Bahagian
3: 10 Tahun lepas.
Rancangan
kerajaan untuk memajukan sekitar kawasan Kampung Kelubi mendapat bantahan
daripada para penduduk setempat. Ini kerana mereka percaya masalah pencemaran
akan berlaku dan seterusnya akan menyebabkan hutan primer yang menggelangi
Kampung Kelubi akan musnah secara perlahan-lahan. Bagi mereka, nilai kemajuan
yang dijanjikan oleh kerajaan tidak mungkin akan setimpal dengan pengorbanan
hutan itu.
Ini
telah menjadi begitu jelas sejak akhir-akhir ini apabila banyak tanah yang
‘menggeliat’ kegelian diterjahi air hujan kerana tanah tersebut telah
ditelanjangi untuk dipasak dengan pokok-pokok konkrit dan kaca. Akibatnya, satu
persatu pokok-pokok itu tumpas menyembah dataran yang tanahnya masih lagi
merah, belum bertar. Itulah janji alam. Dan janji itulah juga yang penduduk
Kampung Kelubi pegang dan percaya. Keseimbangan ekologi terganggu. Biodiversiti
telah terancam dengan perkenalan parasit-parasit yang dibawakan oleh
pembangun-pembangun yang hanya memandang kepada wang dan para ahli politik yang
dahagakan ganjaran dari arah belakang. Namun, itulah kehendak pembangunan.
Musnahkan dahulu dan barulah dibangunkan. Barulah pembangunan itu boleh
dikatakan berjaya apabila dirujuk semula kepada kemusnahan yang sebelumnya,
bukan kepada kemakmuran yang telah tersaji sejak sekian lama, sebelum kehadiran
para pembangun yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘pembawa tamadun’.
Para
penduduk telah menghantar berpuluh-puluh petisyen bantahan terhadap pelan
pembangunan tersebut. Sejak itu, projek tersebut senyap sebentar sebelum pelan
pembangunan yang baru dicadangkan. Walau pun begitu, perbezaan antara pelan
yang lama dan yang baru tidak banyak jauh bezanya. Kedua-duanya memerlukan
kawasan asal diratakan sebelum dibangunkan. Kesan baik daripada pelan
pembangunan itu akan dirasai oleh mereka yang berharta. Kesan yang sebaliknya
pula akan dirasai oleh para penduduk Kampung Kelubi, terutamanya keluarga Mahat
yang berketurunan asal penduduk kampung itu.
[ bersambung...]
.
No comments:
Post a Comment