Monday, January 31, 2011

Kompang: Episod 14

ewnepilog 2:


Selepas pulang dari sekolah tadi, Jali hanya berseluar pendek tanpa berbaju dan berbaring di atas lantai simen. Jali mahu pindahkan kesemua panas badan yang dikumpulkan semasa berbasikal di tengah-tengah panas rembang sejauh 3 km dari sekolahnya. Panas yang seolah-oleh mendidihkan otaknya.


Setelah sejuk di bahagian depan, Jali pusingkan badan dan baring menelentang pula. Jali sejukkan belakang badannya pula. Sambil itu, Jali membilang jumlah lubang pada bumbung zink dek paku. Zink itu zink guna-semula tentulah lubang paku merata-rata. Lebih menarik apabila asap dari dapur kayu Emak menerawang naik ke bumbung itu. Akan kelihatan garisan-garisan putih dari setiap lubang paku pada bumbung zink itu. Garisan-garisan putih akibat cahaya matahari yang menerobos masuk melalui lubang-lubang paku itu; ibarat pedang LASER yang panas dan amat tajam.


Apabila lantai tempat Jali berbaring itu kurang sejuk, dia pindahkan badannya sedikit ke tempat yang lebih sejuk. Jali pilih lantai yang simennya rata dan licin, bukan lantai yang menggerutu seperti kulit katak puru. Lantai yang menggerutu akan keluar pasirnya dan melekat pada badan. Ada lantai yang licin kerana serbuk simen ditaburkan pada kemasan terakhirnya manakala lantai yang menggerutu pula tidak. Itu bergantung kepada rezeki dan lebihan simen untuk lantai itu. Jali lihat lantai rumahnya itu berpetak-petak; ada yang licin dan ada menggerutu seperti kulit katak puru. Jali tahu, Bapak buat sedikit-sedikit lantai rumah itu.


Jali bingkas bangun apabila Emak menyuruhnya makan nasi. Sambil itu, Emak membebel lagi. Sudah beberapa kali Emak pesan kepada Jali, berbaring di atas lantai simen kan sebabkan sakit tulang. Sakit-sakit badan bila tua nanti. Jali faham tetapi panggilan aura sejuk lantai simen itu amat sukar untuk dielakkan. Lebih-lebih lagi apabila baru pulang dari sekolah dan badan masih panas dek pancaran matahari rembang.


Emak matikan saki baki bara api pada putung-putung kayu api. Sayang. Nanti boleh digunakan lagi untuk petang karang. Asap berkepul-kepul naik ke bumbung tanpa siling. Abu dari dapur kayu juga turut menerawang ke atas. Kadang-kadang Jali akan lihat banyak abu di atas meja makan. Rumah jirannya ada siling dibuat daripada guni-guni baja yang telah kosong. Guni-guni itu dipotong dan dijahit menjadi sekeping layar yabng besar sebelum dinaikkan dan dibuat siling. Emak belum buat lagi. Mungkin guni baja Emak masih belum banyak untuk dibuat layar.


Jali buka tudung saji. Di bawahnya, ada sebiji telur itik rebus dan semangkuk sayur kangkung masak bening. Jali lihat Emak datang bawa sepinggan nasi yang masih panas mongah-mongah dan kicap Tamin kegemarannya...





.

No comments: