluh berbateri tiga, menyusun tapak di atas batas sawah yang becak dan licin. Sekali-sekala deburan Haruan menyeka bising serangga malam namun hanya seketika. Teriakkan Lang-kuit mematikan langkah Jali. Dia cuba cari arah datangnya suara itu. Arah hutan sana, dari Bungor yang tumbuh tinggi di sempadan tanah sawah itu.

Jali kenal suara itu. Teriakan Lang-kuit pernah menjadi omok-omokkan saudara-saudaranya semasa dia kecil dulu. Dia masih ingat pesan orang tua-tua, kalaulah Lang-kuit berbunyi, ia menandakan dua perkara sahaja. Satu: Ada harimau berdekatan dan dua: ada hantu. Burung itu dikatakan akan mengikuti 'benda-benda' tersebut. Kalau dulu, Jali akan berlari susup-sasap bila terdengar Lang-kuit berteriak nyaring, redah segala semak-samun dan pokok keladi Mahang yang gatal itu. Jali akan lompat parit-parit kecil dan tunggul-tunggul kayu. Jali akan tinggalkan apa-apa sahaja yang ada padanya. Kini tidak lagi. Jali bukan berhenti kerana seram. Dia cuma terkenangkan kisah dulu-dulu, kisah semasa dia masih hingusan.

Jali lemparkan senyum sebelum meneruskan langkahnya ke kunci air kecil. Dia lihat paras air sudah terlalu tinggi. Walaupun pintu kunci air itu telah dibukanya kelmarin namun hujan yang tak henti-henti sejak semalam telah menyebabkan air sawah melimpah ke atas batas. Jali suluh batas itu. Tanahnya ada rebak sedikit. Jali letakkan lampu suluh berbateri tiga itu ke tanah, menyuluh rebak itu. Pacat yang tadi mungkin tidur, telah terjaga dan mula memanjat kaki-kaki Jali. Jali tidak rasa geli-geleman seperti Julia, dia tunggu sehingga pacat itu melentikkan badannya kemudian Jali jentik kuat-kuat. Pacat itu terpelanting jauh ke sawah.

Hujan masih turun dengan rintik-rintik yang masih kasar. Jali tak kisahkan semua itu kerana dia telah bertekad untuk kembali ke sini. Dia perlu teruskan hidup yang dia telah pilih ini. Jali angkat cangkul setinggi yang boleh lalu membenamkan mata cangkul itu pada batas. Jali perlu pecahkan batas itu supaya air sawah dapat mengalir ke dalam parit pembuangan, jadi batas-batas yang lain tidak rosak, itu teori Jali. Setelah beberapa kali mata cangkul itu merobek batas, air sawah meluncur laju turun ke parit pembuangan bersama-sama siput-siput Gondang. Renik-renik peluh berbaur rintik hujan mengalir turun dari badannya. Itu titik peluh Jali, peluh itu ganti arwah Ayah yang lebih dulu berbakti kepada bumi ini, pada tanah yang sama. Hujan tak menunjukkan tanda-tanda akan sidang sejam dua ini. Jali berharap paras air akan turun pada esok pagi.

Jali memang anak sawah. Dia dibesarkan di kampung ini tetapi dia bersekolah tinggi hingga berjaya mendapat segulung ijazah di kota sana. Dia juga pernah bekerja dengan gaji yang lumayan di kota sana. Malah, dia bertemu dengan Julia yang kini adalah isterinya juga di sana. Anak-anaknya juga lahir di sana.

Sehingga satu hari itu, Jali berpendapat kehidupan di kota terlalu mencabar baginya dan juga bagi anak-anaknya. Cabaran hidup di kota sana baginya sudah keterlaluan. Hidup terlalu berpaksikan kebendaan. Siang dan malam mencari kemewahan sehinggakan anak-anak dan isterinya sering ditinggalkan. Pergi awal pagi dan pulang lewat malam. Jali merasakan dia perlu berbuat sesuatu mengenainya. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk tinggal di kampung kerana baginya, masa di kampung dirasakannya berdetik lebih perlahan daripada masa di kota sana.

[insertion of the above scene as commented by Ashley]


--- * --- * --- * ---


Julia masuk ke bilik Emak. Terdengar keluhan kecil dari Emak yang mungkin lenguh kerana berbaring lama. Emak menyentak-nyentak bantal yang ada di belakangnya, cuba membetulkan kedudukan badannya yang sudah senget. Julia menghampiri Emak lantas membantunya. Tangan orang tua itu sudah kurus, telah tua untuk mengangkat badannya sendiri.

"Kompang-kompang ni boleh diletak di luar kalau Emak rasa bilik ni sempit"
Saranan ikhlas dari seorang menantu yang ingin melihat mertuanya lebih selesa. Juga nanti bau hapak boleh hilang ditiup angin.

"Jangan!"
Ringkas jawapan Emak, jawapan yang juga satu arahan sebenarnya.

"Kenapa?"
Emak biarkan pertanyaan itu hilang ditelan gemersik hujan dan gemuruh angin. Kenapa? Julia cuba meneka-neka sebabnya tetapi tiada satu pun yang dirasakannya sesuai. Jawapan itu milik Emak. Jali? Puas ditanyai oleh Julia namun, seperti ibunya, tiada jawapan. Hanya satu lontaran wajah kosong yang diberikan kepada Julia.

Telah hampir setahun Julia tinggal sebumbung, menumpang rumah Emak di kampung ini setelah Jali berhenti kerja di kota sana tetapi Julia masih belum faham tentang yang satu itu. Kompang itu terlalu dekat di hati Emak, sukar dipisahkan.

"Kenapa, Julia, Emak?"
Jali tercongok dari luar tingkap. Muncul dari gelap. Hampir Julia menjerit kerana terkejut. Jali tersenyum menyakat. Dia sengaja bergurau dan dia suka bergurau begitu dengan isterinya itu. Emak, walau rasa sedikit terganggu namun turut tersenyum. Dia faham sangat perangai anaknya yang itu.

"Abang ni!"
Suara Julia sedikit tinggi, geram. Sergahan Jali tadi menjadi.



[hah, sambung...]



.

9 comments:

ashley said...

Episod dua ni macam 'melompat' dari episod satu. Engkau dah buaikan perasaan pembaca tentang JALI yang nak ke sawah tengok anak padinya..tup tup engkau 'melompat' masuk bilik cerita pasal mak dan KOMPANG..

Aku rasa macam terputus sikit suasana kat sawah tu.
Sebagai pembaca,perasaan aku ingin lebih tahu apa yang terjadi pada JALI sebab aku nampak fokus episod 1 itu ke arah suasana di sawah dalam keadaan gelap gelita serta hujan lebat itu..

hmmmmm...

Nizam.Ariff said...

Ashley,
Memang pun.... hahaha, in fact, aku nak tulis je tajuk ni Episod 3...

Tapi, instead of aku focus kat Jali yang pegi mencangkul, aku lorotkan lensa kemera aku kepada Julia dan Emak....

OK la, aku tulis ini Episod 3... Episod 2 tengah dipikirkan...

Nizam.Ariff said...

Ashley,
OK. Aku dah gabungkan kat dalam Episod 2 ni. Enjoy....

ashley said...

Tambahkan sikit debaran hati si Jali. Kena ada perasaan risau dan cemas. Takut kalau kalau anak padinya mati dek air yang bertakung itu..itu titik peluh, dik..keringat yang telah terlabur..so sepatutnya Jali tengah serabut perut..

gambarkan sikit keadaan tubuh badan Jali sewaktu dia mencangkul..peluh menitik ..kaki terbenam masuk dalam becak ..baju dan seluar habis basah..bau selut dan sebagainya..


okay??

Nizam.Ariff said...

Ashley,
Ok. Malam karang buat...

tasikmerah said...

insertion tu dah bagus dah lu...

tapi stail melompat dalam novel juga aku lihat sebagai seni. kalau kamu pernah baca novel daerah zeni by pak samad. sungguh pening kerana lompat-lompatan.. :)

namun aku suka... :)



.

Nizam.Ariff said...

TM,
Aku lompat-lompat sebab tak de idea. Ashley kasi idea aku tulis le balik...

ashley said...

Tak datang datang lagi ke ilham engkao yang seterusnya NIZAM?

aku nunggu ni. duduk depan depan terconggok dah ni..

Nizam.Ariff said...

Sibuk sikit ni...
Ada training lagi...