Wednesday, November 30, 2011

Cerita tentang 'Kecubung'...

.

Sebenarnya, aku cuma nak buat 'Kecubung' sekadar cerpen, dalam 5-6 helai saja. Bila cerpen, plot cerita tak mencapah banyak sangat, ceritanya sepatutnya fokus pada satu isu dan lebih 'lurus'. Perkara-perkara bukan pokok ditulis dalam bentuk naratif sahaja dalam 2-3 perenggan, cukup untuk menceritakan perkara bukan pokok, seperti flashback dbs.



Tup-tup... dah masuk 50 helai dan itu baru separuh cerita. Alamak! Apa nak jadi ni? Aku ingatkan  nak siapkan dalam 2 minggu tapi kalau beginilah, sebulan pun belum tentu.


Dan aku juga konon-kononnya cuba menyahut cabaran kak Yatie (blog Secangkir Madu Merah) supaya menulis tema cinta.


Entah apalah aku merepek meraban dalam cerita tu.. hahaha.

Ah! Lantaklah.... bukan ada publisher bayar aku pun... suka hati akulah nak merepek macam mana pun.


Oh ya, sedutan cerita yang aku paparkan dalam blog ini belum dikemaskan ceritanya lagi. Nanti-nantilah aku baca dan edit balik.


Sekian.






.

Kecubung : Bab 3 Episod 9 la pulak...

.


Kecubung : Bab 3 Episod 9




            Pagi Sabtu itu mendung. Ada awan kelabu berarak lembut di Timur. Awan itu menapis cahaya dari matahari pagi yang baru menunjukkan separuh mukanya. Burung-burung Ciak sudah lama resah berteriak bising sebelum terbang meninggalkan sarang masing-masing. Bukan ada sawah padi lagi untuk mereka. Cukuplah sekadar biji-biji rumput yang ada di padang dan ladang terbiar menjadi alas perut mereka sehari-hari. Terbiar kerana pemiliknya atau waris pemiliknya atau pengusahanya telah pergi bekerja di kawasan industri sederhana berat atau menjadi jaga di toko-toko besar di bandar.
Tazs telah bersiap-siap dengan seluar jeans biru yang sedikit longgar dan berbaju T lengan panjang. Dia memandang sebuah beg berisi pakaian yang dia kira-kira cukup untuk tiga hari persalinan. Dia juga berkira-kira laluan mana yang perlu dia ambil nanti. Dia pernah ke Bukit Merah tapi itu dahulu. Lama dahulu, semasa dia berusia belasan tahun. Itu pun dia pergi mengikut rombongan bas sekolah. Dengan sistem serba canggih yang ada pada zaman sekarang ini, dia tak rasa risau kerana segala maklumat boleh diperolehi dengan mudah. Hanya hujung jari diperlukan, selain beberapa sen lagi untuk membayar bil telefon. Kalau terdesak pun, boleh beli peta di stesyen minyak nanti.
Tazs usung beg pakaiannya menuruni tangga rumah papan dua tingkatnya. Dia jalan berkeliling rumahnya itu untuk pastikan semua tingkap dan pintu ditutup elok. Dia tak mahu kucing hitam milik jirannya masuk lalu berak-kencing di dalam rumahnya. Dia tak mahu ayam-ayam milik jirannya masuk dan menjadikan rumahnya ’reban kedua’ pula. Tazs tak bela ayam, tak bela kucing. Semua yang ada berkeliaran di kawasan rumahnya adalah yang datang dari rumah jiran-jirannya.
Setelah puas hati dengan tahap keselamatan rumah papan dua tingkat itu, dia buka pintu van Nisan Vennet lalu melemparkan beg pakaian. Kemudian, dia hidupkan enjin van itu. Percubaan kali ke-3 barulah van itu mahu hidup. Dia tekan pedal minyak beberapa kali. Mengaum enjin van itu dibuatnya. Beberapa ekor ayam yang asyik mencakar kumbang tanah dan kutu pasir di bawah rumah itu berlari sambil mengepak-ngepakan sayap kerana terkejut dan takut.
Manakala di rumah Tij, mereka dua beradik telah pun siapkan beg pakaian masing-masing sejak malam tadi lagi. Tak banyak, masing-masing dengan sebuah beg yang sederhana besar. Cuma Ko-G ada satu beg sandang tambahan. Dari malam tadi lagi Tij perhatikan beg sandang kepunyaan adiknya itu dan cuba meneka apa isikandungnya. Kalau diikutkan fikiran gilanya, mahu sahaja dia teka isi kandung beg sandang itu bantal busuk, seekor kucing dan mungkin juga belalang pelesit malam hari itu tapi mana mungkin kucing dan belalang boleh duduk sekali.
Apa lagi yang kamu bawak dalam beg sandang tu?”, tanya Tij.
Adalah...”, pendek jawapan Ko-G, menambahkan aura misteri beg sandang itu. 
Tij mendekati beg itu yang disandarkan pada dinding bersebelahan pintu keluar dan cuba mengambilnya tetapi cepat-cepat Ko-G berlari dan merampasnya dahulu sebelum sempat tangan Tij mencapainya, sambil mulutnya dicemikkan, mengejek Tij. Ko-G melompat keanak-anakan sambil mengacah-acahkan beg sandangnya kepada Tij.
Bak sini ! Aku nak tengok ! ”, suara Tij mulai meninggi. Ko-G masih berlari-lari anak ke sana ke mari di ruang tamu, yang berlantaikan simen dan berlapikkan tikar getah dari dinding ke dinding, sambil mengacah-acah beg itu kepada kakaknya.
Tak apa... kalau kamu bawak benda yang bukan-bukan dalam beg tu, siaplah ”, Tij berikan amaran tapi Ko-G sudah lali dengan amaran sebegitu yang datang dari mulut kakaknya. Dia tahu bahawa kakaknya itu sayangkan dia.
Tak ada apalah, kak. Ini semua buku, kain telekung, sejadah ”, akhirnya Ko-G meleraikan misteri beg sandang itu. Dia ketawakan kakaknya yang berwajah serius pagi-pagi itu.
Ye ke ? Aku tak percaya selagi tak tengok sendiri ”, simpul Tij.
Tak percaya, sudah...”, balas Ko-G lalu keluar dari rumah.
Sebuah Van Nissan Vennet membelok masuk ke laman rumah Tij. Tazs bunyikan hon dua kali menyuruh Tij dan Ko-G keluar dari rumah. Tak lama kemudian, Tij tercegul di muka pintu rumahnya lalu menyarungkan kasut. Kemudian dia tarik begnya menuju ke van.
Ko-G mana ?”, tanya Tazs bila dilihatnya adik Tij itu tiada.
Ko-GGGGGG!!!! Cepatlah...! ”, pekik Tij.
Tij berjalan ke rusuk kiri rumahnya mencari-cari Ko-G yang telah keluar lebih awal daripadanya tetapi tak tahu ke mana dia pergi pula. Setelah dijerit  kelihatan adiknya itu terkocoh-kocoh keluar dari bilik stor di belakang rumahnya tetapi berhenti sebentar untuk membuang kemuncup yang melekat pada kaki seluarnya. Tij  tak mahu tanya. Dia dah malas nak tanya.
Beberapa minit kemudian, enjin van itu menderum memecah keheningan pagi. Van Tazs meluncur di jalan raya. Ketika melintasi rumah Tazs, dia sempat melirik kepada payung warna-warninya yang tegak berdiri di bahu jalan tetapi kuncup. Buat seketika, Tazs merasa sedih meninggalkan rumah pusakanya itu walau pun buat beberapa hari sahaja.
Keindahan tasik Bukit Merah dan taman temanya bermain-main di mata mereka. Deburan air dan permukaan tasik yang luas seperti yang di tayangkan di kaca TV beberapa minggu lepas diharapkan  boleh mencetuskan rasa tenteram dalam jiwa-jiwa mereka. Itu harapan mereka. Mereka ingin mencari satu suasana yang lain, sekali-sekala. Mereka telah jemu dengan norma dan gangguan di kampung itu.
Tij duduk di sebelah Tazs manakala Ko-G duduk di barisan kerusi di belakang. Tazs yang minta Tij duduk di sebelah kerana dengan mulut Tij yang ramah itu sekurang-kurangnya taklah terasa mengantuk sangat. Kalau tangan Tazs terasa lenguh-lenguh, bolehlah Tij tolong picit-picitkan.
          Pagi itu masih mendung, angin di luar terasa sejuknya. Amat sesuai dengan van itu yang tak punya pendingin hawa lagi. Telah rosak. Tij membentangkan sekeping peta di atas ribanya – peta yang dibeli di stesyen minyak ketika mereka berhenti untuk mengisi minyak dan mengeluarkan sedikit duit. Tij cuba memahami jalan untuk ke Bukit Merah kerana secara jujurnya mereka tak pernah pun menjejakkan kaki di sana kecuali Tazs. Itu pun bertahun-tahun dulu.
          Kita nak ikut mana, Tazs ?”, soal Tij, matanya terus terbenam pada peta Semenanjung Malaysia tanpa menoleh kepada Tazs.
          Tazs tak jawab serta-merta. Dia kemamkan bibir merekahnya manakala matanya masih tertumpu pada jalan raya. Hanya matanya yang tertumpu pada jalan tetapi fikirannya sudah menerawang jauh. Berfikir jauh. Ko-G pula meletakkan tangan pada headrest kerusi depannya manakala pipinya diletakkan di atas tangannya. Matanya galak memandang ke luar, melihat rumah-rumah orang kampung yang bermacam-macam bentuk dan warna catnya. Cat rumah yang ditukar setahun sekali walau pun pengeluar cat tersebut memberikan jaminan 3 tahun.
Kita ikut jalan dalam. Jimat duit tol ”, Tazs berikan jawapan.
Ko tak takut sesat ? Kalau ikut highway, boleh terus je...”.
Itu pasal aku bawa kamu, aku belikan peta... kalau sesat juga, aku seligi kamu ”, kata Tazs berseloroh.
Aku rasa macam tak confident la. Aku tengok peta ni kecik je. Handphone aku tak ada GPS pulak ”.








[sambung]

.

Tuesday, November 29, 2011

Kecubung : Bab 2 Episod 8

.

Kecubung : Bab 2 Episod 8 pula...



        “Jom bercuti ? Kita jalan-jalan”, tiba-tiba Tazs berikan cadangan. Tij sedikit terkejut dengan cadangan itu.
          “Nak pergi ke mana musim hujan macam ni? Nak ke pantai, memang tak nampak pantailah jawabnya”, Tij tarik-tarik jari Tazs sampai berbunyi.
          “Kita pergi jauh-jauh sikit. Kita tengok negeri orang, nak ? Aku nak tenangkan fikiran ”.
          “Boleh je... tapi janganlah tinggi sangat kosnya. Aku nak bayar yuran kolej adik aku awal tahun depan. Aku kena kumpul sikit-sikit ”, Tij melirik Ko-G yang sedang tekun menonton TV yang duduk sambil memeluk kedua-dua pehanya.
          “Aku nak ajak kamu ke Bukit Merah. Sabtu ni, nak ? Kita naik van aku tu. Cuma kita nak kena sediakan duit minyak dan makan ”.
          Tij suruh Tazs terlentang pula, dia letakkan sebelah kakinya ke pangkal ketiak Tazs kemudian dia tarik tangan Tazs. Menyeringai Tazs bila tangannya kena tarik begitu, semput menahan nafas.
          Tiba-tiba Tij terdengar ngomelan kecil dari mulut Ko-G. Dia lihat adiknya sedang menimang kucing hitam itu sambil bercakap-cakap dengannya. Geli hati Tij melihat gelagat adiknya itu.
          “Hari tu dia bercakap dengan pokok bunga di rumah aku. Malam ni dengan kucing pulak... hehehe”, bisik Tij ke telinga Tazs.
          ”Ko-G, kamu tak ada kelas hari Sabtu ni kan? Kalau kamu tak nak ikut kami, kamu duduk di rumah Lebai Salim ”, saran Tij kepada adiknya.
          Ko-G geleng-gelengkan kepalanya. Rambutnya yang lurus separas bahu itu terbuai-buai ke kiri dan ke kanan. Dia tak mahu tinggal di rumah Lebai Salim. Lebai Salim pernah mengajarkannya al-Quran dan dia sangat garang. Habis rotan sebatang menjadi hancur barai tetapi bukannya dipukulkan pada Ko-G. Lebai Salim pukulkan rotannya ke lantai rumah tapi Ko-G tetap tersentak dam menangis sampai berjurai-jurai air matanya keluar. Sampai ke rumah pun masih basah pipinya. Disebabkan Lebai Salim begitulah Ko-G tak suka untuk berjumpa dengan orang tua itu. Walau pun perkara itu telah lama berlaku tetapi rasa gerun Ko-G kepada Lebai Salim masih belum reda. Masih ada.
          Ko-G meminta segelas air kosong kepada Tazs. Dia tak minum air kopi. Nanti payah tidur, katanya. Tazs suruh Ko-G ambil sendiri di dapur.
          “Aku nak tanya sikit, van kamu tu larat ke nak panjat bukit di Changkat Jering, Ipoh ? Aku rasa macam tak mampu nak panjat je, maklumlah, enjin dah lama. Mana ada tenaga ”, tanya Tij meminta kepastian dari Tazs.
          ”Boleh... Enjin dia je yang lama tapi kuat bertenaga, macam Tok Bilal kita tu ”.
          Masing-masing ketawa bila teringatkan kisah Tok Bilal dapat bini muda tahun lepas apabila isteri pertamanya meninggal dunia. Sebelum dia berkahwin dengan bini mudanya itu, orang-orang kampung pernah juga ’kenen’kan Tazs dengannya. Maklumlah, Tazs duduk sebatang kara di kampung itu. Kalau disatukan dengan Tok Bilal, bolehlah dijaga makan-minumnya. Tazs pula bolehlah uruskan hidup Tok Bilal pula.
          Sejak kisah ’kenen-mengenen’ itu tersebar luas di kampung itu, nama Tazs sentiasa menjadi sebutan. Malahan, Tok Bilal juga selalu menyapanya di gerai. Kerap juga Tok Bilal mengajaknya bersembang tetapi Tazs tolak. Tazs tak berkenan dengan ’pucuk tua’, selorohnya. Namun selorohnya itu membuatkan Tok Bilal terasa hati. Sejak itu, tiada lagi usikan dari Tok Bilal dan orang-orang kampung mula ’kenen’kan Tok Bilal dengan Besah Janda. Baru secocok, kata Tazs. Akhirnya, lekatlah mereka berdua.







.

Saturday, November 26, 2011

Kecubung : Bab 2 Episod 7

Kecubung: Bab 2 Episod 7



          ”Aku dah bosan dengan orang kampung ni. Aku cari duit dengan berniaga tapi selalu sangat kena kacau ”, Tazs seolah-olah mengadu.
          ” Kena kacau ke, kena goda ? ha ha ha... ”.
          ” Ahh..! Samalah tu. Sampaikan ada makcik yang bagi amaran kat aku pasal laki dia. Itu belum lagi yang kutuk-kutuk di belakang aku. Aku mungkin diam tapi tak bermakna aku tak tau apa yang berlaku di belakang aku ”.
          Mana kamu tau, Tazs ? Kamu bukan biasa duduk sembang-sembang dengan orang kampung pun. Perasaan kamu je tu ”.
          Budak-budak muda yang bercerita, sindir-sindir... kamu tak hangat hati ke kalau kena macam tu ? ”, Tazs bertanya semula kepada Tij.
          Inilah payahnya kalau belum kahwin-kahwin lagi. Kalau aku, aku buat-buat tak tau je ”.
          Tangan Tazs terus disentap-sentap. Setiap sentapan itu dituruti dengan erangan halus keluar dari mulut Tazs. Erangan panjang yang mampu menjadikan dada pakcik-pakcik kampung itu berombak-ombak dan berdebar-debar. Erangan yang boleh membuatkan nafsu mereka melonjak-lonjak memasuki laut fikiran batin. Cuma, kenapa hanya pakcik-pakcik? Kenapa bukan anak muda yang tampan dan bergaya? Apa yang pakcik-pakcik itu dapat lihat pada Tazs yang anak muda tak dapat lihat ? Bodoh ! kata Tazs dalam hatinya.
Fikirannya bercelaru. Jika dia tak berniaga di gerainya, apa lagi yang boleh dibuat untuk dapat duit? Takkan nak kerja kilang? Tazs tak mahu begitu. Macam robot, dia pernah kata begitu kepada Tij dulu.
          Ada sekali itu, seorang wanita yang tak dikenalinya datang ke gerai bukan untuk membeli kuih, sebaliknya memaki hamun Tazs tanpa diketahui pucuk pangkal cerita. Tazs yang telah biasa menghadapi kaum hawa yang sejenis dengan wanita itu hanya mendiamkan diri. Apabila wanita itu habis ‘bercerita’, Tazs ambil satu sudu garfu lalu ditayang-tayangkan di depan muka wanita itu. Senyap dan dia pun pergi menjauh walau ngomelannya masih terdengar.
          ” Kahwin sajalah, kak. Habis cerita ”, Din pernah berikan cadangan itu kepada Tazs satu masa dulu.
          Bukan Din sahaja. Makcik Maimon, jiran yang berdepan dengan rumahnya, juga pernah menyarankan perkara yang sama. Adakah itu satu penyelesaian terhadap masalah, fikir Tazs. Ataukah itu hanya penyimpangan sementara terhadap masalah? Perkara kahwin bukan untuk dimain-main.
          Lagi pun, siapakah calon untuk Tazs? Tij tak mampu hendak syorkan kepada Tazs. Walau pun dia adalah kawan rapatnya, dia sendiri tidak punya calon yang sesuai. Dia sendiri sedang tercari-cari ‘bakal suami’. Buntu. Terserahlah.






.

Thursday, November 24, 2011

Kecubung : Bab 2 Episod 6

[ Perhatian: Semua watak dan jalan cerita hanyalah khayalan penulis semata-mata. Watak-watak yang digunakan hanyalah buatan penulis dan ia sama sekali TIDAK merujuk kepada karekter sebenar individu dalam dunia nyata. Jika ada kesamaan, anggaplah itu adalah kebetulan dan penulis memohon maaf awal-awal lagi]



Kecubung : Bab 2 Episod 6



            ” Assalamu’alaikum... ”. 
Tazs jengah keluar ikut tingkap melihat ke dalam gelap malam sambil menjawab salam perlahan. Jam dinding menunjukkan pukul 9.30 malam.
          ” Lambat ! Janji tadi selepas Isya’... ”, terjah Tazs keras sambil membuka selak pintu. Berkeriut bunyi engsel pintu papan itu melawan kuakkan. Lama tak berminyak.
          Kopi dan kuih-kuih lebihan pagi tadi telah terhidang lama di atas meja kecil. Kopi pekat itu telah sejuk. Kuih-kuih yang telah dipanaskan semula itu pun telah kembali sejuk.
          ” Eh, ye lah. Lepas Isya’ tu maksudnya Subuh. Nasib baik aku datang awal sikit dari Subuh... ha ha ha “, Tij melawak sambil kakinya melangkah bendul. Seluruh badan Tij bergegar bila dia ketawa.
          Di belakang Tij, adiknya, Ko-G (sebut: ko-ji) menyusun tapak di atas anak tangga yang seluas sepuluh jari disusun sambil memeluk seekor kucing hitam bermata hijau. Bila Tazs hulurkan tangan untuk bersalam, Ko-G menyambutnya lalu menciumnya.
          “ Kamu tak buat kuih malam ni ? “, tanya Tij sambil melabuhkan punggungnya di atas tikar mengkuang. Manakala Ko-G pula terus duduk di depan TV sambil memangku kucing hitam tadi.
          ” Tak. Esok malas nak meniaga. Asyik hujannnn je... ”.
          ” Senang berniaga sendiri ni. Nak kerja buka gerai, kalau tak nak duduk di rumah. Kalau kerja makan gaji macam aku, kalau datang lambat sikit telinga boleh bernanah kena sumpah seranah ”.
          ” Eh, itu kata kamu. Kerja sendiri ni lagi susah. Kalau sakit, tak ada duit masuk. Hah, macam aku sekarang ni. Tangan aku sengal, macam mana nak uli tepung? Macam mana nak meniaga ? ”.
          Tazs masuk ke dalam dalam bilik, hilang beberapa saat sebelum dia keluar sambil membawa dua biji bantal dan sebotol minyak urut. Dia susun bantal di atas tikar mengkuang sebelum menghulurkan botol minyak urut kepada Tij.
          ” Kejaplah. Kamu tak nak ajak aku minum ke ? ”, tanya Tij.
          ” Takkan itu pun nak berajak ? Dah sejuk pun air tu, minumlah ”.
          Tazs longgarkan simpul kain batiknya lalu disimpulkan semula pada paras dada. Tazs tarik keluar bajunya dengan berhati-hati agar simpulan kain batiknya tidak terburai dan melorot. Kemudian dia meniarap di atas tikar mengkuang. Dua biji bantal kekabu tadi digunakan untuk ampu lengan kanannya.

Setelah habis sebiji karipap pusing kesukaannya, Tij hirup kopi sejuk itu cepat-cepat sebelum duduk bersila di sebelah Tazs. Tij lumurkan minyak urut pada tapak tangannya. Dia juga lumurkan pada urat belikat sekitar skapula, pundak bahu dan pangkal lengan Tazs. Pada mulanya, Tij usap-usap dengan perlahan tapi tak lama kemudian jari-jarinya yang lentik mula mencari-cari urat yang tegang lalu memicitnya dengan keras. Meleding badan Tazs menahan sakit dari asakan jari Tij.
          “ Tij, kamu tak bosan dengan kerja ? ”.
          Bosan juga. Lesu. Hari-hari mengadap benda alah itu je ”.
          Terkekeh-kekeh Tazs ketawa. Dia tahu yang Tij menjadi promoter untuk pakaian dalam kaum hawa. Ada pelbagai warna dan fesyen. Pernah juga Tazs mengusik Tij pasal itu tapi Tij dah tak kisah. Dia sudah tebal dengan usikan Tazs yang kadang-kadang dirasakan keras juga.







.

Tuesday, November 22, 2011

Kecubung : Bab 1 Episod 5

[ Perhatian: Semua watak dan jalan cerita hanyalah khayalan penulis semata-mata. Watak-watak yang digunakan hanyalah buatan penulis dan ia sama sekali TIDAK merujuk kepada karekter sebenar individu dalam dunia nyata. Jika ada kesamaan, anggaplah itu adalah kebetulan dan penulis memohon maaf awal-awal lagi]




Kecubung : Bab 1 Episod 5




          Malaslah. Aku nak jaga diet ”, balasnya tanpa menoleh ke belakang.
          Jomlah. Saya belanja awak ”, pelawa orang itu lagi.
          Tij tersentak. Dia kenal suara itu. Dia toleh ke belakang dan didapati ada seorang lelaki tercegat di belakangnya, berdiri sambil menguntum sebuah senyuman. Walau pun dia tak toleh ke arah rakan-rakan yang lain, dia dapat rasakan mereka semua sedang senyum kepadanya. Terasa seperti langit hendak runtuh.
          Tak apa... tak apa. Awak pergilah dulu, nanti perut awak melepek terus jadi tak comel... ”, balas Tij.
          Supervisornya yang pendek dan gendut itu meraba-raba perutnya yang membusung, yang lebih tinggi daripada dua ketulan dadanya.
          Dalam banyak-banyak bahagian tubuh saya, perut juga yang awak nampak ? Awak tak pernah nampak keikhlasan dan kejujuran saya ”, perli supervisornya lalu beredar ke medan makan berseorangan.
          Apa-apalah...’ kata Tij dalam hatinya. Payah nak cari keikhlasan dan kejujuran dalam perhubungan sekarang ini. Bukannya supervisor itu orang yang tidak baik. Dia memang seorang yang baik selama yang Tij kenal. Cuma Tij tak mampu lagi untuk bermimpi tentang perasaan itu. Dia sudah malas. Kalau dia mahu memang boleh tetapi dia sudah malas. Bila ditanyai tentang pasangan hidup, dia akan kata ’ serahkan kepada takdir ’. Jawapan ala-ala artis. Noktah.
          Dengan susuk tubuhnya itu, Tij dengan mudah boleh mencairkan jiwa-jiwa lelaki yang memandang aspek fizikal. Dengan keluk dan lenggok yang ada padanya, Tij dengan mudah meraih kasih sayang lelaki. Dengan wajah yang menarik, kulit bak telur pindang dikupas (kulit Tij sedikit sawo matang), pipi halus bak pauh dilayang, dada penuh berisi dan betis seperti bunting padi, dengan mudah juga untuk dia meraih kekayaan dan harta tanpa perlu bekerja keras kalau dia mahu, dan yang paling penting, dia tak perlu berkerja di situ lagi. 
Pakej kesempurnaan fizikal seorang wanita memang telah ada dalam DNA keturunannya. Namun, Tij tahu kasih sayang yang lahir sebegitu tidak kekal lama. Lebih baik dielakkan. Lagi pun, adiknya perlu diberikan perhatian. Itu amanah arwah orang tuanya. Lupakanlah dulu tentang dirinya walau pun sebenarnya dia telah lama bersedia untuk sebuah komitmen.
          Dalam mengelamun itu, Tij menerima satu pesanan ringkas dalam telefon bimbitnya.
          Aslm. Mlm nie dtg umah. Sgl. Urut aku.’, pesanan datangnya dari Tazs.
          ’wokeh. Siap kopi + kuih. Lps Isya’, balas Tij.







.

Monday, November 21, 2011

Kecubung : Bab 1 Episod 4 ...

[ Perhatian: Semua watak dan jalan cerita hanyalah khayalan penulis semata-mata. Watak-watak yang digunakan hanyalah buatan penulis dan ia sama sekali TIDAK merujuk kepada karekter sebenar individu dalam dunia nyata. Jika ada kesamaan, anggaplah itu adalah kebetulan dan penulis memohon maaf awal-awal lagi]



Bab 1 Episod 4




          Petang itu, Tazs duduk termenung berjuntai kaki di atas tangga. Dia tak menguli tepung seperti selalunya. Dia tak ke kebun yang sekangkang kera di belakang rumahnya mencari kelapa tua. Dia tak cari Daun Pandan. Dia tak cari Daun Pisang. Dia hanya duduk-duduk berjuntai kaki di atas tangga rumah pusakanya pada petang itu.
          Sengal tangannya masih terasa. Kadang kala terasa seperti disiram dengan minyak panas. Namun itu bukanlah punca Tazs tak buat kuih. Dia rasakan musim tengkujuh seperti tangkal penghalau pelanggannya. Tak banyak kuih-kuihnya dibeli orang, akibatnya banyak yang terpaksa dibuang. Terfikir juga untuk bercuti panjang dari berniaga apabila kerja renyah setiap hari dirasakannya tidak berbaloi dengan usahanya.
          Nasib kurang baik musim tengkujuh turut dirasakan oleh Husin, juga Deen, juga Kak Ros, juga mereka-mereka yang berkebun sayur dan berladang getah. Seperti juga nelayan, musim tengkujuh membuatkan mereka mencari alternatif untuk memastikan pendapatan harian mereka tak putus.
          Lainlah Tok Ketua, Lebai Salim dan mereka-mereka yang berladang sawit. Lebih untung lagi ialah Pak Manap dan Cik Ramlah yang menyewa kedai makan berbumbung tetap. Bila hari hujan, ramai yang datang menghirup kopi panas atau teh tarik di kedainya. Musim tengkujuh menjadikan kedainya lebih meriah. Orang-orang kampung yang tak dapat bekerja kerana hujan akan berkumpul di kedainya.
          Tak seperti gerai Tazs yang payungnya tak mampu menahan tempias hujan, tak dapat menahan libasan angin sejuk dan lembab pula. Siapa yang boleh tahan sejuk air hujan waktu pagi?
          Fikiran Tazs buntu mencari penyelesaian. Lebih buntu lagi apabila air hujan turut memadamkan selera dirinya untuk berniaga. Mungkin dia perlu menjadi seperti mereka yang terjejas dek hujan. Dia perlu bercuti pada musim hujan sama seperti menoreh getah.
          Di sebuah pasaraya yang agak terkenal di bandar Jasin, Tij sedang mengemas dan menyusun barang-barang jualan di atas meja booth yang tak seberapa sangat besarnya. Bukan mudah menjadi seorang promoter. Dia kena pandai menggunakan setiap ruang yang ada untuk mempamerkan barang-barang jualan. Mulut kena ramah dan wajah kena manis walau dalam hati sumpah seranahnya hanya Tuhan yang tahu.
          Memanglah kerja sebagai seorang promoter pendapatannya tidak selumayan mana dan bergantung pula atas komisyen jualan namun tanggungjawab untuk menyara pengajian adiknya adalah utama. Itu adalah wasiat orang tuanya yang mahu tidak mahu Tij kena tanggung juga.
          Penat melayan prospeks sama penatnya menunggu matahari jatuh. Kaki-kakinya lenguh menahan beban badannya yang sedikit gempal, lebih-lebih lagi apabila berdiri dengan berkasut tumit tinggi yang seksi dan menyeksakan itu. Sakit lenguh kakinya masih boleh diurut namun lenguh perasaan bosannya tak boleh dijamah dengan tangan, apa lagi untuk diurut dengan tangan.
          Sekali-sekala Tij akan bangun dari kerusi pusing dan berjalan ke booth rakan-rakan lain. Saja-saja untuk tegak-luruskan pinggang sambil itu boleh juga dia bertanyakan berita-berita terbaru yang dia tak tahu. Itu termasuk gosip-gosip semasa di kalangan kawan-kawan.
          Tapi hari itu Tij malas hendak beramah mesra seperti biasa. Dia  melayan waktu dengan melayari ruang sesawang melalui telefon bimbitnya walau pun kadang-kadang telinganya dapat menangkap butir bicara gosip-gosip liar. Malas. Dia bosan sejak akhir-akhir ini.
          ” Jom makan ? ”, tiba-tiba bahunya dicuit dari belakang. Nasib baik Tij tidak melatah. Tij pantang dicuit secara kejut-kejut begitu.







[bersambung]


.

Sunday, November 20, 2011

Kecubung : Bab 1 episod 3...

[ Perhatian: Semua watak dan jalan cerita hanyalah khayalan penulis semata-mata. Watak-watak yang digunakan hanyalah buatan penulis dan ia sama sekali TIDAK merujuk kepada karekter sebenar individu dalam dunia nyata. Jika ada kesamaan, anggaplah itu adalah kebetulan dan penulis memohon maaf awal-awal lagi]



Bab 1 Episod 3



Din mewakili imej golongan anak muda kampung itu yang terhimpit diantara kemajuan yang memerlukan perubahan gaya hidup dan budaya yang masih tercacak di segenap penjuru kampung itu. Kemajuan yang mahukan orang-orang di situ berubah bersama-sama arus deras yang dibawanya. Manakala di satu bahagian lagi ada tunggul-tunggul lama yang mahukan segala-galanya berjalan perlahan. Jurang perbezaan yang ketara.
Golongan anak muda seperti Din ini mengalami kecelaruan gaya hidup yang mendadak. Manakala Tazs yang sedikit ’kakak’ berbanding Din sempat hidup dalam dunia yang perlahan dan sekarang ini sedang melihat asakan kemajuan yang memerlukan pergelutan. Tazs melihat semuanya di depan matanya sendiri dan dia juga terheret sama dalam kemelut itu.
          Tazs membuat keputusan untuk menutup gerainya awal sedikit daripada biasa pada hari ini walau pun kuih-muihnya masih ada separuh lagi. Jika hari hujan memang begitulah, tak ramai yang datang singgah di gerainya. Lagi pun, tangan kanannya sudah terasa sengal semula. Lebih-lebih lagi dalam cuaca yang basah dan sejuk seperti pagi itu, terasa seperti ada jarum yang menyucuk-nyucuk pangkal lengan dan rasa sengalnya membawa ke hujung jari hantu. Dia perlukan minyak urut yang cukup panas. Dia perlu naik ke rumah.
          Kadang-kadang Tazs akan minta Tij datang ke rumah untuk urut tangannya. Selepas diurut dengan minyak panas Abu Dakam biasanya akan legalah sedikit. Jika tidak, sengalnya boleh mengganggu tidur dan mimpi. Malam nanti Tazs perlukan pertolongan kawannya itu lagi.
          Tazs kemas kuih-muihnya yang masih tak terjual. Hujan masih merenjis halus walau di kaki langit Timur sana matahari telah pun menjengah dari balik awan putih. Tazs susun semua bekas plastik bertindih-tindih kemudian diikatkannya dengan kain alas meja lipat. Payung itu dikuncupkan tetapi dibiarkan berdiri tegak di tepi jalan itu, menandakan gerainya telah ditutup secara rasmi pada pagi itu. Tazs jinjing ikatan tadi manakala tangannya yang satu lagi menjinjing meja lipat.
          Ketika kakinya melangkah pintu dapur, Tazs menoleh kepada van peninggalan arwah bapanya yang diletakkan di bawah rumah papan dua tingkat. Van itulah yang sering dipandu arwah untuk berniaga di pasar-pasar malam sekitar Jasin dan Air Kangkung. Kini, van itulah yang sering dipandunya. Van yang berusia itu telah banyak berjasa. Biar pun telah nampak tua dan kusam catnya, van itu masih boleh dipandu dan amat jarang meragam.

          Ada seekor kucing hitam sedang elok berbaring di atas bumbung van itu. Tazs membongkok lalu mengambil sebatang ranting mempelam yang dihanyutkan air hujan malam tadi. Dia balingkan ranting itu ke arah kucing hitam itu. Tak kena tetapi kucing itu melompat turun. Tazs bukan berniat untuk baling kepada kucing itu pun. Cukup sekadar untuk menakutkannya sahaja. Tazs tak mahu vannya bercalar-balar dek cakaran kuku kucing hitam itu.






[sambung]
.

Saturday, November 19, 2011

Kecubung: Bab 1 episod 2

.

[ Perhatian: Semua watak dan jalan cerita hanyalah khayalan penulis semata-mata. Watak-watak yang digunakan hanyalah buatan penulis dan ia sama sekali TIDAK merujuk kepada karekter sebenar individu dalam dunia nyata. Jika ada kesamaan, anggaplah itu adalah kebetulan dan penulis memohon maaf awal-awal lagi]



Bab 1, episod 2:




” Jauh kamu mengelamun, Tazs ? Aku berdiri di depan kamu pun tak nampak ? ”, tegur Tij, kawan rapatnya.
          ” Lambat kamu pergi kerja hari ni. Kamu mimpi panjang lagi ke malam tadi ?”, sebenarnya Tazs tersentak dari lamunan.
          ” Tak adalah. Bagi aku Karipap seringgit. Aku suka Karipap Pusing kamu tu. Kamu bubuh Kas-Kas ke Tazs ? Ha ha ha... ”, bergegar payung Tij apabila dia ketawa.
          ” Ha-ah. Memang aku bubuh Kas-Kas banyak-banyak. Kenapa ? Kamu alergik ke ? ”, balas Tazs menyindir. Beberapa minit kemudian, seplastik kuih dan duit seringgit pun bertukar tangan.
          Tazs mengekori susuk tubuh Tij yang berjalan laju-laju mengelak hujan ke kereta Kelisa putih dengan pandangannya. Terkial-kial Tij mengudupkan payungnya apabila dia duduk sedangkan payungnya masih terjulur keluar pintu keretanya. Tazs gelihati melihat keletah kawannya itu.
          Kawannya itu tinggal selang beberapa buah rumah dari rumahnya. Dia juga seperti Tazs cuma bezanya, Tij ada seorang adik perempuan yang masih belajar di sebuah kolej swasta di Ayer Keroh. Tij juga tinggal di rumah pusaka tinggalan orang tuanya yang telah meninggal dunia beberapa tahun lepas akibat kemalangan di jalan raya. Sejak orang tua Tij meninggal dunia, Tijlah yang menyara adiknya belajar.
          ” Kak... Kak ? ”, tegur seorang pemuda kampung.
          Tazs tinggalkan Tij lalu mengalihkan pandangannya kepada pemuda itu pula.
          ” Lambat kamu hari ni, Din ? ”, balas Tazs. Din seorang anak muda kampung yang baru habis belajar di sebuah kolej swasta dan masih mencari kerja-kerja yang sesuai, katanya.
          ” Hujan, kak. Sejuk. Bukan ada makwe nak dipeluk-peluk ”, kata pemuda itu sambil menjeling jahat kepada Tazs tetapi hatinya baik.
          ” Hah! Jangan nak ngengada. Kalau sejuk, bawa motor tu tunduklah sikit ”.
          ” Mana boleh, kak. Tak nampaklah jalan hujan-hujan macam ni ”.
          ” Aik?! Yang kamu buat lagak Superman wong-weng-wong-weng ... rempit kat jalan ni boleh pulak ? Aku tengok badan kamu sampai lurus rata macam mayat terbujur di atas jalan.. sungguh! Tak ubah macam mayat terbaring di atas jalan...”
          ” Hish akak ni !”, Din membayar harga kuih sambil memuncungkan bibirnya, lalu beredar.
          Tazs ketawa. Dia memang biasa diusik dan sebagai membalas usikan itu, dia juga akan mengusik. Sama-sama mengusik baru padan. Tazs seorang anak dara yang hidup sebatang kara. Biarpun dia masih muda berbanding cabaran hidupnya, dia perlu bersikap keras begitu jika tidak dia akan tertekan dengan usikan kaum adam yang kadang kala melampau-lampau. Itu juga norma harian di kampung itu.
 



[sambung]

.

Kecubung Jiwa: Bab 1, episod 1

.
[ Perhatian: Semua watak dan jalan cerita hanyalah khayalan penulis semata-mata. Watak-watak yang digunakan hanyalah buatan penulis dan ia sama sekali TIDAK merujuk kepada karekter sebenar individu dalam dunia nyata. Jika ada kesamaan, anggaplah itu adalah kebetulan dan penulis memohon maaf awal-awal lagi]




Kecubung

          
         Cuaca pada pagi itu mendung. Hujan bulan November merenjis turun sejak awal subuh tadi lagi. Matahari masih belum muncul di kaki langit Timur tetapi remang-remang cahaya pagi itu cukup untuk melihat daun-daun pokok pisang dan pelepah kelapa yang basah kuyup. Rumput-rumput di bahu jalan raya kecil yang menghubungkan Kampung Sungai kelubi ke Bandar Jasin banyak yang telah ditenggelami oleh air hujan yang melimpah dari jalan. Hujan bulan November seakan-akan bayangan kelabu kehidupan kampung itu yang meriah dengan seribu satu cerita.
Kampung Sungai Kelubi menjadi wadah besar yang mengadun semua yang kaya dan yang miskin, terlakur menjadi satu adunan rencam yang jika dilihat sekali imbas semuanya seperti kelihatan enak dan makmur. Namun jika diteliti setiap mereka yang hidup di situ akan terserlah perisa duka dan sengsara tetapi kesan-kesan calar itu tidak kelihatan pada wajah-wajah mereka. Segala-galanya menjadi norma harian. Tiada keluh, tiada kesah. Sudah sebati dengan diri menjadi daki. Sudah mendap menjadi selut tebal dan payah untuk digodak-ubah lagi.
Pada pagi itu, kereta-kereta berderetan bergerak menuju ke bandar membawa jiwa-jiwa muda ke kilang-kilang dan toko-toko besar,  meninggalkan kebun getah dan sawit yang semakin kecil dikerkah kemajuan. Manakala mereka yang bermotorsikal pula siap dengan berbaju hujan meredah sejuk bulan November yang membasah hingga ke hujung tahun.
          Ada beberapa buah motorsikal berhenti di sebuah gerai berbumbungkan sebuah payung besar berjalurkan warna-warni di tepi jalan yang basah itu. Setelah kuih-muih dibungkuskan dengan plastik, mereka meneruskan perjalanan untuk ke tempat kerja. Begitulah jika hari hujan, tak ramai yang berhenti membeli kuih-muih yang dijual di situ. Jika tak hujan, biasanya gerai itu penuh dengan pelanggan yang berhenti untuk membeli kuih-muih. Mungkin mereka malas basah dek hujan, tak seperti mereka yang bermotorsikal, yang sememangnya berbaju hujan.
          Jadi, jika hari hujan, jualan di gerai ’pacak’ itu kurang meriahnya. Penjualnya juga berasa kurang ’meriah’ tapi apakan daya, rezeki sudah ditentukanNya. Kadangkala Tazs terasa seperti mahu ’bercuti’ dari berniaga jika hari hujan tetapi bila difikirkan semula, dia berasa kasihan kepada pelanggan-pelanggan tetapnya pula. Nanti mereka berlapar sepagi.



          Bagi Tazs, perniagaannya bukan sahaja sebagai pendapatan utamanya. Ia juga sebagai amal-jariahnya untuk mereka-mereka yang singgah di gerainya. Dia tahu, jika isteri-isteri mereka sempat menyediakan sarapan pagi, mungkin mereka tidak perlu singgah membeli kuih-muihnya.
Rasa kasihan kadang-kadang menjadi dorongan yang kuat untuk Tazs terus berniaga walau pun hasil dari menjual kuih bukanlah sebanyak mana. Ianya sekadar cukup untuk membayar bil-bil bulanan selain cukai tapak rumah pusaka peninggalan kedua-dua orang tuanya. Selebihnya, dia simpan untuk masa tuanya nanti, masa dia tidak mampu untuk terus menguli tepung membuat kuih untuk berniaga lagi nanti.

          Tazs tiada ada siapa-siapa lagi. Dia anak tunggal. Kawan-kawannya juga tak ramai, boleh dibilang dengan sebelah tangan. Masa malamnya dia penuhkan dengan membuat persiapan jualannya, masa subuhnya pula sibuk dengan aktiviti menggoreng dan mengukus. Manakala masa paginya, dia duduk menunggu pelanggan di gerai payung itu. Petangnya pula dia perlu pergi ke bandar untuk menambah bekalan tepung dan gula, dan beberapa ramuan yang lain lagi. Begitulah setiap hari. Tiada masa untuk bergosip, mengumpat di anak tangga dan tiada masa untuk bertanyakan gelang emas atau kain baru. Tiada masa.






[sambung...]




.

Thursday, November 17, 2011

Dia mengejek aku...

.




... dan dia datang mengejek aku
yang tertinggal malam tadi

subuh hening ini menyindir
tentang pasir yang basah
tentang ombak yang pecah
tentang tapak-tapak kaki aku 
tak berbekas di atas pasir pantai itu

... lalu dia mengejek aku lagi.








.

Friday, November 11, 2011

Ini antara dialog2 dan sedutan bab seterusnya dalam projek aku tu...

.

Sedutan 1:

Tazs longgarkan simpul kain batiknya lalu disimpulkan semula pada paras pangkal dada. Tazs tarik keluar bajunya dengan berhati-hati agar simpulan kain batiknya tidak terburai dan melorot. Kemudian dia meniarap di atas tikar mengkuang. Dua biji bantal kekabu tadi digunakan untuk ampu....


Sedutan 2:

Terkekeh-kekeh Tazs ketawa. Dia tahu yang Tij menjadi promoter untuk pakaian dalam kaum hawa. Ada pelbagai warna dan fesyen. Pernah juga Tazs mengusik Tij pasal itu tapi Tij dah tak kisah. Dia sudah tebal dengan usikan Tazs yang kadang-kadang dirasakan keras juga.


Dialog 1:


Tiba-tiba Tij terdengar ngomelan kecil dari mulut Ko-G. Dia lihat adiknya sedang menimang kucing hitam itu sambil bercakap-cakap dengannya. Geli hati Tij melihat gelagat adiknya itu.
“ Hari tu dia bercakap dengan pokok bunga di rumah aku. Malam ni dengan kucing pulak... hehehe”, bisik Tij ke telinga Tazs dengan sedikit ketawa.

 Dialog 2:
” Ini Belalang Pelesit ! Dah, pergi campak keluar tingkap ”, arah Tazs kepada Ko-G. 
” Eh, orang kata kalau nak tahu belalang ni bawa pelesit atau tak, cabut kepalanya. Kalau ada macam sehelai rambut hitam maknanya pelesit tu ada dalam belalang ni ”, kata Ko-G.
” Alaahhh...! Kalau tak ada, sia-sia saja belalang tu mati. Kalau ada pulak, ko nak buat apa ? Menjerit histeria malam-malam ? ”, kata Tazs.
” Biar dia rasuk Ko-G. Dah dia yang bersembang dengan belalang tu tadi, biarlah pelesit tu datang kat dia “, Tij mengusik adiknya.


Sedutan 3:


Masing-masing ketawa bila teringatkan kisah Tok Bilal dapat bini muda tahun lepas apabila isteri pertamanya meninggal dunia. Sebelum dia berkahwin dengan bini mudanya itu, orang-orang kampung pernah juga ’kenen’kan Tazs dengannya. Maklumlah, Tazs duduk sebatang kara di rumahnya. Kalau disatukan dengan Tok Bilal, bolehlah dijaga makan-minumnya. Tazs pula bolehlah uruskan hidup Tok Bilal pula. 
Sejak kisah ’kenen-mengenen’ itu tersebar luas di kampung itu, nama Tazs sentiasa menjadi sebutan. Malahan, Tok Bilal juga selalu menyapanya di gerai. Kerap juga Tok Bilal mengajaknya bersembang tetapi Tazs tolak. Tazs tak berkenan dengan ’pucuk tua’, selorohnya. Namun selorohnya itu membuatkan Tok Bilal terasa hati. Sejak itu, tiada lagi usikan dari Tok Bilal dan orang-orang kampung mula ’kenen’kan Tok Bilal dengan Besah Janda. Baru secocok, kata Tazs. Akhirnya, lekatlah mereka berdua.





.

Thursday, November 10, 2011

Projek aku... ini sedikit sedutan dalam bab 1

.

Secara rasminya, aku mulakan projek aku pagi kelmarin. Aku letakkan sedikit sedutan dari bab pertama dalam projek itu.... dan sengal tangan aku datang semula.... pelan asal, aku nak cuba siapkan dalam masa seminggu aku bercuti ini tapi... tengoklah macam mana.


Sedutan 1:



Cuaca pada pagi itu mendung. Hujan bulan November merenjis turun sejak awal subuh tadi lagi. Matahari masih belum muncul di kaki langit Timur tetapi remang-remang cahaya pagi itu cukup untuk melihat daun-daun pokok pisang dan pelepah kelapa yang basah kuyup. Rumput-rumput di bahu jalan raya kecil yang menghubungkan Kampung Sungai kelubi ke Bandar Jasin banyak yang telah ditenggelami oleh air hujan yang melimpah dari jalan. Hujan bulan November seakan-akan bayangan kelabu kehidupan kampung itu yang meriah dengan seribu satu cerita.
Kampung Sungai Kelubi menjadi wadah besar yang mengadun semua yang kaya dan yang miskin, terlakur menjadi satu adunan rencam yang jika dilihat sekali imbas semuanya seperti kelihatan enak dan makmur. Namun jika diteliti setiap mereka yang hidup di situ akan terserlah perisa duka dan sengsara tetapi hampir tiada kesan-kesan calar itu pada wajah-wajah mereka. Segala-galanya menjadi norma harian. Tiada keluh, tiada kesah. Mereka gembira dengan kehidupan yang serba sederhana tanpa perlu menongkah arus untuk mengejar kehidupan mewah.



Sedutan 2:


 ”Jauh kamu mengelamun, Tazs ? Aku berdiri di depan kamu pun tak nampak ? ”, tegur Tij, kawan rapatnya.
Lambat kamu pergi kerja hari ni. Kamu mimpi panjang lagi ke malam tadi ?”, sebenarnya Tazs tersentak dari lamunan.
Tak mimpi. Mengigau je. Bagi aku Karipap seringgit. Aku suka Karipap Pusing kamu tu. Kamu bubuh Kas-Kas ke Tazs ? Ha ha ha... ”, bergegar payung Tij apabila dia ketawa.
Ha-ah. Memang aku bubuh Kas-Kas banyak-banyak. Kenapa ? Kamu alergik ke ? ”, balas Tazs menyindir. Beberapa minit kemudian, seplastik kuih dan duit seringgit pun bertukar tangan.



Sedutan 3:


Hujan, kak. Sejuk. Bukan ada makwe nak dipeluk-peluk ”, kata pemuda itu sambil menjeling jahat kepada Tazs tetapi hatinya baik.
Hah! Jangan nak ngengada. Kalau sejuk, bawa motor tu tunduklah sikit ”.
Mana boleh, kak. Tak nampaklah jalan hujan-hujan macam ni ”.
Aik?! Yang kamu buat lagak Superman wong-weng-wong-weng ... rempit kat jalan ni boleh pulak ? Aku tengok badan kamu sampai lurus rata macam mayat terbujur di atas jalan.. sungguh! Tak ubah macam mayat terbaring di atas jalan...”
 Hish akak ni ! ”, pemuda itu membayar harga kuih sambil memuncungkan bibirnya, lalu beredar.


Sedutan 4:


Dengan susuk tubuhnya itu, Tij dengan mudah boleh mencairkan jiwa-jiwa lelaki yang memandang aspek fizikal. Dengan keluk dan lenggok yang ada padanya, Tij dengan mudah meraih kasih sayang lelaki. Dengan wajah yang menarik, kulit bak telur pindang dikupas (kulit Tij sedikit sawo matang), pipi halus bak pauh dilayang, dada penuh berisi dan betis seperti bunting padi, dengan mudah juga untuk dia meraih kekayaan dan harta tanpa perlu bekerja keras kalau dia mahu, dan yang paling penting, dia tak perlu berkerja di situ lagi.
Pakej kesempurnaan fizikal seorang wanita memang telah ada dalam DNA keturunannya. Namun, Tij tahu kasih sayang yang lahir sebegitu tidak kekal lama. Lebih baik dielakkan. Lagi pun, adiknya perlu diberikan perhatian. Itu amanah arwah orang tuanya. Lupakanlah dulu tentang dirinya walau pun sebenarnya dia telah lama bersedia untuk sebuah komitmen.








Cukuplah. Selebihnya, nanti bila dah siap dan dibukukan( entahlah bilakan siapnya... kakaka).




.