Bahagian
4: 310 Tahun dulu.
Kantan
tidak pernah merasa begitu tertekan sebagaimana sekarang ini. Isterinya,
Seroja, telah seminggu tidak pulang-pulang ke rumah. Anak-anak Kantan yang
seramai tiga orang itu kelihatan tidak ceria sebagaimana sebelum ini. Makan dan
pakai mereka diuruskan oleh jiran sebelah yang juga bidan yang menyambut
ketiga-tiga mereka. Anak Kantan yang kecil asyik menangis kerana merindui
ibunya. Orang-orang kampung turut sama merasai kesedihan Kantan. Mereka telah
cuba berbagai cara untuk menjejaki Seroja; daripada mencari beramai-ramai
sehinggalah menggunakan khidmat Bomoh Hitam tetapi hasilnya tetap sama. Seroja
masih belum muncul.
Telah
ada khabar-khabar angin yang mengatakan Seroja dilarikan oleh salah seorang
penduduk kampung di hilir yang juga musuh kepada Kantan. Walaupun buktinya
tiada, tetapi jika didasarkan kepada peristiwa lima bulan lepas, ada
munasabahnya. Lima bulan yang lepas, Kantan telah bergaduh dengan Talang akibat
dari salah faham. Puncanya apabila Kantan pergi menjala ikan di Lubuk Kelubi,
lubuk yang terletak agak ke hilir sungai. Lubuk tersebut memang terkenal dengan
ikan yang dikatakan ada sehingga sebesar perahu kecil. Talang pula tinggal
tidak jauh dari lubuk itu yang merupakan jajahan kampungnya. Rebutan kawasan
menangkap ikan memang biasa terjadi, dan ia menjadi bertambah tegang jika
melibatkan kawasan sempadan. Pada tanggapan Talang, Kantan sengaja menghina
keluarganya apabila datang menjala ikan di Lubuk Kelubi. Mungkin bagi Kantan
kedatangannya bukan satu kesalahan. Namun bagi Talang yang terkenal dengan
panas barannya, periuk nasinya mula dicerobohi oleh Kantan.
Ada
juga khabar-khabar dari orang-orang tua mengatakan Seroja telah disorok oleh
penunggu yang bermastautin di pokok besar yang tumbuh berhampiran jeti di
sungai. Pokok besar itu dikatakan sering menghasilkan bunyi-bunyian yang
menyeramkan pada waktu malam. Ada yang mendakwa telah mendengar suara perempuan
mengilai. Ada yang mendakwa lebih jauh daripada itu sehingga mengatakan telah
terserempak dengan penunggu yang sedang bertenggek di dahan yang menjulur ke
sungai sambil lidahnya menjilat air sungai. Tidak ada siapa yang berani pergi
ke situ pada waktu malam. Pokok itu telah tua. Tetapi tiada siapa yang tahu
berapa tua pokok itu.
Kehilangan
Seroja telah membuka mata para penduduk kampung. Seroja memang terkenal dengan
keayuannya. Dia adalah berketurunan raja. Moyangnya dahulu telah disingkirkan
dari takhta akibat perebutan kuasa. Moyangnya telah lari membawa diri dengan
berakit di laut berhari-hari lamanya sehinggalah berjaya ke hulu sungai ini dan
berlindung diri.
Kantan
membuat satu keputusan yang nekad. Dia mahu bersemuka dengan Talang. Biar apa
pun yang akan berlaku, Kantan tidak mahu dikatakan pengecut. Telah seminggu
isterinya hilang, dan mungkin ada di rumah Talang, dan dia tidak mahu
bertangguh lagi. Dalam diam-diam, Kantan pergi ke jeti dan terus melucutkan
tali salah satu perahu kecil. Dengan cepat dia berdayung mengarah ke hilir
sungai. Perahu kecil yang dinaikinya teroleng-oleng apabila Kantan mendayung
dengan cepat. Dia mahu segera sampai ke rumah Talang. Dalam fikirannya hanya
ada satu; Talang harus mati atau pun dia yang akan tersungkur. Hanya ada
seorang sahaja yang patut tinggal.
Setelah
sampai, perlahan-lahan Kantan merangkak menuju ke bawah rumah Talang. Tidak
kedengaran sebarang suara dari dalam rumah. Kantan hairan. Di manakah agaknya
Talang ? Dia memberanikan diri keluar dari bawah rumah dan berdiri di muka
tangga. Tangannya menggenggam kemas hulu parang panjang yang masih tersisip
pada pinggangnya. Dia perlu berhati-hati dengan sebarang kemungkinan. Suasana
masih sunyi. Hanya kedengaran bunyi air di sungai. Matahari kian redup.
Sebahagian cahayanya terlindung oleh pucuk
Ijuk. Kantan hairan kerana tiada siapa yang ada di rumah itu hatta
anak-anak Talang yang dua orang itu; anak-anak yatim Talang yang kehilangan
isterinya empat tahun lepas.
Berbagai-bagai
andaian yang bermain-main dalam kepala Kantan. Ada yang menakutkan dan ada yang
membuatkan darah Kantan semakin membuak. Akhirnya, dia pasti Talang telah
membawa isterinya lari kerana perahu milik Talang tiada di tambatan. Tambahan
pula sekitar rumahnya yang agak berselerak dengan daun-daun kering dan debu.
Kantan berasa terkilan dan sedih yang teramat sangat dan terus berjalan menuju
ke perahunya. Dia berdayung pulang. Sebaik sahaja sampai di Lubuk Kelubi, dia
berhenti berdayung dan menundukkan kepalanya. Angin bertiup kencang secara
tiba-tiba. Dahan-dahan pokok besar di tebing sungai itu bergoncang agak kuat
sehinggakan daun-daun kering berguguran umpama hujan. Kantan melihat semua itu.
Dan dia hanya melihat sahaja.
Itulah
kali terakhir Kantan di lihat oleh orang kampungnya. Tiada berita yang diterima
tentangnya, sama seperti berita tentang isterinya. Kehilangan Kantan dan
isterinya masih menjadi misteri dan persoalan itu tetap tidak berjawapan
sehinggalah anak-anaknya kini telah bercucu-cicit. Anaknya yang sulung telah
dilantik menjadi ketua Kampung Kelubi, sempena nama lubuk yang menjadi misteri
diantara dua buah kampung yang berkongsi
sungai itu.
[bersambung...]
2 comments:
poor Kantan.
.
Nama dia nama purba...
Post a Comment