Monday, December 5, 2011

Kecubung : Bab 3 Episod 11

.




Kecubung : Bab 3 Episod 11


Matahari telah condong ke arah Barat. Bunyi riang-riang hutan kadang kala lebih kuat dari bunyi enjin van mereka. Kini mereka telah memasuki satu kawasan hutan yang lebih tebal dan pokok-pokoknya lebih besar dan tinggi. Pokok Pisang Hutan hidup hijau, subur dan lebat. Buluh-Buluh Betong menjulang tingginya.
Sudah jauh van itu dipandu tetapi terasa seperti Negeri Sembilan adalah negeri yang terlalu luas, tak sampai-sampai sempadan Selangor pun. Masing-masing sudah mula lemas di dalam van yang tanpa pendingin hawa itu. Ko-G yang sudah terlelap agak lama tadi pun sudah terjaga. Tij yang melayan sembang Tazs pun sudah kehabisan topik tapi papan tanda jalan langsung tak kelihatan.
Tazs masih cekal memusing stering dan menekan pedal minyak namun begitu hamburan angin yang menderu masuk melalui tingkap van menjadi elusan enak menangkap mukanya. Bunyi tayar mengayuh aspal bukan lagi bunyi bising yang mengganggu benak tetapi iramanya seperti nyanyian seorang ibu yang mendodoi anak kecil. Hentakkan akibat lopak-lopak di atas jalan menjadi seperti endoi yang berhenjut dengan ritma asyik.
Akhirnya, Tazs tewas juga. Kelopak mata Tazs menjadi berat. Fikirannya melayang-layang meninggalkan kisah-kisah kampungnya. Seolah-olah dia menanggalkan semua pakaian dan bertelanjang bulat memasuki satu pintu gerbang yang harum dan wangi di hutan itu. Jalan raya dilihatnya berbalam-balam. Pokok-pokok yang tegak berdiri di kanan dan kiri jalan bergoyang seperti dihembus angin lintang. Ruang pandangannya mengecil dan mengecil...
Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang agak kuat di bahagian bawah van. Tazs tersentak, matanya kembali bulat. Van mereka teroleng kuat dan hilang kawalan tetapi Tazs sempat mengawal semula walau pun terbabas sehingga melanggar rumput-rumput di bahu jalan. Van mereka terhenti di tepi jalan. Nasib mereka baik kerana di bawah sana adalah gaung kecil dan ada anak sungai yang mengalir.
Sorry... he he he“, Tazs meminta maaf sambil ketawa. Tij mengusap-usap punggungnya manakala Ko-G memicit-micit kepalanya. Kedua-duanya akibat terlambung apabila van mereka melanggar lopak yang agak dalam tadi.
Seketika itu juga mereka dapat rasakan segugus angin sejuk segar menyapa wajah. Masing-masing mendiamkan diri. Mereka melihat-lihat di sepanjang jalan itu jika ada tanda-tanda kehadiran orang kampung seperti rumah, motorsikal atau pun dusun buah-buahan.
Muka Tij ceria sambil tangannya menepuk-nepuk lengan Tazs. Tidak jauh di depan sana kelihatan seorang lelaki sedang berjalan membelakangi mereka.
Jom kita tanya orang tu... ”, syor Tij.
Tazs hidupkan semula enjin van lalu bergerak mendekati lelaki yang sedang berjalan itu. Apabila lelaki itu mendengar bunyi van yang datang, dia pun berhenti berjalan lalu menoleh ke belakang. Tersenyum. Seorang lelaki kacak dengan susuk tubuh yang agak lampai sedang berdiri sambil melambai-lambaikan tangan kepada mereka.



Tazs hidupkan semula enjin van lalu bergerak mendekati lelaki yang sedang berjalan itu. Apabila lelaki itu mendengar bunyi van yang datang, dia pun berhenti berjalan lalu menoleh ke belakang. Tersenyum. Seorang lelaki kacak dengan susuk tubuh yang agak lampai sedang berdiri sambil melambai-lambaikan tangan kepada mereka.
Lelaki itu berkemeja putih berlengan panjang dan berseluar warna kelabu. Rambutnya disisir kemas manakala tali lehernya dilipatkan dan dimasukkan di dalam kocek kemejanya. Dia bersepatu kulit tetapi yang hairannya, dia hanya berjalan kaki di tengah-tengah hutan itu.
Tazs memberhentikan vannya di sebelah lelaki itu. Tij julurkan kepalanya ke luar tingkap lalu memberi salam kepada lelaki tadi.
”Saudara, nak tumpang tanya sikit, jalan yang ini... nak ke mana?”, tanya Tij dengan sedikit gugup.
Tazs mengangkat tangannya sedikit, menegur lelaki itu dengan senyuman. Ko-G hanya merenung lelaki itu dalam-dalam, dahinya berkerut seribu.
”Err... awak tanya saya hendak ke mana atau jalan ini menuju ke mana?”, lelaki itu soal balas sambil tersenyum. Tij ketawa apabila menyedari kesilapannya itu.
Nak tanya dua-dua sekali. Nak ke mana dan jalan ini menuju ke mana, boleh tak?”, jelas Tij manja sambil membetulkan duduknya.
Tazs hanya melihat gelagat Tij yang sedikit ’gedik’ itu. Tazs tahu, Tij memang petah bercakap, pandai menyusun kata. Yalah, dia bukankah seorang promoter ? Seorang promoter memang bijak berkata-kata hatta yang dijualnya hanya pakaian dalam wanita.
Oh... Sebenarnya saya pun tak tahu. Saya bukan orang sini. Saya pun tak tahu jalan ni menghala ke mana”, jawab lelaki itu jujur sambil mengecilkan matanya akibat terik matahari.
Tak apalah, kalau sudi marilah ikut kami. Daripada berjalan kaki, lebih baik naik van buruk ni”, Tazs mencelah sambil mempelawa lelaki itu naik.
Lelaki itu teragak-agak pada mulanya namun kesangsiannya pudar apabila Tazs lemparkan senyuman manis dan renungan yang seolah-olah menembusi wajah lelaki itu.
Lelaki itu membalas senyuman Tazs sambil anggukkan kepalanya beberapa kali tanda terima kasih. Melihatkan itu, cepat-cepat Ko-G mengesot menjauhi pintu. Lelaki itu masuk dan duduk di sebelah Ko-G. Tij dan Tazs berpandangan apabila melihat aksi Ko-G.
”Apa hal dengan adik kamu tu?”, bisik Tazs ke telinga Tij.






.

Thursday, December 1, 2011

Kecubung : Bab 3 Episod 10 ... sesat?

.



Kecubung : Bab 3 Episod 10



Sesampainya di Simpang Ampat, Tazs pandu terus memasuki daerah Negeri Sembilan. Dia tak belok ke arah tol. Dia tak mahu gunakan lebuhraya. Dia rasa lebih selesa memandu di jalan rentas negeri kerana van buruknya itu bukan boleh dikerah laju-laju, habis bergegar semuanya nanti. Kalau pandu perlahan di lebuhraya pula, tentu sakit telinganya dengan bunyi hon.
    Van buruk itu terus bergerak perlahan melintasi deretan rumah-rumah orang kampung dan barisan pokok kelapa sawit berselang-seli dengan tanah dusun. Kadang-kadang terlihat orang-orang kampung membersihkan halaman rumah dan membakar sampah. Bau asap putih dari pembakaran itu memberikan nostalgia masa lalu kepada Tazs. Tentang ibunya, juga tentang ayahnya.
Tij toleh kepada Ko-G yang sudah rebahkan badannya di atas kerusi manakala beg galasnya dijadikan bantal. Ko-G tak banyak bercakap sepanjang perjalanan. Mungkin dia lebih memikirkan pelajarannya dan kerjayanya nanti, fikir Tij. Dia kasihankan adiknya itu. Sejak kedua-dua orang tuanya meninggal dunia, Ko-G menjadi pendiam. Dia tak suka bergaul dengan orang tetapi dia menjadikan kucing dan pokok bunga tempat dia ‘mengadu’.
Habis rumah berganti kebun getah, berselang dusun kemudian berganti ladang sawit. Berselang-seli. Selekoh dan bukit semuanya diharungi oleh van tua itu, dengan perlahan tetapi tiada sebarang masalah.
Dari satu topik ke satu topik mereka sembangkan untuk membuang bosan di jalan. Kadangkala sembang mereka disertai hilai tawa yang panjang. Namun apabila sampai kepada topik kahwin, kedua-duanya menjadi serius. Umur seperti mereka itu perkara kahwin adalah sesuatu yang sangat serius. Ditambahi pula dengan mata-mata dari ’bini-bini tua’ yang ada di kampungnya.
Pantang tersilap sikit, nama mereka akan diusung oleh mulut-mulut busuk dari rumah ke rumah. Menjaja cerita dan fitnah secara percuma di dunia tetapi pasti dibayar di akhirat nanti.
Matahari mula meninggi. Hawa panas mula terasa lebih-lebih lagi van itu tidak mempunyai sistem pendingin hawa. Ko-G yang tidur dari tadi telah terjaga kerana panas. Dia sapu peluh yang merenik pada dahinya. Dia singkap sedikit tudungnya ke belakang, membiarkan angin luar menerjah masuk dan mengelus lehernya yang berpeluh.
“Kita di mana ni, kak?“, Ko-G tegakkan badannya, matanya meliar memerhati sekeliling.
Hanya pokok-pokok hutan yang berselisih di kanan dan kiri. Tiada rumah orang pun yang kelihatan. Matahari memancar terik. Panas.
Tij membelek-belek peta yang dibeli tadi. Dia cuba meneka kedudukan mereka. Tazs masih menumpukan perhatiannya pada aspal kelabu yang retak-retak dan kadangkala berlubang. Mata Tazs menyepet menahan kesan terik cahaya matahari yang menyuluh matanya.
Aku rasa peta ni dah luput tarikhlah... tak dikemas kini ”, usul Tij apabila dia gagal mencari kedudukan mereka sekarang ini.
Tazs tersenyum mendengar jawapan Tij. Dalam situasi begitu pun Tij masih boleh bergurau.
”Kita dah sesat?”, tanya Kog-G.
Tij masih membelek-belek peta itu dan sekali-sekala melihat tanda-tanda yang ada di sepanjang jalan. Simpang jalan, batu tanda atau apa-apa sahaja yang boleh membantu tetapi segalanya seolah-olah tak berguna. Sejak dari tadi lagi yang ada cuma pokok-pokok hutan yang liar.
Sunyi saja ... ”, kata Ko-G lagi. Dia toleh ke belakang, melihat jalan raya yang ditinggalkan di belakang. Memang sunyi. Tak nampak siapa-siapa pun.
Tak ada berselisih dengan kereta lain pun... kita saja yang lalu ikut jalan ni... ”, tambah Ko-G menambahkan celaru lagi dalam fikiran Tij dn Tazs.
Tazs pun terfikirkan perkara yang sama tetapi didiamkan sahaja dari tadi. Berkerut dahinya. Tij sudah mula teragak-agak. Seperti ada sesuatu yang misteri sedang berlaku keatas mereka.
Cuba kamu tengok landmark, mana tahu kalau-kalau kita berpusing-pusing di tempat yang sama ”, arah Tij kepada adiknya. Tazs terkejut.
Mulut tu jangan celupar sangat, boleh?! ”, jerkah Tazs.