Bahagian 1: 500 Tahun lampau.
Gunung
itu kelihatan terpacak gagah dari sini. Hijau hutan yang menyelimuti seluruhnya
umpama gebar tebal yang menampannya daripada sejuk yang bangat. Kabus nipis
melingkari pohonan yang tumbuh tinggi di
lerengnya. Di sekelilingnya pula, tanah hutan primer kelihatan beralun bagaikan
ombak-ombak di laut. Di celah-celah alunan itu, mengalir beberapa sungai
menghilir yang salah satunya membelah tanah pamah kampung ini.
Di
sini, sungai ini adalah nadi penduduk kampung ini. Perahu-perahu kecil
tertambat di tebing sungai adalah bukti tentang betapa pentingnya sungai ini
perlu terus mengalir. Lubuknya yang
pasti penuh dengan hidupan air tawar segar seolah-olah perangkap maut kepada
orang luar yang kurang biasa dengan sungai ini. Di tebing sungai ini juga
adalah salah satu daripada puluhan tempat untuk kanak-kanak bermain,
terutamanya di bawah sepohon pokok yang sebesar tiga pelukan lelaki dewasa itu.
Penduduk kampung ini tidaklah ramai. Rumah-rumahnya
boleh dibilang dengan jari tangan. Mungkin kerana petempatan di sini masih
baru, tidak seperti di kampung yang lagi
satu, yang lebih ke hilir sungai yang
sama. Kampung itu lebih padat penduduknya. Walaupun begitu, kampung ini tidak
kurang meriahnya dengan jeritan anak-anak kecil berkejar-kejaran di sekeliling
pokok besar itu.
Bahagian
2 : 110 Tahun akan datang.
Kasim
sudah tidak peduli. Marahnya telah naik ke tahap yang sukar untuk dibendung
lagi. Dia tidak rela melihat segala-gala miliknya diambil dengan mudah
sebegitu. Sekurang-kurangnya dia perlu bertindak untuk melindungi satu-satunya
hartanya yang tinggal.
Kasim
berdiri di antara kesesakkan debu-debu yang berterbangan menutupi sinaran terik
matahari, walaupun ketika itu tingginya tidak sampai segalah (kalaulah boleh
diukur dari ufuk Timur). Teriknya membakar hatinya yang lama memendam dendam
kepada besi-besi beroda yang berpusing-pusing menyodok tanah miliknya. Adiknya,
Karim, mungkin tersenyum sumbing pada masa ini. Dia mungkin seronok dan puas
dengan habuan yang diterima daripada Towkey Lim itu. Dato’ Zainal juga apa
kurangnya, kalau Karim mendapat peha, dia tentu mendapat dadanya. Bukan satu
atau dua projek yang Towkey Lim dapat tetapi lima projek mega yang dia kuasai.
Semuanya berhampiran lembah ini. Towkey Lim pasti amat berterima kasih dengan
Dato’ Zainal kerana tanpanya, pasti banyak projek yang terlepas ke tangan
syarikat-syarikat yang kurang ‘berdaya maju’, seperti mana yang didefinisikan
oleh Dato’ Zainal untuk syarikat-syarikat bumiputera yang ‘hidup segan tapi
mati tak mahu’ kerana tiada sokongan daripada pihak berwajib. Syarikat-syarikat
yang terlalu kedekut untuk serahkan sedikit ‘sumbangan untuk orang ramai’
memang bukan termasuk di dalam senarai pendek di dalam poket kecil Dato’ Zainal. Buat masa ini, hanya syarikat
Towkey Lim yang amat ‘bermurah hati untuk berderma’ kepada orang ramai dan juga
kepada Dato’ Zainal sendiri.
Perlahan-lahan,
tetapi penuh dengan kesungguhan, pemandu-pemandu jentolak dan jengkaut menolak
dan menarik tanah-tanah tinggi di hadapan mereka. Muka masing-masing tunduk
kerana tidak sanggup memandang raut wajah Kasim yang merah. Kasim masih lagi
tegak berdiri di tengah-tengah lapang yang dulunya adalah dusun. Di balik
lereng di sebelah Barat sana, sebuah sungai yang dulu nyaman airnya, kini keruh
dan tohor. Tebingnya pula telah menjadi konkrit. Mata Kasim memandang tepat ke
arah sepohon pokok yang besar di tebing sungai. Seakan-akan ada sesuatu yang
menarik perhatiannya. Seakan-akan ada sesuatu yang memanggil-manggil dia supaya
hampir dan berteduh di bawah rimbunan daunan.
Kasim
berjalan menuju ke bawah pokok itu. Persekitarannya di rasakan amat sunyi walau
pun deruan jentera-jentera menguasai udara lembah ini. Setelah sampai, Kasim
termanggu sebentar sebelum ada sesuatu yang mencuit kakinya. Seketika kemudian,
tanah tempat Kasim berpijak terasakan lembut sehinggakan kakinya mulai terbenam
separas buku lali. Dan ia bukan berhenti setakat itu sahaja.
[ Bersambung... ]
No comments:
Post a Comment