Sunday, January 2, 2011

Kompang: Episod 11

Sebatang cangkul tersangkut kemas pada bahu seorang tua. Sebatang rokok daun nipah yang berisi cengkih hancur dan tembakau cap kapal semut terkepit diantara dua bibirnya. Asap berkepul-kepul naik ke langit. Bara rokok itu merah setiap kali nafas disedut, membakar cengkih hancur itu tadi, bunyinya seperti daun kelapa yang marak terbakar. Agak-agaknya, itu sebab dinamakan 'kretek' kerana bunyinya hampri sama dengan sebutan itu.

Kakinya gagah melangkah rumput kapal terbang dan keting belalang yang liat untuk mati, di atas batas sawah itu imbangan badan orang tua itu sungguh menakjubkan. Sungguh tegap.

Seorang perempuan tua pula menegakkan badannya di tengah-tengah sawah padi. Dia berhenti dari merumput sebentar. Dia melihat suaminya itu datang membawa cangkul untuk membetulkan hujung batas yang pecah. Lubang tikus yang menembusi dari kiri ke kanan batas itu menyebabkan air sawah bocor ke petak sebalah. Kalau air tidak dikawal, salah satu petak sawah akan kontang.

Suaminya itu mengangkat cangkul itu melebihi paras kepalanya lalu sepantas guruh, mata cangkul itu dilayangkan dan dibenamkan pada batas. Lubang tikus itu dikambusnya.


Perempuan tua itu tersenyum memandang suaminya. Tersenyum memandang bayang-bayang suaminya yang masih segar dalam ingatan. Tersenyum kepada kenang-kenangan itu, walau penat bersawah.

'Mak teringatkan arwah Bapak kau, Jali...' kata Emak lemah.

'Selalu ke macam tu ?' tanya Jali

Soalan Jali tak berjawab. Jali masih mengurut-urut kaki Emak. Malam tadi, Emak mengadu kakinya lenguh, kebas-kebas. Selepas Emak sarapan pagi tadi sehingga pukul 9am, Jali masih mengurut kaki Emak. Sepatutnya, Jali meracun pagi ni tetapi ditunda. Jali berharap petang nanti tidak hujan. Kalau hujan juga, sia-sia dia meracun nanti...





.

No comments: