Friday, September 16, 2011

Ayu Jannah bersama-sama kemilau cahaya Bulan Ramadhan

.


Ayu Jannah merenung kemilau cahaya bulan yang sedang girang bermain-main di puncak ombak. Sekurang-kurangnya, hatinya yang sunyi itu terubat juga bila melihat keseronokan dan hilai-ketawa mereka yang leka bermain ombak. Namun itu masih tak mampu mengubat sedih hatinya akibat ditinggalkan mentari. Rindu pada cahayanya kekal bertapak dalam hati Ayu.


Ayu bangun meluruskan kakinya di atas pasir pantai itu. Dia kibas-kibas manik-manik pasir yang melekat pada tubuhnya yang masih lutsinar. Ketika itulah Ayu telihat sebutir mutiara sebesar ibu jari di atas pasir. Diambilnya lalu dia amati betul-betul.


" Ini mutiara yang pernah menjadi kalung Ayu satu masa dulu...." gumamnya.


Ayu terus berjalan-jalan di pantai itu sambil matanya tidak putus-putus melihat-lihat pasir, manalah tahu kalau-kalau akan terjumpa mutiara yang lain-lainnya. Kakinya terus melangkah sehinggalah Ayu tiba ke satu tempat yang suram, tempat yang tak terkena cahaya bulan... sebuah gua.


Di dalam gua itu Ayu terlihat seekor merak jantan sedang mengigal, mempamerkan jurai-jurai cantik yang kebanyakannya berwarna pirus dan hijau. Ayu terkagum dengan kecantikan merak itu. Merak jantan itu berjalan mendekati Ayu. Ayu lihat dirinya yang lutsinar tanpa sebarang kain menutupinya. Ayu pindahkan pandangannya kepada merak itu.


" Merak, dulu aku pernah memiliki segala kecantikan yang kau miliki ..."


Ayu mengajak merak itu keluar dari gua suram menuju ke gigi laut. Ayu mahu lihat kecantikan merak itu puas-puas dibawah cahaya bulan. Ayu belek-belek setiap helai bulu merak itu. Terleka Ayu.


" kenapa kamu jadi begini, sayangku...?"  Tiba-tiba Ayu terdengar satu suara.


Ayu kaget, tak percaya. Ayu kenal suara itu, sungguh! Ayu pandang mata merak itu dalam-dalam.


" kenapa kamu jadi begini, sayangku...?" merak bersuara lagi.


Ayu masih tak percaya. Merak itu mengibas-ngibaskan sayapnya, semakin laju dan ia melayang dibawa angin. Ayu tersentak. Merak tu melayang dibawa pergi oleh angin laut menuju ke tanah besar sambil terus berbunyi...

" kenapa kamu jadi begini, sayangku...?"
" kenapa kamu jadi begini, sayangku...?"
" kenapa kamu jadi begini, sayangku...?"

Suara merak itu semakin jauh meninggalkan Ayu.


Ayu terduduk, menangis. Air matanya menitis umpama embun pagi di pucuk daun.


" sayang, kenapa kamu utuskan merak itu untuk menghantar bicaramu kepadaku? Kenapa tidak kamu sendiri yang datang kepadaku...? "


Sedu Ayu Jannah semakin kuat namun tangisannya hilang dimamah bunyi ombak dan keriangan cahaya bulan yang sedang bermain-main di puncak ombak, di laut sana...














.

2 comments:

sepa said...

brader, bagi la ayu jannah menjelma jd camar. boleh terbang sama... :)

Nizam.Ariff said...

Sepa,
tunggu la.. kena bersabar..
Ayu Jannah tengah dalam tempoh pengasingan jiwa.... dia kena bina semula tubuhnya... ka ka ka