Sunday, February 20, 2011

Sepasang sayap putih untuk Ayu...

.

Ayu memandang sedih pada bayang-bayangnya. Di atas pasir putih itu, bayang-bayangnya menjadi kusam seperti asap yang hilang ditiup angin. Syugul mula menjentik hatinya. Di langit sana, matahari semakin jauh, semakin kecil dan semakin hilang cahayanya. Bayang-bayang Ayu semakin malap.

'Matahari, jangan pergi dulu...'

Airmata jernih mulai terkumpul sedikit demi sedikit pada kelopak matanya. Ayu merenung Matahari yang menjauh.

'Jangan tinggalkan Ayu sendirian di pulau ini. Berikanlah Ayu sepasang sayap'


Airmatanya gagal dibendung lagi, lalu mengalir di pipinya, menitis di atas pasir pantai yang putih itu.

Ayu ingin terbang bersama-sama Matahari. Ayu tak mahu ditinggalkan di dunia tanpa cahaya. Dunia bakal gelap. Apabila gelap, bintang-bintang nakal pasti muncul. Pasti mengejeknya walau ke mana sahaja Ayu pergi. Ayu benci bintang-bintang itu. Ayu benci malam kerana malam menutup segalanya. Malam menutup Matahari dengan hijab gelap dan nakal.

'Mengapa kamu pergi? Kamu merajuk?'

'Oh... kamu benci Ayu agaknya...'

Esak kecil Ayu kini menjadi tangis yang padat dengan kekesalan. Kesilapan yang Ayu sendiri tidak cari tetapi datang seperti ombak yang bertalu-talu menerpa dan menerpa dadanya sehingga dia lemas. Tak mampu melawan ombak-ombak itu, Ayu biarkan tubuhnya dihanyutkan, berserah sehinggalah Ayu terdampar di pasir pulau ini. Ada teriak camar yang mengejutkan Ayu. Apabila Ayu buka matanya kembali, dia kini bersendirian dan sunyi mula menapak dalam hatinya. Sunyi yang sesepi-sepinya. Hanya Matahari menemani, dengan cahaya yang sentiasa terang menyuluh di mana-mana sahaja Ayu pergi di pulau itu. Pulau kecil yang sunyi itu.

Telah beratus tahun Ayu ditemani Matahari dan setiap hari sejak ratusan tahun dulu Matahari setia mendengar cerita lara Ayu, menjadi tempat Ayu melepaskan gelodak jiwanya. Kini, Matahari mahu pergi?

'Jikalau telah tiba waktu yang telah dijanjikan itu, cepatlah anugerahkan sepasang sayap putih untuk Ayu terbang ke langit....'

Ayu menadahkan tangannya.

'Dengan sepasang sayap putih itu, Ayu mahu menjadi Malaikat... semula, tolonglah'


Rayuan Ayu masih belum mampu menghalang Matahari dari terus menjauh. Ayu sedih. Hatinya seperti dirobek-robek. Ayu meraung sekuat-kuat hati. Namun itu juga gagal menghalang Matahari untuk terus malap dan malam pun menjelma setelah menyepi beratus-ratus tahun lamanya.

Bayang-bayang Ayu juga menghilang bersama hilangnya cahaya Matahari. Kini hanya putih pasir pantai itu yang masih berkemilau. Masih terang untuk menerima kaki-kaki Ayu.


Dan bintang-bintang mulai muncul dari kegelapan. Ayu masih meraung sekuat hatinya. Mendengar raungan itu, riak-riak kecil laut kini bertukar menjadi ombak yang menderu ke pantai. Dalam kelam cahaya itu, raungan Ayu perlahan-lahan bertukar menjadi lolongan panjang yang sayu. Sedih sekali.

Lalu ombak pun datang, membenam lolongan sayu itu dan menarik Ayu ke laut. Ayu kembali lemas, dia kembali hanyut. Ayu biarkan tubuhnya dilambung ombak dan Ayu tidak tahu pulau mana pula dia akan terdampar. Ayu sudah malas untuk fikirkannya lagi. Ayu tak kisah...






.

6 comments:

ASH said...

Meh nak dukung AYU..

tasekM said...

kak... dukung aku la lagi baik.

:p




Ayu = Aku (ko) versi pompuankah?

soalan.
ko teringat 'sekolah' yekkkk...?






.

Nizam.Ariff said...

Ashley,
Ayu berat la... lenguh tangan nanti...

TM,
Ayu tu pompuan la.... gemalai bahasanya pun lembut seorang perempuan.

Nizam.Ariff said...

Siapa Ayu..???

Jap, aku tengah fikirkan nih. Aku pun belum habis tentukan watak Ayu sebenarnya... hahaha

ASH said...

TAS,
aku rasa AYU tu macam burung bangau jer..
sebab tu berani dukung..
kalau engko.....ish....riso juga.

Nizam.Ariff said...

Ashley,
Burung bangau..? hmmm
Mungkin juga, dia kurus sebab stress... hahaha