Thursday, July 4, 2013

Cerita bersiri: Pusaka .... bhgn. 3

[cerita yang aku tulis pada tahun 1998]



Bahagian 3: 10 Tahun lepas.

                        Rancangan kerajaan untuk memajukan sekitar kawasan Kampung Kelubi mendapat bantahan daripada para penduduk setempat. Ini kerana mereka percaya masalah pencemaran akan berlaku dan seterusnya akan menyebabkan hutan primer yang menggelangi Kampung Kelubi akan musnah secara perlahan-lahan. Bagi mereka, nilai kemajuan yang dijanjikan oleh kerajaan tidak mungkin akan setimpal dengan pengorbanan hutan itu.

                        Ini telah menjadi begitu jelas sejak akhir-akhir ini apabila banyak tanah yang ‘menggeliat’ kegelian diterjahi air hujan kerana tanah tersebut telah ditelanjangi untuk dipasak dengan pokok-pokok konkrit dan kaca. Akibatnya, satu persatu pokok-pokok itu tumpas menyembah dataran yang tanahnya masih lagi merah, belum bertar. Itulah janji alam. Dan janji itulah juga yang penduduk Kampung Kelubi pegang dan percaya. Keseimbangan ekologi terganggu. Biodiversiti telah terancam dengan perkenalan parasit-parasit yang dibawakan oleh pembangun-pembangun yang hanya memandang kepada wang dan para ahli politik yang dahagakan ganjaran dari arah belakang. Namun, itulah kehendak pembangunan. Musnahkan dahulu dan barulah dibangunkan. Barulah pembangunan itu boleh dikatakan berjaya apabila dirujuk semula kepada kemusnahan yang sebelumnya, bukan kepada kemakmuran yang telah tersaji sejak sekian lama, sebelum kehadiran para pembangun yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘pembawa tamadun’.

                        Para penduduk telah menghantar berpuluh-puluh petisyen bantahan terhadap pelan pembangunan tersebut. Sejak itu, projek tersebut senyap sebentar sebelum pelan pembangunan yang baru dicadangkan. Walau pun begitu, perbezaan antara pelan yang lama dan yang baru tidak banyak jauh bezanya. Kedua-duanya memerlukan kawasan asal diratakan sebelum dibangunkan. Kesan baik daripada pelan pembangunan itu akan dirasai oleh mereka yang berharta. Kesan yang sebaliknya pula akan dirasai oleh para penduduk Kampung Kelubi, terutamanya keluarga Mahat yang berketurunan asal penduduk kampung itu.




[ bersambung...]



.

Wednesday, July 3, 2013

Cerita bersiri: Pusaka ........ Bhg. 1 dan 2

[Cerita bersiri ini aku tulis pada tahun 1998. Membacanya perlu melihat tarikh dimana cerita itu berlaku]




Bahagian 1: 500 Tahun lampau.

                        Gunung itu kelihatan terpacak gagah dari sini. Hijau hutan yang menyelimuti seluruhnya umpama gebar tebal yang menampannya daripada sejuk yang bangat. Kabus nipis melingkari  pohonan yang tumbuh tinggi di lerengnya. Di sekelilingnya pula, tanah hutan primer kelihatan beralun bagaikan ombak-ombak di laut. Di celah-celah alunan itu, mengalir beberapa sungai menghilir yang salah satunya membelah tanah pamah kampung ini.

                        Di sini, sungai ini adalah nadi penduduk kampung ini. Perahu-perahu kecil tertambat di tebing sungai adalah bukti tentang betapa pentingnya sungai ini perlu terus  mengalir. Lubuknya yang pasti penuh dengan hidupan air tawar segar seolah-olah perangkap maut kepada orang luar yang kurang biasa dengan sungai ini. Di tebing sungai ini juga adalah salah satu daripada puluhan tempat untuk kanak-kanak bermain, terutamanya di bawah sepohon pokok yang sebesar tiga pelukan lelaki dewasa itu.

                        Penduduk  kampung ini tidaklah ramai. Rumah-rumahnya boleh dibilang dengan jari tangan. Mungkin kerana petempatan di sini masih baru, tidak seperti di kampung yang  lagi satu,  yang lebih ke hilir sungai yang sama. Kampung itu lebih padat penduduknya. Walaupun begitu, kampung ini tidak kurang meriahnya dengan jeritan anak-anak kecil berkejar-kejaran di sekeliling pokok besar itu.
 

Bahagian 2 : 110 Tahun akan datang.

                        Kasim sudah tidak peduli. Marahnya telah naik ke tahap yang sukar untuk dibendung lagi. Dia tidak rela melihat segala-gala miliknya diambil dengan mudah sebegitu. Sekurang-kurangnya dia perlu bertindak untuk melindungi satu-satunya hartanya yang tinggal.

                        Kasim berdiri di antara kesesakkan debu-debu yang berterbangan menutupi sinaran terik matahari, walaupun ketika itu tingginya tidak sampai segalah (kalaulah boleh diukur dari ufuk Timur). Teriknya membakar hatinya yang lama memendam dendam kepada besi-besi beroda yang berpusing-pusing menyodok tanah miliknya. Adiknya, Karim, mungkin tersenyum sumbing pada masa ini. Dia mungkin seronok dan puas dengan habuan yang diterima daripada Towkey Lim itu. Dato’ Zainal juga apa kurangnya, kalau Karim mendapat peha, dia tentu mendapat dadanya. Bukan satu atau dua projek yang Towkey Lim dapat tetapi lima projek mega yang dia kuasai. Semuanya berhampiran lembah ini. Towkey Lim pasti amat berterima kasih dengan Dato’ Zainal kerana tanpanya, pasti banyak projek yang terlepas ke tangan syarikat-syarikat yang kurang ‘berdaya maju’, seperti mana yang didefinisikan oleh Dato’ Zainal untuk syarikat-syarikat bumiputera yang ‘hidup segan tapi mati tak mahu’ kerana tiada sokongan daripada pihak berwajib. Syarikat-syarikat yang terlalu kedekut untuk serahkan sedikit ‘sumbangan untuk orang ramai’ memang bukan termasuk di dalam senarai pendek di dalam poket kecil  Dato’ Zainal. Buat masa ini, hanya syarikat Towkey Lim yang amat ‘bermurah hati untuk berderma’ kepada orang ramai dan juga kepada Dato’ Zainal sendiri.

                        Perlahan-lahan, tetapi penuh dengan kesungguhan, pemandu-pemandu jentolak dan jengkaut menolak dan menarik tanah-tanah tinggi di hadapan mereka. Muka masing-masing tunduk kerana tidak sanggup memandang raut wajah Kasim yang merah. Kasim masih lagi tegak berdiri di tengah-tengah lapang yang dulunya adalah dusun. Di balik lereng di sebelah Barat sana, sebuah sungai yang dulu nyaman airnya, kini keruh dan tohor. Tebingnya pula telah menjadi konkrit. Mata Kasim memandang tepat ke arah sepohon pokok yang besar di tebing sungai. Seakan-akan ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Seakan-akan ada sesuatu yang memanggil-manggil dia supaya hampir dan berteduh di bawah rimbunan daunan.

                        Kasim berjalan menuju ke bawah pokok itu. Persekitarannya di rasakan amat sunyi walau pun deruan jentera-jentera menguasai udara lembah ini. Setelah sampai, Kasim termanggu sebentar sebelum ada sesuatu yang mencuit kakinya. Seketika kemudian, tanah tempat Kasim berpijak terasakan lembut sehinggakan kakinya mulai terbenam separas buku lali. Dan ia bukan berhenti setakat itu sahaja.





[ Bersambung...  ]