Monday, November 21, 2011

Kecubung : Bab 1 Episod 4 ...

[ Perhatian: Semua watak dan jalan cerita hanyalah khayalan penulis semata-mata. Watak-watak yang digunakan hanyalah buatan penulis dan ia sama sekali TIDAK merujuk kepada karekter sebenar individu dalam dunia nyata. Jika ada kesamaan, anggaplah itu adalah kebetulan dan penulis memohon maaf awal-awal lagi]



Bab 1 Episod 4




          Petang itu, Tazs duduk termenung berjuntai kaki di atas tangga. Dia tak menguli tepung seperti selalunya. Dia tak ke kebun yang sekangkang kera di belakang rumahnya mencari kelapa tua. Dia tak cari Daun Pandan. Dia tak cari Daun Pisang. Dia hanya duduk-duduk berjuntai kaki di atas tangga rumah pusakanya pada petang itu.
          Sengal tangannya masih terasa. Kadang kala terasa seperti disiram dengan minyak panas. Namun itu bukanlah punca Tazs tak buat kuih. Dia rasakan musim tengkujuh seperti tangkal penghalau pelanggannya. Tak banyak kuih-kuihnya dibeli orang, akibatnya banyak yang terpaksa dibuang. Terfikir juga untuk bercuti panjang dari berniaga apabila kerja renyah setiap hari dirasakannya tidak berbaloi dengan usahanya.
          Nasib kurang baik musim tengkujuh turut dirasakan oleh Husin, juga Deen, juga Kak Ros, juga mereka-mereka yang berkebun sayur dan berladang getah. Seperti juga nelayan, musim tengkujuh membuatkan mereka mencari alternatif untuk memastikan pendapatan harian mereka tak putus.
          Lainlah Tok Ketua, Lebai Salim dan mereka-mereka yang berladang sawit. Lebih untung lagi ialah Pak Manap dan Cik Ramlah yang menyewa kedai makan berbumbung tetap. Bila hari hujan, ramai yang datang menghirup kopi panas atau teh tarik di kedainya. Musim tengkujuh menjadikan kedainya lebih meriah. Orang-orang kampung yang tak dapat bekerja kerana hujan akan berkumpul di kedainya.
          Tak seperti gerai Tazs yang payungnya tak mampu menahan tempias hujan, tak dapat menahan libasan angin sejuk dan lembab pula. Siapa yang boleh tahan sejuk air hujan waktu pagi?
          Fikiran Tazs buntu mencari penyelesaian. Lebih buntu lagi apabila air hujan turut memadamkan selera dirinya untuk berniaga. Mungkin dia perlu menjadi seperti mereka yang terjejas dek hujan. Dia perlu bercuti pada musim hujan sama seperti menoreh getah.
          Di sebuah pasaraya yang agak terkenal di bandar Jasin, Tij sedang mengemas dan menyusun barang-barang jualan di atas meja booth yang tak seberapa sangat besarnya. Bukan mudah menjadi seorang promoter. Dia kena pandai menggunakan setiap ruang yang ada untuk mempamerkan barang-barang jualan. Mulut kena ramah dan wajah kena manis walau dalam hati sumpah seranahnya hanya Tuhan yang tahu.
          Memanglah kerja sebagai seorang promoter pendapatannya tidak selumayan mana dan bergantung pula atas komisyen jualan namun tanggungjawab untuk menyara pengajian adiknya adalah utama. Itu adalah wasiat orang tuanya yang mahu tidak mahu Tij kena tanggung juga.
          Penat melayan prospeks sama penatnya menunggu matahari jatuh. Kaki-kakinya lenguh menahan beban badannya yang sedikit gempal, lebih-lebih lagi apabila berdiri dengan berkasut tumit tinggi yang seksi dan menyeksakan itu. Sakit lenguh kakinya masih boleh diurut namun lenguh perasaan bosannya tak boleh dijamah dengan tangan, apa lagi untuk diurut dengan tangan.
          Sekali-sekala Tij akan bangun dari kerusi pusing dan berjalan ke booth rakan-rakan lain. Saja-saja untuk tegak-luruskan pinggang sambil itu boleh juga dia bertanyakan berita-berita terbaru yang dia tak tahu. Itu termasuk gosip-gosip semasa di kalangan kawan-kawan.
          Tapi hari itu Tij malas hendak beramah mesra seperti biasa. Dia  melayan waktu dengan melayari ruang sesawang melalui telefon bimbitnya walau pun kadang-kadang telinganya dapat menangkap butir bicara gosip-gosip liar. Malas. Dia bosan sejak akhir-akhir ini.
          ” Jom makan ? ”, tiba-tiba bahunya dicuit dari belakang. Nasib baik Tij tidak melatah. Tij pantang dicuit secara kejut-kejut begitu.







[bersambung]


.

5 comments:

tasekM said...

berani la cuit2.
kena siku kang...



.

sepa said...

itu cuit2 belanja makan kat keni-rojer... hehehe

Nizam.Ariff said...

TM,
Itu Tijah la yang kena cuit... kakaka



Sepa,
Yesss... dia nak belanja makan.. mana ko tau nih?

tasekM said...

aku tau la tij.
ko jgn tak tau.
dia bukan sahaja suka menyiku malah melutut.

:p




.

Nizam.Ariff said...

TM,
melutut tu bukan merangkak ke?
ke jenis aksi terjah perut?