Maka Jebat pun menyisih sedikit dari pintu lalu Tuah pun melompat masuk ke istana. Maka daun pintu pun segera ditutup Tuah, maka dilihatnya semua pintu yang lain sudah tertutup. Maka dilihatnya ada seorang dua orang dayang-dayang lagi bersimpuh. Maka disuruhnya pergi ke belakang. Setelah sudah, setelah semuanya tiada maka Tuah pun memandang Jebat seraya duduk, dituruti Jebat. Setelah diam barang seketika maka kedua-duanya pun menangisi akan bala yang menimpa.
Maka kata Jebat, 'Kalau aku tahu begini, takkan aku menderhaka. Tapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur'.
Maka kata Tuah, 'Sayang Jebat, sayang. Pahlawan Melayu akan mati seorang'.
Maka kata Jebat, 'Apalah gunanya aku hidup kerana yang disangkakan mati ada di sini. Sia-sialah pekerjaan aku selama ini. Tiadakah ampunmu, Tuah?'.
Maka kata Tuah, 'Datang tiada berampun, murka raja jualah yang aku bawa'.
Setelah mendengar kata-kata itu, maka menangislah Jebat semahu-mahunya, dihampirinya Tuah lalu dipeluknya kedua-dua lutut Tuah seraya berkata, 'Tiadakah belas ehsan abang pada adiknya? Lupakah kita ini bersaudara?'.
Setelah agak lama berkata-kata maka riuhlah orang diluar istana mengetuk pintu dan ada yang membaling batu. Maka segeralah Tuah bangkit lalu diterpanya pintu, pergi mengusir orang ramai seraya mengancam dengan keris Sultan. Maka dilihatnya Tuah lagi marah, maka larilah semuanya, bertolak-tolakkan, bertindih-tindihan, maka ada yang terpijak lalu mati, ada yang tercucuk tombak lalu mati, ada yang tercucuk buluh buta matanya, ada yang tercucuk keris berdarahlah pehanya.
Sesudah itu, Tuah pun menutup kembali pintu itu lalu pergi mendapatkan Jebat. Maka, diceritakanlah oleh Jebat perihal fitnah orang pada Tuah semuanya. Diceritakan juga angkara siapa, maka fahamlah Tuah. Maka diceritakan pula oleh Tuah perihal Sri Nara Diraja menaruh dirinya di dusun, maka Jebat pun fahamlah.
Adapun sambil itu, diketuknya dulang dan talam oleh keduanya seraya jerit bertingkah, ada juga kedua-duanya berlari-lari di atas lantai supaya bising, sangka orang sedang berlawan.
Maka kata Jebat, 'Kalaulah Seri Nara DiRaja berbuat begitu pada engkau, tiadakah boleh berbuat begitu pada aku?'
Maka diamlah sebentar masing-masing berfikir. Maka kata Tuah dalam hati, ada benarnya Jebat itu. Kalau aku ditaruhnya, masakan Jebat tiada boleh? Maka kedua-duanya pun bersetuju bermuafakatlah.
Maka setelah hari malam, tiada juga undur orang ramai, tiada bersurai maka berkata Tuah, ' Kamu sekalian, tiadalah rasanya yang mati malam ini. Pulanglah sekalian dahulu ke rumah. Ditunggu tiada guna, kami lagikan mahu bertangguh rasanya'.
Maka didengar oleh orang ramai Tuah ingin bertangguh, tiada juga mahu bersurai. Masing-masing tidur di luar istana, tiada bersela. Adapun pada malam itu, kedua-duanya pun bermuafakat akan muslihat dan berteguh janji.
Maka diberinya Tuah akan keris Tamingsari, lalu berkatalah Tuah kepada Jebat,
'Sahaja aku katakan selagi ada Tamingsari tiadalah akan mati, padahal si Tamingsari itu akulah yang bunuh. Jikalau mahu, aku tamatkan nyawamu sekarang ini juga dengan keris sultan ini, tapi tiadalah aku mahu'.
Maka berkata pula Jebat, 'Aku tahu'.
Setelah pagi, burung pun belum keluar sarang, maka dilihat oleh Tuah orang ramai masih belum sedar, maka diambilnya keris Tamingsari lalu dilukakan rusuk kiri Jebat. Maka terbitlah darah pada luka, segeralah Jebat pergi mendapatkan kain lalu ditutupi luka itu kemas-kemas lalu diikat pada rusuknya. Maka sedikit darah ada lekat pada keris itu.
Setelah sudah bertempiklah Tuah sekuat-kuat hatinya, habis sedarlah orang ramai. Ada yang tercengang-cengang, ada yang terpisat-pisat, ada yang terkejut lalu lari balik ke rumah, sangkanya Jebat turun mengamuk.
Maka Tuah pun keluarlah seraya menjulang keris Tamingsari itu tinggi-tinggi lalu berkata, 'Sudah matilah penderhaka!'
Dilihat oranglah keris Tamingsari itu berdarah, sudah tentu Jebat itu sudah mati kerana Tamingsari itu keris yang keramat, jangankan tertikam, tercoreng sedikit matilah dia. Setelah mendengar khabar itu maka Sultan pun girang bukan kepalang. Maka disuruh pergi dapatkan Tuah itu. Maka pergilah seorang dua orang pergi menjemput akan Tuah dengan titah Sultan. Maka kata Tuah, ia mahu pulang dahulu basuhkan darah, lalu pulanglah orang itu ke istana. Maka fahamlah Sultan akan Tuah itu sedang sedih.
Setelah melihat Tuah sudah keluar dari istana, maka orang pun pergi menaiki istana itu mahu melihat bangkai Jebat. Disangkanya sudah mati, tetapi masih hidup badan berbalut kain. Maka bila dilihat orang ramai sudah naik istana, maka diamuk Jebat semuanya, lalu banyaklah yang luka lalu mati. Maka ada yang terjun membuang diri ke tanah lalu tertimpa orang lalu mati, ada yang patah tangan, ada yang pecah kepala. Semuanya terkejut melihat Jebat masih hidup lagikan membunuh.
Maka jerit Jebat, 'Marilah hampir lihat Jebat mati, ataukah kamu semua yang mati?'
Padahal tiadalah yang berani hampir, sembunyi menikus dirumahlah jua. Maka kata Jebat lagi, ' hindarlah diri, aku mahu ke rumah Tuah. Barang siapa menghalang, hilanglah nyawa!'
Maka bertambahlah gerun orang ramai, tiada berani buka pintu. Maka dilihat oleh Jebat rumah-rumah bertutup pintu, maka bersegeralah ia pergi ke rumah Tuah. Setelah sampai, maka bersegeralah Jebat bersiap diri, mana-mana yang boleh dijinjing dijinjingnya, mana-mana yang boleh dipikul dipikulnya, sekadar boleh hidup di hutan.
Maka oleh Tuah, disuruhnya hamba sahaya dua orang, seorang disuruh pergi mendapatkan mayat, seorang lagi disuruh pergi ke rumah Jebat disuruh bersiap barang patutnya. Maka disuruh gantikan mayat orang juga, lalu dipakaikan baju masing-masing. Maka, oleh segala anak bini Jebat itu semuanya dipakaikan baju para pengawal istana. Maka Jebat pun bertukar baju dengan mayat pengawal istana, maka dilihat tiada kenal rupa Jebat lagi.
Arakian, Orang-Orang Besar dan hulubalang istana pun sampai ke rumah Tuah, minta ditunjuki akan bangkai Jebat. Maka berkata Tuah, ' Nah, itulah bangkai si penderhaka, sudah hamba bunuh dua kali', maka ditunjuki pada mayat pengawal istana tadi.
Maka setelah dilihat mayat itu berbaju Jebat lagi berdarah, bersoraklah orang ramai bunyinya. Maka dititah oleh Sultan dibuangkan di laut. Segala anak bini Jebat semuanya disuruh bunuh sama, hatta kaki tiang rumahnya juga disuruh cungkil dibuangkan di laut.
Setelah semuanya sudah, maka Tuah pun dihampiri Seri Nara DiRaja, maka katanya, 'Masakan anakanda membunuh akan Jebat, tiada rupa ia pun?'
Maka kata Tuah kembali, ' Begitulah sekira-kiranya'.
Setelah dilihat tiada orang di pantai, tinggal mereka bertiga, Bendahara Paduka Raja seorang, Seri Nara DiRaja seorang dan Tuah seorang, maka berkata benarlah Tuah,
'Sebebal-bebal manusialah hamba jika dibunuh akan Jebat itu, ada gunanya kemudian nanti, itu ilmu Orang Kaya juga'
Maka Seri Nara DiRaja dan Bendahara Paduka Raja pun sama-sama tersenyum, maka setelah itu berkatalah Seri Nara DiRaja,
'Ada juga yang masih bersetia. Lalu, mana perginya si Jebat itu?'
Maka kata Tuah, ' Sudah pergi jauh tinggalkan kita di sini'.
Maka didengar oleh Sultan Mansur Syah perihal Jebat dan segala anak bininya semuanya sudah dibunuh, dibuang di laut, maka gembiralah ia. Telah itu, Tuah dilekatkanlah gelar 'Laksamana' itu, dan diarak keliling negeri, seperti adat anak raja-raja, didudukkan tara Seri Bija DiRaja.
Maka Sultan Mansur Syah pindahlah, tiada mau diam di istana tempat Jebat mati itu. Maka baginda memberi titah pada Bendahara menyuruh membuat istana. Adapun segala tingkap istana itu sekaliannya dicat dan dibubuhi air emas, kemuncaknya kaca merah. Apabila kena sinar matahari bernyala-nyala rupanya seperti manikam, dan dinding istana itu sekaliannya berkambi, maka ditampali dengan cermin China yang besar-besar. Terlalu indah-indah buatannya. Maka istana itu pun sudahlah. Maka Baginda pun pindahlah ke istana baru itu.
Syahdan, maka tiada berapa lamanya, dengan takdir Tuhan mahligai itu pun terbakar, tiba-tiba di atas kemuncak mahligai itu api. Habis semua perbendaharaan tiada dapat diselamatkan. Ramailah anak Orang Kaya-Kaya dan hulubalang telah cuba masuk ke istana mengeluari harta kerajaan namun tidak berjaya.
Maka didengar oleh Tuah perihal istana baginda Sultan itu dimakan api. Maka berkatalah dalam hati Tuah, itulah sebab barang pekerjaan tiada usul periksa, zalim kepada yang tidak berdosa, maka disumpahi.
Adapun tiadalah khabar berita lagi akan Jebat itu. Lenyaplah ia bersama-sama anak bininya semuanya. Ada yang berkata ia pergi ke Pahang. Adapun Tuah itu masih kekal menjadi Laksamana untuk beberapa lamanya. Ada pun keris Tamingsari itu ada disimpan oleh Sultan Perak.
Inilah hikayat yang empunya cerita perihal dua orang pahlawan Melayu yang gagah perkasa, maka dibuat fitnah akan orang pasal perempuan. Jikalau Seri Nara DiRaja berselisih faham dengan Paduka Raja, Melayu pun berbelah, maka samalah jua akan Tuah dan Jebat itu berlawan, Melayu berpecah. Maka berkatalah sahibbul hikayat bahawa tiadalah Tuah itu berbunuhan denagn Jebat dan tiadalah Jebat itu mati, tetapi ghaiblah ia entah ke mana. Maka tiada patut Melayu berpecah lagi. Wassalam.
.
6 comments:
Wah, kalaulah tuan ini Tun Seri Lanang, maka tiadalah wujudnya cerita derhaka dalam kamus akal fikiran kami anak-anak yang keliru antara kesetiaan dan keadilan.
Indrasakty,
Hahaha.. kalau boleh undur dan cetak semula sejarah... kalau boleh la.
Setiap kali mengajar Teks Prosa Tradisional dalam KOMSAS (subjek BAHASA MELAYU SPM),tentang topik Tuah dan Jebat, aku tiba-tiba terasa sebal....
Melihat wajah generasi muda yang tersenyum kambing....seolah-olah aku pula yang mereka-reka cerita itu...
Mereka keliru sebenarnya, kerana semasa mengajar subjek Sejarah, aku sentiasa menekankan... "bercakap dengan saya mesti berdasarkan fakta!"
Tapi...apabila masuk bab KOMSAS (Komponen Sastera) dalam BM....alahai...pening juga mengajar dua subjek di kelas yang sama ni...
CkLah,
Kena tune suara lain sikit le kut. Tak pun, pakai baju kaler lain-lain.. hehehe
salam tuan rumah,
cerita ni sebetulnya pernah saya dengar sebelum ni. dan ianya diakui yang sebenarnya. perihal tuah membunuh jebat tu memang disangkal dan direka-reka. ni kerana cerita sebenar katanya sengaja ditutup utk memadam aib pihak2 tertentu. jadi, versi helah tuah utk melarikan jebat keluar dari melaka adalah cerita yg sebenarnya.
Mitsuo,
Hmmm.. maka teori aku juga berasas. Hah, boleh jadik geng...
Post a Comment