Sunday, November 20, 2011

Kecubung : Bab 1 episod 3...

[ Perhatian: Semua watak dan jalan cerita hanyalah khayalan penulis semata-mata. Watak-watak yang digunakan hanyalah buatan penulis dan ia sama sekali TIDAK merujuk kepada karekter sebenar individu dalam dunia nyata. Jika ada kesamaan, anggaplah itu adalah kebetulan dan penulis memohon maaf awal-awal lagi]



Bab 1 Episod 3



Din mewakili imej golongan anak muda kampung itu yang terhimpit diantara kemajuan yang memerlukan perubahan gaya hidup dan budaya yang masih tercacak di segenap penjuru kampung itu. Kemajuan yang mahukan orang-orang di situ berubah bersama-sama arus deras yang dibawanya. Manakala di satu bahagian lagi ada tunggul-tunggul lama yang mahukan segala-galanya berjalan perlahan. Jurang perbezaan yang ketara.
Golongan anak muda seperti Din ini mengalami kecelaruan gaya hidup yang mendadak. Manakala Tazs yang sedikit ’kakak’ berbanding Din sempat hidup dalam dunia yang perlahan dan sekarang ini sedang melihat asakan kemajuan yang memerlukan pergelutan. Tazs melihat semuanya di depan matanya sendiri dan dia juga terheret sama dalam kemelut itu.
          Tazs membuat keputusan untuk menutup gerainya awal sedikit daripada biasa pada hari ini walau pun kuih-muihnya masih ada separuh lagi. Jika hari hujan memang begitulah, tak ramai yang datang singgah di gerainya. Lagi pun, tangan kanannya sudah terasa sengal semula. Lebih-lebih lagi dalam cuaca yang basah dan sejuk seperti pagi itu, terasa seperti ada jarum yang menyucuk-nyucuk pangkal lengan dan rasa sengalnya membawa ke hujung jari hantu. Dia perlukan minyak urut yang cukup panas. Dia perlu naik ke rumah.
          Kadang-kadang Tazs akan minta Tij datang ke rumah untuk urut tangannya. Selepas diurut dengan minyak panas Abu Dakam biasanya akan legalah sedikit. Jika tidak, sengalnya boleh mengganggu tidur dan mimpi. Malam nanti Tazs perlukan pertolongan kawannya itu lagi.
          Tazs kemas kuih-muihnya yang masih tak terjual. Hujan masih merenjis halus walau di kaki langit Timur sana matahari telah pun menjengah dari balik awan putih. Tazs susun semua bekas plastik bertindih-tindih kemudian diikatkannya dengan kain alas meja lipat. Payung itu dikuncupkan tetapi dibiarkan berdiri tegak di tepi jalan itu, menandakan gerainya telah ditutup secara rasmi pada pagi itu. Tazs jinjing ikatan tadi manakala tangannya yang satu lagi menjinjing meja lipat.
          Ketika kakinya melangkah pintu dapur, Tazs menoleh kepada van peninggalan arwah bapanya yang diletakkan di bawah rumah papan dua tingkat. Van itulah yang sering dipandu arwah untuk berniaga di pasar-pasar malam sekitar Jasin dan Air Kangkung. Kini, van itulah yang sering dipandunya. Van yang berusia itu telah banyak berjasa. Biar pun telah nampak tua dan kusam catnya, van itu masih boleh dipandu dan amat jarang meragam.

          Ada seekor kucing hitam sedang elok berbaring di atas bumbung van itu. Tazs membongkok lalu mengambil sebatang ranting mempelam yang dihanyutkan air hujan malam tadi. Dia balingkan ranting itu ke arah kucing hitam itu. Tak kena tetapi kucing itu melompat turun. Tazs bukan berniat untuk baling kepada kucing itu pun. Cukup sekadar untuk menakutkannya sahaja. Tazs tak mahu vannya bercalar-balar dek cakaran kuku kucing hitam itu.






[sambung]
.

6 comments:

tasekM said...

van buruk tu bior lantak la cakor dek kucen...

:)




.

Nizam.Ariff said...

TM,
ko tak sayang ke van tu lagi?
ish ish ish... puasaka tu.. kakaka

sepa said...

kue jugak bisa mengurut, pak! biar serah sama kue mengurut...! hehehe...

Nizam.Ariff said...

Sepa,
kamu urutin yang bathinnya saja dong! keh keh keh

aza ni said...

cemerlang.....

Nizam.Ariff said...

Azani,
gemilang.. keh keh keh