Monday, August 1, 2011

Ramadhan 2: Kisah sehelai daun kering...

.


Subur tanah bumi Timur itu. Kehidupan dan keriangan silih berganti bermain lungsur pelangi. Segala-galanya indah, persis syurga. Nun jauh di ufuk dunia, awan hitam menjadi berat dan berarak perlahan mendekati lalu menolak lungsur pelangi jauh-jauh. Tak lama kemudian hujan pun turun berjejeran menutupi bumi Timur yang subur itu. Bumi Timur itu segar seperti telah dimandikan oleh hujan.


Lalu muncullah tunas-tunas kecil dari batang-batang muda. Merojol keluar memerhati alam yang cantik. Suasana selepas hujan yang bersih dan segar, dan lungsur pelangi pun datang lagi.


Tunas kecil itu pun menjadi pucuk muda yang hijau. Cantik. Mulus. Suci sekali. Pucuk hijau itu pun menggeliat meluruskan tulang, seperti baru bangun dari tidur yang panjang. Apabila pucuk hijau itu bukakan matanya, seluruh alam bersorak gembira. Burung-burung bernyanyi. Angin pun datang menyapa.


Pucuk muda itu kegirangan namun tidak lama. Nun di bawah sana ada sehelai daun kering yang terlentang di atas tanah. Daun kering itu cuba untuk turut gembira dengan kemunculan pucuk muda itu tetapi apakan dayanya, daun kering itu terlalu lemah dan hampir reput tubuhnya. Dia hanya mampu tersenyum gembira.


Pucuk muda yang asyik dengan keseronokan bermain lungsur pelangi terkejut melihat sesuatu yang berwarna perang kehitaman di bawah sana. Lalu pucuk muda turun dari lungsur pelangi dan mendekati daun kering itu. Dilihatnya daun kering itu sangat lemah. Pucuk muda itu tak mengerti apa yang berlaku.


" Apabila sampai waktunya, tubuhmu yang hijau akan menjadi hijau tua, kuning dan akhirnya perang. Kamu akan rasa ketika itu, angin yang paling lembut pun sudah cukup untuk membuatkan kamu takut."

" Takutkan apa ?"

" Takut untuk jatuh ke tanah, mereput dan dimamah cacing."

" Aku tak mahu takut... boleh beri petuanya ".


" Maaf... tak ada. Semua akan berasa amat takut kerana tiada jaminan kebahagian di bawah sini "



Lalu pucuk hijau itu kembali naik ke atas dengan seribu persoalan bermain-main dalam mindanya. Berfikir tentang lungsur pelangi, tentang tanah dan tentang cacing.


Sehinggalah pada satu hari, pucuk muda itu memanggil beberapa ekor ulat beluncas dan menyerahkan dirinya untuk dimamah.








.

Sunday, July 31, 2011

Ramadhan 1: Kisah seorang lelaki dan batu hitam...

.


Seorang lelaki kesesatan di padang tandus, keseorangan dan lelah dengan hal-hal yang sering memaut kakinya ke bumi. Hal-hal yang selalu menyebabkan kakinya yang kurus tak berisi itu tersadung; dan bila ianya berlaku, badannya yang lemah itu akan pasti terhoyong hayang lalu jatuh.


Namun begitu dia berusaha mengumpul sisa tenaga yang masih ada dan melambungkan badannya untuk berdiri. Lemah sangat dia, lebih-lebih lagi apabila kehabisan bekal makanan dan minuman dalam perjalanan yang dia sendiri tak pasti dimana hujungnya.


Dia tahu, dari cerita orang tua-tua, hujung perjalanan itu kadang-kadang jauh, kadang-kadang dekat sahaja. Tak tentu. Sempadannya adalah rahsia. Hanya Tuhan yang tahu di mana hujung perjalanannya. Selagi belum sampai, dia akan tetap teruskan perjalanannya sekalipun amat payah.


Kali ini, dia merasakan padang tandus itu terlalu mencabar. Sungguh payah. Tekaknya mulai kering. Perutnya mulai lapar. Matanya juga sudah payah untuk dibuka.


Matahari masih tegak di langit. Tak pernah lekang dari bahangnya. Kepalanya berpinar dan akhirnya dia jatuh terjelepuk ke bumi.


Dia terlalu lapar dan haus. Bibirnya merekah, pecah berdarah. Kulit mukanya terbakar dipanggang matahari. Demi kelangsungan hidup di padang tandus itu, dia kais-kais pasir dan rumput lalu dia terjumpa seketul batu kelikir yang berwarna hitam berkilat.


Dia ambil lalu berkata:

" Kurniakanlah sedikit daripada keagonganMu..."


Lantas dia letakkan batu hitam itu di atas lidahnya. Perlahan-lahan dia mengulum batu hitam itu. Batu hitam itu terasa sejuk dan seolah-olah mencair dengan cairan yang manis seperti kurma.


Dia menikmati kelazatan batu hitam itu sambil tersenyum tanda kesyukuran. Tekaknya kini basah, perutnya kini ada sesuatu untuk dihadhamkan.


Kemudian dia menoleh ke arah kanannya. Dia lihat tidak jauh darinya ada satu jurang yang amat dalam dan tak pula kelihatan tebing sebelah sana.

Dia tersenyum lagi. Kini dia tahu, dia telah sampai ke sempadan padang tandus itu. Itulah hujung perjalanan yang pernah diceritakan kepadanya dulu.


" Inna lillah......"



Tiada lagi hal-hal yang remeh-temeh dapat memaut kakinya ke tanah lagi. Dia terus melompat  ke dalam jurang itu dengan girang sekali. Dia tahu, ada sepasang tangan yang akan menyambutnya di bawah sana. Dia tak perlu risau, itu janjiNya.








.