Tuesday, November 2, 2010

Seman

.

Seman duduk berlunjur kaki di bawah pokok manggis besar itu, menumpang redup rimbun daunnya dari terik dan bahang matahari. Dia tak kisah jika seluar sekolahnya kotor terkena tahi cacing tanah yang umpama kuih siput. Dia juga tak kisah kalau baju sekolahnya kotor terkena getah manggis. Dia hanya perlu bersendirian. Dia perlu buat keputusan.

Seman pandang rumahnya yang sepelaung jaraknya dari pokok manggis itu. Pandangan yang serba salah. Dia tak tahu kemana dia patut pergi: sama ada pulang ke rumahnya atau melencong ke rumah kawannya yang sedang menunggunya untuk pergi memancing, seperti yang disepakati kelmarin.

Rumahnya pasti sunyi tengah hari sebegitu. Ayah tentu sedang berehat. Ibu tentu sedang melipat baju yang masih panas dari jemuran. Segala-galanya seperti selalu-selalu. Seman bosan jika asyik seperti selalu-selalu. Seman mahu kelainan. Seman mahu setiap hari ada sesuatu yang berbeda. Memancing di tempat yang baru, misalnya.

Tempat memancing yang agak jauh, namun cerita dari kawan-kawan yang pernah ke situ menjadi tarikan untuk Seman mencuba pula. Tempat itu agak jauh di dalam hutan dan sungainya hitam dan dalam. Dia perlu melintasi beberapa belukar dan duri rotan. Walau pun begitu, ikan-ikan yang menunggu untuk dikail itu dikatakan besar-besar. Ikan-ikannya galak memakan umpan.


Hati Seman berbelah bahagi: sama ada mahu minta izin dari ibunya atau pun terus pergi memancing. Melihat kepada lokasi dan situasi tempat memancing itu, keizinan ibunya pasti sukar diperolehi.


Seman bangun lalu mencapai basikalnya. Dia kibas punggungnya untuk membuang daun-daun dan tahi cacing yang melekat pada seluarnya. Dia tarik nafas dalam-dalam kemudian terus bercelapak di atas basikalnya. Beg sekolahnya disangkutkan pada bahu, mellintangi belakangnya.


Biarlah kali ini sahaja, pada pandangan Seman, dia mencuba. Mana tahu jika rezekinya lumayan dan boleh bawa pulang ikan-ikan besar untuk ayah dan ibunya....


Seman mengayuh basikalnya menuju ke rumah Midon.




.

2 comments:

tasekM said...

ko tgh 'memancing' yek....?





.

Nizam.Ariff said...

Baru plan nak mancing... hahaah