Sunday, March 13, 2011

Sumbi Emas (bhg. 2 unedited) .... seram gugah aman malam

[kalau nak tahu bahagian 1, sila klik SINI....]






Pak Abu lunjurkan kakinya. Kain pelekat yang dipakai untuk sembahyang Maghrib di surau tadi dikemas-kemaskan gulungannya. Dia tarik kaki kain pelikat itu hingga tersembul kedua-dua  kepala lutut. Terasa sangat tuanya. Walau jerih payah itu sudah sebati dengan hidupnya, usia yang meningkat seakan-akan anai-anai yang memamah kudrat mudanya sedikit demi sedikit. Kalau dulu, pisang 2 tandan boleh dipikul sekaligus, kini jangan harap dia boleh buat begitu lagi.


Pak Abu condongkan badannya ke depan, kedua-dua tangan memaut ibu jari kaki. Perlahan-lahan kepala ditundukkan sehingga menyentuh kepala lutut. Pak Abu tahan nafas beberapa ketika sebelum dia tegakkan semula badannya sambil menarik nafas. Dia lakukan beberapa kali sehingga lenguh pinggangnya berkurangan. Kemudian, Pak Abu ambil sebotol minyak sakal putung serai wangi pada kotak ubat yang diletakkan dekat dengan tiang. Pak Abu tuang beberapa titik pada lutut kiri dan kanan, lalu dia usap perlahan-lahan agar rata. Dia urut otot-otot pada lututnya dan ditarik dibawa ke pangkal peha.


Siang tadi, jenazah Opah Senah telah selamat dikebumikan. Tiada perkara pelik-pelik berlaku. Pak Abu memanjat syukur kerana dia tahu Opah Senah bukan sekadar bidan kampung. Opah Senah adalah lebih daripada itu. Setelah penat berurut, Pak Abu gulung pula sebatang rokok daun nipah dengan tembakau cap kapal terbang. Cengkih yang telah digunting kasar turut ditaburkan pada tembakau bagi menambah perisa. Berkepul-kepul asap naik ke bumbung zink tanpa siling.


Tak lama Pak Abu teringatkan perkara petang tadi, dia merasakan sunyi yang tak seperti biasa.  Biasanya, waktu-waktu begitu masih ada orang-orang kampung yang lalu-lalang. Pasti ada riuh suara anak-anak yang pulang dari mengaji yang lalu ikut jalan pintas di rumahnya. Kali ini, Pak Abu terasa sepi sungguh-sungguh. Tiada cengkerik, tiada belalang daun atau pelesit. Pak Abu berasa tidak sedap hati. Dia bangun ke tingkap lalu dikuaknya daun tingkap luas-luas. Dia dekatkan mukanya pada kekisi tingkap. Tiada bayang-bayang pokok yang bergoyang. Tiada angin. Tiada bulan. Sunyi sesunyi-sunyinya. Pelik sungguh.


Ketika itu juga Pak Abu teringatkan sumbi emas di dalam kantung kain; sumbi yang masih melekat pada tulang rahang yang dibawa pulang dari kubur petang tadi. Seram mula menjalar keseluruh urat nadinya. Perasaannya mula tak keruan. Menyesal pun ada tetapi apa yang Pak Abu boleh. Liang lahad tempat sumbi itu dijumpainya telah berisi mayat Opah Senah. Dia tak sanggup gali semula kubur Opah Senah. Dia kenal Opah Senah itu semasa hayatnya. Dia tahu bagaimana Opah Senah masih boleh berbidan sedangkan umurnya telah lewat 80an. Dia juga tahu mengapa Opah Senah asyik bertukar laki dan suami muda yang terakhir dikahwininya pada umur 72 tahun!


Pak Abu kenal sangat-sangat kerana rumah arwah Opah Senah bersetentang dengan rumahnya, hanya terpisahkan sebatang jalan, sebatang tali air dan sederetan pokok pisang. Tak jauh pun, sepelaung sahaja dari rumahnya. Dia sering terlihat bola api berlegar-legar di atas rumah arwah Opah Senah semasa hanyatnya di waktu malam. Bola api sebesar buah kelapa itu akan berpusing-pusing beberapa kali sebelum arwah Opah Senah buka tingkap biliknya dan bola api itu pun meluncur masuk. Anehnya, rumah arwah Opah Senah tidak terbakar.


Tiba-tiba Pak Abu tersentak. Ada sesuatu telah jatuh di dapur. Cepat-cepat dia tutup semula daun tingkap lalu dikunci.

" Geruh aku kalau begini..." getus Pak Abu.


Pak Abu capai pelita minyak tanah lalu pergi ke dapur.  Dia angkat pelita itu tinggi-tinggi. Matanya awas mencari-cari 'benda' yang jatuh itu. Tak nampak apa-apa pun. Kualli dan belanga masih tergantung pada dinding kayu. Pinggan mangkuk masih ada di raknya. Pelik. Pak Abu melangkah turun, perlahan-lahan kakinya memijak anak-anak tangga.

"Syoohhh..! Syoohhhh...." jerit Pak Abu sambil tangannya di awang-awangkan seperti menghalau sesuatu.

Pak Abu berfikir itu angkara kucing atau mungkin tikus yang cuba mencuri ikan masin yang disimpan di dalam goboknya. Setelah puas hati, dia naik semula ke ruang tengah. Api pelita itu melintuk-liuk bertahan mengikut hayunan tangan Pak Abu. Baru beberapa anak tangga, terdengar seperti ada sesuatu berlari merentasi ruang tengah yang berlantaikan papan itu. Pak Abu terhenti. Perlahan-lahan Pak Abu hulurkan kepalanya untuk mengintai dari gawang pintu dapurnya. Gelap.


Lalu Pak Abu naikkan pelita minyak tanahnya dan diletakkan diatas lantai papan. Pak Abu tersentak sedikit apabila dia lihat pelita itu seperti melompat-lompat. Seperti ada sesuatu sedang berjalan memijak lantai dan mendekatinya. Hati Pak Abu tidak keruan lagi. Dia tahu, ini pasti berpunca dari sumbi emas itu. Perasaan menyesalnya memuncak.


Mata Pak Abu masih melekat pada pelita minyak tanah di atas lantai ruang tengah itu. Kakinya juga masih berpijak pada anak tangga dapurnya. Badan Pak Abu seakan-akan kaku. Tak dapat bergerak. Dia juga tidak berani untuk mendongak untuk lihat apa yang berlaku tetapi dia amat sedar yang sesuatu sedang berjalan ke arahnya. Bunyi derap langkah yang bergerak perlahan-lahan itu dapat didengari namun dia tak berani untuk memanggungkan kepalanya. Bermacam-macam rupa ngeri dan seram berlegar-legar dalam kotak fikirannya.


Kemudian, derap tapak kaki itu senyap. Pelita minyak tanah pun tidak bergetar lagi. Senyap, yang kedengaran ialah degup jantungnya dan hela nafasnya yang kurang teratur lagi. Pak Abu pejamkan matanya. Dia tak pernah mengalami peristiwa sebegini selam dia mengambil upah menggali kubur. Tak pernah.

Pak Abu tahan nafas. Dia mahukan kepastian tentang sesuatu itu. Derap jantungnya semakin ligat. Pak Abu cuba amati betul-betul dalam mata masih terpejam. Ya, tak syak lagi. Sejuk mula menjalar ke seluruh urat nadinya. Kakinya seperti mahu lumpuh. Tangannya kaku.

Pak Abu dapat rasakan dengusan nafas berbau busuk begitu hampir di kepalanya. Dengusan nafas yang panjang dan nafas busuk itu mengelus-elus pipi Pak Abu. Begitu dekat sekali.

Pak Abu pasrah. Dia buka matanya perlahan-lahan dan mendongak ke atas.

Serta-merta Pak Abu melompat ke belakang, lalu jatuh terduduk di atas lantai dapur. Mulut Pak Abu melopong. Jantungnya dirasakan seperti terhenti. Mata Pak Abu terbeliak besar sambil mendongak ke atas.

Di gawang pintu dapurnya itu, satu tengkorak dengan sisa daging pipi yang reput dan bolong mata yang tersorot jauh ke dalam sedang terkatung-katung. Lidah panjang terjelir keluar seperti cacing. Tengkorak itu masih terkatung-katung melihat ke arah Pak Abu yang terkejut dan tak bergerak.


Seluruh tubuh Pak Abu terkaku. Lidah yang melintuk-liuk itu terus memanjang menuju ke arah Pak Abu. Tangannya menggeletar namun tiada apa yang boleh di lakukannya. Lidah itu terus melilit leher Pak Abu. Terasa sejuk dan berlendir. Lidah itu terus melilit lehernya beberapa kali. Kemudian, tengkorak yang terkatung-katung itu bergerak perlahan-lahan mendekati Pak Abu sehinggalah mata Pak Abu yang terbeliak besar itu selorong dengan bolong soket mata tengkorak itu. Mulut Pak abu terkunci. Dia tak boleh menjerit. Lidah yang sejuk dan berlendir itu masih melintuk-liuk seperti ular sawa di lehernya. Tengkorak itu benar-benar rapat dengan Pak Abu, tak sampai pun sekaki jaraknya.







( Apa yang berlaku seterusnya? Apa kaitannya dengan arwah Opah Senah itu?.....sambung lagi.... )




.

5 comments:

tasekM said...

berapa lama yek ko amik masa sambung bahagian 2 nih....?

kalau aku 2 hari pun blom tentu siap. ha ha.





.

AZANI said...

harus tak tidor malam aku...nunggu sambungannya.

Aku said...

TM,
Unedited version kejap je, aku taip yang lambat. Idea dah tersusun dalam kepala. Bhg 1 aritu dalam 1 jam. bhg 2 ni aku taip dlm 2 jam. Nak edit yg malas sikit...

Azani,
Jangan biar lena mu diulit igauan ngeri...

ashley said...

Rasa macam baca majalah 'MASTIKA' zaman dulu..

Aku said...

Ashley,
mastika zaman dulu cerita pun zaman klasik dulu-dulu...