Monday, March 14, 2011

Sumbi Emas (sekuel akhir- unedited)... dahaga malam berdarah!



Sorotan mata dari tengkorang yang terkatung-katung itu amat menyeramkan, sungguh! Pandangan Pak Abu mula kabur. Jerutan lidah berlendir dan sejuk itu semakin erat. Sukar Pak Abu bernafas.


Akhirnya, Pak Abu terjelepuk di atas lantai. Segala-galanya gelap. Dan sunyi.


Detingan jam dinding mengejutkan Pak Abu dari pengsan. Dia terpisat-pisat kebodohan seperti cicak tertelan kapur, dia gonyoh-gonyohkan matanya berkali-kali. Nafasnya diaturkan kembali satu persatu. Pelita minyak tanah menerangi ruang rumahnya. Jam menunjukkan pukul 3 pagi.

'Aku perlu selesaikannya malam ini juga...' gumam Pak Abu

Pak Abu serik. Sungguh tak berbaloi menyimpan sumbi emas itu. Ia perlu dipulangkan malam itu juga. Dia tak sanggup diganggu lembaga yang ngeri itu lagi. Cukuplah sekali.

Dalam sejuk dinihari itu, Pak Abu bersiap-siap dengan seluar panjang hitam dan baju kemeja lusuhnya yang sudah berbau hapak itu. Dia masuk ke biliknya lalu mengambil kantung kain berisi sumbi emas yang masih terlekat pada tulang rahang mayat entah siapa-siapa. Kemudian, dia pergi ke belakang rumah. Cangkul tua yang tersandar pada pokok belimbing buluh itu dicapainya, lalu digalas di atas bahu.

Dalam sejuk dinihari itu juga, Pak Abu berbasikal menuju ke tanah perkuburan. Kantung kain berisi sumbi emas itu diikatkannya pada pinggang. Berkeriut bunyi pedal basikal tua itu apabila kayuhan Pak Abu semakin kuat dan laju. Dia perlu selesaikannya sebelum subuh, sebelum ada orang kampung yang keluar ke surau. Jangan terserempak dengan sesiapa pun.

Sepanjang kayuhannya, Pak Abu terasa seperti dia diekori. Ada sesuatu yang hitam dan besar melayang-layang di atasnya. Biarkanlah. 'Benda' itu mahukan sumbi emas itu semula. Seram sejuk menjalar lagi ke urat nadinya.

'Aku pulangkan, kau jangan ganggu aku lagi... jangan!' getus Pak Abu.


Tiang-tiang nesan berceracak, putih apabila disuluh lampu 'dinamo' basikal tua itu. Aku kilas basikalnya lalu masuk ke kawasan perkuburan itu. Pak Abu terus mengayuh sehinggalah sampai di kubur arwah Opah Senah itu. Pak Abu sandarkan basikal tuanya pada pokok saga sebesar peha. Lampu picit berkuasa 3 bateri dipasangkan.


Kelihatan tanah kubur Opah Senah masih merah, masih gembur. Wangi bunga rampai dan daun pandai masih kuat. Sekali-sekala, bau bunga Kemboja kubur melintas di hidung Pak Abu apabila dielus angin sejuk dinihari. Pak Abu tak hiraukan itu semua. Cuma, Pak Abu risaukan apa yang ada di depannya sekarang ini. Dia kenal siapa Opah Senah. Dia tahu apa yang Opah Senah amalkan. Hatinya berbelah bahagi. Kalau diikutkan hatinya, memang dia tak sanggup untuk gali semula kubur Opah Senah. Lebih-lebih lagi gelap-gelap begitu.

Pak Abu terasa seperti dia diperhatikan. Dia toleh ke belakang. Dibawah pokok saga itu, satu lembaga besar dan hitam berdiri menghadapnya.

'Jangan kacau aku... jangan kacau aku ..' getus Pak Abu.


Tanpa berlengah lagi, Pak Abu hayunkan cangkulnya di kubur Opah Senah. Dihamburkan tanah liat merah ke sisi. Pak Abu lakukannya lagi dan lagi. Lolongan anjing liar dari arah jerumun samun semakin kuat. Bunyi belalang pelesit juga semakin kuat. Bunyi burung Lang-Kwit juga semakin hampir. Pak Abu menggeletar, bukan kerana sejuk. Hatinya tak sedap. Namun begitu dia tak punyai pilihan lain, selain terus menggali kubur Opah Senah.


*Duk-duk-duk*

Mata cangkulnya terkena papan penutup liang lahad. Pak Abu duduk sebentar sambil tangannya menguis tanah-tanah yang menutupi papan itu. Seketul tanah bergolek jatuh dari atas tebing. Dia mendongak. Kelibat lembaga hitam itu berdiri di tebing lubang kubur itu. Tiba-tiba terdengar seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar papan lahad itu dari dalam. Pak Abu tersentak. Itu yang Pak Abu takutkan, lebih daripada lembaga hitam yang tidak dikenal siapa itu.


Papan lahad terpungkas!
Asap nipis keluar dari liang lahad Opah Senah. Bau busuk melitupi ruang kubur itu. Pak Abu tersentak. Kain kafan mula tercarik. Mayat Opah Senah bergerak-gerak seakan-akan bergelut untuk keluar. Pak Abu bingkas bangun lalu cuba untuk keluar dari lubang kubur sedalam 6 kaki itu tetapi lembaga hitam itu menghalangnya. Setiap kali Pak Abu berpaut pada bucu tebing, lembaga hitam itu memijak-mijak tangannya.

Mayat Opah Senah bergerak-gerak, meronta-ronta dari bellitan kain kafan. Lubang kubur itu seakan-akan bergegar. Kemudian, tangan hitam dengan kuku panjang terjulur keluar dari kain kafan lalu memaut kaki Pak Abu. Dia menjerit kesakitan. Opah Senah membenamkan kuku tajamnya ke dalam daging betisnya. Pak Abu cuba melonjakkan badannya untuk naik ke atas namun terus dihalang oleh lembaga hitam.

Sekujur mayat Opah Senah telah bangun dan berdiri di belakang Pak Abu. Manakala lembaga hitam itu pula telah memegang kedua-dua tangan Pak Abu. Opah Senah mengambil cangkul lalu mengangkatnya tinggi. Pak Abu tersentak. Dia hanya boleh melihat sahaja.


Lolongan anjing semakin kuat dan bertalu-talu. Serentak dengan itu juga, mata cangkul itu menjunam ke tubuh Pak Abu.




Keesokkan paginya, kampung itu gempar apabila mayat Pak abu dijumpai putus dua pada paras pinggang di kubur Opah Senah. Tubuh Pak Abu dari pinggang ke bawah dijumpai di dalam kubur Opah Senah. Manakala tubuhnya dari pinggang ke atas telah dijumpai di bawah pokok Sena. Lebih mengerikan lagi muka Pak Abu telah hancur manakala rahangnya telah hilang, digantikan dengan tulang rahang bersumbi emas itu.


Manakala liang lahat Opah Senah kosong!
Mayat Opah Senah tidak dijumpai di mana-mana...




Tamat.



.

11 comments:

ckLah @xiiinam said...

Nak kena baca dua kali ni...kubur Opah Senah lah pulak..


:D


***Tapi kan Arif, ikhlas cakap, gaya bahasa dan teknik plot kau memang, fuhhhh!!! Kagum!!!Kagum!!! Agaknya, ini antara kesan masa zaman budak2 kau, cikgu Lutfi suruh salin mimpi setiap hari ni!

ASH said...

Opah Senah tu semasa hayatnya ada pakaigigi palsu tak??

aza ni said...

kagum..kagum..

lembaga hitam tu tuan asal sumbi emas berpakat dengan Opah senah.....

aku baca macam baca Siri bercakap dengan Jin.....eh kau ni cucu datuk tu apa nama dia?

tasekM said...

lu ni keturunan tamar jalis la gua syak...






.

tasekM said...

ye ke tamat...?

ending tu nak gaya ada sambungan je..





.

aza ni said...

aku sangka gitu...nama pena tamar jalis
nama blogger nizam.ariff
nama betul....misteri?

Nizam.Ariff said...

CKlah,
Terima kasih. Nak tau kubur siapa asalnya kena baca yang mula-mula di AkuyangAkut.

Ya, memang hasil ajaran cikgu Lutfi. Aku rasa, elok benar kalau cikgu-cikgu bahasa buat begini untuk sekolah rendah. Sebab, nak menulis semua boleh menulis tapi untuk bercerita ikut plot tak ramai yang mampu.

Ashley,
Hahaha... Pak Abu tak intai pulak masa Opah Senah gosok gigi...

Azani,
Mungkin kut. Tapi aku tak tau nama sebenar tamar jalis dan datuknya...

TM,
Mungkin datuk si tamar jalis tu adalah aku sebenarnya..? jeng jeng jeng... hahaha

TM,
Itu kekdah gaya-gaya Ahmad Idham tu.. hahaha

Azani,
Tamar Jalis ada buat cerita baru ke? Kalaiu tak silap cerita siri bercakap dgn jin tu di sekitar Kuala Kangsar, Jambi (indon) dan pahang...

itu bukan aku. Aku masih menetek badan masa tamar jalis tulis siri bercakap dgn jin...

kucingorengemok said...

harga emas naik, rugi la pi tinggal sumbi kat pak abu... opah senah ni tak mengikuti turun-naik ekonomi dunia gamaknya

Nizam.Ariff said...

KOG,
Sebenarnya, dia org berbunuhan tu pun sebab nak berebutkan sumbi emas tu... tu pasal lembaga hitam misteri dan opah senah hilang entah ke mana... kat pajak gadai kut... hahaha

hairul392 said...

kesian pak abu..
berkerja pengali kubur..
akhirnya pun mati pun kawasan kubur juga...
best cerita ni..

Nizam.Ariff said...

hairul,
ko tau ke ilham dari sapa citer ni?
hahaha..
nanti aku buat' disebalik tabir citer sumbi emas...'

tungguuuuu......