.
Hari itu suram, cahaya hanya cukup-cukup untuk membolehkan aku lihat labah-labah membuat sarang di pucuk-pucuk padi. Gerimis masih belum sidang sejak malam tadi. Hingga pagi ini, awan dan kabus masih membungkus matahari. Musim hujan kini.
Sintar sawah memanggung kepalanya apabila melihat aku berjalan di atas batas sawah. Tak lama. Ia berlari dan bila dirasakan lariannya tak cukup kencang, ia depakan sayapnya dan mengepak, terbang pergi. Aku biarkan. Biasanya, kalau dulu-dulu semasa aku masih kecil, pasti aku akan lastik burung itu. Dan biasanya, lastikkan aku jarang mengena. Aku selalu salahkan batu kelikir yang tidak sekata bentuknya, tidak cukup aerodinamik jika aku boleh katakan sekarang ini.
Kalau dulu, pada pagi-pagi gerimis lembut begini, jalan di depan itu akan bingit dengan bunyi enjin motorsikal pakcik-pakcik yang masih berkain pelikat pergi ke kedai kopi di pekan kecil di luar sana. Pakcik-pakcik tua jarang turun awal ke sawah jika gerimis begini, sejuk katanya. Sejuk yang boleh membuatkan tulang-tulang tua mereka terasa sengal hingga ke malam. Aku tak tahu sama ada itu satu alasan atau benar. Biasanya, selepas menghirup kopi panas barulah pakcik-pakcik itu akan pulang dan bersiap-siap untuk ke sawah dengan parang panjang. Itu dulu.
Sekarang ini, jalan di depan sana sunyi. Kalau pun ada motorsikal yang lalu, ianya dipandu oleh anak-anak kecil yang mahu pergi ke rumah kawan-kawanya untuk bermain gasing. Tiada lagi pakcik-pakcik yang berkain pelikat pergi ke kedai menghirup kopi 'O' panas. Bukan mereka masih tidur tetapi kerana pakcik-pakcik tua kini banyak yang telah tiada. telah meninggal dunia.
Melihat keadaan begini, aku dapat rasakan kampung ini akan menjadi 'kampung hantu' dalam masa terdekat ini. Anak-anak muda, termasuk aku, hanya pulang ke kampung untuk menjenguk orang tua, jika masih ada.
Gerimis masih turun seperti tadi, seperti dulu dan seperti zaman pakcik-pakcik masih berkain pelikat pergi ke kedai kopi untuk menghirup kopi 'O'. Bezanya kini, hanya bayang-bayang pakcik-pakcik berkain pelikat itu sahajalah yang masih wujud. Bayang-bayang mereka bermotorsikal untuk ke pekan, sebelum bayang-bayang itu hilang di dalam kabus pagi itu.
Seekor labah-labah masih tekun memintal sutera untuk menjadi sarangnya. Selamat Pagi labah-labah...!
.
2 comments:
dan labah labah lah yang menghuni kampung itu..
berpuak puak...bersuku suku..
serta mengambil alih tempat pakcik pakcik yang berkain pelikat menuju kedai kopi itu!!
hehheh
ni boleh buat cerita science fiction nih!!
Labah-labah masuk dalam kain pelikat...
Post a Comment