Monday, January 24, 2011

Rindu pada bening embun...

Pada ketika ini, semasa burung-burung sawah mula berlari dan terbang-hinggap mencari anak-anak ikan dan benih-benih padi yang menguning, pagi ini matahari memancar terang cahayanya.


Hujan semalam telah bawa turun awan-awan hitam ke bumi, ke tanah ini. Dikuburkan dengan semangat gelapnya yang telah ditukarkan menjadi rahmat oleh Tuhan. Semangat gelap yang beberapa hari lalu dikumpul dari segala derita dan sengsara manusia, dan dipukul pula oleh angin-angin kencang, malam tadi telah mengalir menjadi mata air jernih mengairi pohonan, tumbuhan dan menjadi minuman fauna sama ada yang terbang dan berjalan.


Pagi ini, cahaya matahari terang menyuluh embun-embun yang tergantung pada hujung daun padi. Seakan-akan menghisapnya kembali. Seolah-olah embun itu hanya dipinjamkan kepada padi sekadar untuk lepaskan rindunya pada nyaman dan tenteram suasana. Walau sekejap ia mencukupi. Amat mencukupi.


Embun yang bersinar bening, tolong sampaikan salamku apabila kamu kembali ke atas sana. sampaikan salamku kepada mereka di atas sana...




.

No comments: