[Selingan, sementara cari ilham. Ini kisah benar]
Ayah Pulang
[ 1~6 / 12 / 2006 ]
Terkocoh-kocoh isteri aku bersiap-siap untuk pulang ke kampung pada malam itu. Anak aku hairan. Bukan biasa kalau bukan pada hari minggu. Aku biarkannya tidak berjawab. Aku runsing. Kami diam sepanjang perjalanan pulang. Tiada lagu menemani aku. Tidak seperti biasa. Hari itu bukan hari yang biasa. Lewat tengah malam, kami tiba di rumah abang. Emak sedang menunggu kami di situ. Malam itu, abang menemani ayah. Emak suruh aku berehat dahulu, esok pagi baru pergi melawat ayah bersama-samanya. Aku akur namun begitu tidur aku tidak lena. Mustahil untuk tidur lena dalam keadaan begitu.
I
Angin pagi yang dingin menyibak sedikit rambut ayah yang jarang. Sedikit yang masih hitam. Garis-garis usia penuh pada mukanya. Setiap satu punyai cerita suka duka hidupnya. Cerita tentang kebun getah, babi hutan, sawah bendang, lintah dan pacat. Garis-garis cerita tentang Haruan dan joran yang pernah menjadi penyambung rezeki sekeluarga.
Nafas ayah kerap terganggu. Kadang-kadang tersekat-sekat dan ayah sedut dalam-dalam. Aku toleh ke bucu kanan kepala katil ayah. Pada dinding di atasnya ada satu botol kaca. Cecair di dalamnya berbuih-buih dan menggelegak. Ada satu hos plastik kecil yang hujung satu lagi diletakkan di bawah hidung ayah. Sedikit longgar. Aku bongkok lalu membetulkannya. Ayah terjaga. Aku tak bermaksud mengganggunya.
‘Emak kamu mana?’
Belum sempat aku jawab, mata ayah kembali kuyu dan tertutup perlahan-lahan. Ayah tertidur. Emak datang mendekati ayah dari sebelah kiri. Tangan emak kulihat meramas-ramas lengan ayah.
II
‘Beginilah, biar saya terangkan tentang keadaan pakcik ni’
Doktor muda itu pun mula menceritakan segala-galanya dari kisah rekod kesihatan lampau ayah sehinggalah kepada yang diterimanya semalam. Terkial-kial doktor muda itu menyusun ayat agar istilah sains kedoktoran yang digunanya dapat difahami oleh kami. Semuanya menjurus kepada satu kesimpulan yang akhirnya dibuat oleh abang, bukannya doktor itu. Satu kesimpulan yang walau pun telah dijangka, ia tetap membuatkan hati-hati kami bergetar. Wajah kakak muram, matanya sayu memandang ayah. Harapan pudar. Detik-detik ayah sudah mula aku hitung. Aku mula hargai setiap saat kesempatan yang diberiNya.
Kemudian doktor muda itu berpaling kepada ayah. Ayah pandang muka doktor muda itu dalam-dalam. Menanti apa pula yang akan dikhabarkan olehnya. Ada sedikit senyuman pada bibir manisnya.
‘Pakcik jangan risau. Pakcik rehat banyak-banyak ’
Kenapa? Kemudian doktor muda itu keluar dari bilik ayah dan berjumpa dengan seorang jururawat. Aku ekori langkahnya dengan mata dan fikiran yang tertanya-tanya. Jururawat tadi pun masuk ke bilik ayah sambil memandang aku yang sedikit bingung.
‘Pakcik kena pindah ke bilik biasa di luar sana. Pakcik dah sihat. Bilik ini untuk orang yang sakit sahaja. Saya dah siapkan katil untuk pakcik di sana’
Aku rasa aku faham. Namun aku terfikir untuk bertanya kepada mereka yang bertugas di sini, bagaimana mereka ini boleh hidup dengan segala penipuan seperti ini setiap hari dan pulang ke rumah dengan tenang.
III
Ayah bergerak resah. Aku betulkan kedudukkan bantalnya. Biar selesa sikit. Sebiji bantal lagi aku sendalkan di bawah lutut kirinya yang aku bengkokkan sedikit. Aku tarik tirai sedikit supaya cahaya kalimantang di koridor tidak tepat menyuluh mukanya. Ayah terjaga. Ayah pandang kipas yang berpusing ligat di atas.
‘Aku sejuk’
Aku tarik selimut hingga ke pinggangnya. Tidak lama. Kaki ayah menunjal-nunjal selimut. Tangannya di awang-awangkan. Hos plastik pada hidungnya tertanggal.
‘Kenapa?’
‘Panas’
Aku lurutkan selimut tadi ke paras betis ayah. Aku betul-betulkan kain hijau muda yang ayah pakai. Jururawat pelatih yang masih remaja yang pakaikan petang tadi. Aku letakkan semula hos plastik pada hidungnya. Barulah ayah bernafas dengan sedikit lega. Ayah tidur semula.
Di atas katil yang bertentang katil ayah, seorang lelaki tua terbatuk dan berludah kahak. Seorang perempuan Melayu, mungkin isterinya, tergugah dari lelapnya lalu bangun untuk mengesat-ngesat mulut suaminya dengan tisu. Mesin pembaca nadinya berdecit mengganggu jururawat yang sedang tekun menulis di meja di tengah-tengah bilik ini. Jururawat itu tadi bangun lalu meninjau kiraan nadi lelaki tua itu dari jauh. Beberapa saat kemudian mesin itu kembali senyap. Sudah beberapa kali macam itu, sejak lelaki tua itu diletakkan di situ petang tadi.
Aku toleh kepada ayah. Aku
‘Tengok apa?’
‘Aku ingatkan tadi itu emak kau’
Ayah
IV
‘Jag air kencing tertumpah tadi. Nak letak bawah katil tapi terlepas’
Ayah kelihatan diselimuti rasa bersalah. Aku rasa sedikit terganggu dengan bau itu. Kemudian aku teringatkan anak aku. Aku teringatkan bagaimana aku basuh bekas kencingnya di lantai rumah. Aku jemur tilamnya agar kering. Sedikit pun tiada rasa marah kerana aku tahu budak sekecil itu apalah yang dia tahu. Lagi pun, aku sayang dia. Aku terfikir, mungkin begitulah ayah menjaga aku dulu, semasa aku kecil.
‘Tak apa. Tangan tu masih lemah’
Aku teringatkan anak aku. Aku senyum pada ayah dengan harapan ayah lega dan faham yang aku tak marah padanya. Aku pergi ke bilik cucian, bersebelahan dengan stor ubat-ubatan. Ada tiga batang mop yang tergantung pada rak pengering. Aku ambil satu. Aku cuba cari penyembur cecair sabun wangi yang digunakan oleh makcik India yang bekerja di sini semalam tapi tak jumpa. Aku perah mop tadi dengan pengepit di dalam satu timba kemudian aku pergi ke katil ayah semula. Aku lap kesan tumpahan itu dan kembali ke bilik cucian untuk bilas mop tadi dengan air paip. Aku ulanginya beberapa kali sehinga aku yakin tiada lagi saki-baki yang tertinggal atas lantai. Jururawat yang berada di mejanya hanya memanggungkan kepalanya dan melihat aku dari jauh.
Bau hancing masih berlegar-legar. Aku pergi ke bilik air di hujung blok itu. Aku buka pintu kabinet yang terletak di bawah besen cuci tangan. Aku terjumpa sebotol penyegar udara. Aku goncang dan aku dapati botol itu masih berisi. Aku gembira. Aku kembali ke katil ayah dan aku sembur di sekelilingnya. Juga pada lantai. Banyak juga aku sembur. Bau wangi menyelubungi bilik. Barulah aku dapat sambung tidurku tadi.
V
‘Waktu solat subuh dah masuk’
Aku mahu ayah tahu supaya dia dapat menghormatinya. Aku minta diri untuk ke bilik air untuk mandi. Kemudian aku pergi ke surau yang terletak berdekatan dengan lif. Aku solat bersendirian di situ tetapi pada raka’at yang kedua aku rasakan seolah-olah ada beberapa orang mengikuti aku di belakang. Malam tadi, sewaktu solat tahajjud di surau itu, aku rasakan begitu juga. Biarkanlah.
Sekembalinya aku ke katil ayah, dia suruh aku pergi bersarapan. Dia pesan supaya aku belikan dia kuih karipap atau kalau tiada, kuih sagu merah di kantin. Terketar-ketar tangannya
‘Ambil duit dari dompet di dalam laci tu buat beli sarapan dan kuih’
Aku tersenyum. Terlupakah ayah yang aku sudah bekerja dan berkeluarga? Aku menolaknya dengan lembut. Ayah menyuruh aku ambil duitnya beberapa kali. Aku tetap menolaknya. Aku katakan sekarang ini giliran aku belikan makanan untuknya pula.
Di kantin, aku makan nasi lemak dengan sambal dan telur goreng. Untuk ayah, aku belikan dua ketul karipap dan dua ketul apam. Kuih sagu merah tiada. Aku bawa ke kaunter bayaran. Pada mejanya tertulis ‘Untuk Kakitangan Sahaja’. Aku pergi ke kaunter sebelahnya.
‘Kuih ni lima se ringgit’
Oh! Kuih-muih di sini masih murah. Aku ambil seketul karipap lagi untuk cukupkan se ringgit. Aku berjalan menuju ke lif untuk ke tingkat satu. Sampai sahaja ke katil ayah, aku lihat abang sudah sampai dan sedang duduk berbuai kaki di birai katil. Ayah sedang berbual dengan abang. Aku unjukkan kuih karipap kepada ayah. Ayah hanya makan satu. Selebihnya ayah suakan kepada aku dan abang. Begitulah, ayah tetap seorang ayah sampai bila-bila, walau pun anak-anaknya sudah besar panjang begini.
VI
Pesan jururawat tua itu amat menusuk ke tulang hitamku, tapi aku hargainya.
Ayah gembira. Dia dibenarkan pulang pada tengah hari itu. Segala urusan telah selesai. Ayah kenakan semula baju dan seluar yang dipakainya sewaktu dia dimasukkan ke sini. Aku minta izin jururawat untuk pinjam sebuah kerusi roda. Dia benarkan. Aku sorong ayah perlahan-lahan menuju ke lif. Abang dan kakak ipar mengikuti kami di belakang.
Entah mengapa, aku rasakan ayah semakin menjauh walaupun sebenarnya dia masih di depanku. Aku teringat kata-kata doktor muda itu. Aku juga teringat segala pesanan jururawat tadi. Aku intai wajah ayah dari sisi. Ayah kelihatan gembira. Aku keliru dan risau. Aku tarik nafas dalam-dalam. Resahku bertambah. Aku dapat rasakan kepulangan ayah pada kali ini amat jauh. Mungkin juga menjadi amat dekat, hanya ke pintu lif itu. Aku sorong kerusi roda itu perlahan-lahan, amat perlahan hinggakan masa kurasakan terhenti. Sampaikah ayah ke rumah? Tuhan, berkatilah umur ayahku.
Amin.
13 comments:
errrr..
hmmmm
well..
ayah aku dah tidur..pada 9/1/2006.
mak aku pula?
dapat suami baru tahun lepas..
aku?
masih cuba memahami..
Ashley,
Patah tumbuh hilang berganti, itu maknanya kut.
It is still hard for me...
wa wa wa..aku nak keriau..weeehhh..
aku kena belanja ko le kan kan kan kan..sebab engko bagi aku keriau!!!
Ashley,
Yess... aku berjaya mencungkil rasa yang terpendam dalam diri akak...
Kehilangan memanglah terasa, itu tandanya kita masih hidup. Nanti, bila tiba MASA kita pula, sanggupkah kita tinggalkan anak-anak kita? Sedihkah mereka kalau kita tinggalkan? Nanti, setiap malam Jumaat, bila kita terbang dan menjenguk anak-anak kita, lalu kita rasa seperti ingin menyentuh pipi mereka tapi tak boleh, mereka tak dapat berkata-kata dengan kita... rindukah kita nanti? Isk...issk...
Sabar kak, itu semua ujian.
Try hantag cerpen 'Ayah pulang' ni kat mana mana magazine..kut kut keluag..hopefully, Insyaallah..
Ashley,
Aku cuma menulis. Aku tak tahu nak hantar kat mana.
Lagi pun, cerpen ni aku buat kat Spital. Ayat pendek-pendek, lebih kepada diari. Kalau nak tukar jadi cerpen, kena kembangkan ayat tu.
jika kamu punya peluang bersama ayah lebih 30 tahun... aku hanya ada 10 tahun bersama ayah. dia pergi di kala aku benar2 perlukannya.
dan pada usia 10 tahun juga. aku. ada kala menjadi ayah. ada kala menjadi ibu. ada kalu menjadi kakak.
aku biasa dengar...'kamu ni ketawa sahaja, kan?'.
ya.. kerana aku dah letih menangis!
.
TM,
Sob..sob..sob
Cerita ko lagi sedih ni dik!
kalau ko tulis, mau Ashley meraung sakan...
Al Fatehah untuk ayahmu dan ayah Ashley dan ayah TM, semoga roh mereka dicucuri rahmat.
Azani,
Agak-agaknya, ini yang mengikat kami bertiga menjadi rapat, keserasian akibat kepergian ayah kami...
teringat arwah ajar anyam ketupat dulu . penuh kesabaran . lebih dari abah sendiri . alhamdulillah ilmu menganyam itu masih kekal , kekal seperti kenangan bersama arwah kakek :)
Sedekahkanlah Fatihah selepas setiap sembahyangmu...
Post a Comment