Monday, January 31, 2011

Kompang: Episod 14

ewnepilog 2:


Selepas pulang dari sekolah tadi, Jali hanya berseluar pendek tanpa berbaju dan berbaring di atas lantai simen. Jali mahu pindahkan kesemua panas badan yang dikumpulkan semasa berbasikal di tengah-tengah panas rembang sejauh 3 km dari sekolahnya. Panas yang seolah-oleh mendidihkan otaknya.


Setelah sejuk di bahagian depan, Jali pusingkan badan dan baring menelentang pula. Jali sejukkan belakang badannya pula. Sambil itu, Jali membilang jumlah lubang pada bumbung zink dek paku. Zink itu zink guna-semula tentulah lubang paku merata-rata. Lebih menarik apabila asap dari dapur kayu Emak menerawang naik ke bumbung itu. Akan kelihatan garisan-garisan putih dari setiap lubang paku pada bumbung zink itu. Garisan-garisan putih akibat cahaya matahari yang menerobos masuk melalui lubang-lubang paku itu; ibarat pedang LASER yang panas dan amat tajam.


Apabila lantai tempat Jali berbaring itu kurang sejuk, dia pindahkan badannya sedikit ke tempat yang lebih sejuk. Jali pilih lantai yang simennya rata dan licin, bukan lantai yang menggerutu seperti kulit katak puru. Lantai yang menggerutu akan keluar pasirnya dan melekat pada badan. Ada lantai yang licin kerana serbuk simen ditaburkan pada kemasan terakhirnya manakala lantai yang menggerutu pula tidak. Itu bergantung kepada rezeki dan lebihan simen untuk lantai itu. Jali lihat lantai rumahnya itu berpetak-petak; ada yang licin dan ada menggerutu seperti kulit katak puru. Jali tahu, Bapak buat sedikit-sedikit lantai rumah itu.


Jali bingkas bangun apabila Emak menyuruhnya makan nasi. Sambil itu, Emak membebel lagi. Sudah beberapa kali Emak pesan kepada Jali, berbaring di atas lantai simen kan sebabkan sakit tulang. Sakit-sakit badan bila tua nanti. Jali faham tetapi panggilan aura sejuk lantai simen itu amat sukar untuk dielakkan. Lebih-lebih lagi apabila baru pulang dari sekolah dan badan masih panas dek pancaran matahari rembang.


Emak matikan saki baki bara api pada putung-putung kayu api. Sayang. Nanti boleh digunakan lagi untuk petang karang. Asap berkepul-kepul naik ke bumbung tanpa siling. Abu dari dapur kayu juga turut menerawang ke atas. Kadang-kadang Jali akan lihat banyak abu di atas meja makan. Rumah jirannya ada siling dibuat daripada guni-guni baja yang telah kosong. Guni-guni itu dipotong dan dijahit menjadi sekeping layar yabng besar sebelum dinaikkan dan dibuat siling. Emak belum buat lagi. Mungkin guni baja Emak masih belum banyak untuk dibuat layar.


Jali buka tudung saji. Di bawahnya, ada sebiji telur itik rebus dan semangkuk sayur kangkung masak bening. Jali lihat Emak datang bawa sepinggan nasi yang masih panas mongah-mongah dan kicap Tamin kegemarannya...





.

Friday, January 28, 2011

Kompang: Episod 13

epilog.

Jali terhenti dari bermain kapal terbang. Tangan kanannya diturunkan perlahan-lahan ke ribanya. Batang keladi yang ditoreh dan disematkan dengan lidi kelapa supaya membentuk kapal terbang mainan dicampakkan ke tanah.

Bapak berjalan keluar dari kebun di belakang rumah. Tangan kiri Bapak memegang lengan kanannya. Ada darah menitik-nitik dari lengan kanan itu walau pun dipekup kejap. Sesampai di tengah laman dekat Jali bermain, Bapak campakkan parang kontot ke tanah. Juga ada kesan darah pada hujungnya.

"pergi ambikkan minyak gamat dan kain"


Jali yang masih terkejut melihat darah yang menitik itu bangun tanpa matanya tidak lepas pandang kepada lengan Bapak. Jali cepat-cepat lari masuk ke rumah papan 2 tingkat itu. Beberapa minit kemudian, di akeluar semula sambil membawa minyak gamat dan segumpal kain. Jali unjukkan kepada Bapak yang sedang duduk bersila di laman rumah. Jali mencangkung.


Bapak kesat darah yang masih mengalir pada lengan kanannya kemudian titiskan beberapa titik minyak di sekitar luka itu. Mata Jali masih tertancap pada luka sepanjang 2 inci itu.

"kenapa Bapak?"

"tadi... tengah kerat dahan kayu tiba-tiba parang tu termelantun, terus kena lengan ni"

Jali mengerutkan dahi apabila Bapak memicit-micit luka itu untuk membuang saki-baki kotoran. Bapak tersenyum.

"tak sakit?"

"...tak.... Bapak kuat "


Bapak koyakkan kain menjadi jalur selebar 3 jari dan sepanjang 2 kaki lebih kurang. Bapak lilit kain itu pada lengannya. Bapak tarik kuat-kuat agar darah tidak keluar lagi.

"tolong simpulkan hujung kain ni. Bapak tak boleh buat dengan sebelah tangan..."

"simpul macam tali kasut sekolah?"

"hmm... boleh juga. Buat je lah asalkan tak tertanggal.."


Jali koyakkan hujung kain itu menjadi 2 lembar. Satu dililitkan sekali lagi kepada lengan sedangkan satu lagi tidak. Kemudian, Jali cantumkan kedua-dua hujung kain itu dan diikat simpul seperti tali kasut sekolahnya.

Setelah sudah, Bapak pun bangun semula lalu diambil semula parang kontot tetapi tajam itu. Bapak berjalan masuk ke kebun semula untuk meneruskan kerjanya.

'bapak memang kuat, tak menangis pun' kata Jali dalam hatinya...





.

Monday, January 24, 2011

Rindu pada bening embun...

Pada ketika ini, semasa burung-burung sawah mula berlari dan terbang-hinggap mencari anak-anak ikan dan benih-benih padi yang menguning, pagi ini matahari memancar terang cahayanya.


Hujan semalam telah bawa turun awan-awan hitam ke bumi, ke tanah ini. Dikuburkan dengan semangat gelapnya yang telah ditukarkan menjadi rahmat oleh Tuhan. Semangat gelap yang beberapa hari lalu dikumpul dari segala derita dan sengsara manusia, dan dipukul pula oleh angin-angin kencang, malam tadi telah mengalir menjadi mata air jernih mengairi pohonan, tumbuhan dan menjadi minuman fauna sama ada yang terbang dan berjalan.


Pagi ini, cahaya matahari terang menyuluh embun-embun yang tergantung pada hujung daun padi. Seakan-akan menghisapnya kembali. Seolah-olah embun itu hanya dipinjamkan kepada padi sekadar untuk lepaskan rindunya pada nyaman dan tenteram suasana. Walau sekejap ia mencukupi. Amat mencukupi.


Embun yang bersinar bening, tolong sampaikan salamku apabila kamu kembali ke atas sana. sampaikan salamku kepada mereka di atas sana...




.

Friday, January 21, 2011

Tiada lagi...

Kuhela nafas yang kian mengecil menjerut leher
Melihat bayang-bayang yang kian pendek
Itu siang yang semakin malap dan cepat hilangnya


Kurenung peribadi silam dan agas-agas yang terbang
lompang sana sini, becak dan keruh, kecewa
sampai bila aku bisa menahan rasa ini dalam dada?
Biarkan ia disini...


Tiada lagi yang kuimpikan
noktah kenangan hidup ini akan kusimpan
Seelok pemergian unggas-unggas putih yang terbang
menuju matahari terbenam


Tiada lagi kata-kata yang disusun cantik
berlegar menuju langit biru yang cepat hilangnya
Tiada lagi yang kuharapkan
tanpa ada sesiapa yang membisik kata-kata harapan
noktah dan noktah
tiada lagi segalanya...



Tulus fakirmu ini
restukanlah...



.

Tuesday, January 18, 2011

Doa

Amin, Ya Rabbal 'Alamin...


Doa Nabi Adam





.

Sunday, January 16, 2011

Melihat dunia dari balik mimpi

Si polan mana menjenguk aku dinihari.
Menghulurkan kepalanya melalui tingkap masa, melalui dedaun tingkap yang tertutup namun masih bisa menembusinya tanpa pecah kacanya.
Ah! Datang menjengah aku yang sedang hangat dipeluk selimut putih yang senteng.
Sekejap ditarik ke atas kalau dada aku digigit sejuk.
Sekejap ditarik ke bawah jika kakiku dicucuk nyamuk.


Tolonglah, tinggalkan aku semalaman lagi.
Cukup untuk malam ini sahaja.
Pagi nanti apabila mentari menjengah dari bukit sana, kamu datanglah.
Kamu jenguklah aku lagi tapi pada kali ini, sila datang secara orang-orang yang mulia.
Masuklah melalui pintu yang terbuka dan bukan dari dedaun tingkap yang aku tutup.


Kamu datang tidak pernah lambat sesaat, tidak pernah awal sesaat.
Setiap kali adalah sempurna, cukup sempurna dalam dunia kamu.
Aku yang kurang sempurna, itu aku akui kerana aku masih hidup dalam dunia aku yang serba berlebihan namun sebenarnya kekurangan.


Tolonglah, biarkan aku bermimpi semalaman lagi.
Aku perlukan mata mimpi aku untuk melihat kekurangan dunia ini kerana jika aku terjaga, seolah-olah dunia ini sempurna segalanya.
Tiada cacat celanya.
Namun, aku percaya itu semua dusta.


Hey kamu yang menjengah aku dari dedaun tingkat yang masih tertutup,
kamu yang datang tidak pernah awal dan tidak pernah lewat,
kamu yang datang menarik selimut aku yang senteng,
kamu yang kamu itu,
kamu sesempurna malam dan siang dalam dunia kamu.
Lihatlah aku bermimpi dari balik dedaun tingkap sana.
Pagi nanti bila aku terjaga, aku akan ceritakan segalanya.


Namun pada kali ni, biarkanlah aku melihat kekurang dunia ini buat kali yang akhir, jika itu yang kamu mahukan.
Kamu yang tidak pernah awal dan tidak pernah lewat.
Aku akan ceritakan segala-galanya tentang dunia nyata.
Aku akan ceritakannya dari balik dunia mimpi.
Aku janji.




.

Monday, January 10, 2011

Akukah itu?

Seperti Kedidi di gigi air
melihat bayang-bayang yang terserlah
melihat diri yang payah
keseorangan

Merasa sejuknya air itu
nafas tersangkut menahan gigil

Dan Kedidi tidak mahu terbang
kerana Helang berlegar di atas sana.




.

Wednesday, January 5, 2011

Meneguk sang bisa




Di daerah ini.
Dalam syahdu aku sujud.
Redup suasana, aku cuba gamit keabadian dan kesucian
roh-roh yang bersemadi menunggu akhir zaman.
Aku pohon padaNya keampunan, kebahagian, segala yang baik-baik.
Aku pohon dijauhkanNya segala yang buruk-buruk.

Aku musafir di sini, di dunia ini juga.
Segalanya tiada.
Segalanya cuma bayang-bayang yang tak bersinar.
Hanya Dia tempat aku bergantung harap.
Pemberi sinar yang sejati.
Hanya Dia.


- Masjid Pulau Besar, Melaka -



.

Tuesday, January 4, 2011

Kompang: Episod 12

Sejak akhir-akhir ini Emak selalu terbayang-bayangkan arwah Bapak. Selalu ternampak-nampak. Kadang-kadang itu ketika tidur dan adakalanya ketika termenung sendirian. Bila Emak teringatkan  arwah Bapak, Emak akan ceritakan kepada Jali. Ini membuatkan Jali jadi serba tak kena. Kenapa Emak selalu teringatkan arwah Bapak akhir-akhir ini?


Hati Jali jadi tak keruan. Kaki Emak mula kebas semula. Sebelum ini, Emak boleh berjalan walaupun terpaksa dibantu tongkat. Setidak-tidaknya, bolehlah Emak keluar dari bilik kepam dan melihat-lihat sawah padi yang warnanya bersilih ganti dari hijau muda, ke hijau tua dan akhirnya kuning keemasan. Semuanya berjalan mengikut takwim penanaman padi. Semuanya diusahakan oleh Jali. Adik-beradiknya yang lain telah merantau menjadi pemastautin di tempat masing-masing, makan hasil rezeki masing-masing.


Matahari masih condong ke Timur. ' Belum pukul 12 lagi ni...' getus Jali dalam hati.

Jali angkat semula pam racun dan digalasnya pada bahunya. Agak berat. Jali hidupkan enjin pam itu. Lalu bunyi enjin berkuasa 5 kuasa kuda itu terketar-ketar membingitkan cuping telinga Jali. Jali henjut enjin pam itu kepada kuasa yang maksima. Angin bercampur air racun meluncur keluar dari corong ala-ala tangan robot itu menjadi kabus nipis dan melayang jauh hingga beberapa kaki jauhnya.


Jali bergerak laju mengejar kabus beracun itu. Dia perlu siapkan kerja meracun itu sebelum tengahari kerana selepas Zohor nanti dia perlu bawa Emak ke klinik untuk memeriksa apa yang tidak kena pada kaki Emak.




.

Sunday, January 2, 2011

Kompang: Episod 11

Sebatang cangkul tersangkut kemas pada bahu seorang tua. Sebatang rokok daun nipah yang berisi cengkih hancur dan tembakau cap kapal semut terkepit diantara dua bibirnya. Asap berkepul-kepul naik ke langit. Bara rokok itu merah setiap kali nafas disedut, membakar cengkih hancur itu tadi, bunyinya seperti daun kelapa yang marak terbakar. Agak-agaknya, itu sebab dinamakan 'kretek' kerana bunyinya hampri sama dengan sebutan itu.

Kakinya gagah melangkah rumput kapal terbang dan keting belalang yang liat untuk mati, di atas batas sawah itu imbangan badan orang tua itu sungguh menakjubkan. Sungguh tegap.

Seorang perempuan tua pula menegakkan badannya di tengah-tengah sawah padi. Dia berhenti dari merumput sebentar. Dia melihat suaminya itu datang membawa cangkul untuk membetulkan hujung batas yang pecah. Lubang tikus yang menembusi dari kiri ke kanan batas itu menyebabkan air sawah bocor ke petak sebalah. Kalau air tidak dikawal, salah satu petak sawah akan kontang.

Suaminya itu mengangkat cangkul itu melebihi paras kepalanya lalu sepantas guruh, mata cangkul itu dilayangkan dan dibenamkan pada batas. Lubang tikus itu dikambusnya.


Perempuan tua itu tersenyum memandang suaminya. Tersenyum memandang bayang-bayang suaminya yang masih segar dalam ingatan. Tersenyum kepada kenang-kenangan itu, walau penat bersawah.

'Mak teringatkan arwah Bapak kau, Jali...' kata Emak lemah.

'Selalu ke macam tu ?' tanya Jali

Soalan Jali tak berjawab. Jali masih mengurut-urut kaki Emak. Malam tadi, Emak mengadu kakinya lenguh, kebas-kebas. Selepas Emak sarapan pagi tadi sehingga pukul 9am, Jali masih mengurut kaki Emak. Sepatutnya, Jali meracun pagi ni tetapi ditunda. Jali berharap petang nanti tidak hujan. Kalau hujan juga, sia-sia dia meracun nanti...





.