Tuesday, January 4, 2011

Kompang: Episod 12

Sejak akhir-akhir ini Emak selalu terbayang-bayangkan arwah Bapak. Selalu ternampak-nampak. Kadang-kadang itu ketika tidur dan adakalanya ketika termenung sendirian. Bila Emak teringatkan  arwah Bapak, Emak akan ceritakan kepada Jali. Ini membuatkan Jali jadi serba tak kena. Kenapa Emak selalu teringatkan arwah Bapak akhir-akhir ini?


Hati Jali jadi tak keruan. Kaki Emak mula kebas semula. Sebelum ini, Emak boleh berjalan walaupun terpaksa dibantu tongkat. Setidak-tidaknya, bolehlah Emak keluar dari bilik kepam dan melihat-lihat sawah padi yang warnanya bersilih ganti dari hijau muda, ke hijau tua dan akhirnya kuning keemasan. Semuanya berjalan mengikut takwim penanaman padi. Semuanya diusahakan oleh Jali. Adik-beradiknya yang lain telah merantau menjadi pemastautin di tempat masing-masing, makan hasil rezeki masing-masing.


Matahari masih condong ke Timur. ' Belum pukul 12 lagi ni...' getus Jali dalam hati.

Jali angkat semula pam racun dan digalasnya pada bahunya. Agak berat. Jali hidupkan enjin pam itu. Lalu bunyi enjin berkuasa 5 kuasa kuda itu terketar-ketar membingitkan cuping telinga Jali. Jali henjut enjin pam itu kepada kuasa yang maksima. Angin bercampur air racun meluncur keluar dari corong ala-ala tangan robot itu menjadi kabus nipis dan melayang jauh hingga beberapa kaki jauhnya.


Jali bergerak laju mengejar kabus beracun itu. Dia perlu siapkan kerja meracun itu sebelum tengahari kerana selepas Zohor nanti dia perlu bawa Emak ke klinik untuk memeriksa apa yang tidak kena pada kaki Emak.




.

No comments: