Saturday, November 19, 2011

Kecubung Jiwa: Bab 1, episod 1

.
[ Perhatian: Semua watak dan jalan cerita hanyalah khayalan penulis semata-mata. Watak-watak yang digunakan hanyalah buatan penulis dan ia sama sekali TIDAK merujuk kepada karekter sebenar individu dalam dunia nyata. Jika ada kesamaan, anggaplah itu adalah kebetulan dan penulis memohon maaf awal-awal lagi]




Kecubung

          
         Cuaca pada pagi itu mendung. Hujan bulan November merenjis turun sejak awal subuh tadi lagi. Matahari masih belum muncul di kaki langit Timur tetapi remang-remang cahaya pagi itu cukup untuk melihat daun-daun pokok pisang dan pelepah kelapa yang basah kuyup. Rumput-rumput di bahu jalan raya kecil yang menghubungkan Kampung Sungai kelubi ke Bandar Jasin banyak yang telah ditenggelami oleh air hujan yang melimpah dari jalan. Hujan bulan November seakan-akan bayangan kelabu kehidupan kampung itu yang meriah dengan seribu satu cerita.
Kampung Sungai Kelubi menjadi wadah besar yang mengadun semua yang kaya dan yang miskin, terlakur menjadi satu adunan rencam yang jika dilihat sekali imbas semuanya seperti kelihatan enak dan makmur. Namun jika diteliti setiap mereka yang hidup di situ akan terserlah perisa duka dan sengsara tetapi kesan-kesan calar itu tidak kelihatan pada wajah-wajah mereka. Segala-galanya menjadi norma harian. Tiada keluh, tiada kesah. Sudah sebati dengan diri menjadi daki. Sudah mendap menjadi selut tebal dan payah untuk digodak-ubah lagi.
Pada pagi itu, kereta-kereta berderetan bergerak menuju ke bandar membawa jiwa-jiwa muda ke kilang-kilang dan toko-toko besar,  meninggalkan kebun getah dan sawit yang semakin kecil dikerkah kemajuan. Manakala mereka yang bermotorsikal pula siap dengan berbaju hujan meredah sejuk bulan November yang membasah hingga ke hujung tahun.
          Ada beberapa buah motorsikal berhenti di sebuah gerai berbumbungkan sebuah payung besar berjalurkan warna-warni di tepi jalan yang basah itu. Setelah kuih-muih dibungkuskan dengan plastik, mereka meneruskan perjalanan untuk ke tempat kerja. Begitulah jika hari hujan, tak ramai yang berhenti membeli kuih-muih yang dijual di situ. Jika tak hujan, biasanya gerai itu penuh dengan pelanggan yang berhenti untuk membeli kuih-muih. Mungkin mereka malas basah dek hujan, tak seperti mereka yang bermotorsikal, yang sememangnya berbaju hujan.
          Jadi, jika hari hujan, jualan di gerai ’pacak’ itu kurang meriahnya. Penjualnya juga berasa kurang ’meriah’ tapi apakan daya, rezeki sudah ditentukanNya. Kadangkala Tazs terasa seperti mahu ’bercuti’ dari berniaga jika hari hujan tetapi bila difikirkan semula, dia berasa kasihan kepada pelanggan-pelanggan tetapnya pula. Nanti mereka berlapar sepagi.



          Bagi Tazs, perniagaannya bukan sahaja sebagai pendapatan utamanya. Ia juga sebagai amal-jariahnya untuk mereka-mereka yang singgah di gerainya. Dia tahu, jika isteri-isteri mereka sempat menyediakan sarapan pagi, mungkin mereka tidak perlu singgah membeli kuih-muihnya.
Rasa kasihan kadang-kadang menjadi dorongan yang kuat untuk Tazs terus berniaga walau pun hasil dari menjual kuih bukanlah sebanyak mana. Ianya sekadar cukup untuk membayar bil-bil bulanan selain cukai tapak rumah pusaka peninggalan kedua-dua orang tuanya. Selebihnya, dia simpan untuk masa tuanya nanti, masa dia tidak mampu untuk terus menguli tepung membuat kuih untuk berniaga lagi nanti.

          Tazs tiada ada siapa-siapa lagi. Dia anak tunggal. Kawan-kawannya juga tak ramai, boleh dibilang dengan sebelah tangan. Masa malamnya dia penuhkan dengan membuat persiapan jualannya, masa subuhnya pula sibuk dengan aktiviti menggoreng dan mengukus. Manakala masa paginya, dia duduk menunggu pelanggan di gerai payung itu. Petangnya pula dia perlu pergi ke bandar untuk menambah bekalan tepung dan gula, dan beberapa ramuan yang lain lagi. Begitulah setiap hari. Tiada masa untuk bergosip, mengumpat di anak tangga dan tiada masa untuk bertanyakan gelang emas atau kain baru. Tiada masa.






[sambung...]




.

4 comments:

tasekM said...

jadi juga tajuk kecubung jiwa ni eh...?

:)



.

Nizam.Ariff said...

TM,
Letak je la dulu... nanti kalau ada yang bagi tajuk lain yang menarik, tukar je la... hahaha

sepa said...

apa lot nomor rumah dak Tazs.?

Nizam.Ariff said...

Sepa,
... rumah tak bernombor...