Monday, March 7, 2011

Mereka terlalu gila untuk menyayangimu...

.

' Sebelum aku terbang pergi, aku mahu khabarkan sesuatu ', kata camar hitam.

Ayu Jannah berubah wajahnya. Terkejut kerana camar hitam itu boleh berkata-kata.

' Kekusutan jiwa terlalu dahsyat di Tanah Besar sana. Setiap hari adalah gerhana. Siangnya mentari menjadi suram, malamnya bulan menjadi pudar. Kekacauan memuncak dalam tenang rupa, wajah manusia seakan-akan orang-orang yang dungu. Seperti terkejut dari tidur lena yang panjang. Seperti terpukau dengan keasyikkan yang sebenarnya terlalu kacau.

Tiada siapa yang pasti mana satu depan mana satu belakang, mana yang hitam mana yang putih. Kekaburan dimana-mana. Jiwa-jiwa mereka seolah-olah terhambur keluar dari rangka dada mereka sendiri ' cerita camar hitam.

Ayu Jannah terduduk mendengarkannya. Tubuhnya yang lutsinar menjadi kemerah-merahan. Ombak laut mengganas, karang di bawah diasah tajam. Ayu Jannah menangis. Menangis semahu-mahunya. Bergetar pasir melihat Ayu Jannah yang syugul begitu.

' Masih adakah sesiapa yang mengingatiku? ', tersekat-sekat suara Ayu Jannah bersela esak tangisnya.

' Masih adakah sesiapa di sana yang menyintaiku ?'

Camar hitam menggelengkan kepala.

' Kecuali mereka-mereka yang gila. Hanya mereka yang gila masih mengingatimu, memujamu siang dan malam tak bersela. Hanya mereka yang gila, yang melupakan batas diri sendiri, lupa akan keperluan diri sendiri yang masih menyintaimu ', jawab camar hitam.


Ayu Jannah mendongak ke langit, melihat camar hitam terbang pergi. Pergi membawa pesan kosong darinya...





.

Friday, March 4, 2011

Camar Hitam bertemu Ayu Jannah...

.

Seekor camar hitam terbang dari tanah besar selama sebulan. Akhirnya, sampai jua camar itu ke pulau dan hinggap pada lengan Ayu Jannah.


Ayu Jannah tersedar dari pengsan. Di dapati dirinya wujud semula dalam jasad yang masih dunia, yang masih berbau tanah, yanvg masih berbau masin garam laut. Ayu Jannah buka matanya perlahan-lahan, silau cahaya bulan penuh menembusi dirinya yang lutsinar. Hatinya masih lutsinar. Jantungnya masih lutsinar.

Ayu Jannah duduk bertimpuh. Camar hitam mendepangkan kepaknya, mengimbangi jasadnya yang berupa roh, cakarnya yang berupa sinar indah yang mencengkam daging lengan Ayu Jannah. Namun dia tidak sakit. Jasadnya masih kebas dengan bisa-bisa obor-obor cinta. Ayu tersenyum kepada camar hitam itu.

' Lihatlah aku ini. Aku hilang dalam wujud aku sendiri. Tidak di langit, tidak di bumi. Anehnya, kehilangan ini yang menjadi petanda aku wujud. Yang azali adalah ruh aku yang hilang bersama mentari yang pergi meninggalkan aku. Kini, jasad aku tanpa cahaya. Nur yang bisa menyuluhi aku kepada ruh aku yang pergi itu.

Tanpa kesempurnaan. Hati aku telah cacat. Kalaulah aku boleh pinjam sayap hitammu, wahai camar...'


Lalu, Ayu Jannah genggam camar hitam itu. Dia masukkan camar hitam itu ke dalam hatinya yang lutsinar. Dia mahu sayap camar itu tumbuh, menjadi satu dengannya, supaya dia boleh terbang.

Kemudian, Ayu Jannah lihat cahaya bulan terhalang. Bayang-bayang camar terlukis di atas pasir. Ayu Jannah keluarkan semula camar hitam itu dari dalam hatinya.


'maafkan aku, camar. Aku tak boleh memiliki kamu dalam hatiku. Terbanglah kau ke tanah besar sana. Kau bawalah cerita aku, tentang hilang aku dalam wujud aku ini...'


Kini, hati dan jantung Ayu Jannah kembali lutsinar. Cahaya bulan mampu menembusinya. Jasad Ayu Jannah masih hilang dalam kewujudannya sendiri. Sama seperti tadi.





.