Friday, May 22, 2009

Kompang: Episod 4

.


Kompang-kompang yang berhabuk tetapi tersusun itu direnung Jali. Dahinya berkerut, dia perasankan sesuatu yang kurang dalam susunan itu. Tiada di bilik Emak. Sesuatu yang penting dalam regu kompang itu tetapi telah tiada.

"Beduk mana Mak?'

"Ada di rumah Kassim. Dia pinjam bulan lepas"

"Huh"

Jali mendengus lemah. Jali ambil salah satu kompang itu. Dia sapu-sapu habuk yang melekat pada badan kompang yang diperbuat daripada kayu Leban. Varnishnya sedikit pudar. Jali tepuk-tepuk beberapa kali. Jali perasan yang bunyinya tidak nyaring, dengungnya kurang tapi kulit lembu yang menjadi muka kompang itu masih elok, masih tebal. Tak merekah pun tapi kulit itu kurang tegang.

Jali jenguk sebelah dalam kompang. Dilihatnya simpai kompang yang dibuat daripada rotan Saga sebesar kelingking budak tidak bersedak betul. Jali capai penyedak kayu dari bawah katil Emak.

"Kamu nak buat apa dengan kayu tu? Kayu tu mak buat ketuk lipan kalau ada yang datang lagi nanti"

"Nanti saya carikan kayu yang lain. Kalau ketuk pakai ni, nanti bucunya pecah"


Kalau bucu penyedak yang berbentuk baji itu sumpil, kulit lembu pada muka kompang itu boleh terkoyak ketika menyedak rotan Saga itu.

Jali letakkan kompang itu secara mengiring. Jali aturkan gelungan rotan Saga pada penjuru di mana kulit kompang bertemu dengan badan kompang. Jali acu hujung penyedak dan tekan rotan Saga itu supaya terselit di celah-celah itu. Jali lakukannya berhati-hati sehingga kesemua gelungan roran Saga itu tersemat kemas.

Kemudian Jali tepuk beberapa kali kompang itu. Barulah bunyinya berdengung, barulah nyaring. Jali tepuk lagi kompang itu beberapa kali. Jali tersenyum. Emak pun turut tersenyum. Sudah lama Emak tak dengar kompang itu berbunyi dan bunyinya mengimbau kembali kenangan-kenangan lama Emak, ketika arwah suaminya masih hidup, masih kuat untuk mengajar anak-anak muda kampung bermain kompang.





.

4 comments:

ashley said...

oh dah update ek..jenuh tunggu.

Nizam.Ariff said...

Ashley,
sibuk sikit... ada 4 keje kna buat satu masa, satu je yang aku punya, yang 3 lagi kira tolong orang le...

Basuh Baju said...

kompang? teringat masa kecik2 dulu.. bila ketuk ompang mesti tak jadi..argh,,,geram!

Nizam.Ariff said...

Ritma dik. kena bina ritma dalam diri.... dan perlu synchonise.. hehehehe