Thursday, March 11, 2010

Kompang: Episod 10

Pagi itu, semua menjadi layu: padi, rumput dan pokok pauh. Juga suara kokokan si jantan awal subuh yang pernah arwah Ayah ceritakan kepada Jali, ianya tentang suara yang didengari oleh si jantan dari kokokan di bawah Arasy. Entahlah...





Pagi itu, suara murai gila dan pipit tiada, seolah-olah semuanya menjadi bisu semalaman. Tiada juga bunyi kocakkan air di kolam-kolam kecil di tepi-tepi sawah. Tiada riak dari anak marak, dari kutu air, dari pencakar air. Tiada juga agas-agas yang selalunya menyuntik kegatalan yang teramat pada kulit-kulit Jali.





Pagi itu, ruak-ruak enggan keluar dari sarangnya. Pucung dan bangau leher jinjang juga enggan terbang ke sawah-sawah. Raja udang juga diam bertenggek di hujung ranting rambutan. Tiada enggang terbang datang mencari ulat-ulat di daun pisang yang bergulung-gulung.





Pagi itu, segala-galanya sunyi. Sepi teramat.





Dan ianya bukan sesuatu yang indah buat kampung yang sepermai itu. Kampung yang dilambai kehijauan daun -daun pisang dan senduduk. Sunyi bukan sesuatu yang indah buat kampung itu. Juga bukannya indah buat Jali dan Julia.





Dan bayu pagi yang bertiup lembut.... menyebarkan bau kemenyan dan kapur barus dari hujung kampung ke hujung kampung yang satu lagi.











.

6 comments:

ashley said...

jeng jeng jeng..dah seminggu ko sambung ek?

Nizam.Ariff said...

sekali sekala... bila balik dari kampung, idea menjelma...

tasekM said...

aku punya syak. kompang episod 11 akan bersambung tahun depan.

tak gitu bro....?

he he.



.

Nizam.Ariff said...

TM,
Lebih kurang la... hahaha

Amy Syaquena said...

salam perkenalan...jemput juga ke teratak amy ye...

Nizam.Ariff said...

Amy,
Salam berkenalan...