Bahagian
7: 400 Tahun lampau.
Seorang
lelaki separuh umur berlari-lari dengan tergesa-gesa dari tambatan. Tali
perahunya pun tidak diikat dengan kemas. Ada sesuatu yang menakutkannya. Ada
sesuatu yang seolah-olah menghambatnya dari arah belakang sehinggakan mukanya
tampak pucat lesi, ditoreh tidak berdarah. Cuaca tidak begitu baik sejak
kebelakangan ini. Kerap terjadi hujan panas. Hujan begini memang tidak
mengizinkan para nelayan sungai untuk turun menangkap ikan. Mereka tahu pantang
larang orang tua-tua. Mereka tidak berani untuk melanggarnya. Tetapi tidak bagi
lelaki yang lari tadi. Dia merasa geram apabila terlihat banyak ikan bermain-main
di permukaan air di lubuk.
Malam
itu, kampung kecil itu dihebohkan dengan berita Demang sakit kuat. Dia
meracau-racau tidak tentu pasal. Habis meracau, dia terus berguling-guling
seperti hendak lari sambil mulutnya berbuih-buih. Jika tidak berbuih, mulutnya
bising bercerita tentang betapa besarnya ikan yang termakan taut anak ikan Keli
miliknya. Namun begitu, dia tidak mampu untuk menarik ikan itu naik ke dalam
perahunya kerana apabila semakin ditarik, ikan tersebut semakin kuat
meronta-ronta. Tiba-tiba dia terlihat kedua-dua mata ikan tersebut berkelip.
Oleh kerana terkejut, dia terus melepaskan tautnya dan berdayung pulang, keluar
dari kawasan lubuk itu.
Pawang
Andika telah dipanggil untuk tolong mengubati Demang. Jiran-jiran Demang juga
telah datang seawal selepas Maghrib untuk membacakan surah Yassin di rumahnya.
Isteri Demang semakin risau apabila sakit suaminya tidak kebah-kebah. Lewat
malam itu, Demang kelihatan hanya mendongakkan kepalanya sambil matanya bulat
memandang kepada atap rumah. Dadanya berombak kuat seolah-olah takut yang
teramat. Peluh jantan tidak henti-henti mengalir turun dari dahinya. Pawang
Andika mula membuat andaian bahawa Demang telah terserempak dengan penunggu
lubuk. Demang telah ditegur kerana melanggar pantang larang hujan panas.
Keesokan paginya, Demang secara tiba-tiba telah bangun dan menerpa ke muka
pintu. Isterinya yang sedang menjerang air di dapur terkejut dan telah cuba
untuk menghalang suaminya dari terjun ke atas tanah tetapi gagal. Suaminya
ternyata lebih gagah daripadanya. Demang terus berlari ke arah sungai
meninggalkan isterinya yang sedang menangis di kaki tangga rumahnya. Demang
telah lupa segala-galanya. Dia terus terjun ke dalam sungai dan berenang ke
hilir. Dia seperti terdengar suara memanggilnya dari arah lubuk tempat dia menahan tautnya semalam. Dia
seperti telah kerasukan kerana tidak mengendahkan raungan isterinya di kaki
tangga. Itulah kali terakhir Demang dilihat oleh isterinya.
Semenjak
peristiwa Demang disampuk penunggu lubuk itu, tiada siapa yang berani menangkap
ikan di situ lagi. Biar pun ikan di situ banyak sehinggakan kelibatnya tampak
dari atas permukaan sungai, tiada sesiapa pun yang ambil peduli. Pokok besar
yang tegak gagah di tebing sungai itu menjadi penanda kawasan yang berpuaka
itu.
[bersambung lagiii....]
.
1 comment:
Assalamualaikum, singgah dan follow di sini. Jom ke blog saya pula. Salam penulisan.
Post a Comment